MENGHADAP lautan manusia itu jauh lebih baik. Seharian pun tak mengapa asalkan dapat kembalikan semua ketenangan aku yang sudah menghilang. Namun hampa, ketenangan tidak juga kunjung tiba. Fikiran semakin jauh melayang adalah.
Mujur kerjasama di pihak Raid sangat memberangsangkan. Hampir satu jam dia biarkan aku sendirian tanpa gangguan. Terkadang suara dia kedengaran sangat dekat. Bila sedar dirinya mengganggu, mulalah dia menjauh selepas terima jelingan aku.
Sejujurnya, terselit sedikit sesalan. Kalau tahu betapa terganggunya aku setelah dengar kejujuran dari Hilman, awal-awal aku tolak pertemuan diatur Raid semalam selepas kepulangan orang tuanya. Inilah bahana di atas kedegilan sendiri. Mula rasa kemurungan. Dihantui kisah lalu yang menyedihkan.
“Kenapa awak boleh tenang Raid? Atau saya yang terlalu lemah?” Tanyaku tanpa menoleh.
Ekor mata nampak Raid suakan sebotol air. Dia mengambil duduk di sebelah setelah puas beri aku ruang. Dan kehadiran dia tidak menganggu langsung. Sebaliknya aku rasa selamat.
“Awak nak jawapan jujur atau tipu?” Dia juga tidak menoleh. Malah dia dengan selamba buka penutup air tin lalu diteguk. Air redbull. Entah apa yang sedap air tenaga jenama lembu datang bulan itu.
“Mana lebih baik?” Soalku. Raid suka bertanya sebegitu. Maka aku perlukan saranan demi menjamin kesihatan emosi sendiri.
“Dua-dua tak baik.” Jawab dia bersahaja.
Aku mengeluh. Jawapan yang hanya menambah kekusutan di hati. Mata masih sibuk merenung lautan manusia yang sedang berpusu-pusu jalan di lantai paling bawah pusat beli belah empat tingkat. Suara mereka boleh dengar sampai ke tingkat atas.
“Saya betul-betul tak sangka Hilman tergamak buat macam tu.” Ujarku perlahan. Sesungguhnya aku terkilan kerana pernah ada hubungan dengan penjenayah.
“Dan saya tak tahu dia sukakan tunang awak.” Kataku lagi. Suara hampir tak terluah. Malu pun ya.
“Tapi cinta dia tak berbalas.” Potong Raid.
Kepala turun naik. Gara-gara kenyataan pahit itulah Hilman naik hantu. Sanggup ekori ke mana saja tunang Hilman pergi dalam diam. Malam hari kejadian, Hilman hilang pertimbangan. Sanggup kejar tunang Raid semata-mata nak bunuh dia.
Muncul pula aku di waktu yang salah. Tak sedar rupanya aku sedang menjayakan rancangan Hilman tanpa sengaja. Awalnya semua aman. Siapa tahu rupanya tunang Raid masih hidup. Hal tersebut meresahkan Hilman sampai lelaki itu tergamak tamatkan riwayatnya terus selepas berjaya mengusir aku.
Mengenangkan malam itu, aku pejam mata beberapa saat. Berharap semua itu sekadar mimpi. Berharap semua itu hanya cerita drama-drama tv. Sayangnya, itu semua realiti. Tiada apa yang mampu aku lakukan melainkan telan semua kepahitan tersebut.
“Awak setuju kalau kita cerai?” Aku buat keputusan drastik. Ini yang aku rasa terbaik bagi kami berdua.
Entah dari mana aku kutip keberanian sampai berani menoleh. Bertentang empat mata dengan dia. Tanpa sedar aku sedang menutup semua pintu-pintu syurga dengan meminta cerai.
Aku mengharapkan Raid marah. Dia akan maki hamun aku. Bahkan dia boleh saja pukul aku kerana berjaya petik suis kemarahan dia. Biar lunas semua dendam dia selama ini.
Sayangnya, aku terlalu banyak menonton drama suami dayus. Semua itu jauh terpesong. Malah Raid mampu tersenyum. Menyerlahkan deretan gigi putih bersih dia.
“Saya bukan pelawak Raid. Saya pun tak pernah terfikir nak jadi pelawak.” Geram bila senyuman Raid bertukar jadi ketawa besar.
“Bukan ini ke yang awak nak? Awak yang minta saya jangan terlalu berharap dengan perkahwinan kita. And yes...Saya berjaya buang perasaan yang baru tumbuh. Saya tebas sampai licin. Saya terima dengan hati terbuka kalau kita berpisah.” Kataku panjang lebar.
Raid angguk kepala. Respon yang sememangnya aku mahukan. Kesepakatan itu yang bakal memudahkan. Proses berpisah juga akan lancar.
“Saya suka bila awak fikir perasaan semua orang.”
Ya. Perasaan orang lain itu ibarat emas. Tinggi nilainya. Wajib disayangi. Aku menanggung kerugian bersedih tak mengapa. Jangan orang lain.
“Saya suka juga bila awak dahulukan kedamaian biarpun awak terluka.”
Apalah sangat dengan luka. Luka fizikal doktor boleh rawat. Luka di hati boleh sembuh dengan mengadu pada pencipta. Makan masa bertahun pun tetap akan sembuh jua. Yang penting kena yakin boleh.
“Saya rasa kita perlukan sikit masa untuk capai kata sepakat.” Usul Raid.
Hampir saja aku mengeluh. Dia nak tarik masa lagi? Saja nak gantung aku tak bertali? Tahu tak, aku ini mengalahkan kerak nasi? Tak perlu susah payah rendam berjam-jam. Seminit pun sudah mula cair. Mulalah jadi lalang.
“Berapa lama? Sebulan dua? Atau setahun?” Tanyaku tanpa jiwa.
“Mungkin.” Pendek dan padat jawapan Raid. Tetapi hampir berjaya bunuh jiwa aku sebenarnya.
Aku pusing. Pandang depan. Entah mengapa bila pandang Raid, terasa sedang dipermainkan. Terasa seperti ada lagi cerita derita yang sedang menanti. Terasa masa depanku sangat gelap. Tiada sinarnya lagi.
“Ada lagi dendam awak yang tak tertunai?” Tanyaku perlahan. Kes jenayah melibatkan aku, Hilman dan tunang Raid telah selesai dirungkai. Masalah rumah tangga kami yang masih berbelit. Payah nak dileraikan.
“Awak rasa saya ni terlalu kejam ke Heera?”
Tak suka bila soalan dibalas soalan. Dengan keadaan kusut begini, tentunya aku sukar nak karang jawapan.
“Saya selalu salah menilai orang. Jadi, saya tak ada jawapan untuk soalan awak.” Jujurku.
Buktinya, aku pernah menjadi mangsa penipuan Hilman. Sampai dapat gelaran penjenayah interim. Tapi kesannya boleh jangkau seumur hidup. Boleh trauma.
“Sejujurnya, saya dah lama tahu awak tak salah.”
Kejujuran tersebut buatkan aku berpusing sembilan puluh darjah. Tak berkedip pandang muka dia yang sibuk menghabiskan sisa air lembu merah itu.
“Dan saya bagi awak tugas dalam diam.” Sambung dia.
Tugas? Tugas apa? Sehabis daya aku kerah semula ingatan sejak bergelar isteri kepada Raid. Sayangnya, usaha aku sia-sia. Ada pun, cerita mengalahkan drama sinetron. Segalanya baik-baik saja di awal perkahwinan. Di hujung-hujung cerita, semua yang manis bertukar pahit.
“Saya patut ucapkan tahniah pada awak. Awak berjaya jalankan tugas dengan baik. Itu yang buat saya rasa bangga.” Dia senyum di hujung ayat. Saja nak jemput kemarahan aku.
“Awak merepek apa Raid?”
“Mana ada saya merepek. Tugas awak pancing Hilman. Sebab dia penjenayah yang paling dikehendaki. Dan awak berjaya. Tahniah."
Aku ketawa tak percaya. Ketawa buat-buat demi menutup rasa terkejut. Tubuh disandarkan pada kerusi kasar. Otak pula gigih cerna cerita unsung hero versi Raid.
Apa? Kononnya, akulah unsung hero tersebut?
Aku ketawa lagi. Hampir saja berbahasa kesat gara-gara sakit hati.
“Saya tak ada niat pun nak sakiti atau tipu awak, Heera.” Raid cuba raih tangan aku.
Maaf, buat masa ini, sentuhan fizikal hanya menyemarakkan lagi api kemarahan. Maka, aku tolak dengan cara menepis.
“Saya tahu awak marah.”
Marah tak pernah ada dalam catatan kamus kehidupan aku. Gara-gara Raid, nampak gayanya catatan aku bakal ada rombakkan. Dia punca aku jadi pemarah. Dia yang menonjolkan semua sisi jahatku.
“Saya minta maaf, Heera.”
“Kita balik.” Mendatar suara aku. Semua unsur-unsur marah aku tolak tepi. Tak manis nak tayang di tempat umum.
“Kita balik sekarang.” Ulang aku sepatah-patah bila Raid masih kaku. Kali ini aku pandang dia tanpa jiwa.
Perlahan-lahan terbias senyuman di wajah dia. Senyuman paksa demi mengelak kami jadi perhatian semua orang memandangkan kami di tempat umum.
“Okey.” Dia akur.
Aku terlebih dahulu bangkit. Ekor mata perasan percubaan Raid nak sambar lengan aku supaya berjalan saing gagal teruk.
“Saya nak jalan sendiri.” Kataku perlahan. Memadai didengari oleh Raid seorang.
Dia menurut. Bibir masih tersenyum. Tetapi mata dia sedang berduka gara-gara sikap aku yang sengaja bina benteng pertahanan di antara kami.
Sepanjang perjalanan ke ruangan parkir kereta, fikiran aku kosong. Sampai tak sedar bahu berlanggar dengan seseorang. Hampir saja tersungkur. Mujur ada Raid dari belakang muncul sebagai penyelamat. Cepat dia tarik aku dekat dengannya bila ada yang acah-acah gangster. Mula nak tindas aku sebagai kaum Hawa. Kononnya aku menyakiti teman wanitanya.
Perutusan maaf aku ditolak mentah-mentah. Malah si lelaki semakin berani menolak bahu Raid sampai terdorong ke belakang. Hampir saja pucuk hidung aku ternoda gara-gara bersembunyi di belakang dia.
“Raid…Biar dia.” Aku segera menghalang bila Raid mara beberapa langkah sambil mengepal penumbuk.
“Tak payah layan. Lagipun, saya okey.” Berkali-kali aku cuba tarik Raid. Percubaan ke empat barulah berjaya. Gara-gara dia sengaja mengeraskan langkahnya.
“Awak patut biar saya ajar dia.” Luah Raid kesal setelah menjauh.
Aku jeling muka dia yang merah padam. Tangan masih erat mencengkam lengan dia. Dalam waktu yang sama mengheret dia secara paksa.
“Kalau saya biarkan, macam mana awak nak bagi saya nafkah? Saya yakin bulan depan awak akan kena gantung kerja.” Akhir ayat aku jeling dia.
Diam setelah itu. Gara-gara tiada suara bantahan dari orang sebelah, aku jadi curiga. Apa sepantas ini emosi dia pulih? Ajaib. Aku jadi tertanya-tanya. Mungkin aku perlukan petua dia.
Perlahan-lahan aku menoleh. Ketika itulah pemandangan kurang memuaskan menyapa. Dia tersenyum lebar sambil kedua belah tangan berada di dalam poket seluar. Bangga bila berjalan ada orang papah sambil pandu arah.
“Boleh kita stay macam ni?” Tahan Raid bila sedar aku cuba leraikan pautan.
Lambat-lambat aku pandang depan. Tangan masih di lengan dia. Mengenangkan dia sudah menjadi penyelamat sebentar tadi, permintaan dia ditunaikan. Cukup sekadar sampai di parkir kereta. Tiada lagi selepas itu.
“Saya ada permintaan lain.”
Aku hela nafas panjang. Raid pandai ambil kesempataan dikala mood aku sedang membaik.
“Apa dia?”
“Kita date seminggu.”
Aku berhenti mendadak. Kepala segera menoleh demi sebuah penjelasan sebelum aku tua sepuluh tahun.
“Saya nak jernihkan semula hubungan kita. Selepas seminggu, saya serahkan keputusan pada awak tanpa sebarang bantahan.”
Kali ini terbalik. Dia mengisi celahan jari jemari runcing aku dengan jari besarnya. Berbekal senyuman, dia mengheret aku pergi tanpa kata lagi. Ibarat lembu dicucuk hidung, aku ikut ke mana saja Raid bawa pergi.
Aku? Masih bingung.
Share this novel
ad sambungan ke??
kna bg pengajaran skit kt raid ni..dh huru harakn hidup org sesenang je buat mcm x bersalah..grrr