Bab 35

Romance Series 63337

ADANYA cctv fleksibel dan tanpa wayar, payah untuk berbincang. Tumpuan sering terganggu. Semua percakapan Hilman itu bak angin lalu. Boleh dikatakan hampir setiap saat lirikan aku singgah pada kereta yang terletak tidak jauh dari sini.

“Awak dengar Heera?”

“Ya?” Aku bingung bila suara Hilman itu tiba-tiba kuat.

“Apa saya cakap tadi.”

“Awak cakap apa? Saya tak dengar.” Jujurku.

Kejujuran aku mengundang keluhan panjang dia. Sempat aku teroka wajah dia yang mula merah-merah bila terlebih dos vitamin D. Padahal sinaran mentari belum pun terik sangat.

“Raid ugut awak?”

Oh, tentang Raid rupanya. Padanlah nampak macam marah.

“Sikit.” Aku tak tipu. Sejak kejadian tempoh hari, ugutan demi ugutan aku terima.

“Dia dah tahu?” Tebak Hilman dengan muka serius.

Aku kerling kereta Raid yang hanya beberapa meter saja. Dari sini aku nampak jari dia mengetuk jam di pergelangan tangan. Tempoh masa diberi hampir tamat. Bila-bila masa saja Raid akan terjun dari kereta dan terkam Hilman.

“Tak. Dia tak tahu.”

“Sure?” Hilman masih was-was dengan jawapan aku.

“Ya. Dia tak tahu. Dan saya akan pastikan dia tak tahu.”

“Tapi…Hari tu awak cakap…” Curiga Hilman itu semakin menjadi-jadi pula.

Dua langkah aku mundur bila Hilman cuba merapatkan jurang. Bahaya. Lebih bahaya jika ada yang pecah muka dan bibir nanti. Dari sini aku boleh dengar harimau jadian tengah mengaum dalam kereta.

“Memang Raid dah mula syak. Tapi cepat saya cover line dan buat masa ni dia percaya saya.”

Hilman picing mata. Jelas Hilman belum percaya sepenuhnya.

“Awak tak percaya saya?”

Soalan aku berjaya mengusir jauh semua ketegangan di wajah Hilman. Segala kerutannya juga hilang.

“Ada apa lagi awak nak cakap? Saya tak boleh lama-lama. Suami saya ada penyakit cemburu. Mudah merebak.”

Ayat aku berjaya hentikan niat Hilman nak mendekat. Bahkan dia bagaikan tersedar bila perkataan suami meluncur di bibir.

“Saya rasa cukup sampai sini.”

Baru tiga langkah, aku berhenti bila dengar suara Hilman.

“Sampai bila awak nak lari? Satu hari nanti Raid akan tahu juga.”

Salah. Raid sudah tahu. Sejak bila aku sendiri pun tak tahu.

“Saya tak rasa dia akan dapat terima awak bila semua kebenaran terbongkar.”

Ya, benar kata Hilman. Raid memang tak dapat terima aku lagi setelah dia tahu semuanya.

“Saya sedia terima awak, Heera. Awak boleh datang pada saya bila dia buang awak. Saya boleh tunggu. Berapa lama pun saya sanggup.”

Aku hela nafas panjang. Tak semudah itu Raid nak buang aku. Ada hutang yang sedang ditagih. Hutang itu makan masa nak selesai. Boleh jadi bertahun-tahun lamanya.

“Saya pergi dulu.” Aku tamatkan perbualan. Cepat aku buka langkah besar-besar bila nampak Raid sudah buka pintu kereta. Sedia nak turut serta perbualan kami.

“Oh, ya Hilman.” Mendadak aku pusing.

“Nanti saya nak jumpa awak. Tapi bukan sekarang. Tunggu whatsapp dari saya.” Titip aku bersama senyuman tipis.

Perlahan-lahan aku nampak Hilman juga mengukir senyuman. Senyuman yang sesiapa pun boleh salah faham jika melihatnya. Senyuman yang boleh menebarkan rasa sayang dan kemudiannya wujudlah istilah curang.

Itulah yang aku mahukan.

Lantas kedua belah tangan diletakkan di mulut lalu aku berbisik.

“Kita jumpa nanti.” Aku angkat ibu jari. Sebagai respon, Hilman kerdip mata sekali bersama senyuman cukup lebar.

Aku pusingkan badan. Serta merta bibir melengkung aku jadi rata. Bersama rasa sebal yang menggunung, aku mendekati Raid. Tajam aku merenung dia. Tak sabar nak laporkan bahawa umpan dia mengena. Hilman setuju nak berjumpa.

Masuk saja dalam kereta, suara Raid sudah berbunyi.

“Good job.”

“Puas hati awak?” Tanya aku dengan suara tertahan.

“Hurm.”

Respon itu bikin aku ketawa sebal.

“Saya bukan perempuan jalang, Raid. Saya ada suami.”

“Saya tak suruh awak goda dia. Saya cuma minta awak aturkan pertemuan. Macam mana caranya, terserah. Asalkan sedar batas.”

Raid yang mungkir janji. Dia yang beria-ia nak karang skrip supaya aku tidak melebih. Supaya aku tidak memalukan dia. Sekarang apa jadi? Berbekalkan sepotong ayat, aku disuruh karang ayat. Yang penting, Hilman setuju.

“Turun jumpa dia. Aturkan perjumpaan. Yang penting, Hilman mesti setuju.” Itulah ayat Raid dua puluh minit yang lalu.

Aku buangkan pandangan ke luar tingkap dengan rasa marah yang masih tersisa. Hampir saja aku jujur pada Hilman. Hampir saja aku lari dengan Hilman ke hujung dunia. Nak lari jauh dari Raid.

Tapi apakan daya, cctv itu ada kaki dan tangan. Salah tingkah, kena gari dan sumbat dalam lokap. Tak mampu aku sangkalkan kecanggihan cctv tersebut. Sukar nak diungkap dengan kata-kata.

“Aturkan perjumpaan weekend ni. Tempat dan masa saya akan beritahu kemudian.”

Sejak jenayah aku terbongkar, Raid sudah pandai-pandai berikan arahan. Aku tidak dibenarkan sama sekali membantah. Bantah, sama ertinya aku tempah tiket ekspres ke penjara.

“Awak nak saya tenung dia berapa lama? Hilman suka direnung.” Aku cakap berdasarkan pengalaman bercinta dengan lelaki itu.

Kepala pusing pandang Raid. Sempat aku lihat dia teragak nak mulakan pemanduan. Nampak sangat dia sedang fikirkan sesuatu. Sesuatu berkaitan dengan Hilman.

“Bila mod lelaki sejati dia on, payah nak kawal. Saya takut dia bertindak di luar kawalan. Mungkin akan bawa saya lari ke Thailand. Atau mana-mana pun asalkan jauh dari awak.”

Ayat aku buatkan rahang Raid bergerak-gerak. Lima saat kemudian, Raid tolak tombol gear ke “P”. Handbrake ditarik dia lalu bertentang mata dengan berani.

“Antara saya dan Hilman, saya tahu siapa pilihan awak.”

Aku suka dengan keyakinan Raid yang tinggi tahap langit ke tujuh.

“Untuk pengetahuan awak, saya akan pastikan awak dengan Hilman tak mampu lari walau seinci pun. Orang salah patut dihukum. Ingat tu.”

Oh! Lupa. Raid kan polis. Ramai orang suruhan. Ramai mata-mata juga. Mana mungkin dia biarkan penjenayah berkeliaran tanpa pengawasan? Pertemuan itu pasti bakal disertai satu balai demi menangkap aku dan Hilman. Siapa tahu, hasil tangkapan Raid bakal dinaik pangkat sebagai ganjaran. Silap-silap, dapat anugerah pekerja cemerlang tahunan.

“Okey, nanti saya deal dengan Hilman. Lagi cepat, lagi bagus. Saya pun tak sabar nak mulakan rutin sebagai banduan. Biar aman sikit hidup saya. Boleh saya nak top up semula amalan yang dah lama susut. Nak harapkan sumbangan doa orang lain, tak laku.” kataku panjang lebar. Tak terkesan langsung dengan ayat berbaur ugutan Raid.

Aku betulkan duduk. Tangan memeluk tubuh. Kepala tegak pandang jalan raya. Rengusan Raid sampai ke telinga. Panas mungkin dengar ayat aku.

“Geraklah…Kita dah lambat.” Aku bersuara bila Raid masih terkial-kial nak mula memandu.

“Sa…” Ayat aku tergantung bila ada yang memangkah.

“Jangan cakap apa-apa lagi.”

Kerlingan aku singgah ke orang sebelah. Mukanya merah-merah. Pergerakkan tangannya kasar sekali. Sedar-sedar saja, tubuh aku terdorong ke belakang. Yakinlah aku, emosi orang sebelah dilanda badai lagi. Kali ini, ombaknya lebih ganas. Habis semua lampu isyarat merah dilanggar.

SETENGAH jam sebelum tamat sesi persekolahan hari ini, aku sempat titipkan pesanan ringkas kepada Raid. Mahu tahu sama ada dia sudi menjemput aku pulang atau tidak. Jika tidak, aku mahu tempah grab. Tak perlu tunggu lama-lama.

Bunyi mesej masuk, segera aku capai telefon atas meja.

- Deal!

Telefon diletak semula atas meja. Bukan Raid, tapi Hilman. Lelaki itu setuju nak jumpa hujung minggu ini. Kecewa aku bukan kepalang lagi.

​Dua minit menunggu, aku putuskan untuk mengemas meja bila tiada balasan dari pihak sana. Kerja-kerja mengemas terhenti bila telefon berbunyi lagi. Kali ini aku tenung saja. Belum ada hati nak baca. Takut kecewa kalau pesanan itu dari Hilman.

​Tiga notifikasi masuk serentak buatkan aku batalkan niat nak mengabaikan. Segera telefon dicapai lalu skrin dileretkan. Satu per satu pesanan masuk dibaca. Daripada tenang, aku mengeluh. Tak cukup dengan mengeluh, bibir aku mencebik.

- Nanti team saya bekalkan alat untuk rakam sesi perjumpaan tu. Saya akan pantau dari jauh. Dan semua perbualan akan dirakam. Jangan cuba buat kerja bodoh.

Rancangan tak ubah macam dekat drama tv. Bersepah-sepah. Sesiapa pun boleh agak dan laksanakan. Terlalu mudah.

- Korek semua rahsia dia. Buat dia mengaku apa jadi malam tu.

Aku menimang-nimang sama ada nak patuh arahan kedua Raid atau tidak. Hilman itu tidak salah. Kenapa aku nak heret dia sekali? Dia hanya kambing hitam yang berusaha habis-habisan untuk menutupi jenayahku. Maka, arahan kedua bakal aku ingkar tanpa prejudis.

- Saya akan pastikan dia dituduh sebagai bersubahat. Make my word.

“Mark my word…” Sebut aku perlahan dengan nada mengejek.

+ Saya balik tumpang Hilman. Tak perlu jemput saya.

Aku tekan butang sent. Sepi setelah itu. Maka tak perlu susah payah aku tunggu Raid datang jemput. Kesepian itu jawapan yang terang lagi bersuluh.

​“Kata dah ada bukti. Buat apa susah payah nak rakam keterangan sembunyi-sembunyi? Siap nak paksa-paksa orang mengaku salah.” Omel aku sambil masukkan telefon dalam beg tangan. Sengaja aku tekan kuat-kuat beg tangan. Seolah-olah aku menekan muka Raid.

​“Rancangan pun mengarut. Cakap pun mengarut. Semuanya mengarut.” Aku tak berhenti-henti mengomel. Beg tangan digantung atas bahu kasar.

​“Cikgu Heera, ada kereta dah tunggu dekat luar.”

​Kemunculan jaga sekolah bawa pergi semua cerita perihal Raid. Mungkin grabcar ditempah sudah sampai.

“Terima kasih.” Ucapku bersama senyuman nipis.

Tangan segera capai beg berisi segala buku lalu melangkah keluar. Bila pulang tanpa Raid, bolehlah aku singgah mana-mana nak tenangkan fikiran. Sekejap pun jadilah. Raid tak akan tahu. Yang Raid tahu, aku pulang dengan Hilman.

Dari jauh aku kerut dahi. Tak ada pun kereta? Yang ada tiga biji motor termasuk motor milik jaga sekolah. Langkah laju bertukar perlahan. Berjarak semeter dari pintu pagar aku berhenti. Tangan mula selongkar beg.

Belum pun sempat menemukan telefon pintar, bunyi hon menarik perhatianku. Datangnya dari kereta Bezza hitam. Yang pasti, itu bukan kereta Hilman ataupun Raid.

Perlahan-lahan cermin sebelah pemandu diturunkan. Terpampang seluruh wajah pemandu kereta tersebut. Membuatkan aku kaget. Kelu lidah. Keringat mula tumbuh bak cendawan.

“Naik.” Suara pemandu kereta itu kedengaran sangat tegas. Tiba-tiba rasa seram sejuk. Rasa nak demam.

Aku pejam mata sesaat sebelum perlahan-lahan kaki mula menapak ke arahnya. Tangan mencengkam tali beg kuat. Dapat dirasakan, perjalanan pulang hari ini pasti penuh dengan liku. Harap-harap aku tak tersalah pilih jalan pintas ke neraka tanpa sempat dibicarakan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience