Bab 32

Romance Series 63337

USAHA Raid supaya aku buka mulut menemui jalan buntu. Bermacam-macam cara dia lakukan, tetapi aku selesa tunduk menekur lantai. Sesekali jari naik menyeka hujung mata. Kemudiannya aku mengelamun sambil jari bermain sesama sendiri.

“Heera, pandang saya.”

Arahan dia sejak lima belas minit tadi aku gagal patuhi. Sejak dari tadi juga sepatah ayat pun tak keluar dari mulut. Terkunci rapat.

Mata aku naik bila ada bayang duduk bertinggung di depan.

“Jangan diam macam ni. Cakap sesuatu.”

Lima saat berlalu buatkan Raid mengeluh dan meraup wajah kasar. Sepuluh jari digenggam kuat sehingga timbul urat-urat hijau. Tanda-tanda kemarahan besar bakal meletus itu masih belum mampu buatkan aku bersuara.

“Awak buat saya hampir gila Heera!” Raid berdiri sambil bercekak pinggang. Muka dia merah padam. Dia buang pandangan sesaat sebelum kembali merenung aku.

Kemarahan Raid yang semakin meruncing buatkan aku tunduk semula. Mengusap telapak tangan tanpa henti. Kunci mulut rapat-rapat. Tenggelam dalam dunia sendiri tanpa Raid.

“Minum ni.”

Sangka aku, Raid akan keluar. Biarkan aku di sini. Mana tahu rupanya dia muncul semula dengan segelas air masak lalu disuakan padaku.

Huluran Raid yang tak bersambut menjadi punca dia bertindak sedikit agresif. Bibir gelas dibawa rapat ke bibir aku lalu ditolak sedikit. Nak tak nak aku buka mulut. Biarkan air membasahi tekak. Cukup dua teguk, aku menolak tangan dia menjauh.

“Nak makan?” Tanya dia prihatin.

Aku geleng kepala.

“Makan sikit. Dari pagi awak tak makan.” Raid masih berusaha memujuk.

Pujukan dia aku balas dengan baring, tarik selimut menutupi seluruh wajah. Sempat aku nampak muka Raid yang jelas-jelas kecewa.

Maaf, aku belum ada kekuatan nak berdepan dengan Raid. Yang ada hanya cuma rasa bersalah setinggi langit. Rasa tersebut melebihi segala-galanya sampai nak pandang muka dia pun tak mampu.

Terdengar Raid melepaskan keluhan. Terdengar juga bunyi kaca berdenting.

“Kalau awak lapar, makan. Ada apa boleh panggil saya. Saya ada dekat luar.”

Aku genggam selimut kuat. Mata dipejam rapat-rapat. Dua saat kemudian terdengar daun pintu mengatup. Tika itu juga daripada setitik dua, pili air mata aku rosak. Mengalir tak berhenti. Seluruh tubuh bergegar teruk.

Bibir tak henti-henti berzikir meminta maaf pada Raid. Pada tunang dia yang telah aku langgar sehingga meragut nyawanya. Tak tahu berapa lama aku begitu. Tahu-tahu saja, aku sudah terlena dibuai mimpi. Mimpi yang sering menghantui aku saban hari.

SAYUP-sayup terdengar suara. Suara orang saling bertingkah. Intonasi suaranya juga tidak stabil. Ada kalanya perlahan. Ada kalanya mampu mengejutkan seisi alam. Itupun hanya beberapa kali. Tiada lagi suara lantang selepas ada suara perempuan menegur. Hanya terdengar suara orang merengus tidak puas hati.

“Keluar dulu. Nanti Rai cuba pujuk Heera.”

Selepas lama mengamati, aku celik mata setelah yakin suara itu milik Rai. Perlahan-lahan selimut yang membalut seluruh tubuh ditarik. Tidak jauh dari sini aku menemukan Raid yang membelakangkan aku. Di depannya ada Raisya yang sibuk memujuk Raid yang nampak tidak tenang.

“Sabar. Bagi dia masa untuk tenang.”

Raid ketawa sinis.

“Dia tak bercakap sepatah haram pun lepas kejadian tu. Macam mana abang boleh bersabar? Siapa yang buat dia jadi macam tu?” Keras suara Raid. Namun masih terkawal. Berkat teguran Raisya berkali-kali.

“Dah cuba check phone Heera?”

Aku diserang panik. Lupa perihal telefon semalam. Itu merupakan bukti penting.

“Tak boleh hidup. Tapi abang dah hantar kedai.”

Jawapan Raid buat aku tarik nafas lega. Besar harapan aku telefon tersebut mati buat selama-lamanya. Tak mahu Raid cari tahu siapa punca aku berkabung hampir seharian lamanya.

“Tapi…”

Rasa cuak kembali menyerang bila kepala Raid senget. Jari telunjuk dia naik turun beberapa kali.

“Sebelum tu dia ada sebut nama Rai.”

Mata galak Raisya semakin besar. Malah dia menerpa ke arah Raid. Habis seluruh wajah abangnya diteroka dengan muka penuh tanda tanya.

“Kenapa Heera sebut nama Rai?”

Raid terdiam. Merenung adiknya tanpa kata.

“Rai…” Aku bersuara sebagai penyelamat keadaan. Dua orang manusia yang sibuk bersidang menoleh serentak.

“Heera! Kau okey?” Suara Raisya cemas. Dalam cemas, sempat juga dia tersenyum dan menghampiri aku.

Raisya duduk di birai katil. Tubuh aku ditarik dalam dakapannya. Kehangatan tersebut buatkan mata aku terasa hangat. Ada cecair jernih yang terkumpul tanpa rela.

Pelukkan dilonggarkan. Tangan Raisya meraba lengan sebelum naik melekap di tulang pipi.

“Kau sakit?”

Aku mengerdip mata dua kali bila nampak Raisya juga hampir menitiskan air mata. Lekas aku geleng kepala.

“Atau kau ada cedera dekat mana-mana? Cakap dengan aku.”

Tumpuan aku beralih pada Raid. Begitu juga Raisya.

“Kalau Heera cedera, abang bukan pelakunya.” Raid bela diri bila dipandang serupa pesalah.

“Boleh tinggalkan kita orang berdua?”

Dalam hati aku mengucapkan terima kasih kerana Raisya sangat memahami apa ada di fikiran ketika ini.

Bibir Raid bergerak-gerak mahu protes.

“Please…” Rayu Raisya yang sudah bangun mendapatkan Raid.

Bila pandangan kami bertaut, aku terlebih dahulu melarikan sepasang mata. Tak sanggup rasanya nak pandang muka Raid yang jelas-jelas mahu memberontak.

Hujung mata nampak Raisya sentuh lengan abangnya sambil berbisik sesuatu. Hasil bisikkan tersebut, Raid patuh tanpa sebarang bantahan. Hebat penangan Raisya. Kalah bisikkan makhluk bertanduk dua.

Sejurus pintu tertutup rapat, aku menoleh. Tidak jauh dari sini aku menemukan Raisya yang tercegat di situ. Bila Raisya pusingkan badan, bibir aku tersenyum nipis.

“Apa kau buat ni salah Heera. Kau akan buat Raid jadi lagi curiga.” Raisya tak tunggu lama untuk menasihat.

“Kau telefon siapa?” Dia tak berhenti siasat. Nak cari tahu kejadian sebenar sampai dia pun terheret dalam masalah kami.

Aku mula meramas tangan. Duduk pun serba tidak kena bila renungan Raisya semakin menikam.

“Kau telefon Hilman?” Tebak Raisya.

Bibir aku mengetap. Perlahan-lahan kepala berpusing. Menatap Raisya gugup.

Melihat reaksi aku sebegitu, Raisya mengeluh panjang.

“Kan aku dah cakap jangan buat apa-apa. Buat macam biasa sementara aku cari maklumat yang sahih.” Leter dia.

“Aku cuma nakkan penjelasan.” Akhirnya aku buka mulut setelah berjam-jam lamanya membisu.

“Penjelasan yang tunang Raid dah meninggal malam tu kena langgar?”

Meluas mata aku. Lekas pergelangan tangan dia disambar. Memaksa dia duduk bertentang.

“Kau tahu?” Suara aku tenggelam timbul. Anak mata meratah wajah dia.

“Kau sepatutnya tanya aku dulu. Bukan buat keputusan melulu macam ni. Sekarang Raid dah syak bukan-bukan.” Ujar Raisya kesal. Telapak tangan aku diusap perlahan.

“Aku tahu kau tak akan buka mulut hari tu walaupun aku paksa. Sebab tu aku cari semua maklumat sendiri. Aku cuba korek semua dekat Raid.”

Tunduk kepala bila sedar khilaf sendiri. Tempoh hari bermati-matian Raisya soal siasat aku. Jawapan yang dia terima hanyalah tangisan aku berjam-jam lamanya. Boleh bayangkan betapa kecewanya Raisya ketika itu.

Panjang helaan Raisya bila aku sudah mahu mulakan sesi berkabung. Sesi meratap kematian.

“Menangis tak akan selesaikan masalah Heera.” Jari halus Raisya menghapuskan air di pipi.

“Tahu tak, Raid macam orang gila bila tengok kau macam patung tak bernyawa. Dia telefon aku minta datang tengok-tengokkan kau. Slow talk dengan kau.”

“Aku punca dia hilang tunang. Kalau kau dekat tempat aku, kau boleh bercakap dengan dia lagi? Pandang muka dia je, aku nampak tunang dia Rai.” Bergetar bibir aku gara-gara menahan diri daripada menangis.

“Aku pun tak tahu tu tunang Raid. Kau tanya aku baru aku tahu.” Jujurku. Kali ini aku tak akan lari dari masalah.

Raisya beri sorotan yang aku tak layak terima dari sesiapa. Simpati bukan tiket untuk aku lari. Aku perlu bertanggungjawab selepas atas apa yang telah aku lakukan. Jadi, buat apa aku membazir air mata lagi.

Tangan naik menyeka hujung mata. Bibir melorek senyuman tipis.

“Cerita dengan aku apa jadi? Lepas tu baru aku fikir cara nak bantu kau.”

Permintaan Raisya aku penuhi. Semuanya disampaikan secara langsung. Tiada yang tinggal. Yang tinggal adalah tanggapan Raisya. Dia nak gelar aku sebagai apa, terserah. Itu hak dia setelah menjadi pendengar.

Lima minit merenung Raisya, aku nampak dia seperti sedang berfikir sesuatu sampai berkerut-kerut muka.

“Sekejap…”

Semoga otak Raisya dipanjangkan usia. Teruk benar cara dia mengerah otaknya untuk berfikir. Dua kali percubaan dia untuk bersuara gagal. Suaranya tidak terluah. Hanya bibir dia bergerak-gerak. Jadi, apa yang mampu aku lakukan hanya bersabar dan dengar apa yang ingin dia sampaikan.

“Kau tak sengaja langgar Kak El? Tapi Kak El masih hidup?”

“Ya.”

“Hilman janji nak hantar Kak El pergi hospital? Dalam waktu yang sama tak nak kau kena cekup dengan polis?”

“Ermm!” Aku angguk kepala sekali.

“Rai…Rai…Tenang.” Tangan dia yang diawang-awangan aku tangkap. Mungkin dia panik bila tahu siapa pelakunya.

“Aku salah. Aku yang bunuh tunang Raid. Tapi percayalah, aku tak sengaja.”

Rakus Raisya geleng kepala. Buatkan aku ketawa janggal. Tak nak rasa sedih menular di segenap ruang.

“Kalau Raid nak heret aku ke balai, aku sedia. Aku tak akan lari. Aku akan bertanggungjawab sepenuhnya.” Tangan dia digenggam erat.

“Sesenang tu nak pindah rumah yang tak ada dinding? Lupa diri? Lupa suami? Lupa status sekarang? Itu semua bukan tanggungjawab, hurm?”

Aku tergamam dengar suara yang baru mencelah. Mata hanya mampu pandang Raisya yang jauh lebih terkejut. Setiap derap langkahnya itu, perlahan-lahan melumpuhkan degupan jantung aku. Harap-harap tiada kejadian yang boleh mengakibatkan nyawa melayang. Amin!

Share this novel

Lanina Amolamil
2025-01-16 22:40:24 

next awa


NovelPlus Premium

The best ads free experience