Bab 25

Romance Series 37640

AGAK lama aku mengamati kilauan emas di sebalik cermin kaca. Tercari-cari mana satu yang sesuai dan berkenan di hati. Lima belas minit memerhati, masih belum jumpa yang berjaya memenuhi citarasa. Yang lain daripada yang lain.

Masuk minit ke dua puluh minit, aku bangkit. Beralih ke kerusi sebelah. Yang lebih jauh sedikit. Dengan harapan dapat menemui sesuatu yang dimahukan.

"Awak nak cakap sesuatu ke Raid?" Aku bersuara setelah lama berdiam diri. Ekor mata perasan Raid hanya menjadi mandor tanpa suara. Hanya aku jadi tumpuan dia.

"Tak."

Aku kerling dia. Ketika itu juga dia melarik senyuman.

"Okey." Kataku sepatah.

"Cik nak rantai atau gelang?" Jurujual bertanya. Menghulurkan bantuan untuk mempercepatkan proses pencarian.

"Saya nak gelang. Yang simple, tapi tak terlalu murah dan tak terlalu mahal."

Setelah mendengar ciri-ciri tersebut, jurujual selaku orang lebih berpengalaman mula beraksi. Menunjukkan kepakaran dalam dunia emas.

"Dan saya tak nak yang kosong. Yang padu. Tak mudah putus. Sebab saya lasak." Sempat lagi aku bersuara tatkala jurujual tersebut sedang sibuk mencari. Dia angguk kepala tiga kali bersama senyuman belum pudar.

Dengan bantuan pakar, tiga utas gelang tangan ada di depan mata. Ketiga-tiganya sesuai dengan kehendakku. Antara ketiga-tiga itu, yang tengah berjaya menarik perhatian.

Gelang tersebut aku capai lalu dililitkan pada pergelangan tangan. Dan tangan dibawa jauh sedikit. Menguji padanan tersebut dari jarak jauh pula.

"Yang tu nampak sesuai dengan cik." Puji jurujual.

Pujian tersebut aku sambut dengan senyuman. Mata terhenti pada angka yang tertulis pada tag di hujung gelang.

Boleh tahan! 13g. Darab dengan harga emas semasa, kurang RM22.43 nak cecah lima ribu!

"Ni rantai tangan jenis putera puteri. Yang padu. Campuran emas putih. Nampak lebih elegan untuk si pemakai."

Aku toleh kiri. Mahukan repson orang sebelah.

"Macam mana?" Soalku perlahan. Tak mahu perbualan kami didengari.

"Awak suka, saya pun suka."

Respon yang sangat tidak membantu. Keputusan diserah bulat-bulat padaku. Tipikal lelaki. Begitulah.

"Okey, saya ambil ni." Putusku setelah beberapa minit berfikir.

Hujung mata nampak Raid capai beg dompet di poket belakang seluar. Sayangnya, aku tiga kali lebih pantas. Kad debit sudah tersedia di tangan. Tahu-tahu saja, kertas laju keluar dari mesin swipe card. Elok telinga terdengar suara rengusan orang sebelah. Tak puas hati.

"Kenapa bayar? Saya yang sepatutnya bayar?" Raid luahkan rasa tak puas hati sejurus kami keluar dari kedai emas.

"Saya punya, jadi saya yang bayar. Lagipun mahal Raid." Aku abaikan muka merah dia.

Langkah aku terhenti bila Raid menjadi tembok penghalang. Hafas dihela perlahan sebelum mata naik merenung dia. Nampak rahang dia bergerak-gerak. Dahi berkerut. Muka merah mengalahkan buah tomato. Itu gelaja orang marah.

"Jangan marah, Raid. Hal kecil je."

"Hal kecil awak cakap?"

Salah pemilihan ayatku. Marah Raid itu semakin merebak. Salah ayat lagi, jangan hairan penyakit marah dia bakal berpindah pada aku pula.

"Jom." Ajakku bila beberapa pasang mata mula beri perhatian pada kami berdua.

Hujung baju dia ditarik bila Raid tidak beri kerjasama. Masih mahu melancarkan perang mulut.

"Kita dah janji kan? Nak beli barang hantaran masing-masing?"

"Ya, saya tahu. Gelang tu untuk majlis batal air sembahyang. Tak tersenarai dalam barang hantaran." Potongku bila Raid masih nak lancarkan protes.

"Sekurang-kurangnya, awak tak rugi kalau majlis batal saat akhir. Jimat sikit duit awak. Dan tak adalah awak rasa menyesal."

Raid picing mata. Malah dia mara dua langkah dengan muka serius.

"Awak rancang nak malukan saya, Heera? Awak ada niat nak batalkan majlis kita?"

Aku larikan mata. Tangan tarik hujung baju dia.

"Kita ada banyak program dalam seminggu ni, Raid. Bergaduh tak masuk dalam senarai program." Sengaja abaikan muka marah Raid.

Aku pusingkan badan bila Raid enggan beri kerjasama. Masih kaku di situ. Masih lancarkan mogok.

"Raid, please..." Mana mungkin aku nak angkat dia. Tak terdaya aku. Hanya memujuk saja aku mampu setakat ini.

"Saya lebih rela awak pukul atau maki saya, Heera. Tapi tolong jangan dera hati saya. Saya takut akan saya akan ambil langkah kurang bijak. Masa tu mungkin saya hanya mampu tengok awak raikan kematian saya."

Aku pejam mata sesaat sebelum celik semula. Jauh sangat Raid melalut. Dalam waktu yang sama, dia sedang mengikis kesabaran aku. Sikit lagi nak kering-kontang. Jangan hairan jika hasrat dia nak ke syurga ditunaikan.

"Saya berani jamin majlis kita akan berjalan lancar. Jadi, tolong berhenti fikir bukan-bukan."

Sedikit demi sedikit mentari muncul di wajah Raid. Sekelip mata awan hitam berarak pergi. Sangat drastik sekali perubahan iklim dia.

"Awak sedang beri saya harapan. Harap-harap, bukan harapan palsu."

"Doakan saya tak mungkir janji."

Melebar senyuman dia. Hilang semua kegelapan.

"Ada lagi?" soalku. Jangan nanti masuk kereta, dia lancarkan perang selepas setuju gencatan senjata.

"Ada."

Aku kerut kening. Sakit kepala layan karenah dia. Tak tahu bagaimana nak berdepan Raid selepas kahwin nanti. Dalam hati berdoa semoga aku dikurniakan kesabaran setinggi langgit sejurus bergelar isteri.

"Apa dia?" Aku masih berlembut. Bimbang berlakunya lagi perubahan iklim.

"Senyum sikit untuk saya."

Dada naik tinggi. Perlahan-lahan aku hela nafas panjang. Sebelum bibir rata aku mula melengkung. Lebih daripada sedikit aku berikan. Jangan ada yang berbunyi lagi.

Selepas itu, lesap senyumanku. Cukup dua saat. Tak perlu lama-lama. Takut ada yang fikir aku sudah bebas dari rasa marah. Dan aku tak disahkan mengalami amnesia setelah ditipu setengah mati.

SEDANG aku belek tubuh di depan cermin besar, ada bayang muncul dari belakang. Berdiri satu cermin denganku. Sesaat kemudian aku alihkan pandangan.

"Warna tu sesuai dengan awak."

Komen pertama yang aku rasa dia itu wujud sebenarnya. Dan dia boleh tak lokek beri pendapat.

"Awak rasa ni okey?" Aku pandang dia melalui cermin.

"Potongan baju terlalu kembang dan pendek. Tak berapa manis. Tak kena dengan budaya orang melayu."

Aku tersenyum sedikit.

"Saya macam nampak sajat sekarang ni. Yang pandai kritik semua hal."

Dia jeling aku. Tak suka dengan gurauan kasar tersebut.

"Kebaya labuh jenis kain songket pun cantik. Cari warna yang sama."

"Awak tahu jenis baju?"

"Bakal suami awak ni serba serbi."

Aku cebik bibir.

"Masak?"

"Kepakaran saya."

Semakin senget bibir aku.

"Baguslah. Saya tak pandai masak." Jujurku. Tak nak nanti dia terkejut bila nak makan, hanya ada lauk nasi dan telur goreng. Berkuahkan kicap.

"Kita belajar sama-sama."

"Kalau saya nak belajar."

Jawapan aku mengundang aura jahat. Sejak akhir-akhir ini, pantang aku melawan, mulalah sisi gelap Raid menjelma. Saja nak menakut-nakutkan aku.

Lihat sajalah, Raid sudah berani diri dekt-dekat. Nak aku rasa bahang tubuh dia. Biar mulut aku tak pandai nak melawan.

"Saya yakin perlahan-lahan awak akan nak belajar." Terasa begitu dekat sekali bisikan Raid.

Terdengar suara orang mengaduh perlahan. Aku pura-pura kalut.

"Saya siku awak ke Raid? Sorry! Saya tak sengaja. Saya nak buka tali pinggang ni, rimas. Tak perasan awak ada dekat belakang." Jelas aku pakej dengan muka serba salah.

Aku berpusing, menghadap dia. Mata sekejap turun pada tangan dia yang masih diperut. Sekejap pandang wajah dia.

"Nak pergi klinik?" Tanyaku bila Raid diam dengan muka berkerut.

"Salah saya." Semakin aku rasa serba salah jadinya.

Dia geleng kepala.

"Salah saya lupa asah siku biar tumpul sikit. Gara-gara cuai, ada orang mengalami bocor perut. Mujur usus tak terkeluar. Jenuh saya nak kutip bawa ke hospital nanti."

Daripada pucat, muka Raid jadi merah. Bibir mengetap kuat. Mata mengecil.

"Cik! Kami pilih yang ini." Panggil aku saat terpandang seorang gadis yang kebetulan muncul tepat pada masanya.

"Cuma saya nak minta kecilkan kain dekat bahagian pinggang. Longgar sikit."

Kepala gadis itu turun naik. Faham.

"Sayang...Diri tegak. Saya nak tengok baju awak." Aku abaikan kesakitan Raid. Tangan mendarat di bahu dia, dicengkam kuat sedikit. Memaksa Raid berdiri tegak.

"Okey, perfect! Tak ada bahagian yang perlu di alter." Dari atas sampai ke bawah aku tilik. Buat-buat tak nampak Raid yang umpama gunung berapi mahu meletup.

"Sorry." Bisikku setelah selesai sesi fitting baju nikah dan sanding. Wajib minta maaf selepas buat jahat.

Kali ini, aku biarkan Raid buat bayaran wang pendahuluan. Bakinya akan dilunaskan selepas majlis. Bimbang ada kejadian balas dendam selepas nikah kelak. Raid bukan boleh percaya sangat. Penuh dengan muslihat.

Share this novel

norihan_ib
2024-11-19 16:36:40 

next chapt sis


NovelPlus Premium

The best ads free experience