Bab 8

Romance Series 38288

Sebentar tadi aku menerima mesej secara bertulis supaya menghantar laporan melalui pesanan whatsapp. Laporan tentang keadaan aku selepas kejadian. Laporan tersebut perlu dihantar sesegera yang mungkin.

‘Syukur tuan, saya masih hidup!’ – Aku

Tiga emoji tepuk tangan aku hantar pada dia.

‘Dapat saya jumpa tuan lagi.” – Aku

Mesej kedua menyusul selang sesaat.

‘Tuan patut berbangga dengan saya.’ – Aku

Ayat ketiga berbaur riak, aku titipkan.

‘Saya cekal orangnya...tapi itulah, disebalik kecekalan saya. Ada yang terluka.’ – Aku

Dalam mendabik dada, ada cerita-cerita sedih yang perlu disampaikan. Wajib!

‘Ni...’ – Aku

Gambar kain baju kurung moden koyak-rabak aku hantar pada dia. Punyalah kalut keluar dari perut kereta, tak perasan kain tersangkut. Tarik punya tarik. Prak!

Hilang senyuman aku bila pesanan sepi. Tiada balasan dari pihak Raid. Tadi dia beria-ia minta pihak medik supaya aku suruh hantar laporan diri kepadanya. Sekarang, senyap dipihak dia pula.

‘Tuan! Jangan bagi saya dua garis biru. Saya elergik, tuan!’ – Aku

Selang dua saat. Raid menghantar emoji senyuman sinis. Bibir aku mencebik. Raid terlalu jual mahal. Raid tidak tahu, lakonan aku telah dinaik tarafnya gara-gara komen Raisha tempoh hari. Kata Raisha, misi aku belum ada tanda-tanda positif. Masih di garisan permulaan. Belum tiba di pertengahan.

Telefon di simpan dalam beg. Cerita Raid pun ikut tersimpan sekali. Perjalanan masih jauh. Ada banyak cara lagi. Akan aku titipkan doa juga supaya jodoh Raid dan Serina tidak ke jinjang pelamin. Demi kerjaya Raid selaku barisan hadapan negara.

Sekarang aku dibenarkan pulang. Tiada sebarang kecederaan serius. Hanya mengalami sedikit luka-luka kecil dan trauma tahap satu.

“Kawan cik dah sampai?” Muncul jururawat bersama senyuman manis.

“Kalau belum, cik boleh duduk sini sampai kawan cik sampai.” Katanya lagi.

“Tak perlu. Kawan saya dah sampai.” Bohongku. Kaki mula jejak lantai, tak sabar nak keluar dari sini secepat yang mungkin.

“Terima kasih.” Ucapku sebelum mengatur langkah ke pintu.

Aku buat pilihan yang tepat dengan menggunakan khidmat grab car. Kereta pula pihak forensik telah bawa ke IPD sebagai bahan bukti untuk periksaan lebih lanjut. Mungkin kereta aku bakal ditahan selama beberapa hari. Itulah berita buruk yang pihak JSJ (Jabatan Siasatan Jenayah) sampaikan padaku.

Perkara paling penting, keluargaku tidak boleh tahu menahu perihal kejadian pagi tadi. Bimbang mereka risau dan mula melancarkan segala cara demi keselamatanku terjamin.

Tidak jauh dari pintu masuk, aku menemukan sebuah kereta perodua Bezza berwarna biru. Sebaik saja tiba, cepat aku meloloskan diri ke dalam perut kereta. Tanpa sedikit pun memandang pemandu kereta tersebut.

Sejurus kereta Bezza meninggalkan perkarangan hospital, aku buang pandangan ke luar tingkap. Mula mengarang ayat-ayat bagi mengelak disoal siasat oleh orang tuaku dan Abang Mus.

“Tuan Azman dan Mus dah tahu.”

Tersentak dengar suara dari depan. Elok mata aku bersabung dengan mata Raid melalui cermin pandang belakang. Cukup tiga saat, tumpuan Raid beralih ke jalan raya.

“Apa tuan buat dalam kereta ni?” Tak berkelip aku pandang dia. Mengharapkan penjelasan dengan kadar paling pantas.

“Saya? Saya sedang memandu.”

“Tak lawak tuan.”

“Kenapa? Awak ingat polis tak boleh jadi grab? Ramai je sebenarnya polis jadi grab. Cuma tak semua orang awam tahu.”

Penjelasan yang munasabah. Tetapi aku masih tak yakin Raid itu buat kerja sambilan. Dia bujang lagi kut. Melainkan Serina meletakkan mahar berjuta-juta ringgit. Mahu terdera mental dan batin insan bergelar lelaki.

“Tuan sengaja nak bongkar semua cerita privacy polis ke?”

“Polis pun manusia, Heera.” Kenyataan yang semua orang tahu.

“Itu cuma cerita luar PDRM. Cerita dalam PDRM tetap rahsia.” Kata Raid lagi sambil tenang-tenang memandu.

“Walaupun ada isteri, cerita masih jadi rahsia?” Soalku. Ada rasa ingin tahu.

“Ya.” Ada ketegasan pada suara dia. Menandakan kerja-kerja mereka tidak melibatkan keluarga. Hanya pada negara tercinta semata-mata.

“Sebab tu saya tak nak kahwin dengan semua barisan hadapan termasuk polis.”

Terdengar ketawa sinis Raid. Mengejek pun ya.

“Jodoh tiada siapa yang tahu.” Pangkah dia.

“Tapi kita mampu merancang.” Bidasku. Lupa sejenak tentang misi tersembunyi. kali ini aku memilih untuk jujur.

Perasan ada mata menjeling belakang. Sesaat cuma. Jeling-jeling itulah yang merimaskan.

“Hina sangat ke polis ni?”

“Saya tak cakap polis, tuan. Dan tuan selalu salah faham dengan ayat-ayat saya.”

“Jadi, tolong betulkan salah faham saya.”

Aku mendengus. Raid bijak menjerat aku. Pusing-pusing, akhirnya terkena pada batang hidung sendiri. Dan mulalah hidung kembang-kempis. Menahan marah.

“Papa saya marah?” Tutup cerita polis. Cerita emosi Tuan Azman lebih penting.

“Saya yang bercerita, tentulah Tuan Azman gembira.”

Herot mulutku. Raid itu polis semata-mata. Bukannya bakal menantu sampai perlu merasa gembira.

“Apa yang tuan cakap dekat papa saya?” Nak juga dengar apa yang sudah Raid gula-gulakan Tuan Azman sampai gembira tak bertempat.

“Saya cakap anak tuan buat hal. Memandu secara melulu sampai terlanggar tiang elektrik.”

Melongo aku dengar fakta yang jelas-jelasnya ada unsur-unsur penipuan.

“Menipu untuk kebaikkan awak juga, Heera.” Jelas Raid sejurus itu. Macam tahu-tahu aku mahu melancarkan serangan.

“Bahaya kalau semua tahu.” Kata Raid lagi.

Ada benarnya apa yang disebutkan Raid. Bahaya jika perkara ini tersebar. Bimbang keadaan lebih memburuk dan mengancam nyawa yang lain.

“Awak ada musuh?”

“Ada tuan." Jujurku.

Pemanduan Raid kian perlahan. Berkali-kali dia menjeling belakang dengan muka serius.

“Siapa? Bagi nama dia, tinggal mana. Saya akan siasat. Boleh jadi dia yang mengancam awak tengahari tadi.”

Mengingatkan semula kejadian tersebut, aku gerun sendiri. Gerun dengan surat layang yang sememangnya mahu aku mati sejurus saja enjin dihidupkan. Sebaik saja pihak forensik siasar, tiada bom di dalam kereta seperti mana yang tertulis pada surat layang tersebut. Yang ada hanyalah peranti audio sekadar mahu menakut-nakutkan.

“Hari ini mungkin gurauan. Esok atau lusa? Simulasi boleh bertukar menjadi realiti.” Raid bersuara lagi.

“Betul tuan nak tahu?”

“Saya dah janji untuk pastikan keselamatan awak terjamin. Jadi saya wajib tahu.”

“Tapi tuan bukan lawan dia.” Aku peluk tubuh sambil bersandar pada kerusi. Kurang yakin Raid mampu menumpaskan musuh.

“Sebut saja siapa. Pandai-pandailah saya buat kerja.” Ada seribu kerutan di wajahnya. Terancam mungkin.

“Tuan sibuk, macam mana tuan nak cari dia?” Aku masih main tarik tali.

“Apa guna ada anak buah? Tinggal bagi arahan saja.”

Turun naik kepala aku. Betul juga apa kata Raid. Semua hanya dengan arahan. Berdesup semua buat kerja.

“Siapa musuh awak?” Desak Raid tak sabar.
Aku rapatkan diri ke kerusi pemandu. Bibir berhenti dekat pinggir telinga dia.

“Tuan lah orangnya.”

Usai saja mendedahkan siapa musuhku, terdengar tayar kereta berdecit dengan kuat. Sontak tubuh terdorong ke depan, berlanggar dengan kerusi pemandu. Mujur terhantuk pada kerusi span, mahu patah hidung gara-gara Raid brek secara mengejut.

Perlahan-lahan kepala diangkat, bertemu empat mata dengan Raid. Terasa sakit di leher menjalar ke kepala. Berpinar sejenak.

“Kalau saya nak bunuh awak, dah lama saya buat.”

“Tuan serius sangat. Saya bergurau je.” Kataku sambil sambil menggosok pangkal leher.

“Saya tak ada masa nak bergurau!”

Aku menjuih.

“Padanlah Serina cari lelaki lain. Tuan terlalu lurus. Serius memanjang.”

Sistem pernafasan Raid terdengar kasar sekali. Dadanya turun naik. Tak hairanlah jika sebentar nanti Raid akan tendang aku keluar dari kereta.

"Orang

“Saya minta maaf...Niat saya hanya nak bergurau.” Aku angkat bendera putih sebelum Raid mengamuk besar.

“Saya tak ada musuh. Dan saya tak pernah terima apa-apa ugutan. Ini yang pertama. Puas hati tuan?” Senafas aku memberi jawapan. Besar harapan Raid berhenti bertanya.

Dan untuk makluman, Serina itu bukan dalam kategori musuh. Sekadar teman bergaduh. Jadi, Raid jangan pandai-pandai masukkan nama Serina sebagai senarai musuhku.

Terdengar suara Raid membebel perlahan.
Sangat perlahan. Setiap butir bicara dia ibarat angin. Tidak begitu jelas.

“Saya nak tidur. Dah sampai, minta papa atau abang Mus kejutkan.” Beritahu aku.

Kepala dipusingkan menghadap ke tingkap semula. Kedua belah tangan memeluk tubuh. Mata dipejam rapat-rapat. Dan aku mula mengira, dengan harapan segera sampai ke bulan. Aku enggan bercakap dengan Raid lagi. Aku merajuk dengan dia. Merajuk besar!

"Jangan marah-marah tuan. Orang perempuan ni hati tisu. Marah sikit dah sentap. Marah lagi, boleh menangis tiga hari tiga malam. Tak elok juga, sambung lagi menangis empat puluh empat hari."

Marah-marah pun, aku sempat berpesan dalam keadaan mamai.

"Awak bukan perempuan macam tu Heera. Saya tahu orangnya kental. Tak cengeng. Saya yakin pilihan saya tak salah."

Aku? Kenapa aku pula menjadi pilihan Raid? Sepatutnya Serina. Ah, Pedulikan. Mungkin aku sedang bermimpi. Dan aku benar-benar sudah belayar ke bulan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience