Bab 28

Romance Series 85592

SEJURUS saja pintu kereta ditutup, telefon aku berbunyi. Menandakan ada mesej masuk. Mesej daripada sang suami. Tak berkelip mata saat baca pesanan dia. Ringkas, tapi tersangatlah menghairankan. Jadi aku putuskan telefon Raid terus. Nak dengar dari mulut dia sendiri apa yang telah terjadi.

"Ya, Raid. Ada apa?" Soalku sebaik saja jawab salam dia.

"Awak ada dekat mana?" Sebaliknya aku pula disoal.

"Saya masih dekat sekolah. Baru nak balik."

Jeda sejenak. Jelas-jelas Raid macam payah bersuara.

"Awak perlukan bantuan? Cakaplah. Kalau saya boleh tolong, saya tolong." Aku bersuara demi mengusir jauh suasana canggung.

"Lalu IPD nanti, boleh jemput saya?"

Aku garit kening. Pagi tadi Raid memandu ke tempat kerja. Hairan bila balik perlu dijemput. Pagi tadi tak ada pula dia titipkan pesan.

"Kalau tak boleh, saya naik grab. Kita jumpa dekat rumah saja." Kata dia bila aku diam tiba-tiba.

Raid jarang-jarang gagal buat aku rasa serba salah. Saja nak hapuskan angan-angan aku nak jadi isteri yang taat pada suami.

"Setengah jam lagi saya sampai." Putusku. Tunggu setelah bertentang empat mata nanti, barulah aku bertanya perihal keretanya.

Memandu dalam keadaan penuh tanda tanya selama setengah jam itu sangat sulit. Bermacam-macam andaian ada di dalam kepala. Sebaik saja nampak muka Raid di depan pos IPD, terus hilang semua rasa kurang enak tersebut. Bibir auto senyum walaupun dia tak nampak.

Sibuk tenung suami di sebalik cermin kereta punya pasal, aku lupa nak buka lock kereta. Bila Raid ketuk cermin kereta baru aku sedar. Tangan kelam kabut nak cari butang lock. Dengan muka berseri-seri dia masuk kereta. Bangga mungkin bila dijemput isteri buat pertama kalinya.

"Kereta awak mana?" Soalan ini penting. Soalan yang menghantui aku sepanjang perjalanan ke sini.

"Breakdown."

"Oh!" Ingatkan perempuan saja tak prihatin dengan kebajikan kereta.

"Rosak teruk?" Tanyaku sambil mata memerhatikan Raid sedang tarik tali pinggang keledar.

"Boleh tahan." Jawapan yang pendek, tapi aku dapat rasakan ada poket yang bakal bocor nanti.

"Belting putus. Saya dah hantar dekat bengkel. Mungkin makan masa yang lama untuk periksa. Takut melibatkan enjin."

Aku yang dengar pun nak demam rasanya. Jika melibatkan enjin, maka aku bakal catu semua perbelanjaan. Silap-silap puasa tiga bulan untuk buat pembiayaan kos baiki.

"Salah saya juga, sebab tak peka dengan schedule." Adu dia kesal namun tenang.

"Awak servis dekat bengkel luar?"

Bengkel luar jarang-jarang nak ingatkan pengguna jadual berkala penukaran alat ganti. Dalam fikiran mereka, tak perlu susah payah ikut prosedur sebab bengkel tidak terikat sebagai dealerships syarikat besar-besar.

"Nope!"

Aku pandang dia. Tak jadi nak mulakan pemanduan. Kemungkinan besar Raid servis keretanya di pusat servis yang diiktiraf. Maka, menjadi tanggungjawab penasihat servis mengingatkan pengguna perihal jadual berkala mengikut masa yang ditetapkan. Aku selaku akauntan keluarga yang belum diiktiraf, wajib untuk aku protes. Sebab ada unsur-unsur penindasan.

Tak kisahlah pusat servis ketam ke, harimau ke, king ke, semua itu perkara asas dan wajib. Supaya kejadian sebegini tidak terjadi. Lainlah masih dalam jaminan waranti, selamat sikit duit. Elok rasanya nak demam, terus kebah.

"Nak buat macam mana. Benda nak jadi, mungkin ada rezeki lain."

Begitu mudah dia pasrah. Kalaulah aku di tempat dia, mungkin aku sudah mengadakan sesi perang mulut tiga hari tiga malam. Kalah belakang cerita, janji perang dulu. Tak ada jalan penyelesaian, buat aduan ke pihak atasan. Jika tidak dilayan, maka selesai di balailah jawabnya.

"Harap-harap, tak meninggallah."

Kaki tertekan brek secara mengejut. Kepala toleh kiri. Dia masih tenang dan statik. Bahkan dia juga pandang aku dengan sebelah kening naik tinggi.

"Siapa yang sedang nazak?" Soal aku sedikit cuak.

Tempoh hari semasa majlis perkahwinan kami, aku tidak menerima sebarang berita perihal kaum kerabat kami sedang sakit.

"Kereta saya." Jawab dia.

Aku hela nafas panjang. Mujur tak berlaku kejadian tidak diingini gara-gara 'meninggal' itu. Takut ada yang yang cedera parah kerana pemanduan aku yang cuai. Silap-silap, salah seorang daripada kami yang bakal jadi jenazah.

"Saranan saya selepas ni, tolong habiskan ayat. Jangan biar tergantung. Sebab saya sayangkan nyawa saya." Nasihatku. Cara memandu aku sebentar tadi bahaya.

Setelah bertenang, dengan lafaz bismillah, aku mula memandu setenang-tenangnya biarpun ada mata yang memerhati setiap gerak geri.

"Dan awak perlu belajar sayangkan saya juga." Sebut Raid.

Lebih dari tiga kali aku kerling dia. Ketenangan aku hanya mampu bertahan tiga saat. Selebihnya ketenangan aku diragut oleh pegawai JPJ tidak bertauliah di sebelah. Mana tidaknya, aku bukan sahaja diuji cara pemanduan. Malah secara lisan juga.

"Saya boleh jadi cikgu kalau awak nak." Raid tawar diri nak jadi pakar cinta. Rasanya Raid tak layak, sebab aku pernah jadi saksi dia juga pernah kecundang dalam bercinta.

"Saya rasa saya tak mampu nak bayar awak."

"Siapa cakap kena bayar? Tak ada yuran. Percuma sepanjang hayat." Jawab dia.

Aku ketawa perlahan sambil geleng kepala.

"Tengoklah macam mana. Saya akan pertimbangkan dulu."

"Tak menyesal kalau awak berguru dengan saya demi saham akhirat awak."

Aku jeling dia. Tak sangka, Raid petah berhujah. Mengalah peguam. Dan ustaz tak bertauliah juga.

"Awak nak saya hantar ke mana?" Sengaja aku pesongkan cerita. Sempat aku betulkan duduk sementara menunggu lampu isyarat merah bertukar hijau.

"Lupa?"

Tika itu lampu bertukar hijau. Tergesa-gesa aku tarik gear dan perlahan-lahan kereta mula bergerak.

"Ya." Aku tak segan mengakui. Terlalu banyak perkara yang mahu diserap dalam kepala.

"Rumah kita."

Baru teringat. Cuti hari minggu semalam dan kelmarin, kami sibuk angkut sedikit demi sedikit barang ke rumah baru dibeli Raid tiga bulan lepas. Mujur kebanyakkan kelengkapan sudah disediakan. Tinggal nak cari sikit-sikit barang supaya tidak terlalu kosong.

"Tolong jadi waze. Saya masih tak hafal jalan nak ke sana." Jujur aku. Sesekali aku kerling sebelah. Nampak kepala dia turun naik dua kali.

"Okey."

Sampai saja di rumah, aku menuju ke bilik. Tak sampai seminit, aku keluar semula. Dapatkan Raid yang kebetulan sedang tutup pintu utama.

"Raid."

"Kenapa?" Soal dia hairan melihat aku serius.

"Baju awak mana?"

"Ada dekat dalam bilik." Jawab dia polos.

"Ya, saya tahu dalam bilik. Tapi bilik mana?"

"Bilik belakang."

Aku peluk tubuh, pandang dia tak dengan pandangan setengah percaya.

"Awak nak kita tidur asing-asing?"

"Ermm..." Tanpa rasa bersalah, dia angguk kepala.

Jawapan dia buat aku merengus. Geram. Kesal pun ya sebab Raid buat keputusan tanpa adanya perbincangan.

Aku mara beberapa langkah. Sampai hujung kaki kami bertemu. Bagusnya, Raid sedikit pun tidak berganjak. Malah dia turun bertentang empat mata denganku.

"Saya budak 01 Raid. Belajar sampai darjah khas. Tapi awak buat saya macam budak kurang didikkan agama."

"Bukan macam tu." Potong Raid.

"Habis tu macam mana?" Berkerut teruk muka aku ketika ini. Biarlah Raid nak kata aku marah sekalipun. Sememangnya itu yang aku rasa.

"Sebab saya hormat privasi awak."

Kerutan di wajah aku beransur-ansur hilang. Bibir mengetap perlahan. Sebelum aku terlebih dahulu melarikan pandangan mata.

Dari segi sentuhan fizikal, Raid lulus ujian privasi. Dialah lelaki budiman. Tetapi, dari segi penglihatan, dia gagal teruk. Mata dia terlalu bebas memerhati. Terlalu liar. Habis luar dan dalam diimbas.

"Pergi mandi dulu. Jangan serabutkan kepala. Nanti baru kita bincang." Pujuk Raid. Tangan dia mendarat di bahuku lalu memaksa aku pusingkan badan. Sebelum dia menolak lembut belakangku.

"Awak tak rasa bahaya kalau kita duduk sebilik, hurm?"

"Kalau di pihak saya, tak. Lainlah awak. Sebab awak tu penyamun. Tentulah bahaya." Selar aku.

Mengekek Raid ketawa. Saja nak menyakitkan hatiku. Saja juga nak biar telinga aku bernanah.

"Saran saya, fikir masak-masak sebelum nak invite saya sebilik dengan awak."

Aku toleh kanan. Tangan Raid yang elok paut bahu dibiarkan. Tak ada niat nak tepis. Sebaliknya aku berhenti mendadak.

"Saya harap awak lebih matang Raid. Kahwin bukan perkara main-main. Kahwin melibatkan dua jiwa yang berjanji sehidup semati. Yang mahukan zuriat sebagai penyeri hidup." Sehabis baik aku mengawal nada suara. Malah aku titipkan juga senyuman. Tak mahu Raid kecil hati dengan kata-kataku.

"Saya tahu."

Respon dia buatkan senyuman mekar aku pudar sedikit.

"Awak tak kisah?"

Aku paksa diri untuk tersenyum. Kepala digeleng perlahan.

Kalau ini kemahuan Raid, akan aku turuti demi usia perkahwinan kami yang tak sampai sebulan lagi. Masih jauh lagi perjalanan.

Entah mengapa, hati aku bagai disiat-siat melihat senyuman lebar dia. Rasa seperti baru saja dicurangi.

"Jadi saya boleh pre-order dari sekarang."

"Barang apa?" Enggan hanyut dalam kesedihan, aku ringankan mulut bertanya. Walaupun dalam hati risau Raid mahu usulkan perpisahan sembilan bulan dari sekarang.

"Teddy bear."

Kening aku hampir bertemu. Jarang-jarang orang lelaki suka teddy bear.

"Bukan biasa-biasa. Barang limited edition. Perlukan sembilan bulan sepuluh hari untuk sampai."

"Huh?" Aku hampir tergelak. Apa teddy bear Raid itu spesis manusia?

Dia mara. Tangan kanan dia menyentuh lembut perutku yang kempis. Lama dia merenung ke situ sebelum pandangan kami bertaut.

"Kalau betul awak tak kisah, sekarang juga kita boleh check out. Ada rezeki, sembilan bulan sepuluh hari akan datang dia akan bersama kita. Lelaki atau perempuan, saya tak kisah."

Aku ketap bibir.

"Macam mana? Deal?" Dia tersenyum senget.

Dada terasa sempit. Tiba-tiba tangki oksigen aku mengalami kebocoran. Bibir aku juga kelu. Kedua belah pipi aku bahang teruk.

Sampai sini je lah..dlm blushing, rasa nak kaki jugak raid..

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience