Bab 12

Romance Series 2942

Setelah tiba di rumah yang telah lama ditinggalkannya selama lima tahun, Scha berdiri di depan pintu, memegang kunci yang sudah lama tidak digunakan. Perlahan-lahan, dia memasukkan kunci ke dalam lubang dan memutarnya. Pintu terbuka, memperlihatkan ruang tamu yang dipenuhi debu dan bau yang sedikit asing.

Dia melangkah masuk, menarik nafas dalam. Rumah ini penuh dengan kenangan, tetapi segalanya terasa berbeza sekarang. Scha meletakkan begnya di sudut dan berjalan ke ruang tamu, jari-jarinya menyentuh perabot yang dulu sering dia gunakan.

Dengan langkah lesu, dia duduk di sofa dan menyandarkan kepalanya. Letih. Bukan hanya kerana perjalanan jauh, tetapi juga kerana perasaan yang bercampur aduk.

"Lima tahun, banyak benda yang berubah. Termasuk aku, termasuk dia." Scha berbisik perlahan, memejamkan mata sejenak.

Tanpa disedari, air matanya menitis perlahan. Dia cuba menenangkan diri, tetapi fikirannya masih dihantui oleh Fauzan.

Pada pukul 10 malam, perut Scha mula berkeroncong. Seharian dia hanya berehat di rumah setelah kepenatan perjalanan jauh dari Korea ke Malaysia. Tanpa berfikir panjang, dia mencapai beg kecilnya dan keluar untuk mencari makanan.

Udara malam terasa nyaman, jalan raya masih sibuk dengan kenderaan yang lalu lalang. Scha berjalan kaki ke sebuah restoran yang biasa dikunjunginya dahulu, merindui makanan tempatan yang sudah lama tidak dinikmatinya.

Setibanya di persimpangan jalan, dia berhenti di tepi laluan pejalan kaki, menunggu lampu hijau menyala. Scha memeluk tubuhnya sendiri, bukan kerana kesejukan, tetapi kerana perasaan yang entah kenapa terasa berat malam itu.

Saat dia mengangkat kepala, matanya terpandang seseorang di seberang jalan.

Fauzan.

Dia berdiri di sana, juga sedang menunggu lampu hijau untuk melintas. Mereka saling berpandangan, jarak di antara mereka terasa begitu dekat tetapi hakikatnya jauh.

Scha menahan nafas. Jantungnya berdegup laju. Dia tidak sangka akan bertemu Fauzan secepat ini. Lelaki itu kelihatan berbeza, lebih matang tetapi sorot matanya kosong. Tiada lagi sinar seperti dahulu.

Dia mahu melambai, mahu menyapa, tetapi mulutnya seakan terkunci.

Lampu hijau menyala. Scha melangkah sedikit ke hadapan, berharap Fauzan juga akan melakukan perkara yang sama. Namun, Fauzan hanya berdiri diam sebelum akhirnya mengalihkan pandangan dan melangkah pergi ke arah bertentangan.

Scha terkedu.

Dia hanya mampu memandang belakang Fauzan yang semakin jauh, seolah-olah lelaki itu tidak pernah mengenalinya.

Scha menundukkan kepala, matanya terasa panas. Air mata yang ditahannya sejak tadi akhirnya jatuh juga.

Dia melangkah perlahan, menyapu air mata yang mengalir di pipinya. Entah kenapa, melihat Fauzan berpaling dan pergi tanpa sepatah kata terasa lebih menyakitkan daripada perpisahan mereka tiga tahun lalu.

Setiap langkahnya terasa berat. Bayangan Fauzan terus bermain di fikirannya.

"Dia betul-betul dah lupakan aku ke?" Scha bertanya dalam hati.

Jalan raya tetap sibuk seperti biasa, tetapi dalam dunianya, segalanya terasa sunyi. Scha terus berjalan tanpa arah, membiarkan air mata mengalir tanpa henti.

• • • • • •

Keesokan harinya di pejabat, suasana sibuk seperti biasa. Para staf sibuk dengan kerja masing-masing, termasuk Fauzan yang tekun menghadap skrin komputernya.

Tiba-tiba, pintu pejabat terbuka, dan langkah seorang wanita menarik perhatian semua orang. Bos tersenyum sambil berkata "Okay semua, perkenalkan ini Scha. Kalau korang ingat lagi, dulu dia pernah bekerja di sini. Kemudian, dia dipindahkan ke Korea selama lima tahun dan sekarang dia kembali bekerja di sini semula."

Scha tersenyum nipis dan mengangguk, cuba mengawal perasaan gugupnya. "Scha, ini tempat awak. Masih di tempat yang sama, ya," tambah bos sebelum beredar.

Scha melangkah perlahan ke mejanya. Semuanya masih sama seperti dulu, tapi hatinya terasa lain. Beberapa rakan sekerja datang menyambutnya.

"Welcome back, Scha!" ujar seorang staf dengan gembira.

"Lama tak jumpa! Mesti best kan kerja di luar negara?" tambah seorang lagi.

Scha hanya membalas dengan senyuman. Matanya melirik ke arah Fauzan yang masih duduk di mejanya, tidak memberi sebarang reaksi. Tiada ucapan selamat datang, tiada senyuman.

Scha menelan liur. Dia tahu, hubungan mereka sudah tidak sama seperti dulu.

Seorang staf menepuk bahu Fauzan perlahan sambil tersenyum. "Fauzan, tak nampak Scha ke? Dulu kan korang rapat."

Fauzan akhirnya mengangkat wajahnya, memandang Scha dengan ekspresi kosong. Setelah beberapa saat, dia hanya berkata dengan nada datar "Selamat kembali, senior."

Scha sedikit tersentak dengan panggilan itu. Dulu, Fauzan tidak pernah memanggilnya begitu. Dia cuba membalas senyuman, tapi senyumannya terasa hambar.

Pejabat terasa sunyi seketika sebelum staf lain bersuara ceria, cuba menceriakan suasana. "Okay lah, jom semua. Kita buat jamuan kecil untuk Scha malam ni!"

Semua bersetuju dengan idea itu, kecuali Fauzan yang kembali menumpukan perhatian pada kerjanya tanpa berkata apa-apa lagi. Scha menghela nafas perlahan. Dia tahu, keadaan antara mereka berdua sudah berubah.

Fauzan mengangkat kepalanya seketika sebelum menjawab dengan tenang, "Maaf, akak. Malam ni saya tak boleh pergi, saya dah janji dengan kawan saya."

Scha yang mendengar jawapan itu hanya diam. Dahulu, Fauzan selalu ada untuknya, tetapi kini semuanya terasa berbeza. Dia cuba meyakinkan dirinya bahawa ini yang terbaik.

"Oh, tak apa lah. Lain kali kita plan lagi." staf itu membalas dengan senyuman.

Fauzan sekadar mengangguk dan kembali menumpukan perhatian pada skrin komputernya. Scha menundukkan wajah, menggenggam tangannya sendiri. Dia sedar, jarak antara mereka kini lebih jauh daripada yang pernah dia bayangkan.

• • • • • •

Jam menunjukkan pukul 8 malam, menandakan waktu pulang. Fauzan berdiri di hadapan lif sambil memeriksa telefonnya, menunggu pintu terbuka.

Saat lif terbuka, Scha melangkah masuk tanpa menyedari siapa yang berada di luar. Namun, ketika dia berpaling, matanya bertemu dengan Fauzan.

Fauzan langsung mengalihkan pandangannya. Dia tidak masuk ke dalam lif bersama Scha, sebaliknya, dia hanya berdiri di luar dengan wajah tanpa ekspresi.

Scha sempat membuka mulut untuk berkata sesuatu, tetapi pintu lif tertutup perlahan-lahan sebelum sempat dia bersuara.

Di luar, Fauzan menghela nafas panjang, menekan butang lif semula. Dia sanggup menunggu lif lain, hanya kerana dia tidak mahu berada di dalam ruang yang sama dengan Scha, walaupun hanya untuk beberapa saat.

Keluar saja dari lif, Fauzan baru saja ingin melangkah pergi. Tiba-tiba ada satu suara lembut menegurnya dari belakang.

“Fauzan!”

Langkahnya terhenti. Dia kenal suara itu. Perlahan-lahan, dia berpaling.

Di hadapannya, berdiri seorang wanita dengan senyuman manis. Mata wanita itu bersinar kegembiraan saat melihat Fauzan.

“Dah lama saya tunggu awak.” sambung wanita itu, nada suaranya penuh rasa rindu.

Scha yang baru keluar dari lif di belakang Fauzan terhenti seketika, menyaksikan adegan itu. Hatinya bergetar tanpa dia sendiri memahami perasaannya.

Fauzan memandang wanita itu, bibirnya sedikit mengukir senyuman.

“Awak…”

Scha hanya mampu berdiri kaku, menyedari sesuatu. Fauzan kini mungkin sudah benar-benar melangkah pergi dari hidupnya.

Scha segera melangkah ke tepi dan menyorok di sebalik dinding, hatinya berdebar. Dia tidak tahu kenapa dia bertindak begitu, tapi kakinya terasa berat untuk pergi.

Dari tempatnya berdiri, dia dapat mendengar dengan jelas perbualan antara Fauzan dan wanita itu, Sophea. Scha masih ingat nama itu. Lima tahun yang lalu, mereka pernah berjumpa di sebuah restoran ketika dia dan Fauzan keluar makan.

"Sophea, lama tak jumpa," suara Fauzan kedengaran tenang.

"Ya, awak. Saya pun tak sangka boleh jumpa awak dekat sini. Rasa macam mimpi." jawab Sophea dengan nada ceria.

Scha menggigit bibir. Hatinya berasa aneh mendengar cara wanita itu memanggil Fauzan dengan mesra.

"Macam mana awak sekarang?" tanya Fauzan lagi.

"Saya okey… Tapi saya lebih gembira kalau awak ada dengan saya," ujar Sophea dengan suara perlahan, seakan malu.

Scha mengepalkan tangannya, cuba menahan perasaan yang bercampur-baur dalam hatinya. tiga tahun dia meninggalkan Fauzan dan kini... adakah Fauzan sudah benar-benar menemui penggantinya?

Sophea tersenyum memandang Fauzan.

Sophea: "Awak, jom kita pergi makan dulu?"

Fauzan: "Hm, boleh la."

Scha yang baru keluar dari pejabat tiba-tiba terhenti langkahnya. Dari jauh, dia mendengar dengan jelas jawapan Fauzan. Hatinya terasa berat. Dia masih ingat bagaimana Fauzan menolak untuk hadir ke jamuan kecil menyambut kepulangannya, tetapi kini dengan mudahnya dia bersetuju untuk keluar makan bersama Sophea.

Scha tunduk sedikit, cuba menelan rasa yang mula menyelinap dalam hatinya. "Kenapa aku rasa macam ni? Aku yang lepaskan dia dulu… aku tak berhak rasa apa-apa pun."

Tanpa berlama-lama, Scha mengatur langkah menjauhi mereka. Dia tak mahu Fauzan atau sesiapa perasan perasaannya yang mula goyah. Namun, dalam hati kecilnya, dia sedar rasa itu masih ada.

• • • • • •

Scha berbaring di atas katil, memandang skrin telefonnya dengan perasaan yang bercampur-baur. Hatinya berbelah bahagi, patutkah dia menghantar mesej kepada Fauzan? Setelah beberapa minit berfikir, akhirnya dia mengumpul keberanian dan menaip pesanan ringkas.

"Abang sihat?"

Namun, sebaik sahaja dia menekan butang hantar, mesej itu tidak sampai. Scha cuba sekali lagi, tetapi hasilnya tetap sama. Perasaan resah mula merayap dalam hatinya. Dengan jari yang sedikit menggigil, dia cuba menelefon Fauzan.

"Nombor yang anda dail tidak dapat dihubungi."

Scha terdiam. Bibirnya sedikit bergetar. Dia cuba membuka aplikasi lain, mencari nama Fauzan di dalam senarai kenalan, tetapi akaunnya juga telah tiada.

Ketika itu, barulah Scha sedar yang Fauzan telah menyekat nombornya.

Perlahan-lahan, telefonnya terjatuh dari genggaman. Matanya mula berkaca. Dia tidak menyangka sejauh ini Fauzan mahu melupakannya. Scha menutup wajahnya dengan tangan, menahan sebak yang semakin menyesakkan dada.

"Abang betul-betul dah buang sayang dari hidup abang?"

Scha merenung siling biliknya, matanya kosong, tetapi hatinya penuh dengan penyesalan. Dia menarik nafas panjang, cuba menenangkan dirinya, tetapi setiap kali mengingat kembali apa yang telah berlaku tiga tahun lalu, hatinya semakin sakit.

"Aku yang minta dia pergi, aku yang buat keputusan untuk tinggalkan dia, tapi kenapa hati aku sakit sangat sekarang?"

Dia menggenggam selimutnya erat. Ingatan tentang Fauzan menunggunya selama dua tahun, tentang panggilan yang tidak dijawab, mesej yang tidak dibalas, semuanya kembali menghantui dirinya.

"Fauzan setia menunggu aku, tapi aku pula yang memilih untuk menghancurkan hati dia. Aku yang biarkan dia pergi tanpa penjelasan sebenar."

Scha menutup matanya, tetapi air mata tetap mengalir perlahan ke pipinya. Malam itu, dia sedar bahawa kesilapan yang dilakukannya tiga tahun lalu tidak boleh dipadam begitu saja. Dan kini, mungkin sudah terlambat untuk dia kembali kepada Fauzan.

Tiba-tiba, kata-kata Encik Akmal kembali terngiang di kepalanya.

"Kita tengok sejauh mana hubungan ni, selalunya hubungan jarak jauh ni takkan bertahan lama, Scha."

Scha mengetap bibirnya, hatinya terasa semakin berat. Kata-kata itu dulu hanya dianggap sebagai provokasi, tetapi kini, semuanya seolah-olah menjadi kenyataan.

"Betul ke hubungan ni memang tak boleh bertahan? Atau aku sendiri yang menjadikannya begitu?"

Dia memejamkan mata rapat-rapat, cuba menolak rasa bersalah yang semakin menghimpit. Hakikatnya, bukan jarak yang memisahkan mereka. Tetapi dirinya sendiri yang membuat keputusan untuk menjauh.

Scha menarik nafas dalam-dalam. Dia tahu, walaupun dia menyesal sekarang, mungkin semuanya sudah terlambat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience