Mesyuarat pagi itu berlangsung dengan lancar. Megat Fauzan duduk di kerusinya sambil mencatat beberapa perkara penting yang dibincangkan. Matanya sesekali mencuri pandang ke arah Scha Andini, seniornya yang kini juga merupakan ketuanya di syarikat Klar Kosmetik.
Sejak hari pertama bekerja di sini, Scha telah menjadi seseorang yang istimewa di hatinya. Cara dia bercakap, gerak-gerinya yang tenang tetapi tegas, semuanya membuatkan Fauzan semakin tertarik.
Sebaik sahaja mesyuarat tamat, Scha bangun dan bersiap-siap untuk kembali ke mejanya. Fauzan mengumpul keberanian lalu menegurnya.
“Senior, lunch nanti kita keluar sekali?” soalnya dengan penuh harapan.
Scha memandang Fauzan sekilas. Senyuman nipis terukir di bibirnya, tetapi riak wajahnya tetap neutral.
“Tak boleh, saya dah janji dengan kawan saya.”
Jawapan itu membuatkan Fauzan sedikit kecewa, namun dia cepat-cepat menyembunyikan perasaannya.
“Oh, tak apa. lain kali mungkin?” katanya dengan nada bersahaja, walaupun hatinya terasa sedikit berat.
Scha hanya mengangguk sebelum melangkah pergi. Fauzan menghela nafas panjang, matanya masih mengekor langkah seniornya itu.
Dia tahu Scha hanya menganggapnya sebagai seorang junior, malah mungkin seorang adik. Namun, perasaan yang terpendam ini semakin sukar dikawal. Tidak kira berapa kali dia cuba menafikan, hatinya tetap memilih Scha Andini.
• • • • • •
Suasana di pejabat Klar Kosmetik kembali tenang selepas mesyuarat pagi tadi. Masing-masing sibuk dengan kerja, termasuklah Megat Fauzan yang cuba mengalihkan fokusnya daripada perasaan kecewa yang masih bersisa.
Meja Scha Andini terletak betul-betul di hadapan mejanya. Dari tempat duduknya, Fauzan boleh melihat setiap pergerakan wanita itu dari cara dia menaip, sesekali mengerutkan dahi bila berfikir dan sesekali tersenyum kecil pada skrin laptopnya. Semua itu membuatkan hatinya bergetar tanpa dia sedar.
Namun, ketenangan itu tidak bertahan lama.
“Scha, masuk bilik saya sekejap.”
Suara tegas Encik Akmal, pengurus syarikat, memecah suasana sunyi. Fauzan melihat Scha mendongak dengan sedikit terkejut, namun dia pantas mengangguk sebelum bangun dan melangkah menuju ke bilik lelaki itu.
Fauzan diam, tangannya yang memegang pen terasa kaku. Matanya mengikuti langkah Scha yang hilang di sebalik pintu kaca bilik pengurus.
Hatinya berasa tidak enak. Dia tahu Scha dan Encik Akmal mempunyai hubungan rapat, tetapi sejauh mana hubungan itu, dia tidak pasti.
Sekali lagi, perasaan yang cuba dikuburnya muncul kembali. Tanpa sedar, jemarinya menggenggam pen dengan erat. Perasaan yang dia sendiri tidak pasti ke mana akhirnya.
Scha melangkah masuk ke dalam bilik Encik Akmal dengan tenang, menutup pintu di belakangnya. Bilik itu kedap bunyi, memastikan perbualan mereka tidak dapat didengar oleh sesiapa di luar.
Encik Akmal tersenyum tipis sambil bersandar di mejanya. Pandangannya lembut, jauh berbeza dengan ketegasan yang selalu ditunjukkan di hadapan staf lain.
“Awak, lunch nanti kita keluar sekali?” soalnya perlahan, nada suaranya penuh dengan kemesraan.
Scha tersenyum kecil sebelum mengangguk.
“Ok awak, tapi kena hati-hati sikit. Takut staf lain nampak.”
Encik Akmal ketawa kecil. Dia melangkah mendekati Scha, jemarinya bermain di tepi meja.
“Jangan risau, saya akan pastikan tak ada sesiapa syak apa-apa.”
Scha mengangguk, tetapi di dalam hatinya, dia tahu hubungan ini bukan sesuatu yang mudah. Bercinta dengan pengurus sendiri dalam satu syarikat, risikonya terlalu besar.
Di luar bilik itu, Fauzan masih duduk di mejanya, sesekali mencuri pandang ke arah pintu kaca yang tertutup rapat. Walaupun dia tidak dapat mendengar apa yang berlaku di dalam, hatinya terasa tidak enak.
Dia tidak tahu mengapa, tetapi ada sesuatu yang memberitahunya bahawa Scha menyembunyikan sesuatu daripadanya dan mungkin juga daripada semua orang.
Selepas beberapa minit, Scha akhirnya keluar dari bilik Encik Akmal. Wajahnya tetap tenang, tetapi Fauzan perasan ada sesuatu yang berbeza. Senyumannya lebih lembut daripada biasa.
Dia kembali ke mejanya seperti tiada apa-apa yang berlaku. Fauzan cuba mengalihkan perhatian kepada kerjanya, tetapi fikirannya terus menerawang.
“Scha, ada apa Encik Akmal panggil tadi?” tanya salah seorang rakan sekerja, Mira, yang duduk tidak jauh dari mereka.
Scha tersenyum kecil sambil membuka laptopnya. “Tak ada apa-apa, cuma bincang sikit pasal projek baru” jawabnya santai.
Fauzan diam. Matanya tertumpu pada Scha, menganalisis setiap riak wajah wanita itu. Dia tahu Scha bukan jenis yang suka berbohong, tetapi ada sesuatu dalam jawapannya yang terasa tidak sepenuhnya jujur. Dan entah kenapa, itu membuatkan dadanya terasa sesak.
• • • • • •
Jam menunjukkan pukul 12:30 tengah hari. Suasana di pejabat mula berubah, menandakan waktu makan tengah hari sudah tiba. Beberapa staf mula bangun dari tempat duduk, ada yang menuju ke pantry, ada juga yang bersiap-siap untuk keluar makan.
Fauzan mengangkat kepalanya, matanya terus tertumpu pada Scha. Wanita itu kelihatan sibuk menutup laptopnya dan menyusun beberapa dokumen di mejanya.
“Scha, jom lunch?” tanya Mira lagi, kali ini dengan nada ceria.
Scha tersenyum sambil menggeleng. “Tak boleh, aku ada hal.”
Jawapan itu ringkas, tetapi cukup untuk membuatkan Fauzan semakin curiga. Dia tidak bertanya apa-apa, cuma memerhati sahaja.
Beberapa saat kemudian, telefon Scha bergetar di atas meja. Scha cepat-cepat mengambilnya, membaca mesej yang tertera, lalu bangun dari kerusinya.
Dia mencapai beg tangannya dan melangkah ke arah lif tanpa menoleh ke belakang.
Fauzan hanya mampu melihat dari jauh. Hatinya berbisik, cuba menafikan apa yang dia rasa. Tetapi gerak-geri Scha sejak pagi tadi, semuanya terasa seperti menyembunyikan sesuatu. Dan entah kenapa, perasaan itu semakin menghimpit jiwanya.
Fauzan tidak tahu kenapa, tetapi hatinya kuat mengatakan bahawa Scha sedang menyembunyikan sesuatu. Tanpa berfikir panjang, dia segera mencapai telefon bimbitnya, mengambil kunci kereta, dan keluar dari pejabat secara diam-diam.
Dari jauh, dia melihat Scha berdiri di tepi jalan, matanya sesekali melirik ke kiri dan kanan seperti sedang menunggu seseorang. Tidak lama kemudian, sebuah kereta mewah berwarna hitam berhenti di hadapannya. Pintu di sebelah pemandu terbuka, dan tanpa ragu, Scha masuk ke dalam.
Jantung Fauzan berdegup kencang. Dia kenal kereta itu.
Tanpa membuang masa, Fauzan segera masuk ke dalam keretanya dan mengekori mereka dari belakang. Dia memastikan jaraknya tidak terlalu dekat agar tidak disedari.
Hatinya dipenuhi dengan pelbagai persoalan.
Kenapa Scha keluar makan dengan Encik Akmal secara sembunyi-sembunyi? Adakah hubungan mereka lebih daripada sekadar ketua dan pekerja?
Fauzan menggenggam stereng kereta dengan erat. Dia tidak suka perasaan ini, tetapi dia tahu dia tidak boleh berpaling lagi. Dia perlu tahu kebenarannya.
• • • • • •
Fauzan memakir keretanya tidak jauh dari restoran eksklusif itu. Dia melihat Scha dan Encik Akmal masuk ke dalam, memilih meja di sudut yang agak tersorok.
Tanpa berfikir panjang, Fauzan mencapai topi hitamnya dan mengenakan mask sebelum melangkah masuk. Dia memastikan langkahnya tidak mencurigakan, lalu memilih meja tidak jauh dari pasangan itu, cukup untuk mendengar perbualan mereka tanpa disedari.
Pelayan datang mengambil pesanan mereka, tetapi Fauzan langsung tidak peduli. Fokusnya hanya pada Scha dan Encik Akmal.
“Awak nampak cantik hari ni” Encik Akmal bersuara, memandang Scha dengan senyuman.
Scha ketawa kecil sambil mengacau minumannya. “Awak ni… saya pakai macam biasa je”
“Tetap cantik" Encik Akmal mengenyitkan mata.
Fauzan mengepal penumbuk di bawah meja.
“Awak, kita kena lebih berhati-hati lepas ni. Saya tak nak ada orang syak hubungan kita” Scha bersuara perlahan.
Encik Akmal mengangguk. “Saya faham, sayang. Tapi susah untuk saya sembunyikan perasaan saya setiap hari di pejabat. Saya nak semua orang tahu awak milik saya"
Scha menggeleng. “Tak boleh, awak. Kalau staf lain tahu, pasti akan jadi isu besar. Saya tak nak orang kata saya dapat layanan istimewa sebab saya teman wanita bos sendiri"
Encik Akmal menarik nafas panjang. “Baiklah, saya ikut apa yang awak nak. Tapi janji dengan saya, awak tetap setia pada saya?”
Scha tersenyum dan mengangguk perlahan. “Saya janji, tapi awak pun kena setia dengan saya”
Fauzan merasakan dunianya seakan runtuh. Scha bukan sekadar rapat dengan Encik Akmal malah mereka bercinta. Dan mereka merahsiakannya daripada semua orang.
Hatinya terasa berat.
Jadi selama ini, dia berharap pada sesuatu yang tak mungkin akan menjadi miliknya.
Fauzan tidak sanggup mendengar lebih lama. Hatinya terasa berat, seakan dihimpit oleh sesuatu yang tidak mampu dia tahan lagi. Dengan langkah perlahan, dia bangun dari tempat duduknya dan keluar dari restoran itu tanpa menoleh ke belakang.
Di luar, angin bertiup lembut, tetapi ia langsung tidak memberikan ketenangan kepada dirinya. Dia berjalan ke arah keretanya dengan fikiran yang bercelaru.
Scha yang selama ini dia pandang dengan penuh perasaan cinta, kini sudah dimiliki orang lain.
Fauzan menarik nafas dalam, cuba menenangkan dirinya, tetapi rasa pedih di dadanya semakin menyesakkan.
Tanpa membuang masa, dia masuk ke dalam keretanya dan terus memandu pulang ke pejabat. Sepanjang perjalanan, fikirannya terus dihantui oleh kata-kata Scha tadi.
“Saya janji.”
Janji yang bukan untuknya.
Setibanya di pejabat, Fauzan terus menuju ke mejanya. Dia duduk, matanya tertancap pada skrin komputer, tetapi fikirannya langsung tidak berada di situ.
Di hadapannya, tempat duduk Scha masih kosong.
Dan dia sedar, perasaannya terhadap Scha yang selama ini dia simpan rapi, harus dikuburkan mulai hari ini.
• • • • • •
Selepas 20 minit, Fauzan yang masih duduk di mejanya terdengar bunyi lif terbuka. Dia mengangkat sedikit kepalanya dan melihat Encik Akmal serta Scha melangkah keluar. Namun, mereka tidak masuk ke pejabat bersama.
Encik Akmal berjalan lebih dahulu, menuju ke biliknya tanpa menoleh ke arah Scha. Manakala Scha pula berjalan perlahan ke arah mejanya seperti biasa, seolah-olah tiada apa yang berlaku.
Fauzan memerhati dalam diam. Gerak-geri Scha begitu tenang, tidak menunjukkan sebarang kegusaran. Jika dia tidak mendengar perbualan mereka tadi, pasti dia tidak akan menyangka bahawa wanita itu menyimpan rahsia besar di sebalik wajah cerianya.
Scha duduk di tempatnya, membuka laptop dan mula bekerja seperti biasa.
Fauzan mengalihkan pandangan ke arah skrin komputernya. Dia cuba fokus, tetapi hatinya terasa berat.
Dia kini sedar, Scha dan Encik Akmal bukan sekadar rakan sekerja.
Dan apa yang lebih menyakitkan, Scha langsung tidak tahu bahawa dia telah lama menyimpan perasaan terhadapnya.
Tiba-tiba, suara Scha memecah lamunan Fauzan.
“Fauzan, dah buat apa yang saya suruh haritu?”
Fauzan yang masih hanyut dalam fikirannya tersentak sedikit. Namun, dia cepat-cepat mengawal riaknya, tidak mahu Scha perasan perubahan dalam dirinya.
“Dah, senior!” balasnya sambil tersenyum kecil, cuba berpura-pura seperti tiada apa yang berlaku.
Scha mengangguk perlahan. “Bagus. Nanti hantar kat saya sebelum pukul tiga, ya?”
“Baik, senior!"
Scha tersenyum sedikit sebelum kembali fokus kepada kerjanya.
Fauzan memandangnya seketika sebelum menghela nafas panjang. Dia cuba menenangkan dirinya, cuba berlagak biasa.
Fauzan menarik nafas dalam. Dia sudah bersedia untuk berkata sesuatu, sesuatu yang mungkin sudah lama terbuku di hatinya.
“Senior, saya nak cakap sikit boleh?”
Scha mengangkat kepalanya, memandang Fauzan dengan wajah tenang. “Ya, boleh!”
Namun, sebelum Fauzan sempat membuka mulut, telefon Scha tiba-tiba berbunyi. Scha melihat skrin telefonnya seketika sebelum memandang Fauzan semula.
"Maaf ye, ada orang call."
Nada suaranya biasa sahaja, tiada apa-apa yang pelik.
Fauzan hanya mengangguk perlahan. “Tak apa, senior.”
Scha tersenyum kecil sebelum bangun dari tempat duduknya, melangkah ke arah ruang pantri untuk menjawab panggilan itu.
Fauzan hanya memerhati, hatinya sudah dapat mengagak siapa yang menghubungi Scha. Dia menarik nafas panjang, cuba menahan perasaan yang semakin bercelaru.
Baru tadi dia mahu bercakap sesuatu yang penting tetapi sekali lagi, dia diberi petanda bahawa Scha bukan untuknya.
Dia tersandar di kerusi, memandang skrin komputernya tanpa benar-benar melihat.
Kadang-kadang, diam itu lebih baik daripada berkata-kata.
Share this novel