Series
89655
TEMPOH percubaan terpaksa ditamat lebih awal. Semuanya gara-gara kejadian semalam. Kejadian yang membawa separuh jiwa pergi.
Aku pura-pura kuat. Pura-pura tenang di mata semua. Sedangkan di hati, hanya tuhan saja tahu bila nampak sebujur tubuh terbaring kaku. Mulut dan dadanya sarat dengan tali penyambung talian hayat. Mesin kiri dan kanan. Melihat itu saja sudah buat aku sesak nafas.
Mata tunduk terpandang kertas A4 yang dinoda dakwat hitam yang aku bawa ke mana dalam beg tangan. Hasil tulisan tangan Raid. Kemas. Sedap mata yang membacanya. Mengalahkan tulisan perempuan. Itu kerana Raid sangat pentingkan kesempurnaan. Sanggup bersengkang mata selagi semua hasil kerjanya tidak sempurna.
“Puan…”
Aku menoleh bila ada dua bayang berbaju putih. Di tangan salah seorang ada satu dulang besi lengkap dengan peralatan mencuci luka.
“Boleh puan tunggu dekat luar? Kami nak cuci luka suami puan.”
Perlahan-lahan aku bangkit dari duduk. Cuping telinga Raid yang pertama aku cari. Itulah cara aku dan Raid berkomunikasi sejak semalam. Aku yakin Raid dengar. Berkat keyakinan itulah, aku tak culas beri laporan ke mana pun aku pergi.
“Abang…” Ayatku terhenti. Pertama kalinya aku memanggil dia begitu. Buatkan kolam mata aku bertakung. Jari melekap dua saat pada mata bagi mengelak berlakunya kebocoran.
Nafas ditarik dalam-dalam. Tak nak pendengaran Raid tercemar dengan kesedihanku.
“Saya turun makan dulu. Nanti saya naik. Teman abang sampai malam.” Titip aku dengan suara parau. Bibir cepat-cepat mengukir senyuman menutup rasa sedih.
“Ada apa boleh call saya.” Titipku kepada dua orang jururawat tersebut setelah selesai menyampai pesan.
Sebaik saja aku melangkah jauh dari katil, terdengar langsir ditarik. Sempat aku melihat Raid sebelum langsir tertutup sepenuhnya. Begitulah rutin aku sejak menjadi pengunjung tetap hospital.
Perlahan-lahan aku menapak ke pintu lif. Cuba cekalkan hati. Cuba kuat mengharungi hari-hari tanpa Raid. Cuba terima hakikat yang sesiapa pun tak akan mampu nak terima. Hakikat bakal kehilangan orang yang kita sayang bila-bila masa.
“Heera…” Rai menerpa sejurus pintu lif terbuka.
Aku hanya mampu hadiahkan senyuman tipis.
“Macam mana Raid? Dah sedar?”
Maaf Raisya. Aku belum mampu hadiahkan berita gembira. Raid masih begitu sejak semalam. Masih tidur sepanjang hari.
Tubuh aku ditarik ke dalam pelukkannya bila tiada jawapan.
“Sabar Heera. Aku ada. InsyaAllah…Raid akan sedar.”
Tangisan yang ditahan akhirnya tumpah tanpa sempat dibendung. Tangan naik membalas pelukan Raisya. Belakangku digosok lembut bila bahu bergegar teruk. Esakkan aku umpama lagu tiada hentinya lagi. Aku mengongoi di bahu Raisya.
Jenuh Raisya memujuk aku. Puas dipujuk, ditenang. Aku masih begitu. Masih meratapi kesedihan.
“Kau betul-betul okey Heera?” Soalan kedua Raisya ketika kami berada di ruang café hospital.
Aku masih tenang menyuap makanan setelah mengasingkan beberapa sayuran. Sikit pun tak angkat muka.
“Kalau Raid ada, dia dah tolong aku asingkan semua sayur ni siap-siap.” Akhirnya aku bercerita. Soalan Raisya dibiar sepi.
“Dia selalu marah aku kerap minum ais. Kata dia tak bagus untuk tulang bila tua nanti.”
Raisya diam. Tidak lagi bertanya. Dia tadah telinga dengar ceritaku tanpa mencelah.
“Kau tahu…Dia pernah cakap nak aku suap dia. Tapi hasrat dia tak kesampaian. Sebab aku ego. Sibuk hitung hari nak masuk penjara sangat.” Aku angkat muka. Pandang Raisya dengan muka masih sembab.
“Kalaulah aku tahu macam ni jadinya…” Kemudian aku tunduk dan kuis nasi yang masih berbaki separuh. Sejak dua hari ini, dia makan hanya untuk hidup. Bukan untuk kenyang.
“Jom. Dah sampai masa aku bersihkan badan Raid.” Tangan capai gelas. Hanya suku air luak dek terlalu banyak ais.
“Heera…Jangan macam ni. Kau buat semua orang risaukan kau.” Pandangan Raisya menyatakan ada yang tak kena dengan aku.
Senyuman terlebih dahulu menbantah. Sebagai simbolik kenyataan Raisya itu tidak benar sama sekali.
“Aku naik dulu.” Dompet atas meja aku capai lalu dibuka.
“Aku dah bayar.” Raisya menegah bila aku mahu panggil remaja yang baru lalu meja kami.
“Bila?” Sungguh. Aku tak sedar langsung.
“Tadi. Masa kau makan.”
“Sedap sangat lauk hari ni sampai aku tak perasan.” Aku berseloroh.
Jenaka aku mengundang sorotan curiga orang depan. Curiga dengan keadaan kesihatan mental aku mungkin. Wajah aku dan pinggan atas meja dipandang silih ganti. Dia kenal benar, aku bukan penggemar ikan goreng. Ikan itu langsung tak terusik.
“Berapa? Aku bayar balik.” Aku mengeluarkan dua keping not sepuluh.
“Aku belanja Heera.”
“Malam ni aku teman Raid. Kau balik rehat.” Raisya ubah jadual giliran waktu malam.
“Tak perlu. Aku akan jaga Raid.” Perubahan jadual tidak sah tanpa persetujuan aku selaku penolong ketua keluarga.
Diam di pihak Raisya. Berbalah dengan aku tak akan beri kemenangan pada dia. Apa lagi dalam keadaan emosi aku yang pasang surut.
“Jangan risau. Aku sihat. Sangat-sangat sihat.” Aku tepuk tangan Raisya dua kali sebelum bangkit.
“Raid dah tunggu aku.”
Maaf cakap kalau perhatian aku terhadap Raisya sudah berkurangan. Perhatian aku sekarang menjadi milik Raid. Bahkan hari-hari aku banyak terluang dengan dia.
Sebelum aku melangkah, Raisya sempat sambar lengan aku lembut.
“Ingat Heera…Jangan pendam. Aku ada untuk kau luahkan.”
Mata mengerdip sekali.
Setelah mengecas tenaga dengan mengisi perut dengan beberapa suap nasi, langkah aku jadi bersemangat. Senyuman tak lekang. Terbayang-bayang Raid bakal duduk sandar di kepala katil sambil menunggu aku.
Mengenangkan kejadian itu, langkah aku bertukar larian anak. Nak cepat sampai. Nak Raid tahu betapa gembiranya bila aku orang pertama yang melihat dia bangun dari lena panjang.
Sesampai saja di ruangan bilik yang menempatkan Raid, kegembiraan aku perlahan-lahan diragut. Hilang bayangan yang aku harapkan. Pemandangan masih sama menyapa sebelum aku keluar dari sini. Bau yang sama menyapa rongga hidup.
Segala kesedihan yang baru bertandang ditepis dengan suara ceria.
“Abang dah mandi?” Tanyaku ceria.
Lengan baju disinsing ke paras siku. Tangan capai mangkuk besar yang sememangnya terisi air. Aku campurkan dengan air panas sehingga separuh mangkuk. Jari mengukur suhu air. Suam-suam. Tuala tergantung di hujung katil dicapai lalu dicelup dalam mangkuk kemudian diperah separa kering.
“Abang nak tahu?” Seperti biasa, mulutku riuh bercerita sambil tangan mula mengelap.
“Treatmill abang belikan rosak tak sampai dua hari guna.”
“Tak boleh on. Rugi saya. Kalau tak semalam dah turun 2kg.” Hujung ayat aku tergelak. Terpaksa batalkan hasrat nak berlari dalam rumah. Kesudahannya, hantar kilang semula untuk baiki.
“Lepas tu paip sinki bocor. Habis banjir dapur. Saya panggil abang, tapi lupa abang ada dekat sini. Terpaksa saya tengok youtube cara-cara tukar paip air.”
Habis satu rumah aku tawaf nak cari paip utama. Hanya Raid saja yang tahu paip utama di mana. Hampir satu jam baru jumpa. Itupun air di dapur hampir paras buku lali.
Aku basahkan tuala yang hampir kering. Tinggal nak bersihkan bahagian badan dan kaki sebelum selesai.
“Tahu apa jadi? Paip patah dua.” Aku ketawa mengenangkan kejadian tersebut.
Menyedihkan bila semuanya terpaksa buat sendiri. Sebelum ini ada Raid memastikan hal-hal kebajikan terjaga rapi. Sekarang aku perlu belajar berdikari. Perlu galas tugas sebagai ketua keluarga interim.
“Abang Mus panggil tukang paip. Baru settle masalah.”
“Nanti saya nak claim duit makan, repair paip. Duit minyak kereta. Semua tu saya masuk dalam penyata kira-kira harian.”
Walhal semua catatan aliran kewangan tersebut adalah nazar aku jika Raid sedar kelak. Dana terkumpul akan aku sumbangkan ke anak-anak yatim sebagai tanda syukur.
Siap. Aku pandang raut wajah Raid yang tenang dan bersih dari segala noda. Mata tertancap pada bibirnya yang kering. Aku bersihkan tangan kemudian menitiskan air menggunakan jari ke bibir biru Raid.
“Bilik ni sejuk sangat sampai bibir abang pun kering.”
Aku naikkan suhu penyaman udara. Selimut ditarik hingga ke paras dada. Punggung melabuh di atas kerusi yang sentiasa ada di sisi katil. Jari runcing aku mencari tangan besar Raid lalu digenggam erat.
“Kereta abang pun dah siap repair. Saya dah bayar. Tak mahal…Adalah dalam seribu lima ratus. Kalau lebih tiga ribu, saya akan minta ansuran. Macam beli mesin basuh.”
Sejak-sejak sandang ketua keluarga interim, aku sudah pandai berjimat cermat. Sebagai bekalan di hari-hari akan datang.
“Semalam saya tak sengaja marah makcik sebelah rumah.” Suara aku separa berbisik. Jari mengusap tangan Raid perlahan. Rasa menyesal sebab tak ada niat langung nak kurang ajar.
“Sumpah, saya betul-betul tak sengaja.” Adu aku sebak.
“Ada ke patut dia suruh saya cari lain? Dia kata entah umur abang panjang ke tak. Sebab saya muda lagi. Dia kata anak dia pun ada. Kerja cikgu.”
Sepi sejenak.
“Saya cakap makcik bukan tuhan nak atur-atur hidup saya. Saya masih sayangkan suami tak kira hidup atau mati.” Adu aku panjang berjela. Kalau buat laporan polis, boleh menginjak dua muka surat.
Itu belum lagi masuk cerita aku undur kereta terlanggar pasu bunga dia. Bukan sebiji, tapi lima biji pecah. Salah dia sebab masuk kawasan rumah orang lain.
“Saya nak basuh tuala kejap.” Bohong aku. Padahal nak masuk bilik air kesat air mata. Tak nak Raid dengar esakkan aku.
Baru nak leraikan tautan tangan, aku merasa satu pergerakkan kecil yang buatkan aku kesat mata kasar. Aku tenung tangan Raid lama. Seminit berlalu, jari besar Raid bergerak-gerak.
Ketika itu mesin pernafasan Raid berbunyi. Dadanya mula berombak.
Aku bangkit mendadak. Tangan mengusap kepala Raid lembut. Bibir mencari pinggir telinganya.
“Abang tunggu…Saya panggil doktor.”
Usai bersuara, aku nampak hujung mata Raid basah. Laju. Sehingga aku jadi tidak keruan. Cepat aku berlari keluar bila mulut Raid berbuka sedikit. Graf mesin pernafasan yang menggila mula menunjukkan satu garisan mendatar.
Share this novel