Setelah sampai di klinik, Scha segera memakirkan kereta dan keluar dengan pantas. Dia membuka pintu di sebelah Fauzan, wajahnya dipenuhi kerisauan.
"Abang, jom cepat masuk" kata Scha sambil cuba menarik tangan Fauzan untuk bangun.
Fauzan menghela nafas perlahan, masih menahan kesakitan di bahagian bibirnya yang lebam akibat tumbukan Encik Akmal tadi. Dia keluar dari kereta dengan sedikit kesukaran, tetapi tetap tersenyum kecil ke arah Scha.
"Sayang, tak perlu risau sangat. Bukan patah riuk pun" ujar Fauzan cuba bergurau, tetapi Scha langsung tidak ketawa.
"Sayang risau tengok abang macam ni," Scha menjeling sebelum menarik Fauzan masuk ke dalam klinik.
Mereka terus ke kaunter pendaftaran, dan Scha segera bersuara kepada petugas di kaunter.
"Akak, suami saya kena tumbuk. Tolong periksa dia cepat!" katanya tanpa sedar.
Fauzan sedikit tersentak. "Suami?" dia mengulang dalam hati, tetapi tidak membantah.
Jururawat segera membawa Fauzan masuk ke bilik rawatan. Scha duduk di sisi Fauzan, masih menggenggam tangannya erat.
Doktor memeriksa luka Fauzan dengan teliti sebelum membersihkan darah kering di bibirnya. "Nasib baik tak serius. Cuma lebam dan luka kecil sahaja. Awak boleh makan ubat tahan sakit kalau rasa tak selesa" kata doktor itu.
Scha mengangguk sebelum Fauzan sempat berkata apa-apa. "Baik, doktor. Saya akan pastikan dia berehat" ujar Scha tegas.
Fauzan tergelak kecil melihat Scha yang seperti seorang isteri menguruskan suami yang cedera.
Keluar dari klinik, mereka berjalan perlahan menuju ke kereta. Scha membuka pintu untuk Fauzan dan membantu dia duduk. Namun, sebelum Scha sempat menutup pintu, Fauzan menarik pergelangan tangannya lembut.
"Sayang..." Fauzan bersuara perlahan.
Scha berpaling, memandangnya dengan mata yang sedikit berkaca. "Kenapa?"
Fauzan menghela nafas sebelum mengangkat tangan dan menyentuh pipi Scha perlahan. "Terima kasih sebab selalu ada dengan abang."
Scha mengangguk kecil. "Saya akan sentiasa ada dengan abang."
Fauzan tersenyum, tetapi kali ini bukan lagi senyuman main-main. Ia penuh dengan rasa syukur.
Malam itu, mereka pulang dalam diam. Tetapi dalam diam itu, mereka sedar bahawa hubungan mereka sudah semakin kuat.
• • • • • •
Sebaik sahaja Scha dan Fauzan melangkah masuk ke pejabat, suasana di ruang kerja menjadi sedikit riuh. Beberapa staf mula mendekati mereka dengan wajah penuh tanda tanya.
"Kau okey ke, Fauzan? Teruk jugak kau kena pukul kelmarin" tanya salah seorang staf dengan nada prihatin.
Fauzan hanya tersenyum kecil sambil mengangguk. "Aku okey, tak ada apa sangat."
Namun, belum sempat dia duduk, seorang lagi staf bersuara dengan nada lebih bersemangat. "Tak sangka eh, korang couple senyap-senyap! Patutlah selalu rapat je"
Scha yang sedang meletakkan beg tangannya terus terkaku seketika. Dia menjeling Fauzan, cuba membaca reaksinya.
"Eh, siapa kata kita couple?" Scha cuba mengelak dengan ketawa kecil, tetapi wajahnya jelas merona merah.
"Alah Scha, semalam kau panik gila bila Fauzan kena pukul. Takkan kawan biasa je, kan?" seorang staf perempuan mengusik lagi.
Fauzan hanya tersenyum, tidak menafikan mahupun mengiyakan. Scha pula hanya menggeleng perlahan sambil tersenyum malu.
Tiba-tiba, suasana pejabat sedikit sunyi apabila Encik Akmal melangkah masuk. Matanya tajam memerhati Scha dan Fauzan sebelum berlalu ke biliknya tanpa sepatah kata.
Scha menelan liur, hatinya berdebar. Dia tahu, ini belum berakhir.
Scha yang sedang menyusun dokumen di mejanya tersentak mendengar kata-kata salah seorang staf.
"Scha, tak sangka dulu kau couple dengan Encik Akmal. Nasib baik terkantoi dia curang, kalau tidak, tak tahu lah" kata seorang staf sambil menggeleng kepala.
Beberapa staf lain yang berada berdekatan mula memberi perhatian. Ada yang mengangguk setuju, ada yang hanya tersenyum sinis. Scha menarik nafas perlahan, cuba mengawal emosinya.
"Itu cerita lama..." Scha bersuara perlahan, tidak mahu mengingati semula luka lama.
Tiba-tiba, Fauzan yang duduk di mejanya mencelah. "Dah lah, jangan ungkit benda yang dah lepas. Scha dah move on." Suaranya tenang tapi cukup tegas untuk menghentikan gosip itu.
Scha memandang Fauzan dengan rasa terharu. Fauzan tetap ada untuk melindunginya.
Namun, perbualan mereka terganggu apabila Encik Akmal tiba-tiba datang dengan ekspresi tegas. Semua staf yang sedang berbual terus terdiam, masing-masing kembali fokus kepada kerja.
"Akan ada mesyuarat dalam masa lima belas minit. Semua staf wajib hadir di bilik mesyuarat" katanya dengan suara yang jelas tetapi dingin.
Scha dan Fauzan saling berpandangan sebelum Scha segera mencapai buku notanya. Fauzan hanya menghela nafas, malas mahu berdepan dengan Encik Akmal selepas insiden semalam.
Sewaktu Scha berjalan menuju ke bilik mesyuarat, dia perasan Encik Akmal sempat menjeling ke arahnya. Pandangan lelaki itu sukar ditafsir, antara marah, kecewa atau masih berdendam.
Fauzan yang perasan keadaan itu berjalan lebih rapat di sebelah Scha, seakan memberi isyarat bahawa dia ada di situ untuk melindungi Scha.
Setelah semua staf mengambil tempat masing-masing, mesyuarat pun bermula. Tetapi Scha tidak dapat menumpukan perhatian sepenuhnya. Firasatnya kuat mengatakan Encik Akmal merancang sesuatu.
Sebaik sahaja mesyuarat hendak dimulakan, tiba-tiba telefon Encik Akmal berdering. Semua mata tertumpu kepadanya apabila dia mengangkat panggilan tersebut dengan dahi sedikit berkerut.
"Hello, ye saya Encik Akmal. Ni siapa ye?"
Suasana bilik mesyuarat sunyi, semua staf menunggu dalam diam sementara Encik Akmal mendengar panggilan itu. Wajahnya tiba-tiba berubah, jelas menunjukkan keterkejutan.
"Kami dari syarikat Klar Kosmetik di Korea, kami ingin memaklumkan bahawa Encik Akmal dan Scha Andini bakal dipindahkan ke ibu pejabat kami di Seoul. Segala persiapan akan dibuat dalam masa dua minggu. Kami harap Encik Akmal dan Scha dapat bersedia untuk perpindahan ini" ujar suara di hujung talian.
Scha yang duduk tidak jauh dari Encik Akmal terkejut besar. "Apa?" bisiknya perlahan, tetapi cukup untuk Fauzan mendengarnya. Fauzan terus memandang Scha dengan ekspresi sukar dipercayai.
Encik Akmal menarik nafas panjang sebelum menjawab, "Baik, saya akan berbincang dengan pihak pengurusan dan Scha mengenai perkara ini. Terima kasih atas makluman."
Sebaik sahaja panggilan ditamatkan, Scha menoleh ke arah Fauzan dengan wajah cemas. Fauzan mengetap bibir, jelas sekali dia tidak menyangka situasi seperti ini akan berlaku.
Encik Akmal meletakkan telefonnya di meja dan memandang Scha dengan tajam. "Nampaknya kita akan bekerja bersama di Korea, Scha" katanya dengan nada yang sukar ditafsir.
Scha hanya mampu menelan air liur, sementara Fauzan menggenggam pen di tangannya dengan erat, berusaha menahan rasa tidak senang yang semakin menyelubungi hatinya.
"Berapa lama tu, Encik Akmal?" tanya Scha, cuba menenangkan debaran di dadanya.
Encik Akmal tersenyum sinis sebelum menjawab dengan tenang, "Lima tahun."
Scha terkedu. "Lima tahun?" ulangnya perlahan, seakan tidak percaya.
Encik Akmal mengangguk. "Ya, lima tahun di Korea. Kau patut rasa bertuah, Scha. Ini peluang besar untuk kau kembangkan kerjaya."
Scha menelan air liur, cuba menyusun kata. "Tapi saya tak pernah setuju dengan perpindahan ni…"
Encik Akmal bersandar di kerusi, matanya tajam menikam Scha. "Sama ada kau setuju atau tidak, pihak syarikat dah buat keputusan. Kontrak dah ada, kau hanya perlu tandatangan."
Fauzan yang sejak tadi diam, akhirnya bersuara. "Scha ada hak untuk memilih. Kalau dia tak nak pergi, syarikat tak boleh paksa dia."
Encik Akmal ketawa kecil. "Fauzan, kau tak tahu apa-apa pasal kerja syarikat ni. Scha pekerja terbaik kita, sebab tu pihak atasan nak dia di sana. Kalau dia tolak, kau tahu apa akibatnya, kan?"
Scha menggenggam hujung bajunya sendiri, fikirannya bercelaru. Dia menoleh ke arah Fauzan yang jelas kelihatan marah. "Macam mana ni, abang?" bisiknya perlahan.
Fauzan menarik nafas dalam-dalam, matanya tajam memandang Encik Akmal. "Kalau Scha terpaksa pergi, aku akan ikut sekali."
Encik Akmal terdiam seketika sebelum ketawa kecil. "Oh? Kau sanggup berhenti kerja dan tinggalkan semuanya sebab Scha?"
Scha memandang Fauzan dengan mata berkaca. Fauzan menggenggam tangannya erat, memberikan isyarat bahawa dia akan ada di sisinya, walau apa pun yang terjadi.
• • • • • •
Selesai saja mesyuarat, Fauzan dan Scha melangkah ke pantri pejabat. Scha membuka peti sejuk, mengambil sebotol air lalu dituangkan ke dalam cawan. Dia termenung seketika sebelum bersuara, suaranya perlahan tetapi jelas.
"Abang tak payahlah berhenti kerja semata-mata nak ikut sayang pergi sana" katanya, cuba menyembunyikan rasa berat di hati. "Takpe, biar sayang je pergi. Kita tetap boleh berhubung, kan?"
Fauzan menghela nafas, bersandar di dinding sambil memandang Scha dengan tenang. "Abang tahu sayang risau. Tapi abang dah fikir masak-masak. Sayang pergilah, kejar peluang yang ada."
Scha memandangnya, matanya berkaca. "Tapi abang…"
Fauzan tersenyum kecil, cuba menenangkan Scha. "Abang takkan halang sayang. Ini peluang besar untuk masa depan sayang. Tapi abang janji, setiap kali cuti panjang, abang akan ke sana. Kita tetap akan berjumpa."
Scha menggigit bibir, hatinya bercampur-baur. Dia bersyukur kerana Fauzan memahami tetapi dalam masa yang sama, dia takut jarak akan mengubah segalanya.
"Abang betul-betul pasti?" soalnya perlahan.
Fauzan mengangguk, menggenggam tangan Scha dengan erat. "Sayang takkan keseorangan. Percayalah, hubungan kita lebih kuat daripada jarak."
Scha tersenyum, walaupun air mata mula mengalir perlahan di pipinya. "Terima kasih sebab selalu faham sayang."
Fauzan mengusap pipi Scha perlahan. "Abang akan tunggu sayang, tak kira berapa lama sekalipun."
Walaupun hati mereka berat dengan perpisahan yang bakal tiba. Mereka tahu, cinta mereka cukup kuat untuk bertahan.
Scha dan Fauzan tersentak apabila mendengar suara sinis yang tiba-tiba menyapa mereka dari belakang. Encik Akmal berdiri di hadapan pintu pantri dengan senyuman penuh sindiran.
"Wah, dah bersayang-sayang eh sekarang?" Dia menyilangkan tangan di dada sambil memandang mereka berdua dengan sinis. "Kita tengok sejauh mana hubungan korang boleh bertahan bila Scha dah pergi sana nanti."
Scha mengetap bibir, cuba menahan rasa tidak senang. "Encik Akmal, saya harap awak boleh bersikap profesional. Hal peribadi saya dengan Fauzan tak ada kena-mengena dengan awak."
Encik Akmal tergelak kecil, matanya tajam menikam ke arah Fauzan. "Oh, aku tak peduli pun sebenarnya. Cuma aku tahu, hubungan jarak jauh ni takkan kekal lama. Scha, kau pun tahu kan? Dulu aku pernah janji macam-macam dengan kau, tapi akhirnya? Hubungan kita hancur juga."
Fauzan menggenggam tangan Scha, memberi isyarat bahawa dia ada di sisi. Dia kemudian memandang tepat ke arah Encik Akmal, nadanya tenang tetapi tegas.
"Kami tak sama macam awak, Encik Akmal. Hubungan kami bukan berdasarkan janji kosong, tapi kepercayaan."
Encik Akmal tersenyum sinis. "Baiklah, kita tengok sejauh mana kepercayaan tu boleh bertahan." Dia melangkah keluar dari pantri tanpa menunggu jawapan, meninggalkan Scha dan Fauzan yang saling berpandangan.
Scha menarik nafas dalam, cuba mengawal emosinya. "Abang, sayang takut…"
Fauzan mengusap belakang tangan Scha dengan lembut. "Sayang, jangan biarkan kata-kata dia buat kita goyah. Abang dah janji kan? Tak kira sejauh mana sayang pergi, abang tetap akan ada untuk sayang."
Scha mengangguk perlahan, hatinya kembali tenang. Walaupun Encik Akmal cuba meragukan hubungan mereka, dia percaya satu perkara yang Fauzan bukan lelaki seperti Encik Akmal.
Share this novel