Seminggu berlalu, namun Scha dan Fauzan masih belum berkesempatan untuk bercakap berdua.
Setiap kali ada peluang untuk mereka berbicara, Fauzan pasti akan mencari alasan untuk menghindarinya. Jika mereka kebetulan berada dalam satu ruang, Fauzan akan segera beralih ke tempat lain atau berpura-pura sibuk dengan kerjanya.
Scha perasan akan tingkah laku itu dan semakin lama, hatinya semakin pedih. Dia sedar, Fauzan bukan lagi lelaki yang sama seperti dulu, lelaki yang selalu sabar menunggunya, yang tak pernah jemu mencari dirinya. Kini, Fauzan seolah-olah tidak mahu ada sebarang kaitan dengannya lagi.
Namun, Scha tidak boleh salahkan sesiapa. Ini semua kerana keputusannya sendiri tiga tahun lalu.
• • • • • •
Di pejabat, suasana sunyi. Semua orang sibuk dengan kerja masing-masing, hanya bunyi papan kekunci dan sesekali bunyi hela nafas kedengaran.
Tiba-tiba, Encik Akmal melangkah masuk. Dia berjalan perlahan, sengaja memperlihatkan senyuman puas di wajahnya ketika melewati meja Fauzan. Senyuman itu bukan sekadar sapaan biasa, ia membawa maksud yang lebih dalam, seolah-olah dia sedang meraikan sesuatu yang akhirnya berlaku.
Fauzan mengangkat wajahnya, memandang tepat ke arah Encik Akmal. Dalam sekelip mata, segala memori lama kembali menyerbu ke dalam fikirannya.
Lima tahun lalu, ketika Scha dan dirinya masih bahagia bersama. Tiga tahun lalu, ketika Scha tiba-tiba berubah dan memutuskan hubungan mereka. Dan hari ini, di saat dia akhirnya sudah mati rasa terhadap Scha, Encik Akmal masih di situ, seperti seorang pemerhati yang tahu akan segala-galanya.
Fauzan menggenggam pen di tangannya, cuba menenangkan diri. Perasaan marah, kecewa, dan benci bercampur menjadi satu. Apa sebenarnya yang Encik Akmal mahukan daripadanya?
Encik Akmal datang kepada Scha dengan senyuman di wajahnya. "Scha, lunch nanti kita keluar makan sekali?"
Scha memandang sekilas sebelum menjawab dengan lembut, "Takpe lah, encik Akmal. Maaf ya."
Saat itu, matanya secara tidak sengaja tertumpu pada Fauzan, yang masih tekun dengan kerjanya. Tiada reaksi, tiada pandangan balas, seolah-olah dia langsung tidak wujud di hadapan lelaki itu.
Encik Akmal tersenyum kecil, masih berdiri di sebelah meja Scha.
"Kenapa? Segan dengan saya ke?" dia bertanya, cuba membuat suasana lebih santai.
Scha menggeleng perlahan. "Bukan segan, cuma saya tak ada selera nak keluar makan." jawabnya dengan nada lembut, cuba menghindari sebarang perbualan lanjut.
Dia sempat mencuri pandang ke arah Fauzan, berharap lelaki itu akan memberi sedikit reaksi walaupun hanya sekadar mengangkat wajahnya sebentar. Tetapi Fauzan tetap dengan kerjanya, seolah-olah kata-kata Scha langsung tidak memberi kesan padanya.
Hati Scha terasa sedikit pedih. Dulu, Fauzan pasti akan menoleh setiap kali mendengar namanya disebut, tetapi sekarang seakan-akan dia bukan sesiapa lagi.
Encik Akmal hanya mengangguk kecil. "Baiklah, kalau awak berubah fikiran, beritahu saya ya" katanya sebelum berlalu pergi.
Scha mengeluh perlahan. Lima tahun berlalu, tetapi dalam beberapa hari ini, dia merasakan jarak antara dirinya dan Fauzan lebih jauh daripada sebelum ini.
Setelah Encik Akmal pergi, Scha menarik nafas dalam-dalam. Dia tahu Fauzan cuba menghindarinya, tetapi dia tidak mahu terus berdiam diri. Dengan hati-hati, dia melangkah ke meja Fauzan.
Scha: "Awak, jom lunch sekali?"
Fauzan berhenti menaip di komputernya seketika, tetapi tidak terus menoleh ke arah Scha.
Fauzan: "Saya ada hal lain."
Scha menggigit bibir, cuba mengumpul keberanian.
Scha: "Sekejap pun tak boleh?"
Fauzan akhirnya mengangkat wajah dan menatapnya, matanya kosong tanpa sebarang emosi.
Fauzan: "Saya rasa tak ada sebab untuk kita keluar makan bersama, saya bukan lagi pembantu awak."
Scha terkedu. Walaupun dia sudah menjangka jawapan seperti itu, hatinya tetap terasa berat.
Scha: "Saya cuma nak bercakap dengan awak secara baik."
Fauzan tersenyum tipis, tetapi senyum itu penuh dengan kepahitan.
Fauzan: "Dulu awak yang pilih untuk tidak bercakap dengan saya. Sekarang?"
Scha terdiam. Fauzan mengalihkan pandangan, kembali fokus pada skrin komputernya.
Fauzan: "Saya tak nak ulang kesilapan yang sama, Scha. Jadi tolong… jangan buat saya berharap lagi."
Tanpa menunggu jawapan dari Scha, Fauzan kembali menaip, memberi isyarat jelas bahawa perbualan mereka sudah berakhir.
Scha menggenggam jari-jarinya sendiri, cuba menahan sebak di dada. Dia tahu Fauzan sudah berubah. Dan mungkin, dia sudah terlambat untuk membetulkan semuanya.
Belum sempat Scha melangkah kembali ke tempatnya, tiba-tiba telefon Fauzan berdering. Scha yang masih berdiri di situ secara tidak sengaja dapat melihat nama yang terpapar di skrin, Sophea.
Fauzan menjawab panggilan itu dengan suara yang lebih lembut daripada ketika dia bercakap dengan Scha tadi.
Fauzan: "Hello? Hm, ya... sekarang?"
Scha menunduk sedikit, berpura-pura tidak mendengar perbualan mereka, tetapi hatinya terasa semakin pedih.
Fauzan: "Okay, saya turun sekarang."
Fauzan menutup panggilan dan bangun dari kerusinya. Scha hanya mampu berdiri kaku, masih mencerna apa yang baru berlaku.
Tanpa menunggu sebarang reaksi, fauzan terus berlalu pergi.
Scha cuba menahan perasaan yang berkecamuk dalam hati. Dia menoleh ke arah meja Fauzan yang kini kosong. Dulu, tempat itu adalah tempat lelaki yang selalu ada untuknya. Sekarang, tempat itu terasa semakin jauh.
Scha menarik nafas dalam, kemudian melangkah perlahan ke mejanya sendiri. Mungkin ini balasan untuk keputusannya tiga tahun lalu.
Dalam perjalanan turun ke bawah, Fauzan tiba-tiba memperlahankan langkahnya. Hatinya terasa berat.
Dia berhenti sejenak sebelum memasuki lif,, memandang ke luar tingkap bangunan. Langit kelihatan cerah, tetapi fikirannya berkecamuk.
"Betul ke apa yang aku buat ni?"
Dia menggenggam telefon di tangannya. Entah kenapa, hatinya terasa sedikit ragu. Adakah dia benar-benar sudah melupakan Scha? Atau selama ini dia cuma cuba meyakinkan dirinya sendiri?
Fauzan menarik nafas dalam, cuba menghapuskan sebarang perasaan yang masih bersisa.
Tanpa menoleh ke belakang, dia terus melangkah masuk ke dalam lif. Di luar, Sophea sudah menunggunya dengan senyuman manis.
Fauzan membalas senyumannya, tetapi jauh di sudut hati, ada sesuatu yang masih tidak tenang.
• • • • • •
Sampai saja di kedai makan, Sophea kelihatan sedikit gelisah. Dia menggenggam hujung lengan bajunya, cuba mencari keberanian untuk bersuara. Setelah beberapa saat terdiam, akhirnya dia menarik nafas dalam dan berkata,
"Awak, saya dah lama simpan perasaan ni. Saya cintakan awak lebih dari seorang kawan."
Fauzan terkedu. Dia tidak mahu melukakan hati Sophea, tetapi dia juga tidak boleh memberi harapan yang dia sendiri tahu tidak akan dapat dia penuhi. Dengan nada tenang, dia menjawab
"Sophea, saya hargai perasaan awak tapi saya tak boleh terima. Saya tak pernah cintakan awak."
Sophea tergamam. Wajahnya berubah, jelas dia tidak menyangka akan ditolak begitu sahaja.
"Tak! Mustahil awak tak ada sikit pun perasaan cinta dekat saya." Sophea menatap Fauzan dengan mata yang mula berair.
Fauzan menghela nafas perlahan. "Saya tak nak tipu awak, Sophea. Saya anggap awak kawan, tak lebih dari itu."
Sophea menggeleng, suaranya bergetar. "Sebab Scha, kan? Awak masih tunggu dia?"
Fauzan terdiam. Dia tidak tahu jawapan apa yang patut dia berikan. Hakikatnya, walaupun dia cuba menafikan, hatinya masih belum benar-benar melupakan Scha.
Sophea menggeleng dengan kecewa, suaranya semakin bergetar.
"Tiga tahun, Fauzan. Tiga tahun dia tinggalkan awak!"
Fauzan mengetap bibir, cuba menahan perasaan. Dia tidak mahu berbicara tentang Scha, tidak sekarang.
Sophea menyambung, "Saya ada dengan awak sepanjang tiga tahun ni. Saya nampak betapa awak cuba bertahan, saya tahu awak terluka. Tapi dia? Dia langsung tak pedulikan awak, Fauzan."
Fauzan menarik nafas perlahan. Matanya memandang meja, tidak mahu bertentang dengan Sophea.
"Sophea, ini bukan soal siapa yang ada dengan saya atau siapa yang tinggalkan saya. Perasaan tak boleh dipaksa."
Sophea menggeleng, air matanya jatuh. "Jadi awak masih tunggu dia?"
Fauzan terdiam. Hakikatnya, dia sendiri tidak tahu jawapan kepada soalan itu.
Sophea terus bangun dari tempat duduknya. Tanpa berkata apa-apa, dia mencapai beg tangannya dan melangkah pergi.
Fauzan hanya mampu melihat tanpa menahan. Dia faham perasaan Sophea, tetapi dia tidak mahu memberi harapan yang dia sendiri tidak mampu penuhi.
Sophea berlalu keluar dari kedai makan dengan langkah yang laju. Dari jauh, Fauzan dapat melihat bahunya sedikit terangkat, tanda dia sedang menahan tangis.
Fauzan menghela nafas panjang, menatap kosong ke arah meja di depannya.
"Kenapa aku masih tak boleh lupakan Scha?" bisiknya dalam hati.
Tiga tahun sudah berlalu, tapi kenangan bersama Scha masih melekat dalam fikirannya. Walaupun dia cuba membuka ruang untuk orang lain, perasaannya tetap tak berubah.
Dia menyandarkan tubuhnya ke kerusi, menutup mata sejenak. Apa lagi yang perlu dia lakukan untuk benar-benar melupakan seseorang yang sudah lama pergi dari hidupnya?
Fauzan mengusap wajahnya dengan kasar, rasa serabut makin menyesakkan dada.
"Kenapa dia muncul saat aku cuba untuk lupakan dia?" katanya perlahan, hampir berbisik pada dirinya sendiri.
Dia sudah berusaha bertahun-tahun untuk membuang semua rasa itu. Namun, sebaik saja Scha kembali, perasaan yang dia sangka sudah mati tiba-tiba hidup semula. Seolah-olah takdir sengaja mempermainkannya.
Dia menghela nafas berat. Mungkin dia boleh menipu semua orang bahawa dia sudah melupakan Scha. Tapi hakikatnya, dia masih terperangkap dalam perasaan yang sama sejak lima tahun lalu.
Fauzan terpaku seketika. Jari-jarinya yang ingin menekan butang kunci terhenti saat matanya tertumpu pada skrin telefonnya.
Wallpaper itu masih gambar Scha.
Dia mengeluh perlahan. Sudah bertahun-tahun berlalu, tetapi dia langsung tidak menukarnya. Setiap kali dia terfikir untuk menukar gambar itu, hatinya terasa berat.
"Kenapa aku masih simpan semua ni?"
Dengan nafas yang berat, dia akhirnya menekan butang kunci dan menyimpan telefonnya ke dalam poket. Namun, perasaannya tetap tak tenang. Waktu rehat mungkin hampir tamat, tetapi fikirannya masih berserabut dengan satu persoalan, adakah dia benar-benar sudah lepaskan Scha?
Setelah selesai membuat bayaran, Fauzan melangkah keluar dari kedai makan tanpa menoleh ke belakang. Langkahnya pantas, seolah-olah ingin melarikan diri daripada perasaan yang sedang berkecamuk di hatinya.
Sepanjang perjalanan pulang ke pejabat, fikirannya masih terganggu dengan kata-kata Sophea.
"Tiga tahun, Fauzan. Tiga tahun dia tinggalkan awak."
Kata-kata itu berulang dalam kepalanya. Ya, Scha yang memilih untuk pergi. Tapi kenapa sampai sekarang dia masih tak mampu lupakan wanita itu?
Sebaik tiba di pejabat, Fauzan menarik nafas dalam-dalam sebelum melangkah masuk. Dia cuba mengalihkan fokus kepada kerja, namun dalam hati, dia tahu, perasaan itu masih ada.
Fauzan bangun dari tempat duduknya dan berjalan ke dapur di pejabat untuk mengambil segelas air. Dia menuang air ke dalam gelas dengan perlahan, cuba menenangkan dirinya dari segala kekusutan fikiran.
Tanpa disedari, Scha turut melangkah ke arah yang sama. Dia berdiri beberapa langkah di belakang Fauzan, memerhatikan lelaki itu dalam diam.
Scha menggenggam jemarinya erat, cuba mengumpul keberanian untuk bersuara.
"Abang!" panggil Scha perlahan.
Fauzan yang sedang minum terhenti sejenak. Dia tidak segera menoleh, sebaliknya hanya menggenggam erat gelas di tangannya. Suara itu sudah lama dia tidak mendengarnya dengan begitu dekat.
Suasana di antara mereka sunyi seketika. Scha menarik nafas dalam-dalam sebelum menyambung, "boleh kita cakap kejap?"
Fauzan menoleh dan memandang Scha dengan wajah kosong, tiada riak marah, tiada senyuman, hanya pandangan yang sukar ditafsirkan.
Scha menggenggam tangannya sendiri, mengumpul keberanian sebelum berkata, "Abang, sayang masih cintakan abang." Suaranya perlahan, hampir bergetar.
Fauzan tetap diam seketika, sebelum akhirnya bersuara dengan nada sinis, "Lelaki tu dah tinggalkan awak ke?"
Scha tersentak. Matanya membulat, tidak percaya dengan apa yang baru didengarnya. "Tak pernah ada sesiapa, abang…" Scha menggeleng perlahan.
Fauzan tersenyum kecil, namun senyuman itu penuh kepahitan. "Jadi selama ni awak tipu saya?"
Air mata mula bergenang di mata Scha. "Sayang... sayang terpaksa. Sayang tak nak abang terseksa dengan hubungan jarak jauh ni. Lima tahun, abang. Sayang takut abang akan penat menunggu."
Fauzan menghela nafas panjang, meletakkan gelasnya di atas meja. "Jadi awak buat keputusan sendiri, tinggalkan saya tanpa penjelasan, dan sekarang awak nak saya percaya yang awak masih cintakan saya?"
Scha menunduk, air matanya jatuh setitis demi setitis. "Sayang tahu sayang salah…"
Fauzan hanya memandang Scha dengan pandangan sayu. "Scha, saya dah cuba, saya dah cuba untuk benci awak. Tapi hakikatnya, saya tetap ingat awak. Saya tetap tunggu…"
Scha mengangkat wajah, matanya penuh harapan. "Jadi, abang masih..."
"Tapi itu dulu," potong Fauzan. "Sekarang, saya dah penat, Scha."
Kata-kata itu menikam terus ke hati Scha. Dia hanya mampu berdiri kaku, menyaksikan Fauzan melangkah keluar dari dapur tanpa menoleh ke belakang.
Share this novel