Bab 26

Romance Series 41088

BOHONGLAH jika aku tidak gemuruh. Sumpah! Aku juga manusia. Yang ada perasaan bercampur baur. Cuma rasa gugup itu dikambus dengan senyuman yang aku tayang sejak turun padang setengah jam yang lalu. Sekadar bantu apa yang patut biarpun ditegah keras. Hanya itu terapi bagi meredakan segala rasa. Kerja ringan-ringan pun memadai bagi menurunkan satu graf rasa gemuruh.

Rumah yang sunyi meriah dengan kehadiran kaum kerabat. Semua pakat ke hulu-hilir. Pakat sibuk mengalahkan tuan rumah. Pakat berkongsi cerita sampai jiran sebelah pun boleh dengar. Daripada sembang di sebalik dinding dan seberang jalan, semua pakat berkampung di sini. Di rumah orang tuaku.

“Heera!”

Terkejut bila disergah. Kepala berpusing mencari manusia yang ada hati nak gantikan tempat malaikat Izrail. Saja nak pendekkan nyawa aku. Mungkin tak sabar nak tengok aku tertanam tujuh kaki dalam tanah.

“Oh, Rai.” Tak teruja langsung bila sepasang iris menemukan raut wajah iras-iras Raid. Sebaliknya, kerja menyapu diteruskan.

“Kau buat apa?” Soal dia. Bahuku ditepuk keras dari belakang bila menerima respon kurang memberangsangkan.

“Aku tuan rumah Rai. Tak ada mak pula tu. Tentulah aku sibuk. Kemas itu ini. Biar tak sakit mata tetamu yang datang nanti.” Sikit lagi kerja menyapu hampir sampai ke garisan penamat. Sebelum aku ke acara mengemop pula.

Kerja aku tergendala bila sekelip mata penyapu di tangan lesap. Belum sempat nak marah, ada bayang hitam mengambil alih tugas menyapu. Bukan seorang, tapi berdua. Lebih efektif dan efisien. Terpaksalah aku berdepan dengan Raisya.

“Berapa jam lagi majlis nikah akan berlangsung Heera. Kau buat aku tak sedap hati. Rasa majlis perkahwinan akan bertukar jadi majlis kesyukuran.”

Ini mesti kerja Raid. Saja menularkan berita tidak sahih. Disebabkan berita itulah Raisya muncul seawal pagi begini.

“Jangan mengarut Rai. Aku masih waras. Dan aku tak tergamak nak malukan semua pihak. Lebih-lebih lagi pihak papa aku dan abang Mus.”

Raisya masih tak puas hati. Dari atas sampai ke hujung kaki dia tilik aku. Apatah lagi rupaku kurang memuaskan untuk dikategorikan sebagai bakal pengantin.

“Okey…Tok kadi akan sampai dua jam dari sekarang. Sepatutnya kau dah mula bersiap.”

Aku basahkan bibir. Jari sempat garit kening sebelum aku tarik tangan Raisya masuk bilik. Pintu dikunci dari dalam. Elok saja aku berpaling, suara Raisya memetir lagi.

“Memang tak salah Raid hantar aku tengok-tengokkan kau. Tengok apa jadi sekarang ni?” Marah Raisya sudah tidak terkawal.

“Rai!” Jari telunjuk melekat dibibir. Tak nak suara Raisya menembusi bilik. Bahaya!

“Aku boleh jelaskan.” Aku bawa Raisya duduk di birai katil. Muka Raisya serupa nak ajak aku berperang. Berkerut teruk. Kalah tentera jepun.

“Ya Allah, Heera…Bilik kau tak ada seri langsung. Tengoklah…Suasana dia tak ada bezanya dengan zaman kau bujang. Tak ada cadar pengantin. Hiasan bagai…” Komen Raisya bersama mimik muka. Habis satu bilik aku diteroka dengan mata galaknya.

“Semua tu tak penting Rai. Bagi aku membazir.” Ini ayat terbaik mampu aku karang. Nak lebih baik, Raisya wajib maklum awal perihal kedatangannya. Satu juzuk ayat pun mampu aku karang.

“Mak andam kau mana?” Raisya panjangkan leher ke bilik air. Kemudiannya beberapa kali dia kerling pintu dan jam di pergelangan tangan. Duduknya juga serba tidak kena.

“Dia datang masa majlis resepsi nanti. Aku tak ambil pakej make up nikah. Sejujurnya, aku nak jimat.” Jawab aku bersahaja.

Raisya melopong sejenak. Sebelum aku terdengar dahi dia ditampar keras dengan tangannya sendiri.

“Kenapa? Raid bagi duit hantaran tak cukup? Cakap dengan aku. Nanti aku azan dekat telinga dia kuat-kuat. Biar lari segala iblis dan saka dia.”

“Tak…”

“Tak cukup?!” Terbuntang mata Raisya.

“Bukan! Dia bagi cukup.” Laju aku bersuara. Tak nak Raisya salah faham.

“Dah tu?” Bertaut sepasang kening dia.

Suasan sepi sejenak. Aku tunduk. Sibuk bermain dengan sepuluh jari. Raisya pun sibuk juga, sibuk tenung aku lagaknya hakim menunggu masa untuk jatuhkan hukuman mandatori.

“Kau masih marahkan abang aku, hurm?” Tiba-tiba suara jadi lembut. Seakan memujuk pun ya.

Aku angkat muka. Redup pandangan Raisya. Dititipkan juga senyuman bagi mengusir jauh-jauh segala aura jahat yang berlegar di sekelilingku.

“Sejujurnya…Ya. Aku masih marah.” Akui aku tanpa selindung. Tapi marah itu hanya tinggal sisa sebesar daki. Payah nak sental sebab sudah sebati.

Tangan Raisya mendarat di atas peha. Semakin lebar senyuman dia.

“Raid dah cerita semuanya dekat aku. Kalau aku dekat tempat kau pun aku akan marah.”

Alhamdulillah! Ada juga yang memahami. Ada juga rasa menyesal sebab pernah syak Raisya merupakan dalang di sebalik semua serangan. Terasa berdosanya aku sebab terlalu naif. Terlalu percayakan Raid sedangkan lelaki itulah punca segala-galanya.

“Tapi…Boleh tak kau bagi dia peluang? Mesti ada sebab dia buat macam tu. Apa lagi melibatkan kerja dan pihak atasan.”

Niat nak kutuk Raid secara berjemaah terbantut bila Raisya jelas-jelas berpihak pada abangnya. Buatkan aku berfikir panjang nak bersuara.

“Kau tahu abang aku dah tak senang duduk dekat rumah? Macam-macam dia fikir. Dia takut kau buat kerja gila. Lari dari majlis…Dan aku dipaksa datang buat spot check mengejut. Kau tak rasa dia betul-betul sayangkan kau, Heera?”

Raisya hela nafas panjang bila aku pandang dia tak berkedip. Sesaat kemudian aku nampak dia ambil sesuatu di dalam beg tote.

“Ni bukti…Kau tengok berapa kali dia call aku? Whatsapp pun aku tak sempat balas dia dah call lagi. Dia akan hubungi aku selagi dia tak tahu keadaan semasa kau. Aku berani kerat jari kalau sekejap lagi aku tak hantar laporan, dia akan terjah masuk ke sini. Kau tahu kan dia macam mana?”

Tanpa sedar aku mengeluh berat. Dalam kepala dalam bayangkan kejadian tersebut.

“Aku harap, kau check telefon kau sekarang. Mesti dah berderet whatsapp dari abang aku.”

Pesanan tak berapa mesra tersebut buat aku tersedar. Sejak dari pagi memang aku tak jengah langsung telefon. Entah hidup lagi atau tidak. Sebab semalaman aku terlupa nak cas.

“Panjang umur…” Raisya halakan skrin telefon ke muka aku. Terpapar nama Raid sebagai pemanggil.

“Kau nak jawab, atau aku?”

Kali ini aku tak fikir panjang, tangan kanan dihulurkan. Sekelip mata telefon Raisya sudah melekap di telinga sejurus ikon hijau dileretkan. Ketika itu suara garau di hujung talian menyerang bertubi-tubi. Pakej sekali suara tidak keruan. Nafasnya juga tidak teratur.

“Rai ada dekat mana? Dapat jumpa Heera? Kenapa abang call Heera dah tak dapat? Semuanya okey?”

Sepi. Aku pandang Raisya. Bibir diketap perlahan.

“Rai? Tolong jawab, kenapa diam? Semuanya baik-baik kan?” Kali ini suara Raid naik sedikit.

“Raid…”

Raid terdiam. Terkejut mungkin bila dengar suara aku.

“Sorry…Phone saya tak ada bateri. Saya lupa nak cas.”

Terdengar Raid hela nafas panjang. Lega. Kalau Raid ada di depan mata sekarang ini, pasti lelaki itu akan raup wajah sampai merah-merah. Rambut ditarik-tarik serupa orang hilang akal.

“Sorry again. Saya tak ada niat nak buat awak risau.” Kali ini aku nekad. Majlis akan diteruskan.m walau apa jua rintangan. Selebihnya aku berserah pada Tuhan.

“Lain kali jangan buat macam ni.”

Aku angguk kepala dua kali. Tersedar Raid itu nun jauh di sana, segera aku bersuara.

“Okey.”

Suasana kembali sepi. Malah jadi canggung.

“Awak nak cakap dengan Rai?” Aku bertanya.

“Ya.”

“Okey.”

Tak sampai seinci aku jauhkan telefon, suara Raid memanggil semula.

“Ya, Raid?”

“Kita jumpa sekejap lagi.”

“Okey.” Hanya sepatah ayat mampu aku katakan. Apa lagi bila Raisya sejak dari tadi tersenyum-senyum. Lengan aku disenggol lebih dari dua kali.

“Jangan lari Heera. Kalau nak lari, tunggu kita dah sah. Lari sama-sama.”

Ayat itu tak kelakar. Tapi berjaya juga buat pipi aku merona. Cepat-cepat aku buka mulut. Nak caras semua rasa yang boleh buat aku tak jejak tanah.

“Saya nak siap-siap, Raid.” Aku beralasan. Walhal, dalam diam aku sendiri buntu nak buat apa. Mujur persalinan semua sudah tersedia. Terpaksalah guna khidmat Raisya selaku penggaya tidak berbayar.

“Tunggu saya.” Titip Raid separa berbisik.

“Assalammualaikum.” Segera aku matikan talian. Biarkan. Pandai-pandailah Raid jawab salam aku nanti.

“Mulut cakap marah…Tapi kenapa aku nampak macam kau sebenarnya sayang dekat abang aku eh?”

Abang dengan adik sama saja. Suka menyakat. Suka ambil kesempatan di sebalik kesempitan. Saja nak biar aku mati tersepit. Maka, aku wajib larikan diri.

“Nak pergi mana?” Lengan aku disambar. Tak jadi nak bangkit. Punggung dilabuhkan semula.

“Siap-siaplah.”

“Pergi mandi. Tukar baju. Sementara aku cari mua bidan terjun yang free sekarang. Harap-harap ada.”

Apa-apa sajalah. Asalkan semuanya berjalan sesuai dengan kehendak mereka. Supaya tiada kejadian mengungkit di kemudian hari.

“Soal bayaran jangan risau. Aku bayar. Nanti aku claim dekat Raid.”

Bab itu aku kurang setuju. Tunggu selepas majlis nanti aku akan bayar semula. Enggan menyusahkan Raid.

“Termenung apa lagi? Cepat mandi.” Sergah Raisya bila aku masih tercegat dengan tuala masih di bahu.

Kelip-kelip aku pandang dia sebelum bilik air dituju. Telinga sempat dengar suara Raisya bergumam setelah bercakap dengan seseorang di talian. Moga urusan Raisya mencari bidan terjun dipermudahkan. Supaya telinga aku tidak bernanah menerima leterannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience