Bab 33

Romance Series 63337

AKU mula panik bila Raisya tiba-tiba bangkit. Saja nak buka ruang supaya Raid mendekat. Saja nak Raid ambil tempat dia. Saja nak buat aku jadi tak keruan depan suami sendiri.

Tak jadi Raisya nak melangkah bila aku sambar lengan dia. Elok dia menoleh, aku geleng kepala dua kali. Berharap Raisya tak tinggalkan aku berdua dengan Raid.

“Tolong jangan tinggalkan aku.” Bisik aku sangat perlahan bersama mimik muka simpati.

Aku sanggup berdepan dengan kemarahan Raid asalkan Raisya jadi peneman. Sekurang-kurangnya ada yang tahu jika hari ini merupakan hari terakhir aku melihat dunia. Kegilaan Raid itu umpama bom jangka. Bila-bila masa boleh meledak.

“Aku akan stay dekat sana. Jadi jangan risau. Ada apa, panggil je aku.” Raisya kerling pintu bilik. Nak duduk jauh-jauh. Tak nak masuk campur urusan kami suami isteri.

Rasa cemas yang baru pergi, elok berpatah balik. Lebih tak elok, Raisya meleraikan cengkaman aku.

Percubaan aku sambar lengan Raisya buat kali kedua gagal bila ada tangan besar disua pada aku. Tangan lelaki. Tangan yang buat aku kaku beberapa saat. Dua kali air liur tersekat di kerongkong.

“Dah tak sudi nak pegang tangan saya?”

Raid jatuhkan tangan bila huluran dia tak bersambut. Kerusi meja solak ditarik rapat ke katil. Sengaja dia duduk dekat-dekat. Sampai lutut bertemu lutut. Tak ada ruang aku nak gerakkan kaki. Sama macam kena gari dengan kaki manusia.

“Awak tahu apa salah awak?” Raid terus ke titik utama.

Aku tarik nafas dalam. Pura-pura berani berdepan dengan dia walaupun jiwa aku sedang meraung tanpa sesiapa pun dengar.

“Ya, saya tahu.” Jawab aku perlahan.

“Baguslah.” Jawapan Raid menyusul selepas diam seketika. Pakej anggukan kepala dua kali.

“Rai!” Kuat suara Raid memanggil.

Tak sampai semint, terdengar bunyi pintu berdentum menyapa dinding. Muncul Raisya bersama dulang di tangan. Dengan penuh berhati-hati dia menghampiri.

Hati aku sudah berbunga-bunga bila ada Raisya sekali dalam ini. Kurang sedikit rasa gugup nak berdepan dengan Raid.

“Letak situ, lepas tu keluar.”

Arahan tersebut menjatuhkan bergelen-gelen rasa sedih. Meranapkan juga semua kegembiraan yang baru aku kecapi selama tiga saat.

Mata hanya mampu menghantar pemergiaan Raisya sebelum tubuh langsing itu hilang di sebalik pintu.

“Awak lebih sudi pandang Rai dari pandang saya.”

Aku kelip-kelip pandang dia yang capai sudu lalu menggaul isi dalam mangkuk. Tahu-tahu saja, hujung sudu sudah melekat di hujung bibir. Spontan kepala aku menjauh. Muka berkerut.

“Panas lagi?” Tanya Raid sambil tiup bubur. Sesekali dia kerling aku.

“Makan dulu. Perut awak kosong nanti masuk angin.” Sua Raid selepas pastikan bubur itu sejuk dan selamat melalui tekak.

“Terima kasih.” Ucap aku selepas menelan.

“Sa…” Usaha aku nak bersuara gagal bila suapan kedua menyusul.

“Makan dulu.”

Nampak gayanya, Raid memang nak aku diam. Tak nak dengar semua penjelasan.

“Sambil tu dengar apa saya cakap.” Kata dia lagi.

Tak janji, tapi aku akan cuba. Apa lagi duduk dekat-dekat sebegini, dipaksa pula makan, takut sistem pendengaran mengalami masalah gangguan. Tak mampu nak hadam apa yang cuba dia sampaikan.

“Saya kenyang.” Percubaan dia suap kali keempat aku tolak. Tangan naik menahan sudu masuk ke mulut.

Mujur Raid itu masih mengamalkan konsep tidak suka memaksa. Segelas air dihulur padaku. Nak tak nak, aku teguk sampai separuh. Tangan tak sempat nak kesat sisa air di mulut bila ada yang lebih tangkas buat kerja. Jarang-jarang Raid tak buat aku tergamam.

“Cakaplah…Kalau awak cakap masa saya makan, takut selera saya mati. Sia-sia nanti saya mati kebulur tanpa jalani hukuman.” Kataku setelah berjaya serap lima peratus ketenangan.

Raid meletak tepi dulang. Dia duduk bersandar pada kerusi sambil peluk tubuh.

“Saya dah lama tahu siapa langgar El.” Beritahu dia selamba.

Tenang. Pandang Raid, dan senyum. Sikit saja. Cukup untuk buang rasa terkejut. Cukup mengekang rasa canggung yang menular mengalahkan taufan.

“Saya tak tahu awak tunang El.” Jujur adalah perkara terbaik ketika ini. Dan kejujuran tersebut yang menentukan mana hala tuju aku selepas ini.

“Saya minta maaf.” Ucapku penuh kesal.

Berdepan dengan Raid, awal-awal aku sudah semai kesabaran. Sebab aku berada di pihak defender. Pihak yang menunggu masa untuk terima hukuman apabila tiba masanya. Jadi tak guna aku bazirkan air liur untuk berdebat. Kerana aku sendiri sudah dapat menduga keputusannya kelak.

“Maaf…”

Ayat Raid terhenti bila dia capai gelas milik aku lalu diteguk sampai habis. Dan dia kembali ke posisi asal. Posisi yang sesiapa pun tak akan merasa senang termasuk aku. Duduk dan terus-terusan merenung.

“Sekadar ucap maaf saja, awak rasa cukup?”

Ya. Aku akui. Memang tak cukup pun.

“Itu yang tunang saya dapat selepas nyawa dia melayang, hurm?”

Sepuluh jari digenggam kemas. Namun aku masih berani bertentang empat mata.

“Saya ada bukti kukuh kalau nak sabit pelaku. Saksi pun ada.”

Dalam kepala hanya memikirkan Hilman. Tiada saksi lain melainkan dia. Hanya dia saksi utama kejadian tersebut. Berdasarkan hujan tidak rasmi tersebut, aku capai kata putus.

“Awak boleh heret saya ke balai. Saya sedia untuk dibicarakan.” Perlahan-lahan kedua belah diangkat.

Ketenangan aku buatkan bibir Raid tersenyum sinis. Sempat dia buangkan pandangan ke tempat lain sebelum dia pandang aku semula. Dan kali ini dia merapat. Ajaibnya, aku tidak berganjak sedikit pun. Masih tenang.

“Semudah tu?”

Jika Raid nak bantai emosi aku, silakan. Aku terima asalkan dendam dia terlunas sebelum aku akan habiskan sisa hidup dalam penjara. Masa itu mungkin aku akan usulkan kepada petugas supaya tidak terima sebarang pelawat. Tunggu saja berita kematian aku menyusul.

“Terserah awak nak buat apa. Saya terima.” Aku serahkan sepenuhnya keputusan di tangan dia.

Raid sandarkan semula badan pada kerusi secara kasar. Pada pandangan kasar, ketenangan Raid sedang bergolak hebat. Nampak dia berusaha keras supaya aku tidak melihat semua kelemahannya.

“Sebelum tu.”

Aku tak suka cara percakapan Raid. Suka bercakap sekerat-sekerat. Sama persis dia sedang kerat diri aku hidup-hidup. Nak aku tersiksa menanti bait bicara dia.

Kaki mula rasa lenguh. Buatkan aku cuba untuk bergerak, tak mahu terus-terusan ditekan. Namun percubaan aku gagal bila kaki diapit kiri dan kanan oleh Raid. Saja nak mengunci kaki aku. Takut agaknya aku bakal melarikan diri.

“Ada kerja yang perlu awak buat sebagai tebusan 2% dosa awak.”

Kalau bukan pergerakkan aku terbatas, rasanya aku sudah berikan Raid standing ovation. Tak sangka manusia biasa seperti dia mampu ukur berapa peratus dosa aku. Hebat.

“Awak buat apa? Ejek saya?” Berkerut-kerut dahi Raid.

Dia nampak? Maaflah. Secara tidak sengaja aku mencebik.

“Awak nak saya buat apa?”

Soalan aku dibalas dengan rengusan. Respon dia tak berjaya tarik perhatian. Apa yang menarik sepasang mata aku bergerak bila tangan Raid menyeluk poket seluar. Telefon pintar entah milik siapa dia hulurkan padaku.

Kelip-kelip aku pandang dia. Mahukan penjelasan.

“Telefon awak dah nazak. Dah temui ajal. Jadi saya dah semadikan dalam tong sampah.”

Sepatutnya Raid bertanya terlebih dahulu. Ada banyak benda-benda penting dalam telefon itu. Banyak juga gambar-gambar dari zaman bujang sampai ke perlahwinan. Buang dalam tong sampah, sama persis Raid buang semua kenangan silam aku juga.

“Awak boleh berterima kasih pada saya kemudian sebab dah belikan telefon baru.” Telefon berwarna hitam dihulurkan.

Tanda-tanda protes dari aku sengaja Raid abaikan. Sebaliknya dia mula bongkak kerana sifat budiman yang tak bertempat itu.

“Percuma?” Aku inginkan kepastian. Tak nak terhutang budi walaupun dengan suami sendiri.

“Ya.”

“Saya nak awak call Hilman. Cari tahu dia dekat mana. Baik-baik dengan dia. Buat macam tak ada apa jadi.” Bertubi-tubi arahan diterima sehingga menimbulkan tanda tanya.

Kenapa aku rasa Raid cuba buka peluang untuk terjadinya kejadian curang? Hilman itu lelaki.

“Saya benarkan awak hubungi dia, tapi hanya dengan arahan saya sahaja.” Sengaja dia menekan ayat terakhir supaya aku cakna.

“Jangan…”

“Jangan pernah jatuhkan maruah awak sebagai suami. Jangan pernah duakan awak. Jangan pernah sebarkan aib suami. Semua yang berkaitan dengan jangan, saya faham.” Celah aku.

Kagum juga bila Raid bijak sembunyikan marahnya. Sampai merah-merah muka dan telinga. Maka aku rumuskan, cinta dan sayang Raid itu mungkin sekadar lakonan. Tapi cemburu tak termasuk dalam skrip.

"Call dia." Arah dia.

"Nak cakap apa?"

Sejujurnya, aku tiada ayat nak mulakan cerita. Dan aku juga tak ada jawapan jika diserang dengan soalan.

"Mengajar bukan bidang saya."

Jawapan dia buatkan aku simpan semua soalan. Tak perlu bertanya lagi. Aku hanya perlu karang apa saja ayat. Ya, apa saja.

"Prinsip saya, dah tangkap pelaku. Tak bermakna rakan subahat boleh lepas. Dua-dua perlu bertanggungjawab." Tegas Raid.

Fahamlah aku. Kini aku dipaksa berada di pihak suami sendiri untuk menjebak Hilman. Senang cakap, semua yang terkait dengan kejadian tunang Raid perlu dihukum.

Segera aku leretkan skrin telefon. Terhenti sejenak jari nak menekan butang dail bila nampak angka panggilan tidak berjawab dari Hilman. Tujuh puluh dua. Belum lagi pesanan WhatsApp yang tak berhenti naik notifikasi.

Nanti-nanti baru aku baca. Butang dail ditekan. Niat nak lekapkan telefon ke telinga terbantut bila Raid sambar telefon lalu butang loudspeaker dihidupkan.

Baru dua deringan suara kalut Hilman menerjah.

"Heera! Awak dekat mana? Apa jadi? Seharian saya cuba call awak. Awak buat saya risau."

Sedang aku cuba susun ayat nak jawab, suara Hilman lagi berbunyi.

"Raid mana? Dia dah tinggalkan awak? Cakap awak dekat mana. Saya datang. Saya tak akan tinggalkan awak."

Hilman selalu begini. Selalu mengambil peluang nak sebarkan bunga-bunga cinta walaupun tahu aku sudah berpunya.

"Jangan diam Heera. Tolong cakap sesuatu." Desak Hilman.

"Awak..." tiba-tiba aku gugup. Apalagi ada mata yang memerhati sejak dari tadi.

"Sayang..." belum sempat habis ayat. Talian putus. Raid yang menamatkan perbualan kami.

"Apa sayang? Awak masih sayang dia lagi?" Marah Raid.

Telefon dicampak tepi. Tumpuan dia hanya pada aku sepenuhnya. Aku nampak rahang dia bergerak-gerak menandakan adanya kejadian ribut taufan melanda dalam diri dia. Aku perlu redakan ribut tersebut sebelum terkena tempiasnya.

"Tak...Saya nak cakap dia masih sayang saya lagi." Aku buat pembetulan ayat.

Bibir Raid bergerak-gerak menutur sesuatu. Suaranya juga bak angin sampai payah aku nak faham. Bila minta diulang, Raid mendadak bangun meninggalkan aku yang terpinga-pinga.

Tak jadi kepala nak tunduk bila ada bayang besar di depan mata.

"Lepas ni ikut skrip saya. Tak boleh tambah atau tolak. Ikut bulat-bulat." Titip Raid sebelum dia melangkah keluar dari bilik.

"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience