Keesokan paginya, di rumah Scha, suasana masih sunyi. Matahari baru sahaja muncul di ufuk timur, memancarkan cahaya lembut yang masuk melalui tingkap bilik tamu. Scha melangkah perlahan ke arah Fauzan yang masih lena di atas sofa.
Dia tersenyum kecil melihat wajah Fauzan yang tenang dalam tidurnya. Namun, masa sudah semakin suntuk. Mereka perlu bersiap untuk ke pejabat. Dengan perlahan, Scha duduk di tepi sofa dan menggoyangkan bahu Fauzan.
"Abang, bangun. Dah pagi ni," panggilnya dengan suara lembut.
Fauzan hanya menggumam perlahan sebelum berpaling ke sisi lain. Scha tersenyum sambil menggeleng.
"Abang, kita kerja hari ni. Bangunlah" Scha cuba lagi, kali ini suaranya sedikit manja.
Fauzan membuka sedikit matanya dan melihat Scha yang sedang tersenyum di hadapannya. Dia mengerutkan dahi sebelum menguap kecil.
"Sayang dah siap ke?" Fauzan bertanya dengan suara serak pagi.
Scha mengangguk. "Sayang dah siap lama dah, sekarang tunggu abang je."
Fauzan akhirnya duduk tegak dan menggosok-gosok matanya. "Okay, abang pergi mandi dulu."
Scha tersenyum puas. "Cepat tau, jangan lama."
Fauzan hanya tersenyum sambil menggeleng sebelum melangkah masuk ke bilik air. Scha tersenyum sendiri, hatinya terasa hangat. Hubungan mereka kini jauh berbeza dari sebelumnya, lebih erat dan lebih bermakna.
Setelah mereka berdua bersiap, Scha dan Fauzan keluar dari rumah bersama, bersedia untuk memulakan hari baru di pejabat. Namun, di fikiran Scha, dia tidak dapat mengelak dari tertanya-tanya. Apakah Encik Akmal akan muncul lagi hari ini?
• • • • • •
Setelah sampai di pejabat, Scha dan Fauzan melangkah masuk ke dalam bangunan bersama. Mereka menuju ke lif sambil berbual ringan tentang pagi mereka. Sebaik sahaja pintu lif terbuka, mereka masuk dan berdiri bersebelahan.
Fauzan secara perlahan menggenggam tangan Scha, membuatkan Scha menoleh dan tersenyum kecil.
"Abang berani betul pegang tangan sayang dalam lif ni." usik Scha dengan nada perlahan.
Fauzan tersenyum. "Tak ada orang lain dalam lif ni, jadi abang nak ambil kesempatan sikit."
Scha ketawa kecil. "Kalau ada orang masuk nanti, cepat-cepat lepas tangan tau. Nanti kantoi pula."
Fauzan mengangguk sambil tersenyum. "Baik, sayang."
Scha hanya tersenyum manja sambil mengeratkan genggaman mereka. Hatinya berbunga-bunga dengan perhatian yang diberikan oleh Fauzan. Dalam diam, dia bersyukur kerana akhirnya menemui seseorang yang benar-benar mencintainya dengan tulus.
Sebaik sahaja lif sampai ke tingkat mereka, Fauzan melepaskan tangan Scha dengan perlahan sebelum pintu terbuka. Mereka melangkah keluar, bersiap sedia untuk memulakan hari kerja. Namun, Scha sempat mencuri pandang ke arah Fauzan, merasa semakin yakin dengan perasaannya.
Sebaik sahaja Scha dan Fauzan melangkah masuk ke pejabat, suasana yang pada mulanya riuh rendah tiba-tiba bertukar sunyi. Semua staf terkejut melihat keadaan Fauzan, wajahnya lebam di bahagian pipi dan ada kesan luka kecil di hujung bibirnya.
"Fauzan! Ya Allah, kenapa muka kau macam tu?" tanya salah seorang staf dengan penuh kehairanan.
"Eh, kau kena pukul ke semalam?" sampuk staf lain, semakin ingin tahu.
Scha yang berdiri tidak jauh dari Fauzan hanya menundukkan kepala, cuba berlagak biasa.
Fauzan tersenyum kecil, cuba meredakan suasana. "Tak ada apa-apalah, cuma... jatuh tersadung masa balik semalam" katanya sambil menggaru kepala, jelas cuba mengelak daripada menceritakan perkara sebenar.
Namun, staf-staf lain tidak mudah percaya. "Jatuh? Jatuh kat mana sampai lebam macam ni?"
"Fauzan, kau gaduh dengan siapa semalam?" seorang staf lain bertanya, cuba mengorek cerita sebenar.
Scha terus bersuara, nadanya sedikit tegas. "Dah lah, jangan banyak tanya. Dah dia kata jatuh, jatuhlah."
Staf lain berpandangan sesama sendiri, masih tidak berpuas hati tetapi tidak mahu mendesak lebih jauh.
Di sudut lain pejabat, Encik Akmal yang baru tiba hanya memandang Fauzan dari jauh. Riak wajahnya sukar untuk ditafsirkan, ada rasa tidak puas hati, marah dan cemburu yang bercampur menjadi satu.
Seorang staf membisik perlahan kepada rakannya, matanya mencuri pandang ke arah Encik Akmal yang baru masuk ke pejabat.
"Tadi aku nampak muka Encik Akmal pun teruk jugak, lebam dekat pipi. Entah-entah dia dengan Fauzan bergaduh?"
Rakannya tersentak seketika, kemudian turut mencuri pandang ke arah Encik Akmal yang jelas kelihatan tidak seperti biasa. Wajahnya tegang, ada kesan lebam di rahang dan cara dia berjalan juga sedikit berbeza, seolah-olah menahan sakit.
"Kau rasa diorang gaduh sebab apa?" tanya seorang lagi staf yang mula menyedari keadaan itu.
"Entahlah, tapi aku rasa macam… mesti sebab Scha."
Mereka terus berbisik sesama sendiri, cuba menyusun kepingan teka-teki yang semakin menarik perhatian. Scha dan Fauzan berpura-pura tidak mendengar apa-apa, tetapi hati masing-masing sudah dapat mengagak perkara ini pasti akan menjadi perbualan hangat di pejabat.
Encik Akmal pula hanya diam dan berlalu masuk ke biliknya tanpa menoleh ke arah sesiapa. Namun, sebelum dia menutup pintu, sempat matanya bertemu dengan mata Fauzan, seolah-olah memberi amaran bahawa perkara ini belum berakhir.
Tiba waktu lunch, suasana pejabat agak sibuk dengan staf yang mula bersiap untuk keluar makan. Fauzan memberanikan diri mendekati Scha, memastikan tiada sesiapa yang terlalu dekat untuk mendengar perbualan mereka.
"Senior, kita keluar makan sekali?" katanya dengan nada santai, mengekalkan watak 'junior' seperti biasa agar tidak menimbulkan syak wasangka.
Scha tersenyum kecil, memahami permainan mereka. "Boleh je, nak makan kat mana?"
Fauzan berpura-pura berfikir sejenak. "Senior pilihlah, saya ikut je."
Scha mengangguk. "Okay, jom!"
Scha dan Fauzan merupakan orang terakhir yang keluar untuk makan tengah hari. Ketika mereka melangkah ke arah pintu, tiba-tiba terdengar bunyi tepukan tangan bergema di dalam pejabat yang sudah mulai lengang.
"Wah, wah, wah… menarik betul," suara sinis Encik Akmal kedengaran.
Scha dan Fauzan berpaling, melihat Encik Akmal berdiri dengan senyuman mengejek, tangan masih bertepuk seakan-akan menyindir.
"Tak sangka junior dan senior begitu rapat sekarang. Ke… sebenarnya ada sesuatu yang saya tak tahu?" Encik Akmal menyilangkan tangan di dada, memandang mereka berdua dengan tajam.
Scha menggenggam erat tangannya sendiri, cuba mengawal perasaan. "Encik Akmal, kalau tak ada apa-apa, kami nak keluar makan."
Fauzan pula hanya diam, matanya tajam memandang Encik Akmal, seakan bersedia jika lelaki itu ingin menimbulkan masalah lagi.
Encik Akmal menyeringai. "Oh, silakan… tapi hati-hati Scha. Ada orang sanggup buat apa saja untuk ambil kesempatan."
Scha mengetap bibir, tapi sebelum dia sempat menjawab, Fauzan selamba berkata, "Jangan risau, saya akan jaga sayang saya ni dengan baik."
Scha terkedu, begitu juga Encik Akmal.
Fauzan tersenyum sinis sebelum menarik lembut tangan Scha untuk berlalu pergi, meninggalkan Encik Akmal yang tergamam di belakang mereka.
Scha dan Fauzan terus melangkah keluar tanpa menoleh ke belakang, tetapi suara sinis Encik Akmal masih bergema di telinga mereka.
"Korang ingat selamanya akan bahagia ke?" Encik Akmal berkata dengan nada penuh sindiran.
Langkah Scha terhenti seketika, tapi Fauzan segera menggenggam tangannya dengan erat, memberi isyarat agar dia tidak terpengaruh dengan kata-kata itu.
Tanpa berpaling, Fauzan hanya tersenyum sinis dan menjawab, "Bahagia atau tidak, itu bukan urusan awak. Tapi saya janji, saya takkan buat Scha menangis macam mana awak buat dulu."
Scha menoleh sedikit ke arah Encik Akmal, matanya penuh keyakinan. "Saya dah pilih siapa yang lebih layak untuk saya."
Encik Akmal terkedu, genggaman tangannya di sisi mengetat. Matanya hanya mampu melihat Scha dan Fauzan melangkah keluar bersama tanpa sedikit pun menoleh ke belakang.
• • • • • •
Scha dan Fauzan sedang menikmati makan tengah hari mereka di sebuah kafe yang agak jauh dari pejabat. Scha kelihatan lebih ceria, mungkin kerana buat pertama kalinya sejak sekian lama, dia dapat menikmati saat bahagia bersama lelaki yang benar-benar mencintainya.
Namun, suasana itu tiba-tiba berubah apabila seorang wanita cantik dengan rambut panjang beralun dan penampilan yang anggun datang menghampiri meja mereka.
"Fauzan, you kenal i lagi tak?"
Fauzan yang sedang menyuap makanan tiba-tiba terhenti. Matanya membulat memandang wanita di hadapannya. "Sophea?"
Scha sedikit tersentak melihat reaksi Fauzan. Ada nada terkejut dan mungkin... nostalgia?
"Ya Allah, dah lama gila kita tak jumpa! Macam tak percaya boleh terserempak kat sini" kata Sophea dengan nada teruja, seolah-olah mereka mempunyai sejarah yang panjang.
Scha diam, hanya memerhati. Hatinya mula berasa kurang senang.
"Err... ya, lama tak jumpa," Fauzan menjawab, suaranya sedikit bergetar.
Sophea kemudian tersenyum manis sebelum memandang Scha. "Oh, ni girlfriend you ke?" tanyanya dengan penuh minat.
Scha cuba mengukir senyum walaupun ada perasaan tak selesa di hatinya. "Saya Scha... dan ya, saya teman wanita Fauzan."
Sophea tersenyum lagi, kali ini dengan ekspresi yang sukar dibaca. "Oh... bestnya. Anyway, Fauzan, lepas ni free tak? Kita boleh borak kejap, banyak benda i nak catch up dengan you."
Fauzan serba salah. Dia memandang Scha, seolah-olah meminta izin. Tapi sebelum dia sempat bersuara, Scha sudah menyampuk.
"Maaf, Fauzan busy. Lagipun, kami tengah lunch date. Kalau awak nak ‘catch up’, mungkin lain kali."
Nada Scha kedengaran tenang, tapi ada sedikit ketegasan. Fauzan terkejut dengan jawapan Scha, manakala Sophea hanya tersenyum tipis sebelum mengangkat bahu.
"Alright then, Fauzan. Kalau ada masa, call i okay?" katanya sambil melangkah pergi.
Scha menarik nafas panjang dan kembali menatap pinggan di hadapannya.
"Sayang..." Fauzan cuba bersuara, tapi Scha hanya tersenyum kecil.
"Abang ada ramai peminat rupanya" katanya bersahaja.
Fauzan menghela nafas. Dia tahu Scha cemburu, tapi dia juga tahu satu perkara yang kehadiran Sophea mungkin akan membawa sesuatu yang tidak diduga dalam hubungan mereka.
• • • • • •
Masuk saja Fauzan ke ruang kerjanya, dia langsung menarik nafas lega selepas insiden di kafe tadi. Namun, ketenangannya tidak bertahan lama.
"Fauzan!"
Satu suara garau bergema di belakangnya. Fauzan tidak sempat berpaling apabila satu tumbukan keras hinggap di pipinya.
"BAM!"
Fauzan terdorong ke belakang, hampir terjatuh. Seluruh pejabat terkejut. Beberapa staf menjerit kecil, ada yang terus bangun dari tempat duduk mereka.
"Encik Akmal! Apa ni?!" Fauzan bersuara, menahan sakit di rahangnya.
Encik Akmal berdiri tegak, wajahnya merah padam menahan marah. Nafasnya turun naik.
"Kau ingat kau boleh rampas Scha daripada aku sesuka hati?!"
Fauzan menyapu darah yang mula mengalir di sudut bibirnya. Matanya tajam menatap lelaki di hadapannya.
"Scha bukan barang untuk aku rampas. Dia tinggalkan kau sebab kau curang! Kau nak salahkan siapa sekarang?"
Kata-kata Fauzan itu seperti minyak yang disiram ke api. Encik Akmal ingin menumbuk lagi, tetapi kali ini Fauzan sempat menahan. Mereka berdua saling bertentangan, menunggu siapa yang akan bergerak dahulu.
Scha yang baru masuk ke ruang pejabat terkejut melihat kekecohan itu.
"Abang!" Scha terus berlari mendapatkan Fauzan.
Melihat Scha memegang lengan Fauzan dengan penuh risau, Encik Akmal semakin marah.
"Kau pilih dia, Scha? Kau pilih budak hingusan ni daripada aku?"
Scha menarik nafas dalam, lalu berkata dengan tegas, "Saya pilih lelaki yang benar-benar mencintai saya. Dan itu bukan awak, Encik Akmal."
Encik Akmal mengepal penumbuknya, tetapi kali ini dia hanya memandang Fauzan dengan pandangan penuh kebencian sebelum berlalu pergi.
Pejabat kembali sunyi. Semua mata masih tertumpu kepada Scha dan Fauzan.
Scha melihat bibir Fauzan yang berdarah. "Abang, jom kita pergi klinik."
Fauzan menggeleng. "Tak pe sayang, sikit je ni."
Scha tidak peduli. Dia menggenggam tangan Fauzan erat dan menariknya keluar dari pejabat.
Buat pertama kalinya, Scha tidak lagi takut untuk menunjukkan siapa yang benar-benar ada di hatinya.
Semua staf yang menyaksikan insiden tadi masih terkejut dan tergamam.
"Weh, betul ke tadi Encik Akmal tumbuk Fauzan?" bisik salah seorang staf kepada rakannya.
"Betul lah! Aku nampak dengan mata sendiri! Gila betul, macam drama TV!" balas rakannya dengan suara perlahan tetapi penuh keterujaan.
Seorang staf wanita yang duduk berhampiran meja Fauzan menutup mulutnya, masih tidak percaya dengan apa yang baru berlaku. "Patutlah Encik Akmal muka lebam tadi, rupanya dia gaduh dengan Fauzan. Tapi kenapa?"
Seorang lagi staf lelaki menjawab, "Kau tak dengar tadi? Scha yang tinggalkan Encik Akmal sebab dia curang. Sekarang dia dengan Fauzan!"
"Oh My God! Maknanya Scha dengan Fauzan memang ada something lah?!" sorak seorang staf perempuan dengan teruja.
Staf-staf lain mula berbisik sesama sendiri, ada yang terkejut, ada yang teruja dan ada juga yang menggelengkan kepala tidak percaya.
"Aku tak sangka Fauzan boleh bertumbuk. Sebab dia ni jenis soft spoken, susahlah nak tengok dia bergaduh."
"Biasalah, kalau pasal cinta, orang baik pun boleh jadi lain."
Tiba-tiba seorang staf perempuan berkata dengan nada penuh rasa kagum, "Tapi serius, sweet gila Scha tadi! Dia terus pegang tangan Fauzan dan ajak pergi klinik!"
Semua mata memandang ke arah pintu, di mana Scha dan Fauzan sudah pun keluar dari pejabat. Mereka kini yakin bahawa hubungan Scha dan Fauzan bukan sekadar gosip biasa tetapi benar-benar terjadi.
Share this novel