RAID biarkan huluran aku sepi tanpa bersambut. Dagu diangkat sedikit. Bahkan dia beri renungan hairan.
"Ambillah." Tangan aku masih lurus pada dia. Tak sedar bidang dia tertolak lembut. Sedar-sedar saja hujung jari terasa hangat.
"Awak boleh guna kereta saya. Kebetulan cuti sekolah. Masa saya banyak habiskan dekat rumah." Pujukku.
Dia masih begitu. Masih berikan tatapan setengah percaya.
"Saya sikit pun tak kisah Raid. Dan lepas ni saya akan biasakan diri berkongsi semua perkara. Termasuk kereta."
Bibir dia senget. Kemudiannya dia mencebik.
Lenggok bahasa dia sangat tidak mesra alam. Tak ada rasa terharu pun. Maka konsep pujuk memujuk aku tolak tepi. Terpaksa guna sedikit kekerasan. Janji, sedikit saja, tak banyak.
Tangan kanan Raid digapai lalu kunci kereta diletakkan atas telapak tangannya. Segera aku terima respon positif. Bibir dia bergerak-gerak mengucap terima kasih. Sebagai balasan, mataku mengerdip sekali. Bibir juga tersenyum tipis.
"Jangan risau, kereta saya bebas dari kontroversi. Suci. Belum pernah dinaiki mana-mana lelaki." Mulut tak jemu-jemu memuji kereta kebal milik aku itu.
Semakin teruk cebikkan Raid.
"Saya percaya awak." Raid bersuara bila nampak aku mengetap bibir. Dahi aku juga berkerut-kerut. Tanda awal gunung berapi bakal meletus.
"Kalau terjumpa apa-apa dalam kereta, abaikan. Buat-buat tak nampak." Pesanku. Raid bukan boleh percaya sangat. Deria detektif dia boleh on bila-bila masa.
Sepasang mata galak Raid mengecil. Tak faham. Garis-garis halus mula terbit di dahi.
"Biasalah...Ada benda bersayap. Tapi jangan risau, benda tu tak boleh terbang. Tak akan kacau awak melainkan awak cari pasal. Jadi, biarkan saja benda tu dekat situ." Terangku. Berharap tiada soalan di pihak dia. Jenuh nak jawab.
Bila nampak bibir Raid terkumit-kamit mahu bertanya, dengan pantas aku mendorong dia keluar. Sempat aku cium tangan kanan dia sekilas.
"Balik nanti saya masak." Kataku sambil tersenyum. Dalam kepala sudah senaraikan beberapa menu. Raid pergi saja, aku akan mula beraksi di dapur. Mungkin petang baru aku jumpa jalan keluar.
"Tak perlu masak banyak-banyak. Cukup untuk kita berdua je." Titip dia. Seolah-olah dapat mengagak aku bakal memenuhkan meja makan dengan banyak lauk. Teruja bila nak masak buat pertama kalinya.
"Apa-apa je?"
"Ya. Saya tak cerewet bab makan."
Turun naik kepalaku mengeyakan. Sepanjang mengenali dia, belum pernah lagi kami bertelagah mengenai makanan. Jarang-jarang juga Raid menolak apa terhidang depan mata.
"Drive elok-elok. Fokus. Jangan guna telefon semasa memandu." Sengaja aku tekankan ayat terakhir. Sebab Raid dengan telefon memang tidak boleh dipisahkan. Sepanjang masa ada saja panggilan masuk.
"Tunggu saya." Titip dia. Sengajalah tu abaikan nasihatku.
Aku tersenyum lebar. Kepala angguk sekali.
"Bye." Jangan dilayan, takut nanti Raid tak jadi nak keluar.
Dari dalam rumah aku lambai dia. Menghantar pemergian dia sehingga kereta hilang dari pandangan mata. Selepas itu barulah aku masuk ke dalam rumah bersama senyuman yang masih belum lekang.
Baru lima belas minit Raid pergi, aku sudah terima tetamu. Awalnya suara orang bagi salam terdengar sayup-sayup. Lama kelamaan semakin kuat. Mujur aku dengar. Bergegas aku tutup api dapur lalu berlari keluar.
"Ya! Waalaikumsalam...Sekejap-sekejap." Jerit aku dari dalam. Terkial-kial nak buka pintu utama. Takut tetamu tunggu lama di luar.
"Ya? Cari siapa?" Tanya aku sejurus pintu terbuka luas.
Tidak hanya pintu, mata aku juga ikut meluas. Terkejut.
"Kenapa patah balik?" Mulutku berbunyi lagi. Pintu auto tutup separuh menampakkan kepala saja.
Raid ketawa perlahan sambil geleng kepala.
"Saya tertinggal handphone."
"Oh!"
"Boleh saya masuk?" Pinta dia bila aku masih keras di situ. Enggan buka pintu sepenuhnya. Masih menyorok di sebalik pintu.
"Tak apa, saya ambilkan." Aku tawar diri membantu. Cepat aku panjangkan langkah ke bilik. Lima minit berlalu, aku gagal menemui telefon dia.
"Awak simpan dekat mana?" Aku menghampiri Raid yang kebetulan baru masuk.
"Sorry, saya dah jumpa." Telefon di tangan dia angkat tinggi.
Kelemahan pertama Raid berjaya dikesan. Dia ada penyakit lupa.
"Jumpa dekat mana?"
"Sini."
Mata aku cerun pada tangan Raid yang menepuk poket seluar jeannya. Aku pandang dia semula. Syabas sebab dia masih bertenang tanpa ada rasa bersalah.
"Ada apa lagi yang tertinggal." Tanya aku prihatin. Satu kerja lagi Raid nak patah balik.
"Dompet? Fail-fail penting? Uniform?"
Dia merapat. Tulang pipi aku disentuh lembut.
"Semua ada dalam kereta."
Harus aku berikan Raid pujian. Dia mampu mengesan bibit-bibit kemarahanku. Dengan kadar paling pantas dia praktikkan taktik liciknya. Meredakan semua kemarahanku dengan sentuhan hangatnya.
"Go Raid. Gara-gara awak saya tak dapat nak jadi chef hari ni." Aku cuit pucuk hidung dia.
"Saya ada tertinggal benda lain."
Aku auto kelam kabut.
"Barang apa? Cakap, saya ambil."
"Ubat."
Mengecil sepasang mataku. Raid sakit? Sakit apa?
"Kalau tak sakit, jangan terlalu bergantung dengan ubat. Tak bagus untuk jangka masa panjang." Nasihat aku lembut.
"Tak boleh. Itulah nyawa saya."
Aku syak Raid hidap penyakit kronik. Dia sengaja sembunyikan penyakitnya supaya aku tidak bimbang. Supaya aku tidak kasihankan dia.
Kali ini aku rapat lagi. Nak pandang mata Raid. Nak melihat kejujuran yang cuba dia sembunyikan.
"Awak sakit?" Aku paksa bibir kekal senyum walaupun payah.
Tanpa ragu Raid angguk kepala. Jawapan fizikal itu berjaya meragut ketenanganku.
"Teruk?"
Ya, Raid angguk lagi.
Mata aku terus main peranan bagi memastikan kilang air mata aku tidak beroperasi. Senyuman aku sebagai suis menghentikan air mata aku berkumpul dan bocor.
"Sekarang hidup saya bergantung sepenuhnya dengan ubat tu. Saya perlukan setiap hari. Supaya saya boleh melihat dunia ni. Supaya dapat jalani hari-hari dengan gembira walaupun dunia ini terkadang kejam."
Hasrat aku nak hentikan operasi kilang serta merta gagal. Laju mata aku mengerdip. Bahkan nak pandang muka Raid pun tak sanggup.
Aku jatuhkan kepala di dada bidang dia. Mendengar dengan jelas setiap detak jantungnya. Ajaibnya, ritmanya sangat tenang. Tak seperti jantung aku yang sudah mahu meletup dengar Raid sakit.
"Kenapa saya tak tahu?" Suara aku parau.
"Sebab saya nak cipta momen indah. Saya tak nak awak bazirkan air mata meratapi saya."
Salah pilihan ayat Raid. Jari runcing aku mula mengesat tubir mata. Tak mahu Raid nampak aku menangis.
Setelah yakin air mata mengering, aku panggung kepala bersama senyuman manis.
"Tunggu, saya ambilkan ubat. Awak simpan dekat mana?" Aku takkan bertanya, tapi aku sedia dengar jika Raid sudi berkongsi perihal derita penyakitnya itu.
"Saya rasa saya tahu." Baru teringat. Semalam masa mengemas aku ternampak plastik putih penuh dengan ubat yang ada dalam laci di bilik dia.
Elok saja aku berpusing, ada tangan yang menangkap lengan aku kejap. Sekali tarik saja aku sudah menghadap Raid semula. Tahu-tahu saja ada sentuhan lembut yang buat aku bungkam dan tidak mampu bersuara.
"Saya sakit angau Heera. Hanya ni ubat saya perlukan. Tiga kali sehari. Dan saya perlukannya setiap hari. Seumur hidup saya."
Aku jauhkan kepala bila Raid rapatkan muka. Dapat menganggak serangan dia. Serangan balasnya, kedua belah tangan dia mengunci pergerakkan aku sehingga sukar untuk loloskan diri dari pelukkan dia.
"Tak bagus mencuri Raid. Ubat bukan percuma. Nak dapatkan ubat dekat hospital kerajaan pun berbayar."
Bibir rata Raid melengkung.
"Tell me...Berapa untuk satu ciuman? Saya sanggup bayar."
"100, hurm?" Tebak Raid.
"Tak cukup?"
Raid cuba mengada sesi rundingan. Sayangnya aku tak berminat. Aku perlukan lebih dari itu.
"Saya tamak orangnya Raid."
Aku nampak Raid diam sejenak. Bahkan raut wajahnya juga berubah.
"Semua harta saya akan serahkan pada awak. Semua. Kereta, rumah, duit. Cukup?"
Aku geleng kepala.
Resah Raid tidak mampu disembunyikan lagi.
"Cakap...Saya cuba tunaikan selagi mampu." Desak Raid tanpa jemu.
Nampak gayanya Raid bukanlah orang yang mudah mengalah. Dan harus diakui, aku suka semangat luar biasa dia itu. Semangat yang buatkan aku rasa nak uji sejauh mana kesungguhannya.
Tangan aku merangkul leher dia. Tindakan aku berjaya terbitkan senyuman yang sesiapa pun boleh rumuskan. Senyuman yang mampu mengugat iman jika tidak bina benteng setinggi langit.
"Janji?" Tagihku.
"Janji." Kata Raid tanpa ragu.
Bibir aku mencari pinggir telinga dia.
"Saya nak semua kasih sayang, perhatian, dan cinta awak." Bisikku.
Telefon Raid berbunyi. Segera aku tolak dia menjauh. Mata turun skrin telefon dia.
"Pergilah...Kerja awak dah memanggil." Sempat aku betulkan baju dia. Rambut yang sedikit kusut aku rapikan.
"Balik kita bincang."
Aku ketawa perlahan. Tiada apa lagi mahu dibincangkan. Kes kami berdua sudah ditutup.
"Pergi cepat." Aku tolak dia keluar.
Kali ini aku tak akan hantar pemergian dia. Sebaik saja dia jejak kaki di luar, pintu aku tutup rapat. Bersama senyuman aku ke dapur semula. Meneruskan kerja yang tergendala. Sesekali kejadian sebentar tadi datang menyapa.
"Mengaku je lah Heera. Kau pun sama angau." Aku ketuk kepala perlahan dua kali. Segan sendiri.
Lima minit masa aku ambil untuk kembalikan semula kewarasan yang hilang tadi. Masuk minit ke enam ada tetamu lagi. Kali ini pintu diketuk bagai nak roboh. Dan aku yakin itu pasti kerja Raid lagi.
"Apa lagi Raid? Saya ada banyak..." Ayat aku tergantung bila nampak Raisya. Bukan Raid.
Belum sempat aku berkata apa-apa, mendadak Raisya tarik aku masuk ke dalam. Diheret aku ruang tamu sebaik pintu ditutup rapat.
"Ada apa Rai? Kau buat aku rasa tak sedap hati." Kataku setelah melihat Raisya cemas. Dengan aku sekali ikut cemas.
"Bukan aku, tapi kau."
Aku pandang dia tak berkedip.
"Kau sayang Raid?"
"Kau cakap apa ni Rai?" Hujung ayat aku ketawa. Ketawa yang jelas dibuat-buat.
"Jawab soalan aku, Heera."
"Ya, aku memang sayangkan Raid." Sejak bergelar isteri Raid, aku yakin dengan perasaan aku sendiri.
Aku nampak Raisya ketap bibir kuat.
"Kau sayang, tapi apa kau dengan Hilman dah buat?"
"Aa...Aa...Apa kau merepek Rai?"
Kedua belah lengan aku dipegang kejap. Raisya tenung aku lama.
"Apa kau dah buat masa kau bercinta dengan Hilman? Apa yang kau sorokkan?"
"Sorok apa?" Aku masih tak faham Raisya merepek apa.
"Tujuh tahun lepas..." Ayat Raisya terhenti. Dia tarik nafas dalam-dalam. Namun masih enggan melepaskan cengkaman di lengan aku. Malah semakin kejap.
"Hilman langgar siapa?"
Soalan Raisya berjaya buatkan keringat aku mula tumbuh bak cendawan. Bibir aku juga bergetar.
"Tahu tak Raid tengah cari tahu siapa pelaku tu? Kau tahu siapa yang Hilman langgar?"
Aku geleng kepala laju. Tanpa sedar pipi aku basah. Pandangan aku juga kabur. Aku cuba mengingatkan semula kejadian tersebut. Semakin aku mencuba, semakin teruk tangisan aku sehingga tak mampu dibendung lagi.
Share this novel
lama tunggu update