Dua hari telah berlalu dengan begitu pantas. Hari yang paling Scha takutkan akhirnya tiba, hari di mana Fauzan perlu pulang ke Malaysia.
Di hadapan pintu bilik hotelnya, Fauzan berdiri dengan bagasi kecil di sisi. Scha hanya mampu memandangnya dengan perasaan berat.
Scha: "Abang dah nak pergi..."
Fauzan mengukir senyuman kecil, walaupun hatinya sendiri berat untuk meninggalkan Scha.
Fauzan: "Hm, dah sampai masanya. Tapi jangan sedih, sayang. Nanti bila ada cuti panjang lagi, abang datang sini, macam biasa."
Scha menunduk, cuba menyembunyikan matanya yang mula berkaca.
Scha: "Abang tak penat ke ulang-alik macam ni?"
Fauzan mengangkat dagu Scha perlahan, memaksanya menatap wajahnya.
Fauzan: "Sayang... abang sanggup buat apa saja demi kita. Selagi kat hati sayang ada abang, selagi tu lah abang akan tetap tunggu sayang."
Scha menggigit bibir, hatinya makin sebak.
Scha: "Tapi sampai bila, bang? sayang takut… takut kalau suatu hari nanti abang penat tunggu."
Fauzan tersenyum, lalu menarik Scha ke dalam pelukan hangatnya.
Scha akhirnya tak mampu menahan air matanya daripada jatuh. Dia membalas pelukan Fauzan erat, seolah-olah tak mahu melepaskannya.
Scha: "Abang jangan lupa sayang, tau?"
Fauzan ketawa kecil sambil mengusap rambut Scha.
Fauzan: "Mana boleh abang lupa orang yang abang paling sayang?"
Beberapa minit kemudian, Fauzan melangkah pergi, meninggalkan Scha yang masih berdiri di situ dengan hati yang penuh dengan rasa rindu. Walaupun mereka baru sahaja berpisah.
• • • • • •
Scha termenung di mejanya, merenung skrin komputer tanpa fokus. Hatinya terasa berat. Fikirannya masih melayang mengenangkan Fauzan yang kini jauh di Malaysia.
"Perlu ke aku teruskan hubungan ni? Sedangkan Fauzan terluka dekat sana… Dia patut dapat wanita yang selalu ada di sisi dia, bukan aku."
Scha menghela nafas panjang. Sejak Fauzan pulang ke Malaysia, hatinya sering dilanda resah. Dia tahu lelaki itu cuba bertahan, cuba meyakinkan dirinya sendiri bahawa hubungan mereka akan tetap utuh. Tapi sampai bila?
"Aku takut… Takut kalau satu hari nanti dia penat menunggu. Takut kalau akhirnya aku yang akan jadi punca dia kecewa."
Matanya terasa panas, tetapi dia cuba menahan air mata daripada mengalir. Bekerja di negara asing bukan sesuatu yang mudah, dan dalam kesibukan itu, dia sedar bahawa dia sudah mula terbiasa tanpa Fauzan di sisi.
"Mungkin aku yang sebenarnya lebih selesa macam ni? Mungkin aku yang lebih senang bila tiada sesiapa untuk bergantung?"
Scha memejamkan mata seketika, cuba menenangkan fikiran. Namun, semakin dia cuba melawan perasaan itu, semakin hatinya dipenuhi persoalan. Adakah dia benar-benar masih mahu meneruskan hubungan ini? Atau adakah dia hanya berpegang pada sesuatu yang sudah mula pudar?
Scha berkata lagi di dalam hati, "Aku tak nak Fauzan rasa terbeban dengan hubungan ni… Aku tahu dia sanggup buat apa saja untuk aku, tapi sampai bila? Aku takut dia hanya bertahan sebab dia tak nak aku kecewa. Bukan sebab dia betul-betul yakin dengan hubungan ni."
Dia menggigit bibir, cuba menahan sebak yang semakin menghimpit dada. Bayangan wajah Fauzan muncul dalam fikirannya. Senyumannya, caranya memandang Scha, suaranya yang selalu menenangkan.
"Kalau aku lepaskan dia, mungkin itu yang terbaik untuk dia. Aku tak nak dia terseksa dengan jarak ni. Aku tak nak jadi penyebab dia tak bahagia."
Scha menghela nafas perlahan, cuba mencari kekuatan dalam keputusan yang mula berputik di hatinya. Adakah dia benar-benar sanggup mengorbankan perasaan mereka demi kebahagiaan Fauzan?
• • • • • •
Setelah Fauzan tiba di Malaysia, hatinya terasa tidak tenang. Sejak dari lapangan terbang lagi, dia sudah berkali-kali cuba menghubungi Scha, tetapi panggilannya tidak dijawab.
Fauzan menghela nafas berat, melihat skrin telefon yang masih menunjukkan panggilan tidak berjawab. Dia mencuba sekali lagi.
Tuut… tuut…
Masih tiada jawapan.
Dahulu, Scha selalu menanti panggilannya. Walaupun sibuk dengan kerja di Korea, Scha pasti akan meluangkan masa untuk berbual dengannya, walau sekejap. Tapi kali ini… lain benar rasanya.
"Kenapa sayang diam? Ada sesuatu yang dia sembunyikan daripada aku ke?" Fauzan bermonolog sendiri, perasaan resah mula menjalar dalam dadanya.
Dia menghantar mesej, “Sayang, kenapa diam? Abang baru sampai Malaysia. Call abang bila free, ya?”
Namun, sejam berlalu… dua jam… masih tiada balasan daripada Scha.
Perasaan cemas semakin kuat. Adakah sesuatu telah berlaku? Atau… adakah Scha sedang cuba menjauhkan diri daripadanya?
Scha menggenggam telefonnya erat. Ruang mesejnya penuh dengan pesanan daripada Fauzan.
"Sayang, kenapa diam?"
"Abang rindu."
"Sayang, abang dah sampai Malaysia. Call abang bila free, ya?"
"Kenapa tak jawab call abang?"
"Sayang okay ke?"
Setiap kali mesej baru masuk, hatinya semakin sesak. Dia menatap skrin telefon dengan perasaan bercampur-baur. Rasa bersalah, sedih, dan keliru menghantui dirinya.
Tangannya hampir menekan ikon panggilan, tetapi dia cepat-cepat menarik kembali. Air matanya bergenang.
"Maafkan sayang, abang… sayang tak nak abang terseksa dengan hubungan jarak jauh ni. Abang patut bahagia dengan seseorang yang sentiasa ada di sisi abang… bukan dengan sayang."
Scha meletakkan telefon ke sisi dan menarik nafas panjang. Dia perlu kuat, dia perlu buat keputusan. Dan kali ini dia tidak boleh berpaling lagi.
• • • • • •
Fauzan yang baru melangkah masuk ke pejabat hanya diam. Wajahnya tegang, jelas menunjukkan dia tidak dalam mood yang baik.
Seorang staf menegurnya dengan nada bergurau, "Hei Fauzan, kenapa muka ketat je hari ni? Bergaduh dengan girlfriend ke?"
Fauzan hanya menghela nafas perlahan, cuba mengawal emosinya. Dia tidak mahu orang lain tahu apa yang sedang bermain di fikirannya. Scha masih menghilang tanpa sebarang berita.
Seorang lagi staf menyampuk "Selalunya pagi-pagi kau happy je, ni kenapa monyok semacam?"
Fauzan memandang mereka sekilas sebelum menjawab pendek, "Tak ada apa, cuma penat sikit."
Dia terus berjalan ke ruang kerjanya, duduk di kerusi dan menyandarkan badan. Telefon di tangannya digenggam erat, masih tiada balasan daripada Scha.
"Kenapa sayang buat abang macam ni? Kalau abang ada buat salah, bagitahu abang."
Fauzan mengeluh berat. Dia tidak boleh berdiam diri lagi. Scha perlu memberi jawapan.
Fauzan mengetap bibirnya. Tangannya menggenggam telefon erat, jari laju menekan butang panggilan sekali lagi. Bunyi deringan di hujung talian membuatkan hatinya semakin gelisah. Namun, seperti sebelumnya masih tiada jawapan.
Dia menekan butang panggil lagi, kali ini lebih lama. Harapannya cuma satu, Scha menjawab dan memberi penjelasan. Tetapi tetap sama, panggilannya dibiarkan sepi.
Matanya beralih ke ruang mesej “Seen.”
Scha sudah membaca mesejnya, tetapi langsung tidak membalas.
Fauzan menghempas telefon ke meja, kepalanya bersandar ke belakang sambil memejamkan mata. Dadanya terasa sesak. “Apa salah abang, sayang? Kenapa tiba-tiba macam ni?”
Dia menggenggam rambutnya sendiri, cuba menenangkan diri. Tetapi semakin dia memikirkan Scha yang menjauh, semakin hatinya terasa sakit.
• • • • • •
Dua tahun telah berlalu, tetapi perasaan Fauzan terhadap Scha masih sama. Dia masih tidak dapat melupakan wanita itu, masih tertanya-tanya mengapa Scha tiba-tiba berubah.
Fauzan tidak pernah mendapat jawapan. Setiap mesejnya tidak pernah dibalas, panggilannya tidak pernah dijawab. Scha seolah-olah mahu memutuskan hubungan dengannya.
Namun, hari ini adalah hari yang ditunggunya sejak tiga bulan lalu. Tiket ke Korea yang telah ditempahnya akhirnya akan digunakan. Dia mahu mencari jawapan. Dia mahu melihat sendiri keadaan Scha. Jika ada sesuatu yang tidak kena, dia tidak akan membiarkan Scha menanggungnya seorang diri.
Sambil menarik nafas panjang, Fauzan melangkah masuk ke lapangan terbang. Ini bukan sekadar perjalanan biasa, ini adalah perjalanan untuk mendapatkan kembali seseorang yang sangat berharga dalam hidupnya.
Setibanya di Korea, Fauzan menghela nafas panjang sambil memandang ke luar tingkap pesawat. Setelah sekian lama, akhirnya dia kembali ke sini. Bukan untuk bercuti, tetapi untuk mencari jawapan. Kenapa Scha tiba-tiba berubah? Kenapa Scha menjauh darinya tanpa sebarang penjelasan?
Dia mengambil bagasi dan segera menaiki teksi menuju ke hotel tempat Scha tinggal, berdasarkan alamat yang masih disimpannya sejak kali terakhir mereka bercakap dua tahun lalu. Sepanjang perjalanan, hatinya dipenuhi seribu satu persoalan.
Setibanya di hadapan hotel, Fauzan turun dari teksi dan mendongak memandang bangunan tinggi itu. Tangannya menggenggam erat pemegang bagasi. Langkahnya perlahan tetapi penuh tekad menuju ke lif, menekan butang ke tingkat bilik Scha. Setiap bunyi ‘ding’ lif membuatkan dadanya semakin berdebar.
Sampai di hadapan pintu bilik Scha, Fauzan menarik nafas dalam. Dengan penuh debaran, dia menekan loceng.
Beberapa saat berlalu. Tidak lama kemudian, pintu itu perlahan-lahan terbuka.
Scha berdiri di hadapannya, wajahnya penuh kejutan. Mata mereka bertaut, tetapi Scha tidak bersuara.
Fauzan memandang Scha lama sebelum akhirnya berkata, suaranya serak, "Sayang..."
Scha memandang Fauzan dengan wajah penuh tanda tanya. "Macam mana awak boleh ada kat sini?"
Fauzan tersentak. Hatinya terasa perit mendengar Scha memanggilnya dengan "awak" dan bukannya "abang" seperti dulu. Wajahnya berubah, tetapi dia cuba mengawal emosinya.
"Abang datang sebab abang risaukan sayang" jawab Fauzan perlahan. "Dua tahun, sayang… dua tahun abang tunggu, abang tertanya-tanya kenapa sayang tiba-tiba hilang macam tu. Abang tak dapat jawapan dari sayang, jadi abang datang sendiri."
Scha mengeluh perlahan, mengelak daripada bertentang mata dengan Fauzan. "Saya… sibuk dengan kerja."
Fauzan tersenyum hambar, namun matanya penuh dengan kekecewaan. "Sibuk sampai tak boleh jawab call? Sampai tak boleh balas satu pun mesej abang?"
Scha menundukkan wajah. "Saya minta maaf, Fauzan..."
Fauzan menarik nafas dalam, cuba mengawal perasaannya yang bercampur-baur. "Sayang... sayang ada masalah ke? kalau ada masalah, share dengan abang. Jangan pendam sorang-sorang."
Scha menggigit bibirnya. Tangannya mengepal di sisi. "Saya tak tahu nak cakap apa."
Scha menarik tangannya perlahan, tetapi Fauzan menggenggamnya dengan lembut, seolah-olah takut untuk melepaskannya lagi.
"Cuba cerita kat abang, sayang" Fauzan merayu, matanya penuh dengan harapan.
Scha menarik nafas dalam, cuba mencari kekuatan untuk berkata sesuatu yang telah lama dipendamnya. "Fauzan… hubungan ni… kita tak boleh teruskan lagi."
Dahi Fauzan berkerut. "Apa maksud sayang?"
Scha mengeluh perlahan, matanya berkaca. "Saya tak nak awak terbeban dengan hubungan jarak jauh ni. Bukan setahun dua, Fauzan… lima tahun! Saya tak nak awak tunggu saya selama tu. Saya tak nak awak terseksa."
Fauzan menggeleng, mencengkam tangan Scha lebih erat. "Tapi sayang… abang tak rasa terbeban pun. Abang sanggup tunggu. Asalkan abang tahu sayang masih cintakan abang."
Scha memejam matanya seketika sebelum bersuara, suaranya sedikit bergetar. "Itulah masalahnya. Saya takut awak akan menyesal nanti. Saya tak nak jadi penghalang dalam hidup awak. Awak berhak untuk bahagia dengan seseorang yang selalu ada di sisi awak."
Fauzan tersentak. Hatinya terasa perit mendengar kata-kata itu. "Jadi, selama ni sayang fikir abang akan lebih bahagia kalau sayang pergi?"
Scha mengangguk perlahan, air mata akhirnya jatuh ke pipinya. "Saya minta maaf, Fauzan. Saya dah buat keputusan."
Fauzan mengetap bibir, matanya merah menahan emosi. Dia tidak dapat menerima apa yang Scha katakan.
"Tidak." suaranya tegas, penuh dengan keteguhan. "Abang takkan lepaskan sayang, sebab sayang hanya untuk abang."
Scha terkejut dengan kata-kata Fauzan. "Fauzan, tolonglah faham. Saya buat ni untuk kebaikan kita berdua."
Fauzan menggeleng keras. "Kebaikan apa, sayang? Kebaikan yang buat abang menderita? Yang buat abang tertanya-tanya apa salah abang sampai sayang buang abang macam ni?"
Air mata Scha semakin laju mengalir. "Saya tak buang awak, Fauzan. Saya cuma tak nak awak terbeban…"
"Terbeban?" Fauzan tertawa kecil, tetapi tawanya penuh kepedihan. "Sayang, abang tak pernah rasa hubungan ni satu beban. Abang sanggup tunggu. Abang sanggup datang ke sini sebab abang tak boleh hidup tanpa sayang!"
Share this novel