Bab 14

Romance Series 2942

Fauzan memegang tangan tok kadi dengan erat. Suaranya tenang tetapi penuh kepastian.

"Aku terima nikahnya Nur Sophea Amanda binti Ahmad Riduan…"

Scha hanya mampu berdiri kaku di hujung ruangan, menyaksikan segalanya dengan mata berkaca. Hatinya seolah-olah hancur berkeping-keping. Bibirnya ingin bersuara, ingin menjerit, ingin mengatakan sesuatu tetapi suaranya tersekat di kerongkong.

Dia mahu berlari ke arah Fauzan, mahu menariknya pergi, mahu mengatakan bahawa dia masih mencintainya tetapi kakinya terasa berat.

"Kenapa aku biarkan semua ini berlaku?" Scha menyoal dirinya sendiri.

Tiba-tiba, bunyi suara orang berselawat bergema, mengiringi lafaz ijab kabul yang baru saja selesai. Air mata Scha jatuh tanpa mampu ditahan lagi.

"Tak! Ini bukan kenyataan!"

Scha tersentak. Matanya terbuka luas. Nafasnya tercungap-cungap. Dia memandang sekeliling biliknya gelap, hanya lampu kecil di sisi katil yang menyala.

Dia duduk tegak, memegang dadanya yang berdegup kencang. Mimpi, hanya mimpi…

Tetapi perasaannya masih terasa nyata.

Scha menunduk, air mata masih mengalir. "Kenapa aku takut dia betul-betul jadi milik orang lain?"

Dia mengusap wajahnya perlahan, cuba menenangkan diri. Dan kembali baring di katil.

• • • • • •

Keesokannya di pejabat, Fauzan melangkah masuk dengan langkah tenang seperti biasa. Namun, matanya secara refleks memandang ke arah meja Scha.

Dia memandang ke arah meja Scha, tetapi kosong. Scha tiada di tempatnya. Dahulu, sebelum semua ini berlaku, Scha selalu menjadi orang pertama yang sampai ke pejabat. Tapi sekarang… entah kenapa, keadaan terasa berbeza.

Fauzan menghela nafas perlahan. Dia cuba mengabaikan perasaan aneh yang menyelinap di hatinya. Lantas, dia bergerak menuju ke dapur untuk mengambil secawan kopi seperti biasa.

Namun, langkahnya terhenti sebaik saja dia sampai di pintu dapur.

Matanya tertancap pada satu pemandangan yang membuatkan darahnya mendidih, Encik Akmal sedang berdiri terlalu hampir dengan Scha.

"Scha, awak dah lama balik ke Malaysia, takkan masih nak jual mahal dengan saya?" Suara Encik Akmal kedengaran sedikit mendesak.

Scha kelihatan tidak selesa. Dia cuba berundur, tetapi Encik Akmal masih di situ, senyuman sinis terukir di wajahnya.

"Saya cuma nak berbual dengan awak, Scha. Saya boleh belanja awak lunch nanti."

"Maaf, Encik Akmal. Saya sibuk." Scha cuba menolak dengan lembut.

Fauzan mengepal tangannya. Matanya tajam memandang situasi itu. Tanpa berfikir panjang, dia melangkah masuk ke dapur.

"Encik Akmal, ada apa-apa masalah ke?" Suaranya tenang, tetapi cukup tegas untuk membuatkan Encik Akmal menoleh.

Encik Akmal tersengih kecil. "Oh, Fauzan. Tak ada apa-apa, saya cuma berbual dengan Scha."

Fauzan menatap lelaki itu dengan pandangan dingin. Dia kemudian memandang Scha. "Scha, awak okay?"

Scha mengangguk perlahan, tetapi Fauzan dapat melihat wajahnya yang jelas tidak selesa.

Tanpa menunggu lebih lama, Fauzan mendekati Scha dan berdiri di sebelahnya, mencipta jarak antara Encik Akmal dan Scha.

Encik Akmal akhirnya melangkah keluar, meninggalkan Scha dan Fauzan berdua di dapur.

Fauzan mengalihkan pandangan ke arah Scha. "Awak pasti awak okay?"

Scha mengangguk lagi, tetapi kali ini dia menundukkan wajah. "Terima kasih, Fauzan."

Fauzan hanya diam. Dia tidak tahu apa yang perlu dia katakan lagi.

Namun, satu perkara yang pasti walaupun dia cuba menafikannya, dia masih peduli terhadap Scha.

Scha menggigit bibir, menatap Fauzan dengan mata yang sedikit bergetar. Dia tahu, lelaki di hadapannya itu bukan lagi Fauzan yang dulu. Tapi… hatinya masih berharap.

"Awak masih cintakan saya, kan?" suaranya perlahan, hampir seperti bisikan, tetapi cukup jelas untuk Fauzan dengar.

Fauzan menghela nafas panjang, matanya tajam menikam pandangan Scha. "Saya selamatkan awak tak bermaksud saya cintakan awak!" suaranya tegas, dingin, tiada sebarang ruang untuk keraguan.

Scha terkedu. Hatinya terasa seperti dihempap sesuatu yang berat. "Jadi… langsung tak ada perasaan itu lagi?"

Fauzan mengalihkan pandangan, enggan menjawab. Dia menggenggam erat cawan di tangannya, cuba mengawal emosi yang bercampur-baur.

Scha melangkah pergi, meninggalkan Fauzan di dapur seorang diri.

Fauzan masih berdiri di situ, dadanya terasa sesak. Dia mahu melangkah ke depan, mahu menahan Scha tapi kakinya seakan terpasung.

Dia tahu, kata-katanya tadi hanyalah separuh daripada kebenaran. Sebab hakikatnya, perasaannya terhadap Scha masih belum benar-benar mati.

Scha berhenti sejenak sebelum sempat keluar dari dapur. Jari-jemarinya menggenggam erat hujung bajunya, dadanya berombak menahan sebak. Dia menoleh sedikit, cukup untuk melihat Fauzan dari ekor matanya.

"Saya masih cintakan awak. Tolong maafkan saya!" suaranya bergetar, penuh harapan.

Fauzan terpaku. Matanya membeku pada sosok Scha yang masih berdiri di situ, menantikan sesuatu barangkali jawapan, barangkali harapan.

Tapi Fauzan cuma menghela nafas perlahan. Dia menunduk, mengeraskan hatinya. "Scha, awak dah buat pilihan awak tiga tahun lepas."

Scha menggigit bibir, air matanya hampir tumpah. "Saya terpaksa, Fauzan… saya tak pernah berniat nak tinggalkan awak."

Fauzan tersenyum hambar, namun matanya tetap sayu. "Terpaksa atau tidak, ia tetap meninggalkan luka, Scha."

Scha terdiam. Dia sedar, luka yang dia tinggalkan masih belum sembuh.

Tanpa sepatah kata lagi, dia akhirnya melangkah pergi, meninggalkan Fauzan yang masih berdiri kaku di dapur, hanya mampu memandang belakang Scha yang semakin menjauh.

Fauzan bersandar di dinding dapur, melepaskan nafas panjang. Matanya terpejam seketika, hatinya berkecamuk dengan perasaan yang sukar dijelaskan.

"Patutkah aku terima dia semula?"

Dia menggenggam tangannya sendiri, mengenang kembali segala luka yang Scha tinggalkan. Tiga tahun dia cuba untuk melupakan, cuba untuk belajar hidup tanpa wanita itu. Namun, sebaik Scha kembali, hatinya kembali goyah.

Fauzan membuka matanya perlahan, menatap kosong ke hadapan. Dia tahu, cinta itu masih ada. Tapi luka yang ditinggalkan juga masih terasa.

Tanpa menyedari, dari jauh Scha berdiri di balik dinding, mendengar keluhan hati Fauzan. Dadanya terasa sesak, hatinya semakin terluka.

Fauzan menghela nafas perlahan, matanya masih kosong menatap lantai.

"Kalau dia betul-betul nak kan aku balik, dia kena buktikan."

Dia tidak mahu terjatuh dalam perangkap perasaan yang sama. Tidak mahu berharap hanya untuk dikecewakan sekali lagi. Scha mungkin masih mencintainya, tapi kata-kata saja tidak cukup.

Fauzan menegakkan badan, menguatkan hati. Jika Scha benar-benar ingin menebus segalanya, dia perlu lakukan lebih daripada sekadar kata-kata.

Dari jauh, Scha masih berdiri di tempatnya, menggenggam jemarinya erat. Walaupun tidak mendengar apa yang Fauzan bisikkan dalam hati, dia dapat rasa sesuatu… seolah-olah Fauzan belum sepenuhnya menutup pintu untuknya.

Fauzan terus melangkah ke depan, cuba mengabaikan segala perasaan yang berkecamuk di hatinya. Namun, tiba-tiba suara Scha menegurnya dari belakang.

"Awak, nanti kita keluar lunch sekali?"

Fauzan terhenti sejenak. Dia menoleh perlahan, memandang Scha yang berdiri di belakangnya dengan wajah penuh harapan.

Tanpa berfikir panjang, dia membalas, "Hm, boleh je sayang... Maksud saya, Scha."

Scha terdiam, hatinya terasa bergetar mendengar panggilan itu. Walaupun Fauzan segera membetulkan kata-katanya, tetapi nada suaranya tadi... seakan ada sesuatu yang masih tersisa di hati lelaki itu.

Fauzan berdeham kecil, "Jumpa nanti."

Scha hanya mengangguk, tersenyum nipis sebelum melangkah pergi.

Fauzan memandangnya seketika sebelum menghela nafas panjang. "Apa yang aku buat ni?" bisiknya dalam hati. Tanpa dia sedar, hatinya mula goyah.

Scha yang masih berdiri di situ terpaku seketika. Kata-kata Fauzan tadi bermain di fikirannya.

"Sayang?"

Dia mengulang kembali panggilan itu dalam hati. Perlahan, senyuman kecil terukir di bibirnya.

"Dia dah mula terima aku semula?"

Scha menghela nafas lega, hatinya berbunga sedikit. Mungkin masih ada harapan untuk mereka. Mungkin, kali ini dia boleh menebus kesalahannya.

Dengan hati yang sedikit tenang, Scha melangkah menuju ke mejanya, menanti waktu tengah hari dengan penuh harapan.

Waktu makan tengah hari akhirnya tiba. Scha yang sudah bersedia menunggu di tepi mejanya segera menoleh ke arah Fauzan.

"Awak, jom!" Scha mengajaknya dengan penuh semangat.

Fauzan yang masih sibuk menaip sesuatu di komputernya mengangkat tangan sedikit, meminta Scha bersabar.

"Jap, sikit lagi…" katanya tanpa mengalihkan pandangan dari skrin.

Beberapa saat kemudian, dia menutup komputer ribanya dan bangun dari tempat duduk.

"Ok dah. Jom!" katanya sambil tersenyum kecil.

Scha tersenyum juga. Mereka melangkah bersama keluar dari pejabat. Untuk pertama kalinya selepas bertahun-tahun, mereka akhirnya makan bersama lagi.

Di kedai makan, suasana sedikit tenang. Scha dan Fauzan duduk berhadapan, masing-masing dengan makanan yang masih belum terusik.

Scha menggenggam hujung sudu dengan jemarinya, cuba mengumpul keberanian.

"Awak, saya nak cakap sikit boleh?" suara Scha perlahan tetapi jelas.

Fauzan yang sedang mengacau air di hadapannya, mengangkat wajah dan mengangguk tanpa berkata apa-apa.

Scha menarik nafas dalam, cuba mengawal emosinya. Namun, saat dia mula bercakap, suaranya bergetar.

"Saya… saya nak minta maaf. Saya menyesal… saya betul-betul menyesal sebab dulu saya yang minta putus. Saya bodoh, saya takut hubungan kita tak bertahan, saya takut awak terseksa dengan hubungan jarak jauh. Tapi… saya silap. Saya yang buat kita terseksa..."

Air mata mula bergenang di matanya. Scha menunduk sedikit, cuba menahan tangisan, tetapi akhirnya setitik air mata jatuh ke pipinya.

"Maafkan saya, awak..." Scha bersuara dalam esakan kecil, matanya merah menahan sebak.

Fauzan diam. Dia hanya memandang Scha tanpa ekspresi yang jelas. Tidak marah, tetapi juga tidak menunjukkan tanda bahawa dia mahu menghapus air mata itu.

Dia hanya menghela nafas panjang dan terus menunggu Scha meneruskan kata-katanya.

Scha menatap Fauzan dengan penuh harapan.

"Awak boleh terima saya semula dalam hidup awak?"

Fauzan menarik nafas dalam sebelum menjawab, "Buat masa sekarang, saya belum bersedia untuk..."

Dia berhenti seketika, cuba memilih kata yang sesuai. Scha sudah menundukkan wajahnya, menggenggam jari sendiri untuk menahan sebak.

"Saya belum bersedia untuk memberi hati saya sepenuhnya lagi," sambung Fauzan dengan nada perlahan.

Scha hanya angguk perlahan.

Fauzan tidak membalas, dia hanya mencapai sudu dan mula menyuap makanan seperti biasa. Scha yang melihat reaksi itu hanya mampu menelan rasa sedihnya.

• • • • • •

Mereka kembali ke pejabat semula. Masing-masing sibuk dengan kerja, suasana pejabat sunyi dengan bunyi papan kekunci dan kertas yang disusun.

Tiba-tiba, telefon Scha bergetar di atas meja. Dia mengambilnya dan melihat satu mesej dari nombor yang tidak dikenali.

"Assalammualaikum, ni Scha ke? Saya mommy Fauzan, boleh kita jumpa sekejap? Tapi jangan bagitahu Fauzan yang kita jumpa."

Scha terkedu. Hatinya mula berdebar. Kenapa ibu Fauzan mahu berjumpa dengannya? Dan kenapa Fauzan tak boleh tahu?

Dia menoleh ke arah Fauzan yang masih tekun bekerja, langsung tidak menyedari apa yang berlaku. Scha menggenggam telefonnya erat, berfikir sejenak sebelum membalas.

"Waalaikumsalam, ya saya Scha. InsyaAllah, boleh. Puan nak jumpa di mana?"

Beberapa minit kemudian, mesej lain masuk.

"Jumpa saya di kafe dekat dengan pejabat awak, pukul 9 malam nanti."

Scha menarik nafas panjang. Macam-macam bermain di fikirannya.

"Apa sebenarnya yang mommy Fauzan nak cakap dengan aku?" Scha berbisik perlahan, semakin gelisah menanti pertemuan itu.

Scha menaip mesej dengan penuh tanda tanya.

"Kenapa puan nak jumpa saya, ya? Ada urusan penting ke?"

Tidak lama kemudian, telefonnya bergetar.

Scha membaca mesej itu berulang kali. "Ya, penting. Ini membantu awak untuk dapatkan anak saya semula."

Jantungnya berdegup kencang. Maksudnya, Mommy Fauzan mahu membantunya kembali kepada Fauzan? Tapi kenapa?

Scha segera membalas.

"Baik puan, malam ni saya akan datang."

Mesej dibaca tetapi tidak lagi dibalas. Scha menggenggam telefonnya erat. “Apa sebenarnya yang Mommy Fauzan nak aku buat?”

Masa terus berlalu, dan Scha semakin tidak sabar menunggu pukul 6 petang untuk mendapatkan jawapan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience