HAMPIR dua jam aku berada dalam bilik pengetua sekolah. Dua jam itu jawapan aku hanya iya atau tidak. Selebihnya aku banyak berdiam diri dan tersenyum. Segala pujuk rayu atau nasihat ditolak secara baik. Keputusan aku bulat. Tiada sebarang perubahan mahupun rombakkan. Titik.
Lega?
Tentunya aku merasa lega. Sedikit pun tidak rasa menyesal dengan keputusan yang aku buat secara drastik tanpa pengetahuan sesiapa. Semuanya atas kehendak sendiri tanpa sebarang paksaan.
Sepulangnya aku, ada bayang yang menunggu di depan pintu. Bayang itu nampak seperti menahan resah gelisah. Marah pun ya. Sepertinya sedia nak sembur aku dengan kata-kata kurang menyenangkan.
“Dari mana?”
“Sekolah.” Jawab aku sepatah. Tanpa menghiraukannya, langkah diatur perlahan menuju ke bilik.
“Awal balik hari ni?”
“Ya.” Jawapan paling pendek jadi pilihan utama saat ini. Tak ada hati nak sembang lebih panjang. Lebih tepat, nak tamatkan perbualan serta merta.
“Saya belum makan.” kata dia.
Tangan aku kaku di tombol pintu. Hujung mata perasan bayang hitam itu sudah ada di sisi. Hanya berjarak berapa kaki saja.
“Saya kenyang.” Bohongku. Selera aku mati sejak beberapa hari ini. Benda sedap pun jadi tak sedap.
Tanpa melihat dia, lekas aku masuk ke dalam bilik lalu dikunci dari dalam. Aku mahu sendirian tanpa gangguan. Mohon mengerti.
Dua minit bersandar pada pintu, aku menapak ke katil. Beg tangan dicampak, kaki menuju ke almari. Nak mandi dan tukar baju. Kemudiannya aku mahu tidur sepanjang hari. Itu merupakan terapi paling mujarab yang aku amalkan sejak akhir-akhir ini. Kesihatan emosi juga terjaga.
Elok saja pintu almari terbuka, mata aku meluas. Tiada sehelai pun baju. Kosong. Laci baju ditarik. Jawapannya masih sama, kosong. Kepala berpusing pada meja solek pula. Baru perasan, segala barang-barang skincare milik aku ghaib.
Bibir mengetap kuat. Ada yang masuk bilik tanpa kebenaran. Bahkan, ada yang sesuka hati pindahkan semua barang juga tanpa pengetahuan. Tahukah, ceroboh privasi seseorang tanpa kebenarang adalah satu kesalahan besar?
Aku putuskan untuk beri pengajaran buat si pelaku yang sewenangnya menceroboh sesuka hati. Belum sempat nak buka pintu bilik, ada tolakkan dari luar. Tak sempat mengelak, kepala sudah terima ciuman keras. Tanpa sedar bibir mengaduh perlahan. Tangan naik melekap dahi yang mula rasa berdenyut.
“Sorry, saya tak sengaja.” pinta dia.
Pandangan aku berpinar sejenak. Tangan masih di kepala.
“Awak okey?” Ada tangan kasar memagut dagu. Memaksa aku angkat kepala.
“Ada luka. Tak dalam sangat. Mungkin dalam 1.5cm.” Dia sibuk menilai kecederaanku. Kalah adjuster insurance
“Saya okey.” Tubuh dia ditolak menjauh.
“Baju saya mana?” Aku terus bertanya. Tak peduli bila dia masih sibuk nak rawat dahi aku yang mula bengkak.
“Biar saya tuam dahi awak.” Pinta dia.
“Tak perlu.” Tegahku.
“Saya nak mandi.” Harap dia pulangkan semua barang keperluan aku semula.
“Awak boleh halau saya bila saya dah jumpa rumah nanti. Bagi saya sikit masa.” Tiada sesi marah atau maki hamun. Aku ambil pendekatan bercakap baik tanpa berbaik.
Mungkin dia terkejut besar. Selalunya aku bercakap hanya sepatah-sepatah. Hari ini buat kali pertama setelah sekian lamanya aku nak bercakap panjang lebar.
“Awak masih marah.”
“Tak.” Pangkahku.
“Mama dengan papa nak tidur sini.”
Sebaris ayat itu buatkan aku angkat muka. Anak mata bergerak-gerak meraih penjelasan.
“Saya dah cuba halang, tapi mama tetap berkeras nak tidur sini semalam dua.”
Aku mengetap bibir. Sepatutnya Raid berkeras. Cipta apa jua alasan asalkan orang tuanya batalkan niat nak menginap di sini. Kenapa aku rasa Raid cuba nak manfaatkan peluang? Macam ada helah yang dia sedang sembunyikan.
“Sorry.”
Tak ada gunanya minta maaf sekarang. Aku perlu cari cara untuk mengelak.
“Cakap dengan mama awak, saya balik rumah papa. Cakap papa tak sihat.” Aku beri alasan.
“Awak lupa?” Tanya dia.
Sikit lagi aku nak marah bila Raid itu lebih banyak bercakap dari bertindak.
“Papa awak tak ada dekat sini. Orang tua saya yang hantar papa awak pergi umrah tiga hari lepas dengan abang Mus. Tak mungkin flight delay sampai tiga hari. Nak cakap papa awak hilang dekat sana? Saya tak cukup duit nak taja tiket lima orang. Lainlah awak sudi laburkan sikit duit. Kita dapat jalan sama-sama.” Hujung ayat Raid tersenyum.
Apa yang dikatakan Raid benar belaka. Macam mana aku boleh lupa hal penting tersebut?
“Tunggu sini. Jangan masuk selagi saya belum siap.” Aku mengalah setelah berfikir seminit lamanya. Demi air muka Raid sebagai suami depan orang tuanya.
“Jangan lama-lama."
Dia macam tahu-tahu aku nak berkampung dalam bilik air sampai petang. Nak elak jadi penyambut orang tuanya.
“Lepas papa dengan mama awak balik, saya nak selesaikan urusan kita.” Pesanku awal-awal. Tak nak nanti ada yang kena usung ke hospital gara-gara serangan jantung.
Dia mengerdip mata sekali. Faham.
Apa yang aku perasan sejak akhir-akhir ini, Raid mudah mengalah. Dia juga sering ambil pendekatan mengelak jika tercetusnya bibit-bibit pergaduhan. Mulalah dia melobi aku dengan beli barang-barang yang aku suka. Hal tersebut sangat meresahkan aku.
Sebelum pintu tertutup rapat, sempat aku jeling dia. Apa mampu aku rumuskan, Raid itu sanggup jadi lelaki murahan. Cuba nak beli jiwa aku dengan senyuman jalang dia itu. Maaf, aku tak berminat.
TERKONCOH-koncoh aku buka pintu bilik. Pemandangan pertamanya saja sudah bikin aku laksanakan pemberontakkan secara besar-besaran. Mengenangkan ketibaan orang tuanya, segala unsur-unsur negatif diusir. Hadap saja muka Raid walaupun tak rela.
“Dia orang dah sampai?” Tanpa sedar, aku jadi Heera yang ramah. Heera yang sopan seperti tiada sengketa di antara kami.
Raid angguk kepala.
“Jom.”
Tanpa segan silu, Raid raih tangan aku lalu diheret ke muka pintu. Kebetulan orang tuanya baru saja turun dari kereta. Sempat Raid kuis tapak tangan aku. Automatik bibir aku melengkung.
Aku segera dapatkan mama Raid. Tangan tua itu disalam sebelum aku ditarik ke dalam pelukkan. Kedua belah pipi aku juga terasa hangat.
“Heera nampak kurus. Raid tak bagi Heera makan?” Tumpuan mama Raid sudah beralih pada anak lelakinya.
Sengaja aku kunci mulut. Nak tengok apa respon dia. Nak dengar juga jawapan versi bagaimana yang dia karang.
“Heera tak ada selera nak makan, ma. Tak lalu katanya.”
Jawapan panas itu mengundang lirikan mama Raid. Bahkan tangan tua itu sudah elok melekap di perut rataku. Buatkan mulut aku lumpuh nak bidas. Terkebil-kebil dibuatnya.
“Dah ada isi ke?”
Aku jeling Raid. Nak dia perbetulkan semula keadaan. Ayat dia mencetuskan salah faham sangat parah. Perlu dibendung sebelum melarat.
“InsyaAllah.”
Membesar kedua belah mata. Raid sedang berikan harapan palsu!
“Maa…” Belum sempat aku nak jelaskan keadaan sebenar, dada terasa sempit. Tubuh didakap erat.
“Alhamdulillah! Jaga diri elok-elok. Jangan buat kerja berat.”
Mata aku tidak lepas merenung Raid. Berharap dia leraikan semua kekusutan. Takut nanti ada yang mati kena jerut.
“Jom, masuk dulu. Boleh sembang dekat dalam lama-lama. Tidur dengan Heera pun Raid izinkan.”
Raid sengaja mengelak bertentang mata. Sengaja nak biarkan mama dia dibelenggu salah faham. Sengaja nak heret aku ke dalam rancangan jahat dia. Sengaja nak beri harapan palsu.
Sempat aku tarik tangan Raid sampai terdorong ke belakang sedikit. Nak bincang berdua tanpa didengari orang tuanya.
“Awak dah gila?”
Dua kali Raid kerling pintu. Takut ada yang dengar suara aku yang boleh tahan kuatnya. Dua kali itulah muka dia masih bersahaja. Malah dia angkat kening tinggi. Pura-pura tak faham selepas tabur harapan berunsur fitnah.
“Saya tak mengandung. Dan saya tak akan mengandung!” Payah bercakap dengan orang yang lurus mengalahkan tiang. Tak boleh berlapik. Berlapik, mulalah tak faham.
“Kenapa?”
Aku mengeluh. Kepala mula sakit.
"Saya ada cadangan."
Aku tenung dia. Jarang cadangan Raid boleh diguna pakai. Kali ini nak juga cadangan dia.
“Kita buang protection. Boleh cepatkan proses persenyawaan. Peratus kita nak ada orang ketiga sangat tinggi. Mama pun tak menaruh harapan palsu. Macam mana?”
Dada dia aku tumbuk sekali.
“Saya tak nak cakap dengan awak lagi!”
“Hei, awak ambil serius.” Jerit Raid sambil mengejar dari belakang.
Maaf! Selepas kejadian perangkap Hilman, semua percakapan Raid dianggap serius. Tak ada istilah bergurau. Nak bergurau pun tidak dibenarkan.
Belum pun sempat nak ke dapur, Raid memintas. Jadi tembok penghalang aku ke ruangan dapur. Mujur aku tak buka segala ilmu seni pertahankan diri. Mengenangkan adanya orang tua dia, aku hanya berdiri tegak dengan muka mencuka.
“Tolong bagi kerjasama dua hari ni. Lepas tu, saya janji. Kita bincang dari hati ke hati.”
Raid selalu begini. Suka amalkan konsep tarik tali. Dalam membantu, perlu ada juga cagaran. Biar sama-sama adil.
“Awak tahu kan, saya bukan jenis yang mungkir janji?” Tekan dia.
Perlu aku akui, Raid orang yang sangat menepati janji. Tapi tak dinafikan, sejak kejadian Raid tahu jenayah yang aku sembunyikan, sukar untuk aku percayakan dia.
“Buat apa awak simpan saya Raid? Awak dah buang saya. Awak nak saya terima hukuman yang setimpal. Kenapa saya masih di sini? Ke hulur hilir, huh? Sepatutnya saya dah duduk penjara tenang-tenang.”
Aku berjaya memetik suis ketenangan Raid. Lihatlah, senyuman Raid itu sudah terbang. Telinganya mula merah.
“Kita bincang lain kali.” Aku angkat bendera putih. Sekarang bukan masa yang sesuai nak bertengkar. Takut nanti pertengkaran kami mengheret orang tua dia turut serta sekali.
Dua langkah, aku terdorong ke belakang semula. Lebih tepat, bertentang empat mata dengan Raid. Bezanya kali ini, angkat saja muka, kepala sudah menyentuh kumis halus dia.
“Saya rasa saya kena diamkan awak dua hari ni.”
Aku peluk tubuh. Tatap dia dengan berani.
“Silakan. Saya tak akan bantah.” Kataku.
Nak ikat mulut aku dengan kain? Atau nak koyak mulut aku? Tak pun nak kurung aku 24 jam dalam bilik? Tak ada masalah. Tak perlu susah payah nak berlakon bahagia depan orang tua dia.
“Kenapa? Dah tak berani? Takut kantoi dengan orang tua awak?” Provok aku bila Raid hanya merenung tanpa henti.
“Sorry.” Pinta dia.
Seperti selalu, Raid akan mohon maaf dan angkat tangan. Tanda mengalah.
“Tolong tahan nafas.”
Belum sempat nak bidas, dia memang betul-betul diamkan aku. Silapnya, aku gagal patuhi arahan supaya tahan nafas. Sebaliknya aku kehilangan oksigen dengan kadar paling pantas.
Share this novel