MASYAALLAH! Timbul rasa kagum. Kejujuran aku semalam tidak memberi impak langsung. Lihatlah, Raid elok berborak seperti biasa. Tak ada pun sesi perbalahan. Tiada juga sesi bermasam muka. Malah dia boleh tersenyum sampai lenyap mata galaknya.
Sajalah tu nak kikis dendam aku dengan sifat budiman dia. Kononnya nak gantikan sifat dendam aku kepada rasa sayang. Maka, ada dua perkataan yang ingin aku sampaikan. Jangan harap! Kesalahan dia sulit untuk dimaafkan. Perlukan jangka masa yang panjang untuk pulih.
“Argh!” Aku mengaduh. Tangan naik pegang kepala. Badan perlahan-lahan pusing belakang.
Bahana mengata suami sendiri, bala pun turun dengan kadar segera. Tak semena-mena pandangan jadi berpinar sejenak. Lupa terus perihal Raid.
“Sorry auntie.”
Auntie? Aku belum jejak 30an lagi. Tua sangat ke rupa aku di mata budak itu?
“Tudung auntie dah kotor.”
Tangan automatik meraba kepala tertutup dengan tudung. Hampir berjurai air mata bila ada sisa tanah melekat. Tudung mahal aku ternoda! Hal yang sangat sensitif bagi aku.
“Kenapa main bola dekat sini?” Tak marah, tetapi sekadar menasihati supaya tiada yang jadi mangsa seperti aku. Dibuatnya ada yang bocor kepala macam mana? Siapa nak bertanggungjawab?
“Sorry.” Tunduk kepala budak itu.
Lima saat aku tenung, timbul rasa serba salah. Ini tempat awam. Kawasan terbuka. Semua rakyat jelata bebas untuk bermain. Sepatutnya aku sedia maklum risiko berada di tempat awam. Terdedah dengan berbagai jenis kemalangan kecil mahupun besar.
Aku tunduk kutip bola lalu diserahkan padanya selepas puas bermuhasabah diri secara paksa.
“Nah.”
Budak itu teragak nak sambut. Mata dia melilau. Tak berani bertentang mata dengan aku.
“Lain kali hati-hati ya.” Titip aku bersama senyuman. Nak usir rasa takutnya.
Nampak saja senyuman aku, bukan main elok budak itu tayang gigi penuh. Elok juga dia berlari ke arah rakan-rakannya yang sedang menunggu tidak jauh dari sini. Melihat reaksi tersebut buatkan aku hela nafas panjang. Lega? Mungkin.
“Ada apa Heera?” Suara Raid menyapa buatkan aku menoleh.
“Kenapa tu?” Tanya Raid sambil kerling tudung aku sekilas.
Tangan naik meraba kepala sekali lagi. Tak tahu sebesar mana kotoran tersebut. Sampaikan Raid pun boleh nampak, boleh jadi kotoran itu sebesar bola.
“Kena bola.” Beritahu aku.
“Bola?”
“Ya.”
“Sejak bila awak pandai main bola?”
Rawak sangat soalan Raid. Aku tak pandai main bola. Dan aku tak akan main bola. Itu bukan hobi mahupun minatku.
“Budak-budak tu tak sengaja sepak, terkena saya.” Semoga penjelasan aku berjaya matikan niat Raid nak jadi detektif.
Tangan Raid naik menggosok kepala aku. Sebetulnya, dia cuba membersihkan kotoran di tudung. Puas aku mengelak, namun gagal gara-gara faktor ketinggian kami yang agak ketara.
“Tak boleh hilang.” Kata dia perlahan.
“Nak balik ke?” Dia pandang muka aku.
Jika pulang, maka terbatal semua aktiviti malam ini. Kesian pula bila Raid sudah bersusah payah, aku senang-senang ajak dia balik gara-gara hal sekecil ini. Aku tak sekejam itu. Masih ada empati disebalik marah.
“Saya nak pergi tandas. Nak cuba basuh dengan air. Mana tahu boleh hilang.”
“Sure?” Tanya dia kurang percaya.
“Ermmm…” Aku pun kurang yakin sebenarnya. Sekadar mencuba nasib. Tak salah mencuba.
AH, sudah! Kalau begini gayanya, bagaimana reaksi Raid kelak ketika kami berjalan berdua nanti? Aku bakal mencalarkan imej dia selaku Jejaka Malaya.
Mana tidaknya, separuh tudung sudah lencun tetapi masih tersisa lagi kotoran. Payah nak bersih jika tidak disental.
Nampak gayanya, aku perlu cari Raid. Mencari alternatif lain supaya aktiviti hari ini tidak tertunda. Mungkin Raid ada cara untuk membantu.
“Raid…” Seru aku di sebalik pintu.
Sepi. Tiada sahutan.
“Raid…Awak dengar tak?” Panggil aku sekali lagi.
Lima saat berlalu, masih begitu. Lantas aku ambil keputusan buka pintu sedikit. Belum pun sempat pintu dikuak, ada dorongan keras dari luar sehingga aku tersandar rapat ke dinding. Sipi-sipi pintu kayu hampir meninggalkan cacat kekal di batang hidung.
Sempat aku mengutuk dalam hati wanita hampir sebaya yang selamba berlalu masuk ke tandas. Takkan tak perasan aku sebesar ini? Hairan. Barangkali dia mungkin ada masalah penglihatan.
Enggan memanjangkan isu, aku menuju ke pintu keluar. Misi mencari Raid perlu diteruskan. Banyak masa telah dibazirkan dengan perkara tidak berfaedah beberapa jam ini.
Selangkah lagi aku hampir jejakkan kaki ke luar tandas, namun halangan lain pula menyusul. Sekali lagi aku menjadi mangsa tolakkan manusia yang jahil erti kesabaran. Mujur kali ini aku lebih berjaga-jaga.
“Hana! Mana kau?!” Suara perempuan baru muncul terdengar sangat panik. Berkaca juga matanya. Tanpa sedar aku pasang telinga.
“Hana! Cepat! Adib dalam bahaya.” Suaranya mula serak. Satu per satu pintu tandas diketuk rakus.
“Ada apa Hanim?” Pintu paling hujung terbuka. Muncul perempuan pertama yang sempat aku kutuk sebentar tadi.
Perempuan bernama Hanim segera menerpa.
“Cepat! Adib nak kena culik. Lelaki tu pegang pisau. Ada seorang lelaki cuba nak selamatkan Adib. Kau kena cepat!” Sekali nafas perempuan bernama Hanim bercerita.
Pucat wajah perempuan bernama Hana. Tanpa kata, dia berlari keluar. Di luar kesedaran, aku juga mengekori mereka dari belakang. Nak tahu apa yang sedang terjadi. Dalam waktu yang sama kepala memikirkan Raid. Berharap suaminya tidak terlibat sama. Ngeri bila dengar penjenayah tidak kosong. Ada senjata merbahaya bersama.
Tidak jauh dari sini terdengar suara riuh rendah. Berselang seli dengan suara tangisan. Entah mengapa aku merasa seram sejuk. Langkah juga menjadi goyah. Namun aku gagahkan diri jua.
Dalam kepayahan, satu per satu tubuh manusia ditolak. Aku mahu ke depan. Mahu menyaksikan kejadian tersebut dengan mata kepala sendiri.
“Lepaskan budak tu.”
Suara itu buatkan darah aku hampir berhenti mengalir. Mujur aku tidak tumbang di tengah-tengah orang ramai.
“Lepaskan dia. Kau jamin awak akan selamat.”
Semakin dekat, suara tersebut semakin jelas. Semakin rakus gelengan kepala aku. Tolakkan aku juga hampir tidak bermaya.
“Kau tipu! Jangan ingat aku tak tahu kau orang semua dah panggil polis.” Suara lain berbunyi lantang. Mengalahkan halilintar. Kemudiannya terdengar suara budak lelaki menangis.
“Tenang. Polis tak ada. Kau selamat asalkan kau lepas budak tu.”
Ah! Suara memujuk itu memang sah milik Raid. Dia sedang menjadi orang perantaraan. Dalam waktu yang sama dia cuba menjadi penyelamat nyawa yang tidak bersalah.
“Jangan dekat! Atau aku bunuh budak ni.”
Dari sini, aku nampak Raid berhenti melangkah. Kedua belah tangan diangkat. Niat untuk mara terbantut bila ada yang mencengkam lengan aku.
“Jangan pergi sana, bahaya.”
Aku menoleh. Wanita lengkap berpakaian sukan masih mencengkam erat lengan aku. Tidak jauh dari sini ada wanita yang mengongoi sambil ditenangkan beberapa orang. Sesekali dia meronta.
Tumpuan aku beralih pada Raid semula. Dalam hati aku panjatkan doa semoga dia dilindungi dan dijauhkan dari sebarang kecederaan. Bahkan aku sempat berjanji tidak akan marah lagi pada dia.
Bunyi siren buatkan kepala penjenayah berpusing-pusing. Dikesempatan itu, Raid buka seribu langkah. Satu tendangan berjaya buatkan pisau di tangan terlepas. Tendangan kedua menyusul tepat di dada si penjenayah sehingga cengkaman di leher budak kecil itu terlepas. Bahkan penjenayah itu terdorong beberapa langkah ke belakang.
Sekali tarikkan saja budak itu sudah berada di belakang Raid. Sempat lagi dia memberi arahan.
“Lari!”
Sepantas kilat budak lelaki itu berlari mendapatkan ibunya. Terdengar suara ibu memanjatkan syukur bersama tangisan yang masih belum reda sepenuhnya. Aku turut sama merasa lega. Namun kelegaan tersebut singgah hanya sesaat. Raid masih dalam bahaya selagi penjenayah belum diberkas.
Kepala berpusing mencari Raid. Mata meluas bila pisau kembali berada di tangan penjenayah dan meluru ke arah Raid.
“Raid!!!”
Jeritan aku berjaya menarik perhatian Raid. Sesaat pandangan kami bertaut. Dua saat dia menoleh, satu tusukkan keras menyapa tanpa sempat dia menahan.
Satu das tembakkan berjaya menghentikan penjenayah itu. Tubuhnya keras menghempas tanah. Lekas aku meluru bila penjenayah itu terbaring kaku.
Cepat aku menyambut Raid yang hampir rebah.
"You're stupid, Raid!" Marahku.
"Yes, I know." Sahut Raid dengan nafas sedikit tersekat.
Hampir saja penumbuk aku singgah di dada bidang Raid. Ini bukan masa yang sesuai untuk Raid melawak. Sekarang ini soal hidup dan mati.
"Hei, you are crying."
Raid benar. Memang sejak dari tadi aku sudah menangis teruk. Sangat-sangat teruk. Tapi itu semua tak penting. Yang penting sekarang ini, Raid perlukan rawatan.
"I'm here, Heera. Stop looking around."
Tolonglah. Saat-saat genting begini, kesabaran aku sedang bertempiaran lari. Entah ke mana. Takut sekejap lagi aku akan menjadi pemarah. Raid lah tempat aku melampiaskan kemarahan.
"Please, Heera...Pandang saya." Rayu Raid dengan suara hampir tenggelam.
Segala pujuk rayu dia aku balas sepi. Aku masih sibuk memandang sekeliling. Muka yang lencun tak dihiraukan lagi. Biarlah Raid lihat wajah aku yang buruk ini.
"Please...Sebelum saya tutup mata." Raid batuk keras. Disusuli dengan cecair merah.
"Berhenti merepek Raid!" Tanpa sedar aku tertinggi suara. Bingit telinga dengar ayat-ayat orang mahu mati dari mulut dia.
"Saya..." Nafas Raid tersekat-sekat.
"Cukup Raid!" Semakin teruk tangisan aku.
"Mana ambulan ni?" Gerutu aku tak sabar lagi.
Kali ini aku bangkit. Berlari ke kiri dan kanan hingga tidak cukup tanah. Aku perlukan bantuan untuk selamatkan Raid walau apa cara sekalipun. Berlari ke hujung dunia pun aku sanggup.
"Anyone, please!" Air mata diseka kasar. Hampir putus harapan.
Habis setiap penjuru aku tuju. Mengharapkan seseorang untuk menagih bantuan. Masa semakin suntuk. Setiap saat itu amat menyakitkan bila tiada sesiapa yang dapat membantu kami berdua.
Selang dua saat, terdengar bunyi siren ambulan. Semakin jelas. Lekas aku pusingkan badan bersama senyuman tipis. Tanpa sedar aku menghela nafas lega. Sempat menghapuskan air mata sebelum kedua belah tangan melambai-lambai van yang kian menghampiri.
"Sini...Sini." Kalut aku menunjuk arah sebaik saja pegawai bertugas turun dari kenderaan.
"Encik, cepat sikit..." Air mata yang hampir kering mahu tumpah bila mengenangkan Raid yang sedang bertarung nyawa.
"Raid...bantuan dah sampai." Aku terlebih dahulu meluru ke arah sekujur tubuh yang kaku tidak bergerak.
Sepi menguasai.
"Berhenti bergurau Raid. Everything will be fine."
Aku sudah tidak sedap hati bila Raid tiba-tiba diam. Baru sebentar tadi mulut Raid riuh bercerita tentang mati biarpun payah. Percakapkan lelaki itu berselang-seli dengan batuk keras. Wajarlah aku marah. Tengah nyawa-nyawa ikan pun masih nak merepek.
"Raid...Raid...I'm sorry. Cakaplah banyak mana pun, saya akan dengar. Jangan diam macam ni." Rayu aku dengan suara hampir hilang. Kurang sesaat, air mata tumpah lagi. Entah kali ke berapa. Semuanya gara-gara Raid.
"Buka mata awak Raid..." Wajah Raid yang sejuk, ditampar. Sedikit keras. Biar Raid bangkit dari mimpi.
"Awak janji tidur sekejap je tadi kan? Sekarang dah overlimit, Raid. Wake up now." Tangan aku meraba-raba bahagian dada kiri Raid yang basah dengan cecair merah. Lama.
"Puan..."
Wajah diangkat. Bertentang empat mata dengan pegawai bertugas. Kepalanya digeleng berkali-kali. Bibirnya bergerak-gerak. Sedia untuk beri kenyataan yang aku tak mampu nak dengar.
"No!" Aku sudah mengongoi.
"No..."
"Raid belum mati..." Tubuh sejuk Raid digoncang berkali-kali. Perlahan-lahan aku sembamkan wajah di dada Raid.
"Awak janji nak sehidup semati dengan saya, Raid..."
"Tapi awak tipu saya!" Jerit aku sekuat hati.
"Macam mana saya nak hidup tanpa awak, Raid..." rintihku perlahan. Sangat perlahan sebelum duniaku jadi gelap.
Setelah sekian lama menyepi...Muncul2, dah boleh ready buat kenduri arwah
Share this novel
Awa.. Ada update baru tak... Rindu
sedehnya harapcuma mimpi Herra saja tak sabar nak tahu apa yg jadi ...tq update author
tq..lama tunggu samb nya