Di Kuala Lumpur.
Warna senja mulai memamah suasana. Awan-awan di cakerawala mula menangis lalu menitiskan air matanya dengan deras. Zaim mengaktifkan pengelap cermin keretanya lalu menerusi ke jalan raya sebelum berpusing kanan ke lorong di simpang itu.
Setibanya ke hospital, Zaim kini hanyut dibawa arus resah dan dia mencuba mengumpulkan semangatnya untuk bertemu dengan Wafiy. Dengan Faiqah dan Azzahra berada di sampingnya, Zaim terus masuk ke dalam bilik wad itu. Riak wajah Zaim pucat lesi bagaikan ditoreh tiada berdarah ketika melihat Wafiy sedang diselimutkan dengan kain putih. Rashinah tidak sampai hati melihat pemergian anak angkatnya lalu dia memeluk Husayn sambil menitiskan air matanya.
Zaim mendekati di katil itu lalu dia membuka kain putih dengan perlahan sehingga ke paras leher Wafiy. Titisan air jernih jatuh berguguran dari sudut mata Zaim. Perasaan kecewanya teramat mendalam kerana tidak sempat memenuhi amanah arwah Kak Bibah. Kemudian, Zaim memberikan kucupan yang terakhir di dahi Wafiy dan menutup semula dengan kain putih itu.
Doktor yang memeriksa Wafiy sedang memanggil Zaim untuk pergi ke biliknya supaya dapat dijelaskan penyakit Wafiy itu. Alangkah terperanjatnya Zaim bila mendapati bahawa penyakit Wafiy, iaitu kegagalan hati, telah berada di tahap ke 4 dan ia hanya menanti masa untuk pergi dari alam nyata. Bencana menimpa keriangan Zaim. Air mata Zaim bertaburan ketika mendengar kata-kata doktor itu bagai merobek ranting-ranting semangat Zaim.
Sementara itu, Faiqah perlahan lintas ke Rashinah sambil memegang bahu kanannya dan memanggilnya. Suara yang tidak asing didengari oleh Rashinah lantas dia menoleh ke Faiqah. Kegembiraan hati Rashinah mengeluarkan manik-manik jernih dari birai kolam matanya apabila melihat rakan karibnya tampil di hadapannya.
Lesung pipit Faiqah yang terukir di pipi menarik perhatian yang memandang. Setelah 5 tahun tidak berjumpa, perasaan rindu dipendam terhadap sahabatnya lalu Rashinah memeluk Faiqah demi melepaskan kerinduannya yang terbenam selama ini. Kalau tidak jumpa sehari, seseorang itu akan mengongsi apa yang dia lalui pada hari tersebut bila bertemu. Cuba bayangkan jika 5 tahun berpisah, mungkin ia perlukan masa untuk mengejar semula perkembangan hidup dengan sahabatnya setelah ditemu semula.
Keesokan harinya.
Kemerahan cahaya mentari menyinari bumi. Insan bandar bingkas berkejaran di hening pagi tanpa diarah. Namun di sebaliknya, Zaim sekeluarga pergi ke kawasan yang penuh dengan batu-batu mejan. Wafiy dikebumikan bersebelahan dengan ibubapa kandungnya. Bunyi harmoni semasa seluruh orang yang berada di situ sedang bermuzik dengan kedua telapak tangan mereka. Setelah itu Zaim mengangkat jag berisi air bunga lalu menyiramkan ke lumpur-lumpur di pertengahan kedua batu mejan Wafiy dari satu hujung hingga ke hujung batu mejan yang lain.
Sesudah itu, Zaim dan keluarganya pulang ke rumah Zaim untuk bersiap sedia berangkat ke Desa Sebarau dan menjemput kakak iparnya pulang di Kuala Lumpur. Meskipun pemergian Wafiy itu tidak disangka, Zaim menyimpan kenangannya bersama Wafiy di ingatannya dan teruskan hidup agar tidak membuang masanya dengan percuma. Oleh kerana Zaim gagal melaksanakan amanah Kak Bibah, dia enggan membiarkan amanahnya lagi satu diabaikan.
Di Desa Sebarau.
Azzahra dan Faiqah masuk ke dalam rumah Faezah manakala Zaim sedang mematikan enjin keretanya lalu dia membuka pintu belakang kereta untuk mengangkat beg pakaian mereka dan membawa ke dalam rumah tersebut. Di depan pintu, Faiqah membantu Zaim dengan mengangkat beg pakaian mereka lalu dia masuk ke dalam biliknya.
Zaim duduk di sofa untuk menghilangkan kepenatannya setelah panjang memandu. Wajahnya masih berupaya menyembunyikan rasa resah gelisahnya. Faezah telah menyiapkan dulang yang berisi teko teh panas dan cekodok pisang berserta cawan-cawan lalu dia menghidangkan di atas meja kecil.
“Zaim... silalah minum dan makan... jangan segan-segan...” Ujar Faezah lalu dia masuk ke dalam bilik Faiqah untuk melihat anak buahnya. Zaim hanya menganggukkan kepala sambil mengukirkan senyuman tipis.
Beberapa minit kemudian, Ziyyad pulang dari tempat kerjanya. Empat tapak melangkah ke ruang tamu, Ziyyad terlihat Zaim sedang duduk termenung bersendirian lalu dia menepuk bahu kiri Zaim. Tepukan itu telah mengejutkan Zaim dari lamunan.
“Kenapa ni Zaim?... kau ada masalah ke?...” tegur Ziyyad semasa mengambil cekodok pisang.
“Oh... tak ada apa-apa... Cuma penat sikit saja... Oh ya... bila Kak Ezah nak ceritakan kisah silamnya itu?...” Zaim bertanya kepada Ziyyad sambil membalikkan cawan itu dari dulang lalu dia mengangkat teko teh panas dan menuangkan ke dalam cawan tersebut.
“Fasal tu... mungkin... Kak Esah akan ceritakan malam ni... kau pergi bersihkan diri dulu... selepas makan malam nanti... Abang... akan beritahu kau bila semua dah berkumpul...” jawab Ziyyad sambil mengunyah cekodok pisang.
“Baiklah... saya minta diri ke bilik dulu...” Zaim menghirup cawannya lalu dia bingkas bangun dari dan melangkah ke bilik Faiqah.
Alam sepi. Malam begitu menjelunut. Bulan dan bintang tetap bersinar indah di atas langit. Kedinginan terasa memalut seluruh tubuh. Tiupan angin malam sangat lembut. Setelah bermakan malam, Faiqah membawa Azzahra ke biliknya untuk membuat latihan menulis abjad agar tidak mengganggu orang tua bersembang.
Manakala yang lain sedang duduk di sofa sambil menunggu Faiqah. Faezah telah membawa dulang berisikan teko teh panas dan sedikit kuih-muih dan hidang ke atas meja kecil. Beberapa minit kemudian, Faiqah melalu ke arah Zaim dan duduk di sampingnya. Bukan senang hendak memujuk anak kecil yang giat bertanya pelbagai soalan dalam prosesnya untuk membesar. Faiqah mengeluarkan kata-kata sinis yang menggelikan hati semua orang di situ.
Riuh-rendah di ruang tamu bak menyambut pesta perayaan. Namun, suasana menjadi sunyi apabila Faezah menceritakan kisah silamnya. Ingatan Faezah masih segar kepada tragedi yang berlaku semasa dirinya berusia sepuluh tahun.
Semasa Faezah berumur sepuluh tahun dulu.
Matahari yang tadinya cerah lalu bertukar warna. Bagaikan buah pinang sudah masak. Langit kelihatan redup padam. Senja melabuhkan tirainya menyambut malam. Faezah sedang melukis gambar keluarganya untuk mengisi masa lapangnya. Dengan lukisan yang comot tanpa bakat yang asas, ia menggambarkan di dalam sebuah rumah yang mempunyai, Faezah, Faiqah, Dato Saidun dan Datin Safiya sedang berpimpin tangan dengan wajah yang girang gembira. Masa itu, rumah Dato Saidun tidak sebesar kalau dibandingkan dengan rumah sekarang. Rumah tersebut mempunyai tiga bilik tidur, dapur luas, ruang tamu yang sederhana dan dua bilik mandi bergabung dengan tandas, yang satu berada di bilik tidur utama dan selainnya di tepi bilik-bilik yang lain.
Masa itu, Dato Saidun sedang bertugas di luar kawasan selama seminggu dan ibu Faezah, Datin Safiya berada di dapur menghidangkan jamuan makan malam di meja makan. Sesudah itu, Datin Safiya memanggil Faezah untuk menyusul ke meja makan dan tunggu sementara dia sedang naik ke atas untuk mengejutkan Faiqah yang berusia dua tahun.
Setibanya ke bilik Datin Safiya, dia melihat Faiqah sedang tidur mati. Datin Safiya menghinggut badan Faiqah namun dia tidak bergerak. Perasaan berkecamuk melanda hatinya. Datin Safiya menyentuh dahi Faiqah dan kepanasan dari dahi itu menandakan bahawa Faiqah sedang mengalami demam panas. Tanpa berfikir panjang, Datin Safiya mendukung anaknya lalu dia bergegas ke meja makan dan memesan kepada Mak Edah untuk menjaga Faezah semasa dia sedang pergi ke klinik. Faezah ingin mengikut dengan ibunya tetapi dia tidak dibenarkan sebab hari telah lewat malam tambahan pula besok ada sekolah dan Datin Safiya mahukan Faezah tidur awal supaya tidak lambat pergi ke sekolah.
Setelah mendengar pesanan ibunya. Faezah menundukkan kepalanya tanpa membantah. Lantas Datin Safiya meletakkan anaknya di kerusi bayi sambil memasang tali pinggang keledar bersebelah kerusi pemandu. Setelah itu, Datin Safiya menghidupkan enjin kereta lalu dia berangkat ke klinik.
Tanpa disedari, ada dua orang sedang memerhatikan di rumah Dato Saidun. Mata mereka memandang tajam ke kereta Datin Safiya yang sedang merentas ke pintu pagar itu. Setelah sepuluh batu kereta Datin Safiya jauh dari perumahannya, kedua-dua orang itu melangkah senyap dari pintu belakang lalu cuba membukanya. Pada masa itu, Mak Edah sedang berada di dapur untuk membasuh kuali dan pinggan mangkuk. Salah seorang daripadanya mengeluarkan sebilah pisau manakala seorang lagi mengambil kesempatan untuk menutup mulut Mak Edah.
Mak Edah sangat tekun membuat pekerjaannya hingganya tidak peka di sekelilingnya. Oleh kecuaian itu, ia memberi peluang kepada dua orang itu untuk bertindak. Faezah telah selesai dengan santapannya lalu dia menindih secawan gelas di atas pinggan dan mengangkatnya sekali gus ke dapur.
Setelah lima tapak melangkah, Faezah diserang ketakutan sehingga lututnya lemah dan tangannya terkulai apabila melihat Mak Edah ditikam oleh dua orang jahat itu. Bunyi jatuhan pinggan dan cawan kedengaran. Faezah mengumpul keberaniannya untuk berlari ke atas tangga mencari tempat bersembunyi. Jantung Faezah bergerak-gerak dengan kencang bagaikan ingin memecahkan rangka dadanya semasa kakinya tidak henti berlari.
Dua orang itu masih berada di ruang tamu untuk memastikan bunyi apakah yang jatuh itu. Tiba-tiba, awan hitam kelihatan berarak ditiup angin dan petir memancar disusuli bunyi guruh yang menakutkan hinggakan mereka terdengar bunyi teriakan budak dari tingkat atas. Kemudian, salah seorang daripadanya telah diarahkan untuk mencari Faezah. Setibanya di bilik ibubapanya, Faezah perlahan membuka pintu almari ibubapanya dan masuk ke dalam dengan senyap. Seluruh tubuh Faezah menggigil menggeletar ketakutan. Matanya mula terasa basah. Dia cuba menahan tangisan itu agar tidak kedengaran oleh dua orang tersebut.
Setelah setengah jam berada di almari tersebut, bunyi riuh rendah dari dua orang itu telah hilang lalu dia perlahan membuka pintu almari untuk memastikan mereka berdua telah meninggalkan rumahnya. Tiba-tiba, pintu itu terbuka luas dan dua orang itu muncul di hadapannya. Mata Faezah terbeliak. Dua orang itu menarik lengan Faezah dan salah seorang daripadanya mendukung Faezah kemudian mereka berdua membuat langkah seribu. Faezah hanya menjerit sambil memukul bahu orang itu bertubi-tubi sehingga dia menggigit bahu orang itu. Orang itu tidak mampu menahan kesakitan lalu dia menampar Faezah sehingga dia pengsan. Apabila sampai ke van, Faezah telah diikat rapi lalu diletakkan ke belakang van itu. Salah seorang daripadanya duduk di samping Faezah untuk memastikan dia tidak melarikan diri. Manakala yang lain itu, sedang memutarkan kunci vannya dan mula berangkat ke destinasi yang dituju.
Beberapa jam kemudian, van telah diparkir bersebelahan di pondok yang beratapkan zink dengan bertiangkan dan berlantaikan kayu. Angin malam bertiup sayu melewati jendela pondok tersebut, menyapa sepi wajah Faezah. Seorang lelaki berpakaian kot dan bertali leher sedang memberi bungkusan, yang berisi wang, kepada dua penculik itu. Mata Faezah perlahan celik dan memandang di luar pondok itu. Sekilas terpandang kelibat lelaki itu, Faezah dapat mengecam siapa yang di sebalik berpakaian kot itu. Yang lain tidak lagi bukan, dia adalah Encik Rahman.
Dengan berusia Faezah yang sangat muda dan kurang matang, tidak terlintas di dalam pemikirannya untuk mengetahui tujuan sebenar yang diperlakukan oleh Encik Rahman itu. Di dalam kotak fikiran Faezah, dia ingin cuba sedaya upayanya untuk melepaskan dirinya daripada mangsa penculikan tersebut. Faezah sedang bertimpuh di lantai dengan tangan-tangannya diikat silang di belakang badannya. Kecil-kecil cili padi, Faezah terlihat ada cebisan kaca di bahagian kirinya. Faezah memanjangkan kaki kirinya untuk mengheret cebisan kaca itu ke arahnya. Setelah dicapai, Faezah menukar kedudukannya agar tangan-tangannya dapat mengapai cebisan kaca itu dari belakang. Kemudian, Faezah mengeser ikatan tali tersebut dengan kaca itu. Akibat pegangan yang kuat, titisan darah mengalir perlahan dari tapak tangannya.
Tali ikatan itu terputus. Faezah rasa gembira dan syukur berbunga di lubuk hatinya. Sementara itu, Encik Rahman dan konco-konconya sedang meraih kejayaan dengan gelakkan yang menyeramkan. Tanpa dikesan, Faezah melangkah seribu dari lubang kecil di belakang pondok tersebut.
Beberapa minit kemudian, salah seorang daripada konco-konco Encik Rahman itu masuk ke dalam pondok itu untuk memerhatikan Faezah. Sekilas pandang, tiada bayangan Faezah bertimpuh di situ. Lelaki itu merenungnya dengan seribu perasaan yang dia sendiri tidak mengerti lalu dia keluar dan memanggil Encik Rahman. Tangan keras kematu terangkat tinggi, melayang menampar pipi gebu lelaki itu. Nada syaitan Encik Rahman bersuara lagi dan memaksa konco-konconya mencari Faezah sampai dapat. Segugus debaran menggoncang dada mereka lalu konco-konconya berpecah bilah untuk mencari si perempuan bedebah itu.
Sudah jauh Faezah berlari. Kakinya tidak mahu berhenti. Di simpang jalan, kaki Faezah tersandung dari akar-akar kayu lalu dia punggur rebah dan terbaring di sana. Dengan tidak sengaja, Faezah pengsan di tengah jalan. Laluan jalan raya yang sunyi sepi. Dari kejauhan, hamparan rumput hijau dan rimbunnya pepohonan yang menjulang di sepanjang tepian jalan. Pemandangan jalan raya di simpang itu tidak pernah padam dan selalu berubah, mengundang mata untuk terus memandang dan terpanah akan keindahannya walaupun di waktu malam.
Mujurlah, seorang pasangan suami-isteri yang sedang memandu lalu untuk pulang dan melintas di jalan raya itu. Mereka berdua terserempak Faezah yang tergeletak di jalan tersebut lalu kereta mereka berhenti di situ. Puan Julia membuka pintu keretanya lalu dia melangkah ke luar untuk membantu Faezah. Encik Fauzan mengangkat Faezah lalu dia meletakkannya di duduk belakang kereta sambil memasangkan tali pinggang keledar. Kemudian mereka beralih ke tempat duduk depan kereta lalu memulakan perjalanannya pulang ke rumahnya.
Setibanya rumah mereka, Ziyyad, yang berumur 14 tahun ketika itu, menyambut kedatangan ibubapanya. Kehadiran Faezah membuatkan Ziyyad terpinga-pinga lalu dia bertanya.
“Siapakah perempuan ni Ayah?...” Ziyyad memandang raut wajah Faezah yang comel itu. Encik Fauzan meletakkan Faezah di atas sofa manakala Puan Julia masuk ke dalam dapur untuk mengambil semangkuk air suam serta tuala kecil.
“Ayah jumpa dia di simpang jalan tadi semasa kita dalam perjalanan nak pulang...” jelas Encik Fauzan sambil menyandar kepala Faezah dengan bantal.
Setelah Puan Julia meletakkan tuala basah ke dahi Faezah, mata Faezah mula celik dan cuba memandang jelas sekelilingnya. Lemah semangat Faezah apabila melihat tiga orang yang tidak dikenali berada di hadapannya. Perdu hati Faezah bagaikan bergayut dengan sebeban debaran lalu dia bergerak ke belakang berjauhan dari mereka.
Puan Julia melangkah perlahan untuk meyakinkan Faezah agar tidak terperanjat. Encik Fauzan memujuk Faezah untuk menceritakan apa yang berlaku terhadap dirinya agar dapat mereka sekeluarga boleh membantunya.
Pada awalnya, Faezah tidak mahu menerima bantuan mereka kerana dia tidak percaya pada orang yang tidak dikenali dan masih dalam ketakutan. Sentuhan hangat Puan Julia ke tangan Faezah dapat melegakan badannya yang menggigil itu. Namun, setelah mendengar penjelasan dari Encik Fauzan dan isterinya bahawa mereka ingin membantunya dan tidak akan menyakiti hatinya, Faezah merasa lapang di dada dan menerima tawaran mereka itu. Puan Julia menyuruh Ziyyad untuk membersihkan bilik kosong itu supaya Faezah boleh beradu di situ.
Sementara itu, Puan Julia sedang merawat luka di tangan Faezah. Ketakutan Faezah menghilang dengan perlahan dan kolam matanya berkaca lalu dia memeluk Puan Julia untuk melepaskan ketakutannya itu. Puan Julia dapat merasakan betapa peritnya penderitaan Faezah.
Setelah lama mencari Faezah, konco-konco Encik Rahman telah mengeluh dan nafas mereka tercungap-cungap keletihan. Oleh kecuaian mereka, Encik Rahman memaki hamun mengikut kehendaknya dan memberi tamparan yang kuat hinggap di pipi konco-konconya masing-masing.
Pada masa yang sama, setelah Datin Safiya dan Faiqah pulang dari klinik, dia melihat pintu depan rumahnya terbuka luas lalu dia masuk ke dalam untuk periksa rumahnya. Dengan Faiqah sedang didukung oleh Datin Safiya, dia berjalan dari depan hingga ke merata tempat. Muka Datin Safiya pucat lesi bagaikan ditoreh tiada berdarah apabila ternampak mayat Mak Edah terlantar di dapurnya. Dengan segera, dia bingkas ke bilik Faezah untuk memastikan anaknya di dalam keadaan terselamat.
Peluh di dahi Datin Safiya mengalir ke seluruh paras wajahnya mencari Faezah di mana-mana saja namun bayangan Faezah belum ditemui. Hati seorang ibu amat sukar difahami. Datin Safiya menelefon suaminya bahawa Faezah telah hilang. Gugur semangat Dato Saidun apabila mendengar berita buruk itu lalu dia mengambil keputusan untuk pulang dari luar kawasan dan bergegas ke rumahnya. Kehilangan anak menyebabkan fikirannya tidak tentu arah dan hatinya kurang selesa selagi jasad anak sulungnya tidak diketemui.
Sepuluh tahun kemudian.
Faezah telah dibesarkan oleh keluarga Ziyyad. Puan Julia mempunyai kemahiran mengurut dan dia mengajar kepada Faezah cara-cara mengurut secara tradisional. Malangnya, Encik Fauzan telah meninggal dunia akibat kelemahan jantung tahun lepas. Pemergian arwah bapa Ziyyad telah menjadikan diri Faezah serba salah. Meskipun begitu, Puan Julia tidak menyalahkan Faezah dan dia reda dengan segala tentuan dari-Nya.
Arwah Encik Fauzan berpesan kepada Ziyyad untuk menjaga Faezah dan memastikan keselamatannya terjamin. Kebaikan Ziyyad terhadap Faezah telah membuatkan dirinya terjatuh cinta kepada Ziyyad. Bukan perasaan Faezah saja yang bertaman indah, malah, hati Ziyyad terpikat dengan Faezah sejak pertama kali dia melihat wajah comelnya itu.
Sekarang.
Titisan air mata Faiqah mengalir tidak setanding dengan pengalaman pahit yang kakaknya telah dilalui sebelum ini. Bak pepatah orang dulu, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Setelah itu, mereka bersurai dan pergi ke bilik mereka masing-masing untuk merehatkan diri.
Share this novel