Berbaki sebulan sahaja lagi sebelum Scha berangkat ke Korea, suasana di pejabat terasa semakin berat. Walaupun Scha dan Fauzan cuba menikmati setiap detik bersama, hakikat bahawa mereka bakal berjauhan tetap menghantui fikiran mereka.
Pada suatu petang, Scha dan Fauzan duduk berdua di pantri. Scha mengaduk kopi di dalam cawan sambil termenung jauh.
"Abang, tinggal sebulan je lagi…" Scha bersuara perlahan, cuba menahan sebak dalam hatinya.
Fauzan tersenyum nipis, cuba menyembunyikan perasaan sedihnya. "Abang tahu, sayang. Tapi abang tak nak kita habiskan masa ni dengan bersedih. Kita patut buat kenangan yang paling indah sebelum sayang pergi."
Scha mengangguk perlahan, tetapi hatinya masih bimbang. "Abang betul-betul akan datang melawat sayang nanti?"
Fauzan menggenggam tangan Scha dengan erat. "Ye. Setiap kali cuti panjang, abang akan pergi ke sana. Kita boleh habiskan masa bersama. Dan sayang jangan risau, setiap hari abang tetap akan call dan video call sayang."
Scha tersenyum lemah. Dia mahu percaya, tetapi jauh di sudut hati, dia takut. Takut jika hubungan ini tidak sekuat yang mereka sangka.
"Abang janji ya?" Scha memandang mata Fauzan dengan penuh harapan.
Fauzan mengusap lembut pipi Scha. "Abang janji, sayang. Kita akan harungi ni sama-sama."
Mereka berdua saling berpandangan, menikmati saat-saat terakhir sebelum perpisahan sementara itu menjadi kenyataan. Sebulan terasa begitu singkat, tetapi mereka bertekad untuk menghabiskan setiap detik bersama dengan sebaiknya.
• • • • • •
Masa yang paling ditakutkan akhirnya tiba. Fauzan memandu dengan perlahan menuju ke KLIA, seolah-olah ingin memperlahankan waktu yang semakin menghampiri perpisahan mereka. Di sebelahnya, Scha hanya mendiamkan diri, memandang ke luar tingkap dengan mata yang berkaca.
Sesampainya di lapangan terbang, mereka berjalan perlahan ke balai pelepasan. Scha menarik nafas panjang sebelum berpaling ke arah Fauzan.
"Abang…" suaranya serak menahan sebak.
Fauzan cuba tersenyum walaupun hatinya terasa berat. "Sayang kena jaga diri baik-baik kat sana, jangan kerja sampai lupa makan. Kalau penat, rehat. Abang tak nak sayang sakit."
Scha mengangguk perlahan, cuba mengukir senyuman tetapi gagal. Air mata mula bergenang di matanya.
"Abang janji tau, datang jumpa sayang bila cuti panjang nanti." Scha menggenggam tangan Fauzan erat, seakan tidak mahu melepaskannya.
Fauzan mengusap kepala Scha lembut. "Abang janji, sayang. Tak kira sesusah mana pun, abang tetap akan datang."
Pengumuman panggilan terakhir untuk penerbangan Scha ke Korea kedengaran. Scha menghela nafas panjang sebelum memandang Fauzan.
"Abang… sayang cintakan abang."
Fauzan tersenyum dan menarik Scha ke dalam pelukan terakhir sebelum perpisahan. "Abang pun cintakan sayang. Jangan nangis, sayang. Kita akan jumpa lagi nanti."
Scha mengangguk dengan air mata yang akhirnya jatuh di pipinya. Dengan langkah berat, dia berpaling dan mula melangkah ke arah pintu pelepasan.
Fauzan hanya mampu berdiri di situ, memerhatikan Scha pergi, membawa separuh dari hatinya bersamanya.
Semasa di dalam flight, Scha duduk diam di tepi tingkap, memandang ke luar dengan hati yang terasa kosong. Cahaya matahari senja menyimbah awan-awan putih di bawah, tetapi hatinya gelap dengan rasa kehilangan.
Air mata yang cuba ditahannya sejak tadi akhirnya jatuh juga. Dia menggenggam telefon di tangannya, membuka galeri gambar satu persatu kenangan bersama Fauzan muncul di skrin. Gambar mereka makan bersama, berselisih faham, bergurau, semuanya terasa begitu dekat tetapi kini semakin jauh.
Scha menarik nafas dalam-dalam, cuba menenangkan dirinya. "Lima tahun… aku boleh lalui semua ni" bisiknya dalam hati. Tetapi dia tahu, bukan mudah untuk berjauhan dengan lelaki yang dia cintai.
Saat pesawat semakin tinggi meninggalkan tanah air, Scha menyentuh dadanya sendiri, merasakan debar yang bercampur dengan kerinduan. "Abang… sayang rindukan abang."
Di luar, Langit semakin gelap tetapi dalam hatinya, satu janji tetap bersinar iaitu janji bahawa suatu hari nanti mereka akan bertemu semula.
Selepas menghantar Scha di KLIA, Fauzan memandu pulang dengan hati yang berat. Jalan raya di hadapannya terasa kosong, seperti hatinya yang baru saja kehilangan sesuatu yang paling berharga. Lagu-lagu di radio berkumandang, tetapi semuanya seperti tidak bermakna. Suara Scha, tawa Scha, semuanya masih terngiang-ngiang di fikirannya.
Sebaik tiba di rumah, Fauzan merebahkan diri di sofa, memejamkan mata seketika. Namun, fikirannya tetap melayang kepada Scha. Tangannya mencapai telefon, membuka mesej terakhir dari Scha sebelum dia berlepas.
Scha: "Abang jaga diri baik-baik ya. Tunggu sayang balik."
Fauzan tersenyum pahit. "Lima tahun... mampukah aku?" bisiknya perlahan. Dia tahu perjalanannya tanpa Scha tidak akan mudah, tetapi dia berjanji pada dirinya sendiri tidak kira berapa lama masa berlalu, hatinya tetap milik Scha.
Dengan perasaan yang bercampur-aduk, Fauzan bangun dari sofa dan melangkah ke balkoni. Dia mendongak ke langit malam, memandang bintang-bintang yang berkelipan. "sayang, kat mana pun sayang berada, abang akan tetap di sini, menunggu sayang."
• • • • • •
Beberapa jam berlalu, Fauzan masih termenung di balkoni, membiarkan angin malam menemani fikirannya yang berserabut. Tiba-tiba, telefon bimbitnya berdering, mengejutkannya dari lamunan. Dia segera mencapai telefon yang diletakkan di atas meja.
Panggilan masuk : Sayang
Jantung Fauzan berdegup laju. Dengan segera, dia menekan butang hijau dan meletakkan telefon ke telinga.
Fauzan: "Sayang?"
Di hujung talian, terdengar suara Scha, sedikit serak dan bergetar.
Scha: "Abang, sayang rindu..."
Fauzan menarik nafas dalam, cuba menenangkan dirinya. Dia tahu ini bukan mudah untuk Scha.
Fauzan: "Sayang baru je sampai sana, mesti penat kan? Dah makan?"
Scha terdiam seketika sebelum menjawab perlahan.
Scha: "Dah, tapi sayang rasa sunyi sangat. Sayang tak biasa tanpa abang."
Fauzan tersenyum kecil, walaupun hatinya juga merasa perit.
Fauzan: "Abang pun rindu sayang tapi kita kena kuat, kan? Takpe, setiap kali cuti panjang, abang akan datang. Kita tetap boleh video call setiap hari."
Scha mengeluh perlahan.
Scha: "Lima tahun tu lama, abang."
Fauzan mengetap bibir, cuba menahan rasa sebak.
Fauzan: "Tak kira berapa lama pun, cinta abang tetap untuk sayang. Percayalah, kita akan lalui semua ni bersama."
Di hujung talian, Scha terdiam, tetapi Fauzan dapat mendengar suara tangisnya yang cuba ditahan.
Scha: "Abang janji?"
Fauzan: "Abang janji, sayang."
Mereka terdiam seketika, membiarkan perasaan masing-masing berbicara dalam diam. Walaupun terpisah beribu batu, cinta mereka tetap utuh dan Fauzan berjanji dia akan menepati janjinya.
Fauzan menggenggam telefon erat, hatinya luluh mendengar tangisan Scha di hujung talian.
Fauzan: "Sayang, jangan nangis. Abang tak nak sayang sedih." (suara sebak)
Scha cuba menahan esakannya, tetapi air matanya terus mengalir.
Scha: "Sayang cuba tapi susah, abang. Sayang tak biasa jauh dengan abang."
Fauzan menghela nafas panjang, cuba menenangkan dirinya sendiri sebelum menenangkan Scha.
Fauzan: "Sayang kena kuat, kita boleh laluinya bersama. Abang sentiasa ada, walaupun bukan di sisi, hati abang tetap untuk sayang."
Scha menggigit bibir, cuba mencari kekuatan dalam kata-kata Fauzan.
Scha: "Abang jangan lupa sayang, ya?"
Fauzan tersenyum kecil walaupun air matanya hampir tumpah.
Fauzan: "Mana mungkin abang lupa orang yang abang paling cinta? sayang sentiasa dalam hati abang."
Scha menarik nafas dalam, cuba menenangkan diri.
Di hujung talian, Scha terdiam, masih teresak perlahan. Fauzan menggenggam telefon erat, berharap dia dapat memeluk Scha dan menghapuskan air matanya.
Selepas menamatkan panggilan, Fauzan menghela nafas panjang. Rasa rindu sudah mula mencengkam hatinya walaupun Scha baru sahaja pergi.
Dengan langkah perlahan, dia menuju ke bilik, menutup pintu dan merebahkan diri di atas katil. Tangannya mencapai telefon di sisi, membuka galeri gambar. Satu persatu gambar Scha ditatapnya, senyuman manis yang selalu menceriakan harinya, renungan lembut yang selalu membuatnya tenang.
Matanya terpaku pada satu gambar Scha yang diambil secara spontan semasa mereka keluar makan bersama. Wajah Scha yang ceria, ketawa tanpa dibuat-buat, itulah yang paling dirinduinya.
Fauzan mengusap skrin telefon perlahan, seolah-olah Scha benar-benar ada di hadapannya.
Fauzan: "Sayang, abang rindu..."
Dia menghembus nafas perlahan, meletakkan telefon di dadanya dan memejamkan mata. Hatinya berbisik, berharap esok akan menjadi hari yang lebih mudah tanpa Scha di sisinya.
• • • • • •
Di bilik hotelnya di Korea, Scha berbaring di atas katil sambil menggenggam telefon. Matanya masih basah dengan sisa air mata. Suasana di luar tingkap menunjukkan kota Seoul yang terang benderang, tetapi hatinya terasa kosong.
Perlahan-lahan, Scha meletakkan telefon di dadanya, sama seperti yang dilakukan oleh Fauzan. Seolah-olah dengan cara itu, dia masih dapat merasakan kehadiran Fauzan dekat dengannya.
Scha (berbisik perlahan) : "Abang, sayang rindu..."
Dia menutup matanya, membayangkan Fauzan ada di sisinya, seperti biasa menenangkan hatinya.
Jarak beribu kilometer ini tak akan pernah mengubah rasa cintanya. Dan dia yakin, setiap malam sebelum tidur, mereka berdua melakukan perkara yang sama, memeluk rindu yang tak terucap sambil berharap masa berlalu lebih pantas agar mereka dapat bertemu kembali.
Bunyi loceng bergema di dalam bilik Scha. Dia yang baru sahaja ingin memejamkan mata terkebil-kebil memandang pintu. Siapa pula yang datang malam-malam macam ni? Dengan rasa malas, Scha bangun dari katil dan melangkah ke pintu.
Sebaik sahaja dia membukanya, wajah Encik Akmal muncul di hadapan pintu dengan senyuman sinis.
Encik Akmal: “Scha, jom keluar makan.”
Scha memandangnya dengan riak wajah bosan.
Scha: “Saya tak lapar, Encik Akmal. Lagipun, saya letih.”
Encik Akmal masih berdiri di hadapan pintu tanpa menunjukkan tanda ingin beredar.
Encik Akmal: “Janganlah macam ni. Kita dah sampai Korea dah pun, takkan awak masih nak jauhkan diri daripada saya?”
Scha menghela nafas panjang. Dia melipat tangan ke dada sebelum bertanya dengan sinis.
Scha: “Kenapa tak bawa isteri awak sekali?”
Senyuman Encik Akmal sedikit pudar, tapi dia cepat-cepat menutupnya dengan ketawa kecil.
Encik Akmal: “Isteri saya sibuk kat KL, saya tak nak ganggu dia. Lagipun, ni cuma makan malam biasa. Tak salah kan kalau kita berbual macam dulu?”
Scha menjeling tajam.
Scha: “Dulu saya bodoh sebab percaya kata-kata awak. Tapi sekarang, saya tak akan ulang kesilapan yang sama.”
Kata-kata Scha membuatkan Encik Akmal diam seketika. Namun, dia tetap cuba mengawal ekspresi wajahnya.
Encik Akmal: (ketawa kecil) “Baiklah, kalau awak tak nak makan dengan saya, saya takkan paksa. Tapi Scha…” (dia bersandar di tepi pintu) "Kita baru je nak mulakan kehidupan kat sini. Saya harap hubungan kerja kita berjalan dengan lancar.”
Scha hanya memandangnya tanpa berkata apa-apa. Dia kemudian menutup pintu dengan perlahan tanpa mengucapkan selamat malam.
Sebaik sahaja pintu tertutup, Scha mengeluh perlahan. Dia menyandarkan diri pada pintu dan menggenggam telefon bimbitnya. Hatinya terasa berat.
Share this novel