Bab 2

Romance Series 2942

Setelah waktu kerja tamat, Fauzan melangkah masuk ke dalam lif. Dia bersandar di dinding lif sambil memejamkan mata seketika, cuba menghilangkan kepenatan yang bukan sahaja datang dari tubuh, tetapi juga dari perasaannya sendiri.

Saat pintu lif terbuka di tingkat bawah, matanya terpaku pada satu pemandangan yang tidak dijangka. Dia ternampak Encik Akmal sedang berjalan keluar dari bangunan pejabat tetapi bukan bersama Scha.

Sebaliknya, dia ditemani seorang wanita lain. Wanita itu kelihatan anggun dengan pakaian kemas, rambutnya panjang mengurai dan mereka kelihatan mesra berbual sambil sesekali ketawa kecil.

Fauzan mengecilkan matanya, cuba memastikan apa yang dilihatnya itu benar.

Hatinya mula berbisik. "Siapa perempuan itu?"

Tanpa berfikir panjang, Fauzan mengambil keputusan untuk mengekori mereka dari belakang. Langkahnya berhati-hati, tidak mahu menimbulkan syak wasangka.

Encik Akmal dan wanita itu berjalan menuju ke sebuah restoran yang terletak tidak jauh dari bangunan pejabat. Mereka memilih meja yang agak tersorok di satu sudut.

Fauzan masuk ke restoran itu perlahan-lahan, memilih tempat duduk yang tidak terlalu jauh, cukup untuk dia melihat dan mendengar perbualan mereka.

Fauzan memasang telinga dengan penuh teliti. Dia tidak mahu terlepas satu pun butir perbualan antara Encik Akmal dan wanita itu.

Namun, apa yang didengarnya sebentar tadi benar-benar membuatkan jantungnya seakan berhenti berdetak.

"Esok waktu lunch kita pergi ke butik, ya sayang? Kita kena pilih baju pengantin sebelum tarikh nikah kita makin dekat."

Fauzan tersentak. Matanya membulat.

Baju pengantin? Nikah?

Dia segera memandang ke arah pasangan itu. Encik Akmal kelihatan begitu tenang, berbual mesra dengan wanita tersebut seolah-olah tiada apa-apa yang perlu dirahsiakan.

Tetapi bagaimana dengan Scha? Adakah Scha tahu tentang perkara ini? Atau Scha sebenarnya hanya menjadi permainan Encik Akmal selama ini?

Fauzan menggenggam penumbuk di bawah meja. Dadanya berombak menahan amarah.
Dia perlu lakukan sesuatu dan tidak sanggup membiarkan Scha terus berada dikhianati.

• • • • • •

Pagi itu, pejabat seperti biasa tenang dan sibuk dengan kerja masing-masing. Namun, mata Fauzan tajam memerhati setiap pergerakan Scha.

Dia melihat Scha berjalan perlahan menuju ke bilik Encik Akmal. Tidak mahu menarik perhatian sesiapa, wanita itu masuk dengan senyap, hanya Fauzan sahaja yang menyedarinya.

Di dalam bilik, Scha berdiri di hadapan meja Encik Akmal dengan senyuman manis.

“Awak, lunch kita keluar sekali?” soalnya dengan nada lembut.

Encik Akmal yang sedang meneliti dokumen di hadapannya mengangkat kepala. Seketika, dia diam sebelum menjawab, “Sorry awak, harini tak boleh. Saya dah janji dengan kawan saya, Ada hal nak diuruskan.”

Scha terdiam sejenak, namun masih cuba untuk tersenyum seperti biasa. “Ouh, takpelah kalau macamtu.”

Dia berpura-pura tidak kisah, tetapi Fauzan yang berada di luar hanya mampu menggenggam tangannya kuat.

"Janji dengan kawan?"

Fauzan tahu itu bukan kawan biasa. Itu adalah tunang Encik Akmal.

Hati Fauzan semakin membuak-buak. Scha tidak tahu apa-apa, sedangkan dia sudah tahu kebenaran yang terselindung di sebalik hubungan mereka.

Sebaik sahaja Scha keluar dari bilik Encik Akmal, dia menarik nafas perlahan. Wajahnya tetap tenang, seolah-olah tiada apa yang mengganggu fikirannya.

Namun, langkahnya terhenti apabila seorang staf tiba-tiba menegurnya.

"Scha, tolong angkat kotak kosmetik ni dan letak dekat bilik pengurusan barang."

Scha memandang kotak besar yang terletak di hadapannya. Dia menghela nafas dan spontan memanggil pembantunya.

“Fauzan!”

Dari mejanya, Fauzan segera menoleh.

“Ya, senior!”

“Tolong saya angkat kotak ni letak kat belakang.”

Fauzan tidak membantah. Dengan pantas, dia bangun dari tempat duduknya dan berjalan ke arah Scha. Dia melihat kotak itu sebelum mengangkatnya dengan mudah.

"Berat ke, senior?" soal Fauzan sambil berjalan menuju ke bilik pengurusan barang.

Scha tersenyum kecil. "Kalau berat pun, saya kena angkat jugak. Tapi kan ada awak, boleh tolong."

Fauzan diam. Kata-kata Scha itu membuatkan dia berfikir jauh. Kalau Scha tahu apa yang dia tahu, adakah dia masih boleh berdiri kuat seperti ini? Atau akhirnya Scha juga akan jatuh terluka?

Fauzan menelan perasaan itu.

Untuk hari ini, biarlah dia hanya membantu Scha mengangkat kotak ini. Tetapi sampai bila dia harus membiarkan Scha mengangkat beban yang lebih berat di hatinya?

• • • • • •

Bilik penyimpanan barang itu sunyi, hanya bunyi penghawa dingin yang kedengaran. Selepas selesai meletakkan kotak, Fauzan masih berdiri di situ. Scha memandangnya dengan dahi berkerut, seakan tertanya-tanya kenapa Fauzan tidak terus keluar dari bilik itu.

Fauzan menarik nafas dalam. "Senior, saya nak cakap sikit boleh?"

Scha tersenyum kecil, tidak menyedari riak wajah Fauzan yang serius. "Ya, boleh. Cakaplah."

Fauzan menelan air liur, lalu memandang tepat ke dalam mata Scha. Dia tahu kata-kata ini mungkin akan menyakitkan, tetapi dia tidak sanggup melihat Scha terus diperbodohkan.

"Senior, sebenarnya saya terdengar apa yang senior cakap dengan Encik Akmal kat dalam bilik dia tadi, korang sebenarnya couple senyap-senyap kan?"

Scha tergamam. Pandangannya serta-merta berubah. "Fauzan, awak ni kenapa tiba-tiba tanya macam ni?"

Namun, Fauzan tidak berhenti di situ.

"Senior, dia curang!"

Scha mengerutkan dahi. Nada suaranya mula berubah. "Apa awak cakap ni?"

Fauzan menggenggam tangannya. Dia tahu ini bukan sesuatu yang mudah untuk diterima. Tetapi Scha perlu tahu.

"Saya nampak dengan mata saya sendiri semalam. Encik Akmal keluar dengan seorang perempuan. Dia bukan kawan biasa, senior. Saya dengar sendiri yang mereka akan pergi butik untuk beli baju pengantin tengahari ni."

Scha terkedu, senyumannya perlahan-lahan pudar. Matanya berkelip beberapa kali, seolah-olah cuba menghadam setiap perkataan yang baru didengarnya.

Baju pengantin?

Hatinya mula berdegup kencang. Namun, di dalam fikirannya, dia menolak kenyataan itu.

Scha masih diam, cuba mencerna setiap kata-kata Fauzan. Hatinya berdegup kencang, tetapi dia tidak mahu percaya begitu sahaja.

"Senior!" Fauzan bersuara lagi, lebih tenang tetapi tetap tegas. "Kalau senior tak percaya, lunch nanti kita pergi sendiri ke butik pengantin tu."

Scha terkedu.

Fauzan yakin dengan kata-katanya. Itu yang membuatkan Scha mula rasa gelisah.

"Saya cuma tak nak senior terus tertipu." Fauzan menyambung lagi. "Saya tahu senior percaya dia, tapi kadang-kadang, orang yang kita paling percaya itulah yang paling banyak rahsiakan sesuatu dari kita."

Scha mengetap bibir, kepalanya terasa berat. Dia ingin membela Encik Akmal, tetapi di sudut hatinya, ada rasa takut. Takut kalau kata-kata Fauzan itu benar.

Akhirnya, Scha menarik nafas panjang dan mengangguk perlahan. "Baiklah, kita pergi."

Fauzan melepaskan nafas lega. "Percayalah senior, saya cuma nak tunjukkan kebenaran."

Dalam hati, Scha berharap semua ini hanya salah faham. Tetapi entah kenapa, ada satu perasaan tidak enak yang mula menyelinap dalam dirinya.

Scha dan Fauzan berdiri di tengah butik yang dipenuhi dengan gaun pengantin yang indah, sut elegan, dan aksesori perkahwinan yang berkilauan. Hati Scha masih berdebar, tetapi dia cuba mengawal emosinya.

Seorang pekerja butik menghampiri mereka dengan senyuman ramah.

"Hai, nak cari baju pengantin ke?" tanya pekerja itu mesra.

Scha cepat-cepat menggeleng sambil tersenyum tipis. "Tak, kami datang nak tengok-tengok dulu."

"Baik, kalau ada apa-apa panggil saya ya."

Scha mengangguk, manakala Fauzan hanya memerhatikan sekeliling butik, menunggu dengan penuh kesabaran. Dia mahu Scha melihat sendiri dengan matanya.

Selepas beberapa minit, pintu butik terbuka.

Scha yang sedang memerhati koleksi gaun di hadapannya tiba-tiba membeku, nafasnya seakan terhenti.

Encik Akmal melangkah masuk ke dalam butik bersama seorang wanita. Dan yang lebih menyakitkan, mereka berpegangan tangan.
Jari-jari mereka bertaut erat, seolah-olah mereka sepasang kekasih yang bahagia memilih pakaian untuk hari istimewa mereka.

Fauzan yang berdiri di sebelah Scha turut menyaksikan situasi itu. Dengan pantas, dia menarik lengan Scha dan membawa dia ke satu sudut yang tersembunyi di belakang rak gaun pengantin. Mereka berdua menyorok, memerhati dari jauh.

Scha menggigit bibirnya. Matanya tidak berkedip melihat lelaki yang selama ini dia percaya sedang tersenyum mesra dengan wanita lain.

Fauzan dapat melihat Scha cuba menahan emosinya. Tetapi genggaman tangannya yang semakin kuat menunjukkan perasaannya tidak stabil.

Encik Akmal berbual dengan pekerja butik. "Saya nak cari sut yang sesuai untuk majlis saya nanti."

Scha menarik nafas panjang. Jantungnya terasa bagai dihempap sesuatu yang berat.
Kini, dia tidak boleh lagi menafikan apa yang ada di depan matanya. Lelaki yang dia cintai sebenarnya bakal menjadi suami orang lain.

Air mata mula mengalir di pipi Scha. Tangannya mengepal kuat, cuba menahan perasaan yang semakin menyesakkan dada.

"Kenapa ?" suaranya bergetar, hampir berbisik. Kepalanya tertunduk, tidak sanggup lagi melihat pemandangan yang merobek hatinya. "Kenapa semua ini harus terjadi pada saya?"

Fauzan yang berdiri di sebelahnya menggenggam penumbuk. Hatinya sakit melihat Scha dalam keadaan sebegini.

"Sabar senior!" katanya perlahan, cuba menenangkan.

Namun, Scha menggeleng. Tangisannya makin deras. "Saya cintakan dia, Fauzan! Saya benar-benar cintakan dia! Tapi kenapa dia sanggup curang dengan saya? Kenapa dia buat saya macam ni?"

Fauzan memejam mata seketika sebelum menarik nafas panjang. Dia sudah cukup lama menyimpan perasaannya. Mungkin ini masa yang tepat untuk Scha tahu sesuatu yang dia pendam selama ini.

"Senior…" Fauzan bersuara, tenang tetapi penuh dengan perasaan. Scha mengangkat wajahnya perlahan, memandang Fauzan dengan mata yang basah.

"Selama ini, senior tak pernah sedar ada seseorang yang mencintai senior dengan sepenuh hati. Sejak pertama kali saya jumpa senior, hati saya sudah terpaut. Tapi senior tak pernah pandang saya, tak pernah tahu perasaan saya."

Scha tergamam. Dia tidak pernah menyangka Fauzan akan berkata begitu.

"Saya tak perlukan senior untuk balas perasaan saya" Fauzan menyambung lagi, lirih. "Saya cuma tak sanggup tengok senior terluka untuk seseorang yang tak pernah menghargai senior."

Scha mengalihkan pandangannya. Kata-kata Fauzan menusuk ke dalam hati.

Fauzan menggenggam erat tangannya, menahan rasa sakit yang mula menyelinap ke dalam hatinya.

"Kenapa senior bodoh sangat sampai tak boleh menilai siapa yang benar-benar ikhlas dan siapa yang hanya mempermainkan perasaan?" suaranya sedikit bergetar, tetapi matanya tajam memandang Scha yang masih basah dengan air mata.

Scha tersentak. Hatinya berkecamuk antara sedih dan marah.

"Apa awak cakap ni?" Scha membalas, suaranya naik sedikit. "Saya tak pernah cintakan awak, Fauzan! Tak pernah!"

Kata-kata itu bagaikan belati yang menikam dada Fauzan. Dia sudah bersedia untuk tidak mengharapkan apa-apa, tetapi mendengarnya secara langsung dari mulut Scha membuatkan semuanya terasa lebih menyakitkan.

Fauzan tersenyum pahit. Dia mengangguk perlahan, cuba menghadam setiap kata-kata itu.

"Saya tahu…" suaranya perlahan, hampir berbisik. "Saya tahu senior tak pernah pandang saya, tak pernah anggap saya lebih daripada sekadar seorang PA yang tak ada apa-apa. Saya cuma nak senior buka mata. Saya tak harap senior balas perasaan saya… saya cuma tak sanggup tengok senior hancur kerana orang yang tak pernah layak untuk cinta senior."

Scha menggigit bibirnya. Dia ingin membalas, tetapi hatinya sendiri berperang dengan perasaan yang berkecamuk.

Fauzan menghela nafas panjang. "Tak apa... kalau itu yang senior rasa, saya terima." Dia melangkah ke belakang, bersedia untuk pergi. "Tapi satu hari nanti, senior akan sedar. Siapa yang benar-benar mencintai dan siapa yang hanya mempermainkan."

Scha hanya diam, hatinya semakin pedih. Tetapi dalam diam, kata-kata Fauzan mula tersemat dalam fikirannya dan dia mula tertanya-tanya, adakah selama ini dia benar-benar buta?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience