Lima bulan kemudian.
Suasana perkahwinan Zaim dan Rashinah sangat meriah dengan hiasan bunga-bunga yang cantik memukau hati. Pelbagai warna bunga dipilih dengan teliti dan diatur dengan rapi menghiasi pelamin yang bersinar dengan keindahan. Semua tetamu yang hadir teruja dan terpukau dengan kecantikan pelamin yang begitu megah itu.
Suara muzik yang merdu menambahkan lagi keceriaan suasana majlis perkahwinan tersebut. Para penari menari mengikut irama muzik yang menenangkan jiwa. Wajah-wajah para tetamu berseri-seri menikmati suasana yang penuh keceriaan dan kebahagiaan itu.
Ketika tibanya masa akad nikah, Faiqah, yang sedang mendodoi Wafiy, dan Azzahra terus menangis tersedu-sedu kerana terlalu berasa seperti di dalam syurga dunia. Mereka mengucap syukur kerana Rashinah kini menjadi ibu tiri Azzahra yang baharu. Hati Rashinah berdebar kencang dengan rasa gembira apabila melihat Zaim dan Faiqah. Dia juga berterima kasih kepada Faiqah kerana sudi menerimanya sebagai madu.
Setelah seluruh majlis selesai, suasana masih lagi penuh dengan keceriaan dan sorakan. Tetamu terus bergembira bersama dan merayakan kebahagiaan Zaim dan Rashinah yang kini sah sebagai suami isteri. Majlis perkahwinan yang meriah itu akan terus dikenang sepanjang hayat oleh mereka yang hadir dan menjadi saksi kebahagiaan Zaim dan Rashinah.
Dua bulan kemudian.
Menjadi sebagai kawan dan bermadu adalah dua perkara yang berbeza. Bak pepatah orang tua dulu, bermadu itu sangat pahit dan tiada wanita yang menginginkan berkongsi kasih dengan seorang suami.
Faiqah merasa ragu bertemu dengan Rashinah kerana perasaannya masih tidak pasti tentang perkahwinan Zaim dengan sahabat baiknya atas amanah Husayn, suami Rashinah yang telah meninggal dunia. Faiqah pada mulanya telah memberikan kebenaran, tetapi kemudian merasa tidak selesa kerana cemburu dan mungkin bimbang tentang kemungkinan Zaim mencintai Rashinah lebih daripada dirinya.
Rashinah juga sedang menyesuaikan diri sebagai isteri kedua kepada Zaim dan mempunyai anak dari arwah Husayn. Memandangkan Wafiy berusia kurang dari setahun, Zaim perlu membantu Rashinah menjaga Wafiy agar Wafiy berasa selesa dengannya. Apa yang bayi lihat di sekelilingnya, akan menjadi impak kepada dirinya. Jika seseorang itu selalu berada di samping bayi tersebut, maka gambaran wajah seseorang itu akan ditangkap ke dalam kotak pemikiran bayi tersebut. Begitu juga di dalam pemikiran Zaim. Zaim perlu melebihkan masanya untuk menjaga Rashinah agar dia tidak berasa tertekan dan selesa tinggal di rumah Zaim.
Faiqah merasa tersisih dan terpinggir kerana Zaim memberikan lebih banyak masa kepada Rashinah dan Wafiy daripada dirinya dan anak perempuannya, Azzahra. Perasaan cemburu dan kesal menyelubungi hati Faiqah yang tidak dapat meredakan rasa rindunya kepada Zaim. Dalam kepayahan hati yang sedang dilalui itu, Faiqah merasakan keresahan yang tidak dapat dipadamkan sehingga ia menimbulkan kegelisahan di dalam dirinya.
Suatu hari, ada pergaduhan antara Faiqah dengan Rashinah yang melahirkan ketidakpuasan hati yang terpendam dalam diri Faiqah. Faiqah terlepas kata-kata yang menyakitkan hati Rashinah dengan menyebutnya sebagai ‘Perampas’. Dalam detik-detik itu, perasaan yang bercampur-baur dirasai oleh Rashinah. Hati kecilnya terasa hancur dan sedih apabila terdengar kata 'Perampas' keluar dari mulut sahabat karibnya, Faiqah. Tangisan serupa air mata mutiara mengalir di pipinya apabila dia menyedari bahawa persahabatan antaranya dengan Faiqah tidak bermakna lagi.
Perasaannya menjadi kacau dan terganggu, tanpa disedari, dia terpaksa melarikan diri sambil membawa Wafiy bersamanya lalu meninggalkan Faiqah, Azzahra dan Zaim dengan hati yang patah dan terluka. Namun di dalam hatinya, masih ada perasaan terima kasih kepada Faiqah atas kesungguhannya membantunya dahulu.
Di dalam keadaan yang gelap gelita, Rashinah, yang mendukung Wafiy, keluar dari rumah Zaim dengan hati yang berat. Dia tahu bahawa dia perlu meninggalkan rumah itu secepat mungkin kerana dia tidak mahu anaknya dilayan seperti orang asing. Setelah berjalan beberapa saat, dia berhenti di tepi jalan dan mengangkat tangan untuk menahan teksi yang melintas di hadapannya.
Ketika teksi itu berhenti di depannya, Rashinah membuka pintu dan masuk ke dalam kabin. Dia memberitahu pemandu teksi untuk membawanya ke stesen bas terdekat kerana dia perlu pergi jauh dari sini. Walaupun malam semakin larut, Rashinah tidak memikirkan tentang keselamatannya dan hanya memikirkan bagaimana untuk menjauhkan diri dari Zaim dan Faiqah.
Ketika teksi itu meluncur keluar dari kawasan bandar, Rashinah merenung keluar tingkap dengan perasaan yang bercampur-baur. Dia bimbang dengan masa depannya dan masa depan anaknya yang masih dalam proses membesar. Walaupun dia tidak tahu apa yang akan terjadi selanjutnya, dia yakin bahawa dia perlu terus berusaha untuk melindungi dirinya dan anaknya daripada orang-orang yang mungkin akan menghukum mereka. Dalam keadaan yang sunyi dan gelap, Rashinah merenung langit malam dan berdoa agar segalanya akan berakhir dengan baik.
Rumah kampung itu terletak di tengah-tengah ladang kelapa sawit yang luas dan jauh dari kawasan perumahan. Sebaik sahaja tiba di sana, Rashinah membersihkan rumah tersebut dan menata semula barang-barang yang ada. Dia merasa lega dapat menemui tempat perlindungan yang aman dan merasa terlindung dari segala ancaman.
Walaupun rumah itu sudah lama ditinggalkan dan memerlukan beberapa penambahbaikan, Rashinah tetap bersyukur kerana dapat menemui tempat perlindungan yang lebih selamat untuk dirinya dan Wafiy. Dia berharap agar Zaim tidak terlalu risau dan memahami keadaannya. Namun, dia juga merasa sedih kerana terpaksa meninggalkan Zaim, Faiqah dan Azzahra, anak tirinya.
Setelah Rashinah menghilangkan diri bersama Wafiy, Zaim merasa kebingungan dan fikiran semakin buntu. Hatinya bergejolak dan dia tidak tahu harus berbuat apa. Zaim telah bertanya pada orang sekitar dan mengejar ke hulu ke hilir, namun tidak satu pun yang tahu tentang keberadaan Rashinah dan anak tirinya.
Setelah hampir tiga minggu mencari dan melakukan penyelidikan lebih lanjut, akhirnya, Zaim mendapatkan petunjuk bahawa Rashinah dan Wafiy berada di kampung kecil di pinggiran kota. Zaim segera memulakan perjalanan yang panjang untuk menemui Rashinah, menempuh jalan berkelok-kelok dan menyeberangi beberapa sungai kecil.
Dua jam kemudian, akhirnya Zaim tiba di kampung tersebut. Dia mengemudi di tengah kampung dengan hati yang berdebar, mencari keberadaan Rashinah. Setelah menanyakan kepada beberapa penduduk setempat. Kebahagiaannya belum ada perbandingan apabila Zaim menemukan rumah Rashinah yang terletak di hujung kampung.
Ketika Zaim tiba di rumah tersebut, dia memandang jauh Rashinah duduk di beranda rumah, berkaca-kaca linangan air jernih gugur dari sudut kelopak matanya lantas dia bersuara. Ketika itu, Wafiy sedang tidur lena di ruang tamu di atas tilam tipis semasa Rashinah keluar untuk mengambil angin sekejap.
“Shinah!...” Zaim terhenti seketika melihat jelas wajah Rashinah. Suara yang sering dikenali telah memanggil namanya, Rashinah terkedu-kedu sambil berpaling ke arah suara itu.
“Abang Zaim?....” Rashinah bingkas bangun dari beranda itu lalu dia melangkah ke arah suaminya. Tangisan mengalir ke pipi gebunya sambil mengukir segaris senyuman tipis. Zaim menyapanya dengan penuh kasih sayang.
“Abang mintak maaf... Shinah... kerana tidak berlaku adil... dengan Neera... sehingga dia terlepas kata kat Shinah...” Rashinah menutup bibir Zaim dengan jari telunjuknya.
“Abang... Abang tak salah pun... Iqah pun tak salah... Cuma dari awal Shinah dah kata... bermadu itu pahit...” jelas Rashinah.
“Abang faham... bermadu itu pahit.... tapi... kepahitan di dalam hati Abang sangat ketara... bila Neera dan Shinah pergi tinggalkan Abang...” tambah Zaim sambil merentangkan tangannya dan memegang kedua tangan Rashinah.
“Shinah... Shinah nak Abang lepaskan Shinah... sebelum perkara buruk akan berlaku...” Rashinah melepaskan pegangan itu lalu berpaling ke arah lain.
“Shinah... tunggu dulu... Abang faham kalau cinta Abang tidak setanding dengan cinta Shinah dan arwah Husayn.... tapi... Abang nak Shinah tahu... tidak sekelumit pun Abang tak pernah lupakan Shinah... Abang tak kisah kalau Shinah tak percaya... sebab Abang sedar... orang macam Abang ni tidak layak mendapat kebahagiaan....” Kata-kata Zaim memanah ke kalbu Rashinah.
“Tapi kebahagiaan Abang hanya untuk Iqah dan Zahra...” ujar Rashinah yang ringkas.
“Awak silap Shinah... kebahagiaan Abang bukanlah terletak kepada mereka saja... tapi kepada awak dan Wafiy juga...” kata Zaim sambil memegang bahu Rashinah.
“Apa Abang maksudkan ni?... Shinah baru saja masuk di dalam hidup Abang sekeluarga...” Berkerut di kepala Rashinah.
“Shinah... awak ingat tak 5 tahun dulu... semasa arwah Wafiy masih kecil dan comel dulu... sebelum Husayn muncul di dalam hidup awak... semasa Neera hilang dulu... Shinah pernah berkata yang Shinah sanggup menggantikan tempat Neera... untuk membesarkan Wafiy dulu... ingat tak?..” Zaim bertanya. Rashinah menoleh semula ke Zaim dengan curahan air matanya.
“Itu dulu!... masa itu Shinah memang ada perasaan kat Abang... tapi... sejak Abang menolak cinta Shinah... perasaan itu dah hilang!...” Rashinah menolak dada Zaim sambil melepaskan kemarahannya.
“Shinah tak rasa... kenapa kita masih ditakdirkan sebagai suami isteri?...” tanya Zaim yang mencurigakan.
“Apa?!... Abang nak cakap yang kita ni ada jodoh?... macam begitu?!” Rashinah perlu kepastian. Rashinah mengerling ke arah rumah itu.
“Mungkin ya... dan mungkin tidak... sebab kita tidak boleh menidakkan ketentuan Allah... Tolonglah... berikanlah Abang peluang kali ni saja... untuk menjadi seorang suami yang bertanggung jawab... dan adil untuk awak dan Neera... dan juga anak-anak kita...” Kata-kata Zaim itu seperti air yang telah dituangkan ke dalam kerak nasi. Hati Rashinah sekeras kerak nasi itu dapat dilembutkan dengan kata-kata tersebut.
“Maafkan Shinah... sebenarnya... sejak... Abang mengambil berat fasal Shinah dan Wafiy... perasaan Shinah berubah menjadi sayang... tapi Shinah masih menafikan perasaan itu sebab tak nak Iqah berasa cemburu...” luahan yang terpendam darinya. Zaim mengukir senyuman manis. Kemudian, Zaim mengiringi Rashinah ke hujung kawasan di mana Zaim parkir keretanya ke situ.
Manakala di rumah Zaim.
Sejak kehilangan Rashinah dan Wafiy, Faiqah berasa sangat kesal dengan kata-kata yang keluar dari mulutnya. Dalam hatinya, dia tahu bahawa Rashinah bukanlah perampas dan dia telah bertindak dengan tidak berfikir panjang. Tetapi, walaupun begitu, perasaannya yang terpendam dan cemburu terus menguasai dirinya.
Faiqah merasa malu dan kecewa dengan dirinya sendiri kerana telah melontarkan kata-kata yang tidak sepatutnya kepada sahabat baiknya. Dia merasa bimbang dan khuatir bahawa Rashinah mungkin akan marah dan tidak mahu lagi berkawan dengannya.
Dia cuba untuk menenangkan dirinya dan cuba mengambil nafas yang dalam. Namun, perasaan yang terpendam dalam dirinya masih belum dapat diatasi. Faiqah sedih dan kecewa dengan dirinya sendiri kerana tidak dapat mengawal emosinya.
Dia tahu bahawa dia perlu meminta maaf kepada Rashinah atas kata-kata yang telah keluar dari mulutnya. Namun begitu, dia tetap bimbang kalau kemaafannya tidak akan diterima dan hubungan persahabatan mereka akan terjejas.
Dalam hati, Faiqah berharap agar Rashinah dapat memahami perasaannya dan mengampuni kesalahan yang telah dilakukannya. Dia tahu bahawa persahabatan mereka telah melewati banyak dugaan dan cabaran, dan dia tidak mahu kehilangan sahabat baiknya hanya kerana perasaannya yang tidak dapat dikawal.
Zaim memandu kereta dengan hati yang berdebar-debar, dia akhirnya akan pulang ke rumah mereka di Kuala Lumpur bersama Rashinah dan Wafiy. Sekian lama mencari isteri keduanya itu, akhirnya, dia berjaya membawa Rashinah dan anak tirinya pulang ke rumahnya untuk memberikan tempat perlindungan yang aman.
Setelah tiga jam dalam perjalanan, Zaim dan Rashinah serta Wafiy tiba di rumah mereka yang berhampiran di Bandar Kuala Lumpur. Ketika memasuki ke dalam rumah, Zaim memanggil Faiqah untuk datang ke ruang tamu. Faiqah terkejut apabila melihat Rashinah, yang sedang mendukung Wafiy, muncul di hadapannya. Rashinah memberikan Wafiy kepada Zaim lalu dia mendekati Faiqah. Wajah Faiqah pucat dan matanya berkaca-kaca, seolah-olah tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Hati yang riang bercampuran hiba, Faiqah menangis sambil memeluk Rashinah dengan erat. Dia merasakan lega dan gembira kerana Rashinah dan Wafiy akhirnya kembali dengan selamat.
"Shinah... Aku nak mintak maaf kerana menuduh kau sebagai ‘perampas’ walaupun sebenarnya aku sendiri yang mengizinkan Abang Zaim untuk berkahwin dengan kau... Aku berharap kita semua dapat hidup dalam keadaan aman dan damai... Aku janji... aku akan jaga Wafiy macam anak aku sendiri..." Setulus kata dari hati Faiqah sambil menundukkan kepalanya. Rashinah mengangkat kepalanya dan tersenyum padanya.
“Iqah... aku dah lama maafkan kau... aku pun nak mintak maaf juga kat kau kalau kehadiran aku muncul ke dalam hidup Abang Zaim telah membuatkan kau kurang selesa... Maafkan aku ya...” jelas Rashinah dengan nada yang lembut.
“Aku tahu... aku bukan isteri sempurna... tapi kita boleh cuba menyesuaikan diri... Aku sedar... selama ini aku ingin Abang Zaim untuk aku saja... setelah 5 tahun berpisah... tetapi... kau adalah kawan baik aku dan kau selalu ada bersama aku di waktu senang mahupun susah... Jadi... aku harap sangat-sangat... kau boleh maafkan aku...” air mata Faiqah terusan mengalir. Tanpa berfikir panjang, Rashinah memeluk Faiqah dengan erat.
Sukacita yang mengalir meluap-luap terhadap diri Zaim. Kegembiraan yang menyelubungi ruangan. Lapang dada Zaim memandang kedua wanita yang amat terpenting dalam hidupnya telah mendapat kedamaian yang membawa ketenteraman. Ketenangan yang meresap dalam jiwa Rashinah lalu dia mengucapkan terima kasih kepada Faiqah kerana sudi menerimanya sebagai madu.
Seminggu kemudian.
Warna senja mulai memamah suasana. Keindahan malam yang mempesona. Keluarga Zaim dan Rashinah mengadakan majlis jamuan makan malam untuk menyambut majlis cukur rambut untuk Wafiy. Terpancar sinar bahagia dari wajah Faiqah dan Azzahra sambil menyambut tetamu. Faezah dan Ziyyad turut menyertai majlis tersebut.
Suasana majlis cukur rambut anak Rashinah, yang hampir setahun, begitu meriah dan penuh kegembiraan. Rumah Zaim dihiasi dengan warna-warni kain pelikat dan bunga rampai yang semerbak harumnya. Keluarga dan sahabat handai Rashinah dan Zaim berkumpul untuk menyambut kelahiran anak yang baru saja dilahirkan itu. Terdapat pelbagai hidangan lazat seperti nasi minyak, ayam masak merah, daging masak hitam dan banyak lagi hidangan yang lain.
Sesekali terdengar gelak tawa dan tepukan gemuruh di dalam rumah ketika bayi itu disediakan untuk dicukur rambutnya. Suasana menjadi semakin meriah apabila Wafiy tampak comel dengan potongan rambut yang baharu. Para tetamu yang hadir turut memberikan hadiah dan ucapan selamat kepada Rashinah dan Zaim.
Bayi yang comel itu dijadikan tumpuan semua orang, dan semuanya turut merasai kebahagiaan yang terpancar dalam wajah Zaim dan Rashinah. Faiqah tumpang bergembira melihat kawan baik merangkap madunya bahagia. Azzahra pula tidak puas-puas asyik mencubit pipi gebu adik tirinya. Majlis cukur rambut anak Rashinah berakhir dengan penuh keceriaan, dan semua orang berharap anak itu akan tumbuh menjadi anak yang sihat, cerdas dan berjaya dalam hidupnya.
“Hidup ini penuh dengan keajaiban. Siapa sangka lelaki tempang seperti aku mempunyai dua isteri yang baik hati. Aku bersyukur ke hadrat Ilahi kerana memberi aku peluang untuk menikmati kebahagiaanku. Setelah beribu sengsara yang aku lalui, aku kini yakin dengan kehadiran Neera dan Shinah di dalam hidupku, aku mampu menghilangkan segala sengsara itu. Terima kasih Neera, Shinah... sebab sudi menerima Abang seadanya... Abang janji... Abang akan menjadi suami yang adil kepada awak berdua... dan juga bapa yang penyayang kepada anak-anak kita...” bisik hati Zaim sambil memberikan senyumannya yang tulus memberikan kehangatan dalam hati setiap orang.
Tamat
Diubah jalan cerita
Share this novel