Kecoh group whatsapp sekolah lama aku. Mesej masuk bertali-arus. Tiada tanda-tanda akan berhenti. Tak lain tak bukan, mesti semua sibuk turun padang demi menjayakan majlis reunion yang bakal berlangsung kurang sebulan dari sekarang. Masing-masing mainkan peranan supaya dapat lebih perhatian.
Bagi aku, tiada yang menarik. Yang sentiasa menjadi perhatian tentunya Serina. Gadis yang digilai hampir semua bekas-bekas pelajar tingkatan lima satu ketika dahulu. Semua ya!
Serina bijak. Serina cantik. Serina kaya. Serina aktif bersukan. Serina itu. Serina ini. Mana-mana ceruk sekali pun, nama Serina tak lekang dari mulut semua pelajar. Seratus-peratus pujian diberikan kepada dia.
Sayangnya, tak seorang pun di antara mereka berjaya menawan hati Serina. Tahu-tahu saja, ramai di antara mereka kecewa mendengar berita Serina telah pun bertunang. Ada yang terus menyepi dari group whatsapp. Ada yang left group. Ada yang gagal dihubungi kerana sudah bertukar nombor baru.
Sadis sungguh penangan Serina.
Notifikasi yang tadinya hanya dua puluh lima, kini naik mendadak sehingga mencecah seratus dalam masa kurang daripada sepuluh minit. Entah apa yang dibahaskan mereka agaknya sampaikan angka notifikasi telefon masih meroket naik. Daripada angka seratus kini menjadi seratus tiga puluh lima. Gila!
Dalam banyak-banyak mesej diterima, hanya satu yang menarik perhatian aku. Pesanan daripada Raisha. Belum sempat pesanan dibuka, nama Raisha naik sebagai pemanggil. Nampak sangat Raisha tak sabar-sabar menunggu maklum balas daripada aku.
"Heera, kau dekat mana?" tanpa salam, suara Raisha sudah menerjah. Gelisah semacam.
"Rumah la." Jawab aku acuh tak acuh. Tubuh direbahkan atas tilam. Mahu menyambung lena sejenak. Hujung minggu saja masa yang ada untuk berehat secukupnya.
"Kau tak baca whatsapp?"
Aku kerut dahi disebalik mata yang masih terpejam rapat. Bibir tersungging senyuman tipis. Jangan cakap Raisha juga ada penyakit seperti mereka. Penyakit mahukan perhatian.
"Tak." Jujurku. Dan tak penting pun baca. Aku yakin, mereka semua sibuk bergosip sampai tak ingat dunia.
"Semua tunggu respon kau."
Respon aku? Tanpa sedar aku tergelak perlahan. Mereka yang sibuk bergosip dan aku perlu menjadi juri? Mana mungkin!
"Aku on the way ke rumah kau."
Mata terus celik. Automatik tubuh diangkat dari perbaringan. Raisha belum pernah gagal menggangu ketenangan aku. Suka buatkan emosi aku bolak-balik dan berantakkan teruk.
"Kau jumpa sign board u-turn? Kalau jumpa, sila pusing. Sekarang! Aku perlukan rehat secukupnya. Bukannya bala." Tempelak aku. Berharap Raisha faham.
Sepi dihujung talian. Kesepian Raisha hanya bertahan seminit sebelum suara dia kembali berbunyi. Lebih keras berbanding tadi.
"Kita dah janji nak pergi kenduri kahwin Shida dua minggu lepas."
Shida? Oh, Shahida. Bekas classmate aku. Secara tidak langsung, Shida juga tersenarai sebagai ahli kumpulan bekas-bekas pelajar tingkatan 5 sekolah. Tetapi, Shida terlalu menonjol di dalam ruangan sembang tersebut. Jadi agak payah untuk mengingat dia.
"Jangan nak buat-buat lupa! Kita jumpa Shida dekat KLIA. Dia jemput kita ke majlis kahwin dia, dan kau jawab sure!" Naik satu graf suara Raisha bila aku diam tanpa respon.
Gigih aku menggali semula memori pada hari kejadian. Dan ya, memang kami ada berjumpa dengan Shida yang kebetulan akan ke luar negara atas urusan kerja. Secara tidak langsung, Shida ada menjemput kami ke kenduri kahwin dia.
Kata Shida lagi, dia telah menjemput semua rakan-rakan dalam group whatsapp. Kesemua mereka memberitahu akan hadir ke majlis tersebut kecuali aku yang sepi. Tidak memberi sebarang respon.
Demi menutup rasa kekok, awal-awal aku mencipta alasan perlu turun padang untuk meninjau kawasan tapak projek yang dalam proses pembangunan dan bermalam di sana dua hingga ke tiga hari. Berharap Shida faham mengapa aku tidak dapat turut serta ke majlis dia.
Di situlah merupakan kesalahan terbesar aku. Siapa tahu projek tersebut berlangsung atas kerjasama papa Shida dan papa aku. Shida melancarkan ugutan maha sopan untuk menghentikan projek tersebut jika aku tidak munculkan diri pada hari perkahwinan dia.
"Kau nak papa kau rugi beratus ribu, atau kau tak akan rugi apa-apa?"
Dinding bibir digigit. Timbul sedikit rasa hairan kerana dikelilingi orang-orang yang sangat handal dalam melancarkan ugutan. Prestasi mereka cukup memberangsangkan sehingga aku merasakan ingin melucutkan jawatan mereka daripada senarai kenalan aku.
"Kita datang tunjuk muka, makan dan balik. Senang kut."
Senang bagi Raisha. Susah bagi aku. Lebih susah jika terserempak dengan Serina. Lebih-lebih susah jika ada sekali tunang Serina. Aku yakin Raisha akan mengungkit kejadian tempoh hari.
"Tunggu aku." Akhirnya aku akur. Dalam hati aku panjatkan doa semoga tidak terserempak dengan semua kenalan lama. Termasuk Serina.
MAJLIS Shida boleh tahan gahnya. Majlis berlangsung di dewan tertutup yang dilengkapi dengan penghawa dingin untuk keselesaan tetamu. Di ruangan pentas pula dihiasi berkonsepkan taman yang dikelilingi bunga-bunga berwarna pastel. Menyerlahkan lagi aura dua merpati sejoli yang sedang bersanding di atas pelamin.
Sepasang mata Shida tertumpu kepada aku yang kebetulan baru melangkah masuk. Dari jauh Shida sudah melambai-lambai ke arah aku dengan senyuman lebar. Lambat-lambat tangan kanan diangkat membalas lambaian Shida. Bibir terukir senyuman kekok.
"Happy betul dia nampak kau." Raisha disebelah bersuara.
"Kita makan jom." Aku alih topik.
Dalam kepala hanya mengikut saranan Raisha. Datang tunjuk muka, makan dan balik. Tiga perkara tersebut perlu selesai dalam masa setengah jam. Lebih cepat, lagi baik.
Mengeluh aku bila mengenangkan kami muncul di waktu yang salah kerana datang ketika aturcara persandingan sedang berlangsung. Inilah waktu kemuncaknya. Tiada meja yang kosong. Penuh. Semua sibuk duduk memerhatikan pengantin yang duduk bersanding di atas pelamin. Malah, ada yang sibuk menjayakan majlis tepung tawar dan sesi bergambar.
"Sana." Bahu aku dicuit. Bibir Raisha muncung ke arah meja yang beberapa meter dari pentas. Ada dua orang yang sedang menjamu selera tanpa menghiraukan keadaan sekeliling.
"Ada orang?" Raisha bertanya sejurus tiba di meja.
Salah seorang dari mereka panggung kepala. Serentak pandangan dia bertaut dengan aku. Hampir saja pinggan di tangan terlepas.
"Kita cari meja lain." Aku sambar lengan Raisha untuk pergi dari sini.
"Duduklah...Meja lain penuh." Suara dia menghalang aku dan Raisha pergi.
"Betul tu, Heera." Raisha berpihak pada dia. Bukannya aku.
Sempat aku perhatikan keliling. Memang belum ada meja yang kosong. Ada pun, mereka sibuk tambah lauk tanpa menghiraukan orang lain yang sedang menunggu giliran untuk duduk. Dan lebih pada sembang sampai tak ingat dunia.
"Buat biasa...Aku kan ada." Bisik Raisha bersama sentuhan di lengan.
Ekor mata menjeling dia yang sedang memberi sepenuh perhatian kepadaku. Muka dia penuh mengharap supaya aku duduk makan semeja dengan dia. Macam ada seribu satu soalan yang mahu bertanyakan padaku.
"Maaf...Kalau ada meja kosong, memang kita orang takkan makan dekat sini." Aku bersuara sejurus melabuhkan punggung di atas kerusi, bertentang dengan dia. Perasan setiap gerak geri aku menjadi perhatian dia.
"Saya tak kisah berkongsi. Bukan ke lebih manis?"
Terasa loya tekak dengar ayat tak berapa manis dia. Ayat yang sesuai dengan spesis buaya tembaga yang dulunya sangat terkenal di kalangan pelajar sekolah. Boleh dikatakan jerat dia tak pernah gagal. Pantang turun sungai, ada saja mangsa masuk perangkap.
"Wow...Look at this!"
Suapan pertama aku terbantut bila disapa suara yang sangat dikenali. Namun aku gagah juga teruskan suapan biarpun payah. Cuba mengabaikan suara itu. Hanya membiarkan Raisha bersuara.
"Meja sini penuh, apa kata kau cari meja lain."
"Sure! Tapi sebelum tu, takkan I tak boleh nak jumpa Heera."
Aku makan tanpa menghiraukan Serina biarpun selera sudah putus sejak dari tadi.
"Tapi itulah...Nak jumpa Heera, terjumpa sekali dengan ex dia."
Terasa berdesing telinga dengar suara musuh tradisi aku. Kalau dulu ya, aku akan bazirkan air liur membidas. Bila umur semakin meningkat, aku sedar perkara itu hanya memalukan. Berlawan mulut menampakkan proses pematangan aku terbantut.
Ekor mata, aku menjeling Hilman. Bagusnya, Hilman pun ambil inisiatif mengabaikan musuh tradisi aku. Itu kerjasama yang aku mahukan dari dia.
"Kalau I lah kan, tak lalu dah nak makan semeja dengan ex. Nampak macam terdesak. Tapi nak buat macam mana. Tak laku. Terpaksa cari bekas-bekas semula. Itu je yang boleh terima kita."
Kebisuan hanya menggalakkan Serina mengungkit zaman jahiliah aku. Zaman aku bersama Hilman satu ketika dahulu.
"Seri, kalau kau datang nak sakitkan hati Heera... Lebih baik kau pergi." Raisha bersuara sebagai penyelamat.
"Sebelum tunang kau muncul dan tahu perangai sebenar kau." Sambung Raisha bila tiada tanda-tanda Serina ingin beredar.
Barulah aku dengar rengusan Serina sebelum kasut tumit dia menghentak lantai meninggalkan meja kami. Hujung mata nampak bayang Serina telah pun menghilang. Aku lajukan suapan. Bala besar dah pergi. Yang tinggal hanya bala kecil yang ada di depan mata.
"Sorry, Heera."
Mata naik, bertembung dengan bekas aku yang sibuk diheboh-hebohkan oleh Serina sebentar tadi.
"Awak ada buat salah ke?" Akhirnya aku buka mulut setelah sepuluh minit membisu.
Aku nampak si buaya tembaga terkial-kial nak mengarang jawapan. Suasana kekok diselamatkan dengan kemunculan seorang lelaki. Cepat saja Hilman bangun dan berlalu pergi bila dah tak ada modal nak bersuara.
"Rai nampak Serina? Abang call dia tak jawab."
Abang? Kata ganti nama itu yang meraih perhatian aku. Suara dia kedengaran sangat familiar. Macam pernah dengar.
"Tunang abang, carilah sendiri. Rai bukan PA dia."
Sah lelaki baru muncul ini abang kepada Raisha. Merangkap tunangnya Serina.
"Never mind. Abang cari dia."
Lambat-lambat aku angkat muka. Nak pastikan yang aku tak salah dengar. Sempat aku melihat sisi wajahnya. Membesar sepasang iris. Terkejut.
"Tu abang kau?" Soal aku ingin kepastian.
"Ermm..." Jawapan Raisha acuh tak acuh.
"Betul tu abang kau?" Dapat aku rasa aura jahat berlegar-legar disekeliling abang Raisha. Bahkan naluri aku kuat mengatakan supaya menjauhkan diri dari dia.
"Kut ya pun kau tak baca biodata abang aku...Tak payah tunjuk muka macam tu sekali." Raisha juling mata ke atas.
"Semalam kan aku dah hantar nama, umur, kerja abang aku. Kau tak baca?"
Aku geleng kepala. Memang aku tak muat turun fail yang dihantar oleh Raisha. Sumpah!
"Maaf Rai, aku tak boleh teruskan ...Nanti aku akan pulangkan semula dua ribu tu." Ini keputusan yang tepat. Lebih baik rugi daripada merana.
Mencerlung Raisha pandang aku. Jelas dia tidak berpuas hati.
"Kau jangan cabar aku Heera."
Dengan muka mencuka, Raisha cuci tangan lalu dia bangkit.
"Kita putus kawan!" Sebut dia sebelum pergi.
Raisha marah besar padaku. Ini pertama kali dia menyebut tiga perkataan tersebut.
"Rai!" Panggilan aku diabaikan.
Salah aku. Salah sebab terima tawaran Raisha untuk menjadi orang ketiga di antara Serina dan abangnya tiga hari lalu. Akad sudah termaterai. Wang sudah terima demi kelangsungan hidup dan menolong sahabat baik. Hanya aku saja perlu melaksanakan tugas. Pendek kata, Raisha mahu mereka putus tunang!
Oh, Rai! Tiga hari lepas juga aku berjumpa abang kau dan aku dimalukan. Terbang tiga ratus ringgit masa itu!
Share this novel