SYUKUR Alhamdulillah. Semuanya berjalan lancar walaupun ada kalanya kelam kelibut sedikit. Ada juga kekurangan biarpun sudah melakukan melakukan semakkan terakhir supaya semuanya tampak sempurna. Papa dan Abang Mus selaku penyelamat. Selesaikan segala kekurangan dengan kadar segera. Nak pastikan tetamu pulang dengan senyuman.
"Pa..." Lengan papa aku rangkul dari belakang. Pusing saja, bibir tua itu terlebih dahulu berikan senyuman sebelum kepala aku diusap lembut.
"Papa dah banyak sangat turun padang buat itu dan ini. Apa kata papa rehat, hurm?" Aku pandang papa. Bawah matanya nampak sedikit bengkak, penangan tak cukup tidur.
"Siapa cakap papa yang buat? Papa hanya organizer. Yang buat kerja tu budak-budak muda. Mana ada penat. Papa lagi gembira adalah."
Ah, papa selalu begini. Garangnya hanya di pejabat. Di rumah, papalah ibu. Papalah tempat aku mengadu domba. Jadi bibik itu tak selalu. Boleh dibilang dengan jari. Yang sering dijadikan bibik itu Abang Mus. Tapi masih belum mampu nak buat semua kerja.
"Raid mana?" Soal papa yang berpusing-pusing mencari kelibat menantunya.
"Ada dekat dalam." Jawapan aku buat papa berhenti mencari. Bahu dipaut erat, rapat ke dadanya.
"Ingat pesan papa." Dahi aku dikecup lagi. Hari ini saja entah berapa kali papa peluk dan cium aku. Sampaikan ada yang cemburu dan gelar aku anak manja.
"Lepas ni, Heera bukan saja bawa maruah Heera sebagai isteri...Tapi Heera usung sekali maruah suami sampai akhir hayat. Jadi, jaga adab. Jaga batas. Jaga pergaulan dan percakapan. Pokok pangkalnya, semua kena jaga. Penting. Tu semua waze yang akan bawa Heera ke syurga atau neraka."
Dalam menasihati, sempat lagi papa bercanda. Tak sangka, waze pun berguna di hari Yaumul Hisab ya. Dibuatnya ada yang lurus mengalahkan tiang, beli waze banyak-banyak dan dibawa tanam sekali dalam kubur. Kaya penjual waze di dunia, tapi miskin di akhirat sebab salah konsep.
"Ingat pesan papa ni sampai mati. Tanggungjawab papa dah berpindah pada Raid. Sekarang Raid yang akan tanggung semua dosa dan pahala Heera. Jadi jangan nak tambah-tambah dosa yang sedia ada."
Auto insaf bila papa tak berhenti-henti sebut dosa dan pahala. Sebelum papa buka kitab munakahat, ada baiknya aku bersuara. Teruk nanti aku diketuk-ketuk dengan tazkirahnya.
"Ya, Heera akan ingat." Tangan aku mendarat di pinggang papa. Tubuh tua itu didakap erat. Kepala elok terlentok di dadanya.
"Pa..."
Serentak aku dan papa menoleh bila dengar suara lembut yang menegur. Automatik pelukkan aku juga terlerai.
"Ada apa Raid?" Soal papa lembut.
Aku perasan, seharian papa nampak teruja bila dapat sandang gelaran mertua. Bercakap dengan menantu pun bukan main elok saja intonasi suaranya. Tak ada sesi gertak-mengertak.
"Boleh Raid pinjam bilik? Nak tukar baju."
Salah pilihan ayat Raid. Bahang orang sebelah sudah mampu aku rasai. Padahal baru sebentar tadi rohani aku didobi.
"Tak perlu, guna bilik saya..." Aku bersuara selaku isteri mithali. Yang peka akan kebajikan suami.
Ekor mata perasan papa mahu lancarkan rusuhan. Berkerut-kerut dahi tuanya. Bahasa wajah papa itu tertulis mengapa aku gelarkan diri 'saya'. Kenapa bukan yang lebih mesra alam?
"Jom, sa-yang tunjukkan bilik." Sebutan kekok tak mengapa, asalkan gelaran tadi dibetulkan. Nak sejukkan hati papa yang sedang hangat.
Baru dua langkah, aku berpaling bila tiada bayang mengekori rapat dari belakang. Raid masih tercegat di situ. Terpaksalah aku dekati dia semula.
"Jangan macam ni Raid. Papa saya tengah perhati. Apa kata papa saya nanti?" Bisik aku perlahan. Sehabis baik aku cuba mengawal reaksi muka supaya tidak tertangkap sedang pura-pura.
Hairan. Dia tersenyum. Kemudiannya dia berpaling. Tapi cepat-cepat aku tarik dia. Sekarang bukan masa sesuai mereka berdua beramah mesra.
"See you soon pa." Kataku.
Senyuman papa ada makna. Sulit nak diterjemah dengan kata-kata. Dari lenggok bahasanya, aku tebak papa berhasrat nak upgrade gelaran papa ke datuk. Dan hasrat tersebut perlu ditunaikan sesegera yang mungkin.
Tak boleh jadi. Aku sambar lengan Raid dan beredar segera. Sebelum ada yang perasan muka aku merah menahan malu.
"Masuklah." Pintu bilik dibuka luas-luas.
"Saya ingat awak tak nak kongsi bilik dengan saya." Ujar Raid sambil meletakkan pakaiannya.
Nak tak nak, mulai hari ini aku perlu sesuaikan diri.
"Terima kasih sudi berkongsi dengan saya." Ucap dia bila aku tiada respon.
Aku masih begitu. Masih kunci mulut. Pandang dia. Mencari masa depan di wajahnya. Tercari-cari juga ke mana hala tuju hubungan kami selepas ini.
Tangan yang sedang memeluk tubuh segera jatuh bila Raid angkat tangan kanan lalu mendarat di rahang. Ibu jarinya mengusap lembut pipiku.
"Saya mandi dulu."
"Raid."
Berbaki dua langkah, Raid berpaling bila dengar aku menyeru. Seperti selalu, senyuman dia terlebih dahulu berbicara.
"Yes? Ada apa Heera?" Tanya dia. Kedua belah tangan dipinggang. Sepasang kening terjongket naik.
Reaksi seumpama begitu berjaya dengan cemerlang buatkan otak aku kosong sejenak. Lupa apa yang ingin aku katakan sebentar tadi. Puas dikerah selama seminit, aku gagal untuk ingat semula.
"Tak ada apa."
Raid picing mata. Tak percaya setelah beria-ia menahan dia, aku boleh cakap tak ada apa-apa.
"Lupakan saja." Aku tak tipu. Memang aku lupa.
"Kalau nak mandi sekali, saya lagi suka." Gurau Raid.
Tak sampai sehari jadi suami isteri, Raid sudah pandai bergurau ya. Agak kasar juga gurauannya.
"Kenapa pandang macam tu? Tak sudi?" Duga Raid.
"Saya sudi Raid."
Aku perasan dia tersenyum lebar. Sempat dia sandarkan tubuh ke dinding. Nak beri laluan aku masuk sama.
"Tapi bukan sekarang." Ayat aku berjaya meranapkan harapan setinggi langit dia. Malah susut sedikit senyumannya.
Aku mara. Merapatkan jurang. Biar perbincangan kami lebih jelas. Masing boleh dengar.
"Biar saya jujur Raid. Saya tak nak main tarik tali. Dan saya tahu tak ada gunanya saya main tarik tali dengan awak. Sebab akhirnya saya akan kalah."
Perlahan-lahan kening Raid hampir bercantum. Raut wajah dia sarat dengan tanda tanya.
"Bagi saya masa dan ruang untuk sesuaikan diri sebagai isteri." Harap Raid faham permintaanku. Frasa perkahwinan perlukan masa, tak boleh terburu-buru.
"Yang lepas, biarkan lepas. Jangan diungkit. Semua tu hanya akan jadi perosak kebahagiaan." Aku bersuara lagi. Mengalahkan pakar motivasi. Sedangkan bercinta pun sering kecundang.
Kerutan Raid berganti dengan senyuman. Tersusun deretan gigi putihnya. Dan sebentar nanti bakal aku tekankan bahawa aku bukan pemilik kilang ubat gigi. Tak perlu Raid selingkan iklan dikala aku sedang serius berbincang dari hati ke hati.
"Sini."
Dia gamit aku supaya lebih dekat. Sayangnya, aku ingkar. Jurang kami hanya dua kaki. Semakin dekat, maka aku bakal cemar duli. Dada dia akan menerima ciuman pertama dariku.
Disebabkan aku ingkar, Raid yang bertindak merapat. Sampaikan muka aku terasa panas dek hembusan nafas dia.
"Sejak saya jumpa awak, saya sedar sesuatu Heera."
Aku angkat muka, bertentang mata dengan dia dengan berani biarpun sebenarnya gugup bila dekat-dekat begini. Nak bernafas pun payah.
"Saya bukan saja suka pada awak, tapi cara awak bercakap mampu damaikan jiwa saya yang sedang huru hara. Itu yang buat saya nekad tak nak lepaskan awak."
Rasanya, ada lori gula terbalik dalam bilik ini. Tak setakat lori gula, ada yang tertelan bergelen air mabuk. Dahsyat sekali penangannya. Daripada serius berdesup ke ayat jiwang karat. Hal ini kurang bagus dan harus dikekang.
"Buat masa ni awak tak perlu risau. Saya tak akan ceroboh privasi awak." Hujung bibir Raid naik tinggi.
Spontan kedua tangan aku naik menutup dada bila mata galak Raid berhenti di situ.
"Baguslah." Aku larikan pandangan mata. Tak sanggup nak tengok muka miang dia.
"Nak bahagia, jangan ada unsur paksa-memaksa. Perasaan sayang dan suka tu akan datang dengan sendirinya." Aku tak sudah-sudah menitipkan nasihat. Saja nak mengelak isu malam pertama.
"It's okay, saya faham. Orang perempuan memang takut dengan malam pertama. Bila dah takut, macam-macam cerita keluar."
Spontan aku menoleh. Berkerut-kerut dahi aku. Baru tadi terdetik, Raid sudah menyebut. Tanpa rasa segan silu.
"Excuse me?" Raid ulang sekali lagi, jangan hairan kalau dia perlu buat pengesahan sama ada mandul atau tidak.
"Jangan ambil serius. Saya boleh tunggu. Ambillah berapa masa yang awak nak." Sekilas dahi aku terasa hangat. Pipi kiri ditepuk perlahan.
Elok saja api kemarahan aku terpadam. Lebih sadis, bibir aku tersenyum.
"Boleh saya mandi?"
Tak perlu minta izin. Pergi saja mandi.
"Jangan lama-lama." Lain pula aku sebut. Bahkan sebutan aku mengundang senyuman lebar Raid.
"Rekod terbaik saya sebelum ni tiga minit. Mungkin saya akan pecah rekod terbaru. Dalam masa dua minit saya akan siap."
Balasannya, Raid ketawa besar bila menerima jelingan aku. Jangan esok ada mengomel badan gatal-gatal. Memang aku garu guna pencakar sampah. Biar berbirat.
"Heera."
"Ya?"
"Saya rasa macam..."
Aku meluru dapatkan Raid bila tangan dia pegang kepala. Hampir saja dia jatuh jika tidak berpaut pada jenang pintu.
"Kenapa ni?" Aku cuba papah dia biarpun kudrat tak seberapa.
"Saya rasa nak pecah kepala."
"Tunggu sekejap, saya cari panadol."
"Tak payah."
"Jangan degil."
"Panadol tak jalan."
"Nak pergi klinik?" Tanya aku prihatin. Dia geleng kepala.
"Mungkin awak tak cukup rehat. Kelmarin kerja dua puluh empat jam. Semalam sibuk tolong uruskan majlis lagi. Hari ni seharian menghadap tetamu."Bebel aku sambil dudukkan dia di katil.
"Dah okey?" Tangan aku mengurut lembut tengkuk dia.
"Lega sikit."
"Sekejap, saya ambil minyak angin."
Langkah aku terbantut bila pergelangan tangan disambar.
"Semua tu bukan punca saya sakit kepala."
"Dah tu?" Kening aku hampir bertaut.
"Saya sakit kepala fikirkan cara supaya malam pertama kita tak ditunda."
Perasan bila aku menunjukkan tanda-tanda letusan gunung berapi bakal meletus, Raid segera tarik aku duduk di sisi dia. Ditarik kepala aku rapat ke dadanya. Sedar diri bahawa dia telah memetik suis kemarahanku.
"Awak patut bersyukur saya tak pernah belajar seni pertahankan diri. Kalau tak, teruk awak saya kerjakan." Kataku tegas, namun masih lembut.
"Kalau tu buat awak lega, saya tak akan melawan."
Sejurus itu terdengar Raid mengaduh. Sebelum mencicit dia berlari masuk ke dalam bilik air bersama ketawa sambil tangan mengosok lengan yang terasa perit.
Share this novel
aaaa cuteeeeee! im blushingggg