Bab 34

Romance Series 63337

BERMASAM muka tak bermakna terlepas dari tanggungjawab. Segala keperluan Raid disediakan seawal pagi. Termasuk sarapan pagi. Tak nak makan, nanti aku tabur belakang rumah. Bagi burung atau kucing jalanan makan. Dapat pahala. Sekurang-kurangnya binatang tahu hargai penat lelah aku bersengkang mata di awal hari.

Sepuluh minit duduk di meja makan. Menunggu bayang yang belum kunjung tiba walaupun perut aku sudah ajak bergusti gara-gara lapar. Masuk ke minit dua belas, haruman minyak wangi lelaki mula tersebar. Bayang yang ditunggu-tunggu telah muncul.

“Ni je yang ada.” Aku bersuara bila dengar bunyi kerusi ditarik.

Cepat aku ceduk nasi goreng ke dalam pinggan lalu dihulur pada dia bersama secawan air kopi o kosong panas. Air bergula memang tak ada dalam senarai menu dia. Memang kena buang demi kekalkan gelaran lelaki gagah. Itu prinsip dia.

“Awak tak makan?” Tanya dia bila aku sekadar hirup air.

Mungkin Raid tak tahu aku nak kena tunggu suami makan dulu, baru aku pula menyusul. Baru ada berkat. Baru tak rasa macam isteri mithali. Walhal itu semua adalah kuno. Yang menjadikan ramai isteri menghidap penyakit mental gara-gara berperang dengan diri sendiri demi kebahagian rumah tangga. Mengarut!

“Makan sekali.”

Niat nak makan kemudian berantakkan bila Raid hulurkan sepinggan nasi. Aku pandang dia.

“Pergi kerja naik kereta saya.”

Usai baca doa makan, Raid dengan tenang makan. Aku masih terkedu. Masih perlukan penjelasan lima patah perkataan tersebut.

“Makanlah. Kalau anggota badan saya yang lain bergerak, akan jadi lain. Takut saya pun kena angkut masuk penjara atas kesalahan gangguan seksual.”

Gangguan seksual? Ada ke istilah itu untuk pasangan suami isteri? Pergi report, mahu kena satu balai polis ketawakan aku. Tanpa sedar bibir aku mencebik.

Lekas aku larikan pandangan mata. Ekor mata sempat tangkap bibir Raid tersenyum sinis sambil hirup air. Elok aku makan dengan lahapnya. Takut terlambat ke tempat kerja.

AKU syak malam tadi ada yang mendampingi Raid. Pagi ini dia serupa dirasuk. Sepatutnya dia bina jarak dan benteng di antara kami. Supaya sifat benci tidak bertukar menjadi kasihan ataupun simpati.

Tadi elok dia bantu basuh semua pinggan kotor selepas sesi sarapan pagi. Aku pula ditegah membantu. Disuruhnya aku tunggu di depan sementara menunggu siap mengemas. Sempat juga aku teliti fizikal dia. Bersih. Tiada kesan lebam atau terhantuk di dahi. Itu tandanya zahir dia baik-baik saja.

Nampak Raid memasuki ke ruangan tamu, bergegas aku ke pintu. Tangan segera capai kasut milik dia di atas rak lalu diletakkan di muka pintu. Tinggal sarung saja.

“Saya boleh ambil sendiri.”

Tegahan Raid diabaikan. Setakat nak angkat kasut, tak adalah berat mana pun. Aku sekadar nak memudahkan urusan dia.

Kasut tumit milik aku dicapai. Dan aku tahu ada yang memerhati dengan rasa sangat tidak berpuas hati. Bibir orang sebelah tak berhenti-henti bergerak. Tapi suaranya tak sampai ke telinga.

Aku kerling Raid yang tunduk di muka pintu. Siap pakai kasut, tangan dia kelam kabut capai beg galasnya. Tapi pandangan tertumpu pada sesuatu yang buatkan aku mendekati dia.

“Heera.” Seru Raid.

Dalam diam aku ikat tali kasut dia yang terlerai sebelah. Sempat debu halus dikuis dengan jari. Terpantul wajah aku pada kasut kilat milik Raid.

“Jangan jadi hamba saya. Saya bukan hakim yang boleh mansuhkan hukuman awak.”

“Siapa cakap awak perlu bebaskan saya dari hukuman?” Aku bangun, berdiri depan dia.

“Salah tetap salah. Dan wajib dihukum.” Aku betulkan fakta. Tiada istilah nak guna kuasa veto suami supaya dapat bebaskan diri. Aku bukanlah jenis yang suka ambil kesempatan.

“Beri saya peluang jalankan tanggungjawab sebagai isteri. Saya tak nak bazirkan masa walau seminit pun sebelum saya pindah ke tempat baru. Takut nanti kita tak akan berjumpa lagi selepas tu.”

Jika dia tenang, aku jauh lebih tenang berbanding semalam. Mula terima kenyataan bahawa aku bakal sandang gelaran banduan. Gelaran yang paling dipandang serong oleh masyarakat.

“Mungkin masa tu awak akan jumpa pengganti yang jauh lebih baik dari saya.” Bibir aku tersenyum ikhlas. Dia? Sejak dari semalam senyuman Raid itu sudah lesap. Yang ada hanya senyuman sinis.

“Jom, dah lambat.” Aku terlebih dahulu melangkah masuk ke dalam kereta bila terasa suasana semakin canggung.

Masuk dalam kereta, diam-diam aku perhatikan tingkah Raid hidupkan enjin. Dia pasang tali pinggang keledar dan tangan jatuh pada tombol gear lalu ditarik. Perlahan-lahan kereta milik Raid meluncur meninggalkan perkarangan rumah. Barulah aku halakan pandangan ke depan.

Hairan. Aku jadi taksub dengan apa Raid buat. Semuanya aku nak rakam dalam memori untuk jadikan kenangan. Supaya aku dapat jalani hidup akan datang dengan tenang bersama kenangan tersebut.

“Balik saya naik grab.” Suara aku memecah kesunyian. Bosan bila tiada suara gelak ketawa kami seperti selalu.

“Kenapa?” Tanya dia sepatah.

“Saya nak beli barang dapur. Boleh buat bekal untuk awak. Tak payah awak bazir makan dekat luar.”

Jeda.

Aku kerling dia yang mengurut pelipis.

“Awak sakit kepala?” Soal aku bila tangan Raid beralih ke tengkuk pula.

Raid jeling aku sekilas sebelum dia bersuara.

“Tak.”

Bibir atas dan bawah aku terpisah. Belum sempat nak bersuara, mulut dia dah berbunyi dulu.

“Soal bekal…”

Itu yang menganggu Raid rupanya. Padanlah pening semacam.

“Tak susah pun. Saya akan bangun awal setiap hari. Dan saya akan pastikan dapur bebas dari gempa bumi supaya lena awak tak terganggu.” Pangkah aku laju. Tak terima sebarang alasan berunsur penolakkan.

Aku bersorak gembira dalam hati bila sesi debat perihal bekal tamat serta merta. Tiada bantahan dari orang sebelah.

“Lepas belanja, telefon saya. Saya akan jemput.”

“Tak perlu!” Laju aku bersuara.

Tubuh terdorong sedikit ke depan bila tanpa sengaja Raid tertekan pedal brake. Dua kali dia menoleh sebelum meneruskan pemanduan.

“Awak ada niat nak larikan diri?” Tuduh dia.

Jauh benar pemikiran Raid. Resahnya bukan kepalang bila penjenayah dibiar bebas tanpa sebarang pantauan.

“Lari tak termasuk senarai aktiviti saya hari ni.”

“Then?”

“Saya tak lama. Mungkin satu jam setengah saya akan selesai dan pulang." Jelasku.

Penjelasan aku dibalas muka berkerut.

“Percaya saya. Siap saya akan terus balik. Awak boleh check cctv luar rumah. Atau awak boleh trace location saya.” Aku cuba yakinkan dia.

“Jangan terlalu berharap dengan perhubungan kita. Saya kahwin dengan awak sebab saya nak tengok sejauh mana kejujuran awak, Heera. Nak tengok sampai bila awak nak sorok jenayah awak dengan Hilman.”

Sebaliknya, Raid beri kejujuran yang aku nak sangat dengar.

"Kalau orang lain mungkin dah jatuh cinta dengan muka innocent awak. Tengok muka awak pun orang tak percaya yang awak pernah buat jenayah berat."

Aku buang pandangan ke luar tingkap. Terkesan dengan ayat Raid. Seumur hidup, hanya sekali itu kesalahan yang pernah aku buat. Itupun tanpa sengaja.

“Tapi Rai dah rosakkan rancangan saya.” Kata Raid sedikit bengang.

Aku tunduk bermain sepuluh jari. Lima saat berlalu aku angkat muka. Mula pandang kenderaan yang memenuhi jalan raya tanpa henti.

“Saya tak harapkan apa-apa. Apa yang saya buat semuanya demi sebuah tanggungjawab. Ini pun belum tentu dapat tebus semua dosa saya pada tunang awak.” Tenang aku berkata-kata. Terserah Raid nak fikir apa. Itu hak dia.

Secara tiba-tiba suhu penghawa dingin dinaikkan. Sepantas kilat aku menoleh. Raid yang naik suhu tersebut. Apa ayat aku bikin dia terbakar? Teruk benar panasnya sampai tahap paling maksimum suhu dihidupkan.

Nak tak nak, terpaksalah aku menahan sejuk selama sepuluh minit dari sekarang. Tutup air cond, sama persis aku memetik suis kemarahan dia. Aku tak nak keruhkan lagi keadaan.

Lima minit diam, aku perasan pemanduan Raid kurang memuaskan. Kurang stabil dari segi kelajuan. Terkadang lajunya mengalahkan pelesit. Terkadang mendadak dia memandu secara perlahan sehingga mengundang tanda tanya. Apa lagi sesekali dia mengerling cermin pandangan belakang.

“Ada apa yang tak kena?” Tanya aku sambil pandang dia.

“Ada orang ikut kita.”

Ayat dia buatkan aku menoleh belakang. Dari jauh nampak sebuah kereta hitam memandu secara zig zag demi merapatkan jurang. Bunyi hon bersahutan tak menjadi penghalang kereta itu memecut.

“Siapa dia?”

Raid pandang aku sekilas.

“Saya yang patut tanya soalan tu.”

Bertingkat-tingkat dahi aku bila dengar Raid berkata begitu.

“Saya pun nak tahu siapa yang ikut kita dari rumah.”

Membesar sedikit kedua belah mata. Tak sedar rupanya sudah lama kami diekori.

"Paut apa je asalkan awak tak terhantuk mana-mana."

Arahan aku patuh. Sebelah tangan mula pegang roof handle. Sebelah lagi kejap mencengkam tali pinggang. Bibir terkumat kamit membaca segala doa.

Ketika itu aku nampak bayang memintas di sebelah kanan Raid lalu masuk laluan di hadapan kami mendadak dan berhenti secara mengejut.

Hasil patuh pada arahan Raid, fizikal aku bebas dari sebarang kecederaan. Hanya kepala sedikit pusing gara-gara pening.

"Awak nak jumpa dia, atau saya?" Raid bersuara. Mata ralit memerhati ke depan.

Perlahan-lahan aku menoleh. Dari dalam aku nampak susuk tubuh yang keluar dari kereta dengan muka merah. Dia sedang menghampiri pintu sebelah aku.

"Biar saya jumpa dia." Putusku sambil bergegas lepaskan tali pinggang.

"Lima minit. Jangan lama. Lebih lima minit, saya sendiri akan turun jumpa dia."

Tangan yang baru nak buka pintu kereta, terhenti. Aku pandang belakang. Nampak Raid sedang pakai sarung hitam yang mendedahkan separuh jari.

"Go. Jangan buat Hilman naik hantu."

Kenapa aku rasa sebaliknya? Rasa Raid yang sedang naik hantu. Raid yang macam tak sabar nak layangkan penumbuk ke muka Hilman.

Share this novel

zen zen
2025-01-26 17:04:41 

raid kahwin dengan Heera semata mata menyiasat kes kematian tunangnya..ternyata raid tak ikhlas...klu cam tu tak perlulah Heera nak tunjuk isteri mithali sngat...buat cam biasa je Heera...kan raid dah ingatkan ...dia tak bole nak tolong Heera...jadi apalgi yang Heera nak sebenarnya...pujuk helman Dan kmu berdua serah diri...abis cerita...jadi raid tak perlu susah susah lagi...terlunas sd dendam...klu sis jadi Heera...sis takkan kembali pada raid..kahwin dengan Heera tak ikhlas...buat apa nak terhegeh Heera..lbih baik dengan hilman shj.. hahaha


NovelPlus Premium

The best ads free experience