Bab 31

Romance Series 63337

MENDADAK aku tayang gigi penuh. Tangan spontan naik melekap di dada bidangnya. Perlahan-lahan tubuh Raid aku tolak menjauh. Bila ada jurang di antara kami, cepat-cepat kepala aku tunduk. Mencari keberadaan telefon yang kemungkinan besar sudah berderai. Dalam waktu yang sama cuba meredakan rasa gugup berdepan dengannya.

Saat menemui keberadaan telefon tersebut, tangan aku mula mengutip. Terhela nafas lega bila keadaan fizikal telefon masih elok. Tiada kejadian terbelah dua. Ada pun tempered glass retak di penjuru.

"Awak buat saya terkejut." Kataku sambil menganggarkan jumlah kerugian sama ada perlu baiki atau tukar yang baru. Mujur ketika bersuara tidak diserang gagap. Takut mengundang curiganya.

Tugas sebagai adjuster tergendala bila Raid paut lengan aku dan memaksa untuk menoleh. Pandang muka dia yang masih begitu. Bebas dari senyuman. Muka yang sesiapa pandang pun faham. Emosi dia dibadai ombak besar.

"Awak belum jawab soalan saya." Merah-merah wajah Raid. Dia enggan melepaskan lenganku. Nampak sangat dia sedang menahan diri.

Kali ini aku tidak mengelak. Aku tatap wajah Raid yang sarat dengan persoalan. Sarat dengan rasa ingin tahu. Sarat dengan segala rasa. Mengalahkan ibu yang sarat mengandung cemasnya.

"Phone saya dah rosak." Adu aku tanpa menjawab soalan dia. Dua kali percubaan menghidupkan telefon gagal. Barangkali kesihatan dalamannya sudah rosak.

"Nanti saya belikan baru."

"Tak perlu membazir, Raid."

"Untuk isteri, tak ada istilah membazir."

Melihat betapa tegangnya Raid, dengan berhemah aku longgarkan pautan. Sekarang bukan waktu yang sesuai untuk kami saling berbahas. Seeloknya biar dua-dua tenang terlebih dahulu.

"Saya belum masak lagi."

Usaha aku untuk mengelak berjaya dikesan. Dada Raid naik tinggi sebelum turun semula. Rahangnya bergerak-gerak.

"Saya dah kenyang." Biarpun penuh tanda tanya, Raid tetap menjawab. Pandangan tidak lari walaupun sesaat.

"Saya dah janji nak masak. Tunggu saya masak dulu. Kita makan sama-sama." Walaupun harapan untuk loloskan diri tipis, aku tetap berusaha sehabisnya.

"No!" Raid menghalang aku pergi. Bahkan dia menjadi tembok supaya aku tidak melarikan diri.

"Awak tengah marah Raid. Kalau saya buka mulut sekarang, awak akan lebih marah. Dan saya risau awak tak akan percaya apa saya cakap." Mujur aku lebih tenang berbanding tadi. Bimbang aku juga terjerumus sekali bersama kemarahan Raid.

"Beritahu saya. Baru saya putuskan untuk percaya atau tidak."

Nampak gayanya, Raid nekad. Dia akan guna segala cara untuk cari tahu. Dan jawapan itu perlu diperoleh segera. Itulah prinsip Raid yang aku tahu bila menjadi isteri dia.

"Okey." Aku mengalah.

Kening Raid naik tinggi bila aku diam. Belum ada tanda-tanda nak memulakan penjeleasan.

"Saya nak buat surprise birthday untuk Rai. Tapi..." Aku angkat kedua bahu. Bibir mencebik kesal.

"Rai dah tahu." Sambungku.

Dahi Raid berkerut teruk. Dia picing mata. Kepala pun senget. Kedua belah tangan sudah bercekak pinggang.

"Saya dah cakap, awak tak akan percaya saya." Aku sedia angkat kaki melihat respon dia.

"Tunggu."

Aku berhenti di sisi Raid lalu berpusing pandang dia sambil berpeluk tubuh.

"Tak perlu cakap banyak, tengok muka pun tahu. Sebab tu saya tak nak cakap." Reaksi Raid itu sedikit sebanyak agak mengganggu. Lebih membimbangkan lakonan aku tidak dapat bertahan lebih lama.

"Kalau saya boleh beli kepercayaan awak, buat loan pun sanggup. Kepercayaan awak tu sangat mahal Raid. Kalah Bugatti."

Aku nampak Raid menahan ketawa.

"Kelakar kan? Tapi saya cakap benda betul."

Ketawa dia terhambur juga. Kepala digeleng beberapa kali.

"Bila birthday Rai?"

"Lusa." Jawab aku dengan muka monyok. Tak ada hati nak gelak sama. Hati aku tak tenteram.

"Siapa event planner yang tak bertauliah tu?"

Soalan Raid buat aku kelu sejenak. Dinding bibir digigit perlahan. Otak berkerja keras mencari jawapan bagi setiap soalan Raid.

"Saya tak kenal. Jumpa pun dekat ig." Entah kali ke berapa aku berbohong untuk hari ini.

"Pecat dia."

Aku pandang Raid tidak berkedip. Kalaulah Raid tahu orangnya Hilman, bukan saja pecat. Dijamin Hilman bakal menerima jemputan vip untuk berjumpa dengan sang pencipta.

"Beritahu saya plan awak...Saya boleh jadi organizer." Tawar Raid.

"Betul ni? Awak sponsor semua, eh?" Aku mendekat. Teruja pun ya.

Dia kerdip mata sekali. Respon itu buatkan senyuman aku semakin lebar.

"Tunggu saya listkan. Sebelum tu saya nak masak dulu. Lepas awak balik kerja kita bincang."

Baru dua langkah, ada tangan yang melilit di pinggang. Sekali tarik belakang aku disapa kehangatan. Bahu kanan terasa berat. Kepala berpusing mencari raut wajahnya.

"Betul awak tak ada sorok apa-apa dari saya?" Bisik dia perlahan. Sedikit pun dia tidak menoleh. Melihat reaksinya buat aku ketap bibir.

"Firasat saya katakan sebaliknya." Kata dia lagi. Masih merenung ke depan.

Aku ralit memandang sisi wajahnya. Ada kesedihan yang cuba Raid sembunyikan dari pandangan semua. Kesedihan bersulam rindu yang sangat mendalam.

"Saya pernah kehilangan, Heera. Kehilangan yang buatkan dunia saya gelap. Semangat saya hilang hampir setahun lamanya."

Ya. Aku mampu melihat semua itu sekarang.

"Saya simpan dendam sejak dari hari tu."

Sistem pernafasan aku secara tiba-tiba mengalami gangguan. Telapak tangan mula berpeluh-peluh. Serta-merta tangan yang elok berada di lengan Raid jatuh. Wajah Raid berganti dengan pemandangan ruang tamu yang tampak suram. Hilang serinya.

"Awak nak tahu..."

Ayat dia yang tergantung buatkan aku menoleh. Pandangan kami bertaut. Aku hampir-hampir kehabisan oksigen. Sedangkan Raid masih utuh tersenyum. Malah pelukkan dia semakin erat. Dagu dia masih tersangkut di bahu.

"Bertahun-tahun saya cuba rawat diri."

Air liur aku tersekat. Hanya anak mata bergerak-gerak. Jika mampu diputarkan waktu, aku mampu bertukar tempat Raid. Biar aku menanggung semuanya sendirian. 

"Akhirnya saya jumpa rawatan terbaik. Yang buatkan saya mampu berdiri dan bernafas sampai sekarang ni."

Bibir yang rata perlahan-lahan melengkung. Membalas senyuman Raid secara terpaksa. Supaya tak dicurigai.

"Apa dia?" Aku bertanya biarpun payah. 

Dalam hati dah pasang niat nak galas tanggungjawab untuk pastikan Raid terus mendapatkan rawatan. Ini pun belum tentu dapat menebus dosaku padanya. 

"Sini, saya bagi tahu awak."

Tak sempat nak mengelak bila bibir Raid mencari pinggir telinga. Niat nak bina jarak gagal teruk saat terdengar bisikan dia.

"Balas dendam." Keras bisikkan Raid. Bisikkan yang berjaya menghentikan denyutan jantung aku.

"Saya nak dia rasa apa yang saya rasa selama ni."

Aliran darah terhenti. Hilang segala kehangatan yang disalurkan Raid tadi. Kini seluruh tubuh disapa rasa sejuk yang mencengkam hingga ke tulang. 

"Jom siap-siap. Kita makan luar."

Pipi aku diusap lembut sebelum bayang Raid menghilang. Tangan naik mengusap lengan. Penuh di dahi mula tumbuh bak cendawan. Fikiran aku kosong. Mulalah aku berpusing-pusing di ruangan tamu. 

"Heera!"

Aku menoleh. 

"Ya?" 

"Cepat siap."

"Huh?" 

Raid kembali mendekat bila melihat aku tiba-tiba bingung. Masih tercegat diruangan tamu dengan pandangan kosong. 

"Hei...Kenapa ni?" Tanya Raid serius bila aku berundur beberapa langkah. Mengelak tangan dia menyentuh wajah.

"Err...Tak. Saya tak berapa sihat." Tangan mengurut tengkuk. Saja aku larikan pandangan mata. 

"Tak...Saya tak demam. Tiba-tiba pening." Lembut aku menolak tangan Raid yang melekap di dahi.

"Pergi rehat dulu. Saya masak."

"Tapi..."

"No objection." 

Jatuh kedua bahuku. Mata hanya mampu menghantar pemergian Raid yang sudah menghilang di dapur. 

"Masuk bilik, rehat cukup-cukup." Suara Raid tenggelam timbul. Berselang dengan besi berlaga.

Pandangan aku tertumpu pada telefon pintar di atas meja. Sekilas aku mengerling dinding yang menjadi pemisah antara dapur dan ruang tamu. Sepantas kilat aku menyambar telefon dan berjalan laju menuju ke bilik. Ada hal mustahak yang perlu aku selesaikan bersama Hilman. 

Sebelum itu, aku perlu pastikan talian hayat berfungsi. Jika tidak, aku perlu cari jalan lain supaya dapat berhubung dengan Hilman. Ini saja peluang yang aku ada sementara Raid sedang sibuk masak. 

Bibir tersenyum lega bila telefon yang gelap mula terang. Kesan-kesan retak yang melintang sedikit pun tidak mengganggu. Telefon aku biarkan di atas meja solek. Langkah dipanjangkan menuju ke pintu. Tangan segera mengunci dari dalam. Tak nak Raid menerjah masuk ketika aku sedang mengadakan perhitungan dengan Hilman. 

"Hilman?" Terjah aku sejurus panggilan bersambung.

"Awak okey? Oh God, Heera! Awak buat saya risau. Berapa kali saya cuba call awak tapi tak dapat? Sikit lagi saya nak pergi jumpa Rai." Suara Hilman kedengaran cemas di hujung talian.

"Macam mana Rai boleh tahu? Raid pun tahu? Dia orang ada apa-apakan awak?" Bertubi-tubi Hilman bertanya. 

"Raid tak tahu."

Terdengar Hilman hela nafas. 

"Awak nak saya buat apa? Kita boleh diamkan Rai kalau awak nak."

Cadangan Hilman buat sepasang kening aku hampir bercantum.

"Apa maksud awak Hilman? Rai tak makan rasuah. Dan dia tak pernah terlibat dengan benda-benda kotor macam tu. Awak silap besar kalau nak rasuah dia." Cadangan Hilman aku pangkah. 

Hilman ketawa. Ketawa yang sedikit sebanyak menjengkelkan. Malah menyakitkan telinga aku juga.

"Jangan suci sangat Heera. Ada je banyak cara lain untuk diamkan Rai."

Semakin dalam kerutan wajah aku. Otak berkerja keras memikirkan cara yang dimaksudkan oleh Hilman. 

"Tentang Rai, serahkan pada saya. Pandai-pandai saya uruskan dia. Sekarang saya nak tahu apa dah jadi dekat perempuan yang saya langgar malam tu. Saya nak jumpa dia." Ada percanggahan fakta antara Hilman dan Raid. 

Sepi di pihak Hilman. 

"Awak cakap dia masih hidup. Esok bawa saya jumpa dia, Hilman." Aku tak berhenti mengasak. 

"Esok saya sibuk."

Aku mula bosan bila bertahun-tahun Hilman asyik beri alasan yang sama. Malah Hilman sering mengelak. 

"Fine. Saya akan cerita kejadian sebenar pada Raid dan saya akan minta dia bawa saya berjumpa dengan perempuan tu. Saya nak minta maaf pada dia.”

Panggilan Hilman aku abaikan.

"Dia dah mati Heera!" Telefon yang menjauh dibawa rapat ke telinga semula. 

"Apa dia?" Suara aku dengar tak dengar.

"Malam tu dia dah mati."

Sebaris ayat itu buat aku geleng kepala beberapa kali. Bibir menahan getar. 

"Tak...Awak bohong Hilman. Awak bohong!"

Aku jatuh terduduk. Suara Hilman hilang entah ke mana. Sedar-sedar saja ada sepasang tangan kekar yang memaksa untuk aku menoleh. Bayang satu menjadi dua. Kemudiannya tiga. Dan tak terhitung banyaknya.

Dalam banyak-banyak ayat, hanya tiga patah perkataan yang sampai ke telinga. 

"Kita perlu bincang!"

Air mataku mengalir deras. Bayang-bayang Hilman hilang sepenuhnya. Alunan suara dia bersulam dengan tangisan aku yang tidak ada tanda mahu berhenti.

Share this novel

Nur Ayss
2025-01-09 06:08:07 

suspennon.....


NovelPlus Premium

The best ads free experience