AKU mengundur beberapa langkah. Tanpa sedar kaki terlanggar sesuatu hingga jatuh terduduk. Tangan meraba di dalam gelap. Pencarian terhenti bila menyentuh sesuatu yang hangat. Lantas aku pusing lalu mengesot laju. Tak sedar telapak tangan sudah pedih terhiris dahan ranting kering yang ada di atas jalan.
Kepala tergeleng rakus sejurus ternampak sekujur tubuh terbaring kaku. Dalam kegelapan, aku nampak ada cecair yang mengalir di kepalanya. Perlahan-lahan aku merangkak. Seluruh tubuh mengigil teruk. Hembusan nafas juga tidak teratur.
Kurang setengah meter, aku berhenti. Tangan kanan cuba menyentuh jasad yang masih belum ada sedikit pun pergerakkan. Masih terbaring keras berlantaikan jalan raya.
"Bangun..." Hujung jari menolak tubuh wanita itu sebelum jari menjauh laju.
Dua saat berlalu, sepi.
"Tolonglah...Bangun." Aku mencuba sekali lagi bersama tangisan. Kali ini tubuhnya digoncang berkali-kali.
Dengan tangan terketar-ketar, aku tampar pipinya berkali-kali. Masih begitu. Masih tiada respon. Percubaan entah kali ke berapa untuk membangunkan wanita itu tidak membuahkan hasil. Bila terasa ada sentuhan dari belakang aku menjerit ketakutan. Spontan aku terduduk. Tangan melekap kuat di kedua belah telinga. Kepala ke kiri dan kanan.
"Pergi!" Jerit aku.
"Hei...Hei...Heera! Ni saya, Hilman." Kedua belah bahu aku dicengkam kejap. Memaksa aku pusing menghadap bayang yang baru muncul.
Aku celik mata. Bibir dikemam kuat. Kolam air mata sekelip mata penuh. Aku menerpa ke arah dia.
"Hilman...Hilman...Saya...Saya..." Aku sudah hamburkan tangisan. Sesekali tangan naik dan turun menunding belakang. Bayang Hilman jadi banyak. Bahkan tenggelam di sebalik air mata yang tidak ada tanda mahu mengering.
"Syhhh!" Hilman cuba meredakan tangisan aku.
"Macam mana saya nak diam Hilman! Dia dah mati! Dah mati, faham?!" Aku hilang pertimbangan. Aku marah besar. Tubuh Hilman ditolak menjauh. Bila dia kembali mendekat, segera aku berundur.
"Saya tak sengaja dah langgar dia." Tangisan aku yang hilang dua saat muncul kembali.
Hilman geleng kepala. Kerja-kerja menenangkan aku diteruskan tanpa peduli beberapa kali aku menepis tangan dia.
"Apa saya nak buat Hilman? Saya tak nak masuk penjara! Awak kena tolong saya." Kewarasan aku hilang sepenuhnya. Aku seperti kerasukkan. Meronta-ronta melepaskan diri dari Hilman.
"Heera...Heera..." Tangan kekar Hilman berpindah di kedua belah pipiku. Memaksa aku menatap dia.
"Tolong Heera. Bertenang. Plesae..." Pujuk Hilman separuh merayu. Air mata aku diseka dengan jari kasarnya.
Sepasang bibir aku mengetap kuat. Dengan segala kudrat yang ada, aku menolak Hilman menjauh.
"Saya pembunuh Hilman. Saya dah langgar dia sampai mati. Awak nak saya bertenang? Awak tak faham!" Hujung ayat aku ketawa. Ketawa yang jelas dibuat-buat.
"Saya nak serah diri dekat balai." Tangan aku rakus hapuskan air mata. Aku nekad untuk bertanggungjawab. Tak nak seumur hidup dikejar dosa.
"Awak dah gila Heera?!" Suara Hilman mengejutkan seisi alam. Bergema di setiap penjuru.
Aku mendesis perlahan bila merasakan cengkaman Hilman terlalu kuat. Tak jadi nak bangun bila sekali tarik aku terduduk semula.
"Lebih baik gila dari saya hidup penuh dengan rasa serba salah Hilman!" Aku merentap tangan kuat sehingga terlepas dari cengkaman Hilman.
Air mata aku payah dikekang lagi. Mengalir tanpa henti. Buat pertama kalinya aku tidak mampu melihat dengan jelas raut wajah kecewa Hilman.
"Atau awak boleh bunuh saja saya. Selesai semua masalah." Percakapan aku sudah jauh menyimpang. Lupa halal dan haram. Sengaja ambil jalan singkat untuk selesaikan masalah.
Semakin laju gelengan kepala Hilman.
"Ingat Tuhan, Heera."
Bahu aku bergegar. Mata yang terbuka luas kembali mengecil. Pipi mula basah lagi. Lebih teruk dari yang sebelumnya. Tangan mencengkam kepala kuat.
"Jangan takut. Saya akan cari jalan supaya awak selamat. Dan saya akan pastikan awak tak masuk penjara. Nanti saya carikan peguam terbaik untuk bantu awak." Hilman mula menabur janji bila aku tak berhenti menyakiti tubuh sendiri. Setelah puas menarik rambut, tangan mula menumbuk dada kuat pula.
Lemah kepala aku bergerak ke kiri dan kanan mendengar janji Hilman. Puas menyakitkan tubuh sendiri, lutut ditarik rapat ke dada, lalu dipeluk kuat. Dagu bergayut di kepala lutut. Badan mula beralun ke depan. Mulut bergumam entah apa-apa.
Pergerakkan aku terhenti tatkala terdengar suara erangan halus. Sontak aku angkat kepala lalu menoleh. Jantung mengepam kadar paling pantas bila nampak kepala wanita itu menoleh padaku. Matanya separa katup.
"Too...Loonggg...Sa...Ya..." Lemah suaranya. Tangan kanannya perlahan-lahan dihulurkan padaku.
Aku segera merangkak mendekati dia. Sayangnya, ada bayang hitam yang menghalang. Sekali gus melenyapkan susuk tubuh itu dari pandangan mata.
"Tinggalkan dia. Biar saya uruskan. Awak bawa kereta saya pergi dari sini." Arah Hilman keras.
"No! Saya perlu pastikan dia selamat. Dan saya tak akan tinggalkan dia." Aku jegil mata.
"Fine! Awak memudahkan kerja polis. Tunggu saja awak diberkas." Hilman buka laluan.
Tak berkelip aku pandang Hilman. Tadi ada harapan untuk aku lucutkan gelaran pembunuh. Sekarang, sekelip mata harapan itu ranap. Hilmanlah yang meranapkan harapan tersebut.
"Ada dashcam rakam kejadian tadi. Dia orang dalam perjalanan buat laporan polis ada orang mati kena langgar. Semua bukti dah ada. Hanya tunggu polis sampai dan heret awak ke balai."
Aku diserang panik kembali. Tangan mula meraba, hujung baju Hilman aku cengkam.
"Apa saya nak buat Hilman?"
"Pergi Heera. Saya cuba nak selamatkan awak." Bahu aku dicengkam.
"Tapi..." Aku tak sanggup nak tinggalkan wanita itu. Nampak sangat aku pengecut yang cuba larikan diri. Cuba nak lari selepas cetuskan masalah.
Kerlingan aku singgah pada wanita itu bila terdengar suara erangan. Disusuli dengan batuk keras.
"To...Long...Saya...Sakit." Rayu wanita itu lirih. Suaranya bak angin memohon bantuan. Sesekali dada dia mula berombak kasar.
"Saya akan uruskan dia. Awak pergi." Kali ini Hilman paksa aku berdiri dan tubuh aku ditolak beberapa kali.
"Go, Heera!"
Aku pandang wanita itu. Dengan bantuan cahaya lampu kereta, aku nampak bibir wanita itu bergerak-gerak. Tak jemu menagih simpati demi menyelamatkan nyawanya. Nafasnya juga nampak tidak teratur. Buatkan aku jadi bolak balik.
"Pergi! Sebelum polis sampai." Tubuh aku ditolak secara paksa.
"Jangan risaukan dia."
Aku dapatkan Hilman semula.
"Awak janji dia akan selamat?" Bergetar teruk bibirku ketika mengajukan soalan.
Anggukkan kepala Hilman buatkan aku tarik nafas lega. Tiada apa yang mampu aku luah melainkan tersenyum tipis. Dengan berat langkah, aku menuju ke kereta Hilman yang terletak tidak jauh dari sini.
Perlahan-lahan kereta Hilman membelah kegelapan. Sempat aku kerling cermin pandang belakang. Hilman masih di situ. Memerhatikan aku sebelum bayang hitam itu bertinggung berhampiran kereta milikku.
Aku celik mata. Tubuh diangkat dari perbaringan. Spontan mata meliar sekeliling. Dalam waktu yang sama aku tercungap-cungap mencari nafas yang hampir hilang.
"Astaghfirullahalazim..." Aku mengucap panjang. Wajah diraup berkali-kali bila sedar dari mimpi.
Tiada bayang Hilman. Tiada bayang wanita yang dilanggar. Suasana yang gelap bertukar jadi terang benderang. Buatkan aku semakin yakin bahawa aku bermimpi di siang hari. Tak sedar berapa lama aku tertidur di atas sofa. Tak sedar juga sejak bila Raisya sudah pulang.
Tangan segera capai telefon di atas meja. Jari laju berlari di skrin telefon mencari nama Hilman. Sesaat aku terdiam. Lupa yang nombor dia telah aku padam sejak memilih Raid sebagai suami. Aku pejam mata, bibir terkumat-kamit.
"017...23...Ish!" Dulu aku mampu hafal nombor telefon Hilman. Disaat-saat genting begini, semuanya hilang.
Aku bangkit mendadak, mula mengukur keluasan ruang tamu tersebut. Kepala cuba menyusun angka-angka. Tangan masih tidak lepas menggenggam telefon.
"Ingat balik, Heera..." Kataku perlahan. Berusaha untuk kerah semula memori silam.
Langkah aku terhenti bila memori yang hilang perlahan-lahan menyapa. Sepantas kilat jari aku kembali menekan skrin lalu telefon dibawa melekap ke telinga.
"Hello Hilman!" Sergahku bila panggilan bersambut.
"Siapa ni?" Suara di hujuang talian bertanya. Suara perempuan.
"Hilman ada?"
"Sorry, salah nombor." Talian diputuskan setelah itu.
Aku merenung skrin telefon dengan pandangan kosong. Mata mengerdip tiga kali. Kemudiannya aku mengetuk kepala perlahan.
Seminit berlalu, aku mencuba lagi.
"017-2345678...Ya, ni!" Sebut aku yakin. Jari menekan ikon hijau.
Kali ini aku ambil pendekatan untuk diam. Menunggu suara yang akan menjawab panggilanku menyapa terlebih dahulu. Supaya tidak memalukan diri sendiri seperti tadi.
“Congratulation!" Sah! Memang suara Hilman.
Tetapi ucapan itu tidak penting buat masa ini. Ada perkara yang jauh lebih penting mahu aku bincangkan dengan dia.
"Sampai hati. Lepas kahwin awak terus senyap Heera." Adu Hilman dengan suara sengaja dilunakkan.
Memang wajar aku buang Hilman terus. Jika aku terus berhubung dengan Hilman setelah bergelar isteri, maka aku sedang tempah tiket percuma ke neraka. Dan aku perlu persiapkan diri menerima amukkan Raid.
"Saya ada soalan nak tanya awak Hilman. Penting!"
"Awak serius sangat Heera." Hujung ayat Hilman ketawa janggal.
"Ya, saya serius."
Terdengar Hilman berdehem beberapa kali sebelum dia bersuara.
"Apa dia?"
"Tentang kejadian malam tu..."
"Saya dah cerita pada awak semuanya." Pangkah Hilman. Bahkan suaranya juga sudah lain benar intonasinya. Hilang segala keceriaan sebentar tadi.
"Awak tipu Hilman!"
"Terserah."
"Please Hilman..." Rayuku.
"Rai dah tahu..." Kataku lagi. Tubir mata terasa hangat.
"Tahu apa?"
Suara dari belakang buatkan aku menoleh laju. Telefon di tangan sudah terhempas ke lantai. Aku paksa bibir untuk tersenyum walaupun nampak palsu.
"Raa..."
"Apa yang Rai tahu?" Potong dia. Selangkah demi selangkah dia mara.
Aku berundur beberapa langkah. Tangan meraba kiri dan kanan bila merasakan langkahku goyah. Tahu-tahu saja belakang badan bertemu dengan dindang. Tiada cara lagi aku larikan diri melainkan berdepan dengan dia.
"Atau ada sesuatu yang awak cuba sorokkan dari saya, hurm?"
Aku palingkan wajah.
"Pandang saya Heera."
Lambat-lambat aku tegak kepala. Bertentang empat mata. Dia tenang merenungku. Sedangkan aku bergelut untuk lari dari renungannya. Renungan yang membawa maksud mahu menghabiskan nyawa aku ketika ini juga.
Share this novel