Pagi itu, suasana di pejabat terasa berbeza. Fauzan yang selama ini penuh dengan senyuman dan usikan, kini berubah. Dia hanya duduk diam di tempatnya, menatap skrin komputer tanpa ekspresi.
Scha memandang Fauzan dari mejanya yang berada di hadapan. Biasanya, pagi-pagi begini Fauzan sudah mula dengan gurauannya, menegur dan menyakatnya. Tetapi hari ini, tiada sapaan, tiada senyuman.
Scha menelan air liur. Dia tahu perubahan ini berpunca daripada perbualan mereka semalam.
Dengan rasa sedikit bersalah, Scha akhirnya bersuara, "Fauzan, awak dah buat report yang saya minta semalam?"
Fauzan mengangkat wajahnya perlahan, matanya kosong. "Dah, senior," jawabnya pendek sebelum kembali fokus pada skrin.
Scha mengetap bibir. "Awak okay ke?"
Fauzan hanya mengangguk tanpa melihat Scha.
Perbualan itu mati begitu sahaja. Scha merasakan sesuatu yang asing dalam dirinya. Biasanya, dia tidak peduli tentang Fauzan. Tetapi hari ini, melihat Fauzan berubah, hatinya terasa tidak selesa.
Seorang staf lalu di tepi mereka. "Eh Fauzan, kau kenapa? Hari ni senyap semacam je? Tak sihat ke?" tegur staf itu.
Fauzan tersenyum tipis. "Tak ada apa-apalah. Cuma letih sikit," katanya ringkas.
Scha tahu itu bukan alasan yang sebenar. Fauzan bukan letih, tetapi hatinya yang sudah penat.
Sepanjang hari itu, Scha cuba untuk tidak mempedulikan perasaan yang berbolak-balik dalam dirinya. Namun, semakin dia cuba untuk tidak ambil tahu, semakin fikirannya terganggu.
Tanpa dia sedar, Fauzan bukan lagi sekadar PA di matanya. Dan perubahannya hari ini telah memberi kesan yang tidak dijangka kepada Scha.
Tiba-tiba Encik Akmal datang dan memanggil Scha dengan nada yang tegas. "Scha, masuk bilik saya sekarang!"
Scha mengeluh perlahan, tetapi dia tetap melangkah ke bilik Encik Akmal. Langkahnya lemah, kepalanya terasa berat dengan segala yang bermain di fikirannya.
Sebaik sahaja dia masuk dan menutup pintu, Encik Akmal sudah bersandar di mejanya dengan tangan bersilang. Wajahnya kelihatan sedikit tegang.
"Awak, kenapa saya mesej dan call tak jawab?" suara Encik Akmal kedengaran sedikit mendesak.
Scha menarik nafas, cuba mengawal perasaannya. "Saya sibuk."
Encik Akmal mengetap bibir. "Sibuk? Sampai satu mesej pun tak boleh balas?"
Scha hanya diam. Dia tiada tenaga untuk bertengkar.
"Scha, jangan buat saya macam ni," suara Encik Akmal sedikit merayu. "Awak marah saya ke? Apa yang saya dah buat?"
Scha mengangkat wajahnya, merenung lelaki itu dengan mata yang penuh kekecewaan. "Awak masih nak tanya saya soalan tu?"
Encik Akmal berkerut dahi. "Saya tak faham."
Scha ketawa kecil, ketawa yang penuh kepedihan. "Awak betul-betul tak faham, atau awak buat-buat tak faham?"
Encik Akmal masih cuba berlagak tenang. "Scha, kalau ada apa-apa yang buat awak terasa hati, awak boleh cakap terus dengan saya. Jangan senyap macam ni."
Scha tersenyum sinis. "Baiklah, saya akan cakap terus terang." Dia menarik nafas dalam, cuba menguatkan hatinya. "Saya nampak awak semalam."
Encik Akmal terdiam. Sejenak, dia kelihatan kehilangan kata-kata.
"Saya nampak awak dengan perempuan tu. Pegang tangan dia. Masuk butik pengantin." Scha menyambung, suaranya masih terkawal tetapi jelas bergetar.
Encik Akmal menelan air liur. "Scha… itu tak seperti yang awak fikirkan."
"Habis, apa yang saya fikirkan?" Scha merenungnya tajam. "Nak saya fikir yang awak sebenarnya tolong dia beli baju pengantin untuk kawan awak?"
Encik Akmal terdiam lagi.
"Awak nak tahu kenapa saya tak balas mesej awak?" Scha berkata perlahan, matanya berkaca. "Sebab saya dah tak tahu nak cakap apa lagi dengan awak."
Tanpa menunggu jawapan, Scha berpaling dan melangkah keluar dari bilik itu. Dadanya terasa sesak, tetapi dia tahu satu perkara, dia tidak akan berpatah balik lagi.
Encik Akmal mengetap bibirnya, cuba mengawal emosinya.
"Awak saja je kan nak putus dengan saya, sebab awak dah ada orang lain?" suaranya sedikit meninggi, nadanya penuh dengan tuduhan.
Scha yang sedang melangkah keluar, tiba-tiba menghentikan langkahnya. Dia menoleh perlahan, memandang Encik Akmal dengan senyuman sinis.
"Siapa yang ada orang lain, Encik Akmal?" Scha bersuara tenang tetapi tajam. "Saya atau awak?"
Encik Akmal terkedu. Dia tidak menyangka Scha akan menjawab sebegitu.
"Scha…" Dia cuba berkata sesuatu, tetapi Scha sudah mengangkat tangan, memberi isyarat untuk dia diam.
"Saya bodoh sebab percayakan awak. Saya sangka awak betul-betul sayangkan saya, tapi rupa-rupanya saya cuma pilihan kedua." Scha menggeleng perlahan. "Dan awak masih ada hati nak tuduh saya?"
Encik Akmal menggenggam penumbuk, tidak mampu membalas. Scha menarik nafas panjang sebelum berkata, "Mulai hari ini, saya tak nak ada apa-apa lagi dengan awak. Kita hanya staf di tempat kerja yang sama. Itu saja."
Tanpa menunggu lagi, Scha membuka pintu dan keluar dari bilik itu, meninggalkan Encik Akmal yang masih terkaku di tempatnya.
Sampai saja di mejanya, Scha duduk perlahan. Nafasnya masih belum stabil selepas perbualan tadi. Dia mengangkat wajah, memandang ke arah Fauzan yang sedang sibuk menatap skrin komputer.
Fauzan perasan Scha sedang memandangnya, tetapi dia tidak berkata apa-apa. Tiada lagi senyuman mesra, tiada lagi usikan seperti biasa. Hanya wajah tenang tanpa ekspresi.
Scha menggigit bibir. Entah kenapa, hatinya terasa sakit melihat Fauzan begitu. Dahulu, Fauzan yang selalu ceria, yang selalu berusaha menceriakan hari-harinya. Tapi kini, lelaki itu seperti sudah tawar hati.
Dia ingin berkata sesuatu, tetapi lidahnya kelu. Akhirnya, Scha hanya mengeluh perlahan dan kembali memandang skrin komputernya, walaupun hakikatnya fikirannya sudah jauh melayang.
Scha masih memandang Fauzan, berharap ada sedikit reaksi darinya. Namun, lelaki itu tetap fokus pada skrin komputer, menaip sesuatu tanpa menoleh sedikit pun.
"Awak, lunch nanti awak keluar dengan siapa?" Scha akhirnya bersuara, cuba mencipta ruang untuk berbual.
Fauzan berhenti menaip seketika, tetapi masih tidak memandang Scha. "Lunch nanti saya tak keluar kot, saya nak siapkan kerja ni," jawabnya ringkas.
Nada suaranya datar, tiada lagi keceriaan seperti dulu. Scha terasa hatinya semakin berat.
"Oh…" Scha hanya mampu mengangguk perlahan. Entah kenapa, jawapan itu terasa jauh lebih menyakitkan daripada apa yang Encik Akmal lakukan padanya.
• • • • • •
Tiba waktu balik, pejabat mulai lengang dengan staf yang bersiap-siap untuk pulang. Scha mengemas mejanya perlahan, masih memikirkan perbualannya dengan Fauzan tadi.
Tiba-tiba, salah seorang staf menegurnya. "Scha, balik dengan siapa? Kereta Scha rosak kan?"
Scha terdiam sejenak. Dia memang terlupa langsung tentang keretanya yang masih di bengkel.
"Err… saya pun tak pasti lagi nak balik dengan siapa." jawabnya jujur sambil tersenyum hambar.
"Fauzan, boleh tolong hantar Scha?" tanya salah seorang staf sambil memandang ke arah Fauzan yang sedang bersiap untuk pulang.
Scha terkejut mendengar cadangan itu. Secara refleks, dia memandang Fauzan, menunggu reaksinya. Fauzan yang dari tadi diam hanya mengangguk perlahan, tanpa sebarang kata.
Scha mengeluh kecil. Dia tahu hubungan mereka kini tidak seperti dulu, tetapi dalam keadaan begini, dia tiada pilihan lain.
"Terima kasih..." Scha berkata perlahan, hampir berbisik.
Fauzan tidak membalas, hanya mengambil begnya dan berjalan keluar. Scha menuruti langkahnya dengan hati yang penuh rasa yang sukar diungkapkan.
Suasana dalam kereta sunyi. Hanya bunyi enjin yang mengisi ruang di antara mereka. Scha memandang ke luar tingkap, mencari keberanian untuk bersuara.
"Awak, saya nak minta maaf pasal hal semalam" Scha akhirnya berkata, suaranya lembut tetapi penuh dengan rasa bersalah.
Fauzan tetap diam. Matanya fokus pada jalan di hadapan, seolah-olah tiada apa yang didengarnya.
Scha menggigit bibir, cuba menahan rasa sebak. Dia rindu perbualan mereka, rindu melihat senyuman Fauzan yang selalu menceriakan harinya.
"Saya tak sukalah kita macam ni… saya rindukan gelak tawa awak" luahnya jujur.
Fauzan masih tidak menjawab, tetapi jemarinya sedikit mengetatkan genggaman pada stereng. Scha menghela nafas perlahan. Dia tahu, mungkin bukan sekarang masanya untuk semuanya kembali seperti dulu.
Suasana dalam kereta kembali sunyi selepas kata-kata terakhir Scha. Dia tidak lagi bersuara, hanya membiarkan matanya menatap jalan raya yang semakin hampir dengan rumahnya. Dalam hati, pelbagai rasa bercampur kesal, rindu dan sesuatu yang baru dia sedari.
Kereta akhirnya berhenti di hadapan rumah Scha. Fauzan menarik nafas dalam sebelum bersuara.
"Senior, dah sampai!" katanya dengan nada yang neutral, seperti tiada apa-apa yang berlaku antara mereka.
Scha tidak terus keluar. Sebaliknya, dia menoleh ke arah Fauzan, matanya kelihatan sayu.
"Saya nak kita macam dulu" katanya perlahan, hampir berbisik.
Fauzan mengetap bibir. Dia membuang pandang ke depan, cuba mengelak daripada bertentang mata dengan Scha.
"Untuk apa, senior?" soalnya akhirnya, nada suaranya penuh dengan kekecewaan yang tertahan.
Scha menarik nafas dalam. Hatinya berdebar, tetapi dia tahu dia perlu luahkan.
"Sebab saya cintakan awak."
Kata-kata itu membuat Fauzan terpaku. Tangannya yang masih di stereng perlahan-lahan menggenggam kuat. Dia tidak pernah menyangka akan mendengar ayat itu daripada Scha, wanita yang selama ini dia cintai dalam diam.
Fauzan terkaku. Dia menoleh, matanya tepat ke wajah Scha yang kelihatan bersungguh-sungguh. Kata-kata itu masih bergetar dalam fikirannya. “Saya cintakan awak, Fauzan!”
Scha menunduk, tangannya menggenggam erat beg di pangkuannya. “Saya tahu saya bodoh sebab baru sedar, tapi saya betul-betul maksudkan apa yang saya cakap.”
Fauzan menarik nafas dalam. "Senior..." suaranya kedengaran perlahan, hampir berbisik.
Scha mengangkat wajah, matanya berkaca. "Saya tak nak kehilangan awak."
Fauzan mengalihkan pandangan, menatap jalan di hadapan. Dia menghela nafas panjang, cuba mengawal emosi. "Kenapa sekarang?"
Scha diam. Dia tidak tahu bagaimana mahu menjawab. Hanya hatinya yang tahu, dia takut kehilangan lelaki yang selalu ada untuknya, yang selalu mencintainya dalam diam.
"Saya dah tunggu terlalu lama, senior." Fauzan bersuara lagi, nadanya perlahan tetapi sarat dengan luka. "Dan bila saya dah hampir berhenti berharap, baru awak datang."
Scha menelan liur. "Saya… saya tak tahu."
Fauzan tersenyum kecil, tetapi senyuman itu penuh dengan kepedihan. "Terima kasih sebab akhirnya nampak saya, senior. Tapi mungkin dah terlambat."
Scha tersentak. "Maksud awak?"
Fauzan menggeleng. "Saya akan cuba untuk lupakan awak."
Kali ini, air mata Scha benar-benar jatuh.
Tetapi Fauzan hanya menatapnya dengan mata yang penuh makna. Cinta yang masih ada, tetapi mungkin tidak lagi untuk dimiliki.
Scha keluar dari kereta tanpa sepatah kata. Hatinya berat, fikirannya bercelaru. Dia berdiri seketika di tepi jalan, menghembus nafas panjang sebelum melangkah perlahan menuju ke rumahnya.
Fauzan hanya memerhati dari dalam kereta. Tangannya menggenggam stereng dengan erat. Jantungnya berdegup kencang. "betul ke keputusan yang aku buat ni?" bisiknya dalam hati.
Scha berhenti seketika di hadapan pintu rumahnya. Dia ingin berpaling, ingin melihat Fauzan sekali lagi, tetapi dia takut. Takut jika wajah lelaki itu benar-benar melukakan hatinya.
Tanpa menunggu lebih lama, Fauzan menekan pedal minyak dan berlalu pergi. Scha hanya mampu mendengar bunyi enjin yang semakin menjauh, bersama hatinya yang kini terasa kosong.
Share this novel