JENUH aku cari alasan paling munasabah untuk mengelak hal pertunangan kami diketahui. Namun itu semua mustahil bila rakan sekerja ada kepakaran dalam bidang penyiasatan. Sepuluh minit juga disoal siasat hingga aku putuskan untuk jujur saja.
Hasil kejujuran tersebut, teruk juga aku kena usik. Semua sibuk bertanya bila majlis bakal berlangsung. Jawapan paling selamat, tunggu saja kad undangan. Tersenyum-senyum mereka semua. Senyum yang beri maksud cerita aku akan tersebar meluas di sekolah. Kalah gosip artis tempatan.
Sepanjang perjalanan pulang, mulalah aku mengadu pada Raid kejadian aku disoal siasat mengalahkan penjenayah. Lima lawan satu. Adil tak? Tak sempat nak jawab, soalan lain pula menyusul. Siap pakej bukti dan saksi yang kami berjalan di tepi pantai berdua. Mujur bukan waktu malam.
“Baguslah dia orang dah tahu. Tak timbul fitnah.”
Jawapan Raid buatkan aku diam sepanjang menemani dia memandu. Geram bila tak ada unsur-unsur nak back up tunang sendiri.
Rusuhan aku tak kekal lama kalau lawannya anggota polis. Dengan sedikit nasihat yang berjaya menjentik kesedaran, silent treatment aku lancarkan kecundang dengan jayanya. Elok aku berbual dengan dia. Supaya mata dia cergas dan pemanduan juga lancar.
“Terima kasih hantar saya.” Titip aku berdiri di luar pintu kereta. Dia mengerdip mata sekali bersama senyuman.
Selepas ini, aku akan syorkan pada Raid supaya amalkan konsep komunikasi. Aksi-aksi isyarat secara fizikal tidak dibenarkan. Kelip mata pun tak boleh. Supaya iman terjaga. Apalagi iman aku selalu sangat goyah kalau berdepan dengan dia.
“Baik-baik drive.” Aku angkat tangan kanan, lambai dekat dia. Bibir auto senyum manis.
“Lain?”
Soalan dia buat aku binggung sejenak.
“Dah sampai, maklum saya.”
Jawapan aku buat Raid garit kening perlahan. Barangkali jawapan aku tidak memuaskan.
“Jangan rindu saya.” Mungkin ini yang Raid nak dengar.
“Almost there…” Kata dia.
Berkerut teruk dahi licin aku.
“Raid, awak bawa saya pusing-pusing sampai sesat…Tolong bawa saya ke jalan yang betul. Biar saya faham apa kemahuan awak.”
Nampak kening Raid terjongket.
“Tak faham?” Soalku bila nampak dia macam kurang faham dengan bahasa kias.
“Lepas ni, tolong straight to the point. Baru saya faham dan tahu apa awak nak.”
Turun naik kepala Raid. Baru faham agaknya.
“Lupakan.”
“Lah?” Aku pula yang blur.
“Saya balik dulu.” Titip dia bersama senyuman terpaksa.
Sesaat kemudian kereta dia memecut pergi. Tinggal aku yang binggung sendiri. Terkejut dengan perubahan monsun emosi dia.
“Dia merajuk ke?” Gumamku perlahan. Masih merenung jalan dengan pandangan kosong biarpun kereta Raid sudah lama menghilang.
“Ingat handsome ke lelaki merajuk?” Mulut masih tak berhenti mengomel sambil tarik bagasi masuk ke dalam rumah.
Kalau merajuk sekalipun, tak kuasa aku nak pujuk. Diri sendiri pun terkadang tak terpujuk, apa lagi orang lain.
Tapi itulah, aura Raid itu jahat sebenarnya. Baru lima langkah, aku menoleh lagi. Tenung lagi jalan raya yang kosong.
“Ish! Takkanlah?”
Kali ini aku benar-benar melangkah masuk tanpa menoleh lagi. Jejak saja kaki dalam bilik, aku capai telefon pintar. Kosong. Tiada pesanan daripada Raid. Boleh jadi lelaki itu masih memandu.
“Sabar Heera…Setengah jam lagi kalau tak ada khabar. Call dia.” Aku cuba tenangkan hati sendiri. Cuba fikir yang baik-baik demi mengelak perang.
NIAT nak berehat malam itu terpaksa dikuburkan buat sementara waktu. Usai saja mandi, bersiap dan selesaikan apa yang patut, aku capai kunci kereta. Sesampai saja anak tangga terakhir, aku selisih dengan abang Mus.
“Nak pergi mana malam-malam macam ni? Kan baru balik?” Tanya abang Mus dengan muka berkerut.
“Keluar sekejap.”
“Dengan Raid?”
Aku berhenti dan menoleh belakang.
“Tak…Heera nak jumpa kawan.”
“Siapa?”
Lama aku diam dan pandang abang Mus. Jarang-jarang sekali abang Mus bertukar jadi detektif. Sejak menjadi tunangnya Raid, sepertinya gerak-geri aku dikawal ketat atas arahan seseorang.
“Kenapa? Heera tak boleh keluar?” Aku mendekati abang Mus bersama senyuman janggal. Mata sempat jeling jam di dinding. Baru pukul lapan malam. Masih boleh dikira awal lagi.
“No!” Pangkah abang Mus laju.
“Heera dah salah faham…Dan abang tak cakap pun Heera tak boleh keluar.” Abang Mus ketawa perlahan. Hairan agaknya bila aku tiba-tiba jadi serius.
“Heera nak keluar dengan Rai.”
Barulah aku nampak kelegaan di wajah dia. Selagi tidak disebut dengan siapa aku keluar, kemungkinan besar aku bakal terkandas di sini. Terpaksa juga lupa niat untuk berjumpa dengan seseorang, dan tunda pada hari lain.
“Jangan balik lambat.” Jerit abang Mus tatkala tangan menyentuh tombol pintu.
“Okey.” Jawab aku pendek sebelum pintu tertutup rapat.
Dua puluh minit pemanduan setelah menempuh jalan raya yang sesak, akhirnya aku sampai juga di sebuah bangunan tinggi. Deras langkah aku menapak masuk ke ruangan reception
Bibir tersenyum sejurus disapa seorang gadis manis tinggi lampai.
“Boleh saya bantu cik?” Soal dia ramah.
“Err…Saya nak jumpa Tuan Azurazi.”
“Oh! Cik Baheera?”
“Ya, saya.” Nampak gayanya, kedatangan aku sudah sedia maklum. Senang kerja. Tak perlu susah payah nak kenalkan diri.
“Mari…Saya bawa cik ke sana.”
“Eh, tak perlu! Tuan ada dekat mana? Saya boleh pergi sendiri.” Enggan menyusahkan. Aku hanya perlukan sedikit pandu arah.
Gadis itu tersenyum lebar.
“Hantar cik ke sana, termasuk dalam arahan Tuan Azurazi.”
Jika begitu, tiada keperluan bertelagah. Aku hanya perlu patuh dan ikut saja. Selepas itu aku akan ucapkan terima kasih kepadanya.
Aku berdiri di depan pintu lif sementara menunggu pintu terbuka. Ekor mata sempat kerling ke kanan. Belum sempat nak toleh kiri, ada suara menyapa. Suara lelaki.
“Heera!”
“Raid? Awak buat apa dekat sini?” Aku panjangkan leher belakang dia. Muka terkejut pun tak mampu nak disorok.
“Saya jumpa kawan dekat sini.”
“Oh!” Kebetulan yang tidak disangka. Kami berdua ada pertemuaan di lokasi yang sama.
“Awak buat apa?”
“Saya?” Aku binggung sejenak nak karang alasan. Was-was nak jujur atau tidak.
"Awak sembunyikan sesuatu dari saya?"
"Tak!" Potong aku laju.
"Then?"
"Saya..."
"Saya apa?" Soal dia curiga.
"Awak seorang?" Tanya dia lagi.
"Tak...Dengan..." Terhenti ayat aku bila pusing belakang. Hilang kelibat gadis yang mengiringi aku sebentar tadi.
"Saya dengan dia tadi..." Aku pandang Raid semula, jari menunjuk belakang yang kosong. Tak tahu bila gadis itu menghilangkan diri.
Kening Raid naik tinggi. Kurang percaya dengan ceritaku yang agak berbelit.
"Okey...Tadi saya dapat mesej untuk ke sini...Sebab Rai dalam bahaya. Mesej tu suruh saya datang jumpa Tuan Azurazi. Dia tahu mana Rai sekarang." Akhirnya aku jujur. Itu punca mengapa aku tergesa keluar rumah walaupun tak cukup rehat.
"Tadi ada seorang perempuan...Dia akan bawa saya jumpa Tuan Azurazi...Tapi...Tapi..."
"Dia hilang bila saya muncul?" Tebak Raid.
Laju aku angguk kepala.
"Awak percaya?"
Tak berkedip aku pandang dia.
"Awak percaya Rai dalam bahaya? Awak percaya percaya perempuan tadi? Dan awak percaya Tuan Azurazi akan bawa awak jumpa Rai? Kalau dia tipu awak?"
Bibir aku bergerak-gerak. Ada satu, dua dan lima soalan Raid. Tapi satu pun aku tak mampu nak jawab.
Aku nampak Raid keluarkan telefon pintar dia. Jari dia menekan skrin telefon sebelum pembesar suara dihidupkan. Dia sedang hubungi seseorang. Tiga kali bunyi terdengar suara perempuan.
"Rai...Dekat mana?"
"Me? Rumahlah. Tadi memang nak keluar, tapi malas. Sebab tak ada kawan. Heera pun belum balik." Jawab Raisha.
Raid tersenyum sinis. Buat aku gelabah. Peluh di dahi mula tumbuh bak cendawan.
"Kita jumpa nanti." Tanpa menunggu jawapan balas Raisha. Dia terlebih dahulu putuskan talian. Sepenuh perhatian diberikan padaku.
"Dengar Raid, silap saya tak tanya terus pada Rai. Saya panik. Dan saya tak cerita dekat sesiapa. Jadi saya keputusan sendiri."
"Awak nak jadi hero?"
Melongo aku dengar tuduhan dia.
"Berapa kali saya tekankan, jangan percaya sesiapa?" Sedikit keras suara Raid.
Mengetap bibirku bila diserang tanpa belas. Tanpa faham situasi. Tanpa dengar sedikit pun penjelasan daripada aku.
"Sorry." Sebut aku mendatar. Mata mengerdip laju. Sekarang bukan masa untuk tunjuk betapa lemahnya aku bila dimarah seperti anak kecil.
"Saya nak balik." Jarang aku heret dia ke arah pergaduhan. Selalunya aku mahu jadi yang pertama untuk bubar dan berdamai.
Ketika melewati dia, terasa lengan aku disambar lalu ditarik sehingga tubuh aku terdorong ke balakang. Berdepan dengan Raid.
"Apa saya nak buat dengan awak Heera? Ada masa awak buat saya terpesona. Ada masa awak buat saya risau setengah nak mati."
Aku beranikan diri pandang mata dia. Sedikit pun tak dikalihkan. Ketika itu, aku dapat kekuatan entah dari mana untuk bersuara.
"Kita putus tunang, Raid."
Terasa cengkaman di lengan semakin kuat. Tapi tak berjaya buat aku tarik semula keputusan tadi.
"Kita putus. Bawa haluan masing-masing. Tak perlu awak susah payah fikirkan saya. Pandai-pandailah saya nak hidup."
Sekali rentap, cengkaman Raid terlepas. Terus aku angkat kaki tanpa menoleh lagi. Hati aku sakit. Lebih sakit Raid menyalahkan aku semua ini terjadi.
Sampai saja dalam kereta, telefon aku berdering. Naik nombor tidak dikenali. Ikon hijau ditekan lalu telefon dibawa melekap ke telinga.
"Tuan." Aku kenal suara di hujung talian.
"Saya tak rasa dia percaya dengan cerita saya. Rasanya, dia dah tahu." Lapor aku.
Share this novel