Series
89655
Tanah masih merah walaupun sudah berbulan lamanya. Rumput-rumput mula tubuh tinggi. Nak kena tebas. Kalau tak, kubur tenggelam. Terlindung di sebalik taman menghijau. Nanti orang tak dapat beza mana kubur, mana taman.
Tanpa berlengah, kerja-kerja berkebun pun bermula. Memadai berbekalkan sepasang tangan, asalkan berkebun supaya persekitaran rumah abadi kekal terjaga.
Mujur cuaca hari ini redup. Tak panas berdenting. Kalau buat kerja dengan matahari terpacak atas kepala, silap-silap boleh pitam. Tak boleh beza mana rumput, mana batu nisan. Semua dicabut nanti.
"Abang Mus...Bila batu nisan ni nak siap? Abang dah tanya Nabil?" Soal aku sambil cabut satu-satu rumput keliling kubur.
Rumput yang sudah sebati dengan tanah, aku serah pada abang Mus untuk mencangkul. Kalau paksa cabut, mahu tubuh tercampak ke kubur sebelah.
"Abang dah tanya. Esok siap." Abang Mus luruskan pinggang. Lama sangat mencangkung.
Lama betul proses tempahan batu Nisan siap. Mungkin tukang batu nisan sibuk. Banyak tempahan.
"Baki bayaran dua ratus nanti Heera bayar lepas siap."
"Tak payah. Dah ada orang bayar."
Aku angkat kepala mencari abang Mus yang cangkung semula. Kerjanya hampir selesai. Berbanding aku yang baru separuh jalan.
"Ya? Siapa?"
"Hamba Allah."
Jawapan klise itu mengundang jelingan aku.
"Tahu hamba Allah. Tapi siapa?" Aku tetap mahu tahu. Bab duit tak boleh buat main-main. Semua masuk penyata kira-kira saham akhirat.
"Manusia."
"Memanglah, takkan hantu."
Aku menekup mulut bila ada ranting singgah di kepala.
"Mulut tu..." abang Mus letakkan jari ke mulut sambil pandang sekeliling.
"Eleh! Penakut..." Omel aku perlahan.
Entah kenapa ada yang takut nak jejak kaki ke tanah perkuburan. Ramai saja pengunjung yang datang bertandang. Lebih-lebih lagi hari jumaat. Meriah. Selisih pun boleh berlaga bahu.
"Heera tak nak cari pengganti?"
Pertanyaan itu mematikan lamunanku. Tangan berhenti mencabut sesaat. Tak menduga soalan tersebut. Otak mengalami kesesakan jalan raya ketika nak proses jawapan tersebut.
"Tak."
"Heera muda lagi."
"Mana ada muda? Dah masuk tiga puluh dua." Bidas aku laju.
"Habis tu? Tak kan nak duduk seorang dekat rumah? Tak bosan? Abang bukan ada dua puluh empat jam dengan Heera." Abang Mus meluahkan rasa bimbang.
"Bosan tu memang bosan." Akuiku.
Apa lagi aku mengambil keputusan cuti rehat setengah tahun tanpa gaji. Nak tenangkan fikiran.
"Kalau bosan, Heera tengok youtube masak-masak. Belajar masak lauk kegemaran suami Heera."
Sebut suami saja, mulalah mata aku berkaca. Mulalah terbayang-bayang raut wajah dia yang tersenyum sambil lambai tangan padaku. Lebih parah, terbayang tubuh dia dengan wayar berselirat.
"Tak ada siapa makan, abang boleh datang makan. Call je abang. Tak pun abang panggil papa jadi juri masterchef. Papa sejak-sejak dah pencen mana ada kerja sangat. Sesuai sangat kerja juri tu dengan papa."
Aku gelak. Tangan menyeka dahi yang mula berpeluh. Sempat aku cuit hujung mata yang tadinya berair. Mengekang air mata daripada tumpah.
"Ingat free ke jemput juri? Makan modal. Perut kenyang, duit pun dapat. Senang betul buat kerja. Rasa, kritik. Lepas tu singkirkan peserta. Betul tak?"
Ketawa aku dengan abang Mus bersatu. Lupa kami di mana. Tanah perkuburan itu riuh dengan suara kami. Sesekali terdengar suara kami usik mengusik. Sampai tak sedar hampir ke petang lamanya kami di situ.
"Nak pergi mana?" Tanya Abang Mus sebaik saja masuk dalam kereta.
"Makan?" Tanya dia lagi.
"Tak kisah."
"Kita makan, lepas tu balik. Solat dulu."
"Okey." Aku hanya menurut.
"Rumah Heera."
Abang Mus yang baru menolak tombol gear, menoleh. Dahi dia berkerut.
"Kita ke rumah Heera."
Sebetulnya, rumah aku dan Raid. Agak lama aku tak ke sana. Nak tengok juga keadaan rumah. Masih utuh atau sudah retak sana sini?
Maklumlah, kejadian pecah rumah tengah hangat sekarang ini. Apa lagi rumah itu tak ada cctv. Senanglah penjenayah nak buat jahat.
"Betul ni?"
Rumah kami tak ada dalam senarai detinasi hari ini. Wajarlah Abang Mus terkejut dengan permintaan aku.
"Ya. Kita pergi sana."
"Okey."
Setengah jam perjalanan, kami sampai ke destinasi. Kereta Abang Mus berhenti di luar pagar. Sementara aku sibuk teroka luar rumah dari dalam kereta.
Sangkaan aku meleset sama sekali. Rumah kami terjaga rapi. Tak ada rumput panjang. Tak ada kejadian dinding rumah retak seribu. Malah dinding rumah kami warna putih sudah bertukar warna hijau terang dan cair. Lampu luar rumah terpasang terang, tanda tiada langsung debu melekat.
"Heera nak masuk dalam."
Jiwa aku meronta-ronta untuk ke jejak kaki ke dalam rumah. Nak kembali ke kenangan aku dan Raid ketika bersama.
"Heera..."
Niat Abang Mus nak cegah tergendala bila aku pantas mencelah.
"Jangan risau. Heera takkan buat benda bodoh."
Wajarlah abang Mus risau. Mana tidaknya, beberapa bulan lepas aku tidak ubah seperti mayat hidup. Hanya baring merenung dada syiling. Tanpa suara. Tanpa jiwa. Tanpa perasaan. Berbulan itu juga aku tidak terurus. Mengelamun sepanjang hari.
"Abang balik dulu. Heera nak duduk sini."
Diam di pihak abang Mus. Yakin dan pasti dia tak setuju dengan hasrat aku nak bermalam di sini.
"Nanti Heera panggil Rai teman."
Cadangan aku diterima baik. Sempat abang Mus sampaikan berbakul pesanan ketika hantar aku ke pintu rumah.
"Kunci pintu. Jangan keluar kalau ada orang panggil. Rasa tak selamat, call abang. Nanti abang minta polis peronda meronda kawasan sini. Sejam sekali pun bagus."
"Baik tuan!" Tabik hormat aku dibalas jelingan.
"Masuk dulu."
Selagi tak masuk dalam, selagi itu abang Mus tercegat macam jaga sekolah. Setelah memastikan aku benar-benar masuk ke dalam rumah, abang Mus buat rondaan keliling rumah pula bagi memastikan keadaan selamat. Pagar jeriji berkunci.
Dari dalam rumah, aku perhatikan kereta abang Mus mengundur perlahan-lahan. Hon berbunyi dua kali. Lekas aku angkat tangan melambai.
Sebaik saja kereta hilang dari pandangan mata, aku tutup pintu lalu dikunci. Satu per satu lampu dihidupkan. Mata mula memerhati segenap ruang. Nak pastikan bahagian mana terlebih dahulu perlu dimulakan kerja-kerja pembersihan.
Hairan. Semakin diteliti, semakin aku tidak menemukan kekotoran. Seolah-olah rumah itu sentiasa dibersihkan setiap hari.
"Ni mesti Rai upah maid bersihkan setiap minggu." Aku buat andaian. Nanti Raisha datang, aku akan soal selidik dia. Kemudian nak berterima kasih.
Aku menuju ke bilik utama. Perlahan-lahan daun pintu dikuak. Semuanya masih sama, tersusun rapi. Udara pun bersih.
Aku capai tuala. Nak mandi dan solat. Nak doa banyak-banyak untuk Raid. Semoga Allah makbulkan doa aku. Amin.
AKIBAT terlampau banyak kerah tenaga petang tadi, aku terlena di atas sejadah. Niat nak baring sekejap sementara menunggu isyak, berlarutan sampai pukul sepuluh malam.
Cepat-cepat aku berdiri. Tunaikan solat. Kemudian cari makan. Perut dah berbunyi. Takut nanti tengah malam sibuk cari ubat gastrik gara-gara perut masuk angin.
Hampir lima belas minit aku duduk berdoa. Setakat ini, aku belum pernah lupa berdoa setiap waktu. Banyak yang aku mohonkan untuk orang tersayang. Salah satunya aku berhasrat untuk jumpa dia dalam lena. Supaya lena aku lebih panjang dan tenang.
Selesai mengaminkan doa, aku lipat telekung dan sejadah. Dalam kepala sudah senarai pendekkan menu makan malam. Yang ringkas. Itu pun kalau bahan-bahan dalam peti sejuk ada. Kalau tak ada, maka perlu tapaulah jawabnya.
Aku sanggul rambut tinggi. Langkah diatur menuju ke ruangan dapur. Perkara pertama aku lakukan adalah mengimbas keadaan. Kemas. Bebas dari segala debu atau sawang.
Melihat pemandangan tersebut buat aku rasa tak sabar nak ucap ribuan terima kasih pada Raisha. Betapa banyaknya jasa dia. Tak terbalas rasanya.
Di atas meja aku perasan ada dua bungkus plastik boleh tahan besar. Laju aku mendekat. Satu persatu isi plastik aku keluarkan. Tak sedar bibir menguntum senyum.
"Mesti Rai datang tadi." Gumam aku perlahan.
Meja penuh dengan barang basah dan kering. Niat nak simpan dalam peti aku tergendala bila perut aku berbunyi entah kali ke berapa. Minta diisi.
Sebelum berperang di dapur, aku perlu maklum pada Raisha supaya kemas bajunya dan pindah sini untuk sementara waktu. Takut ada yang bagi syarahan berjela-jela panjangnya jika tahu aku duduk sendirian.
Sekembalinya aku dari kamar utama, tangan mendail nombor Raisha sambil berjalan semula ke dapur. Tangan kiri mengeluarkan periuk kecil. Cukup untuk masak dua bungkus maggi. Ini saja menu paling pantas untuk kenyangkan perut.
"Rai." Seru aku bila panggilan bersahut.
"Thank you." Itu perkara pertama yang ingin aku katakan.
"Jap...Jap...Terima kasih untuk apa?"
Raisha saja nak buat-buat terkejut pula.
"Kau macam tahu-tahu aku nak datang sini. Siap kemaskan rumah bagai."
"Apa kau cakap ni Heera? Aku tak faham." Hujung ayat Raisha ketawa perlahan.
"Aku ada dekat Langkawi dari semalam. Ada company trip." Beritahu Raisha serius.
Ketika itu telinga aku menangkap bunyi pancuran air yang datangnya dari bilik air berhampiran dapur.
Suara Raisha memanggil aku kian menjauh. Perlahan-lahan tangan melorot. Di saat aku hampir alpa, bunyi selak pintu mengembalikan warasku. Telefon di letak atas meja tanpa sempat menamatkan panggilan. Kedua belah tangan menggenggam erat pemegang periuk. Sedia nak layangkan periuk sebaik saja pencuri itu keluar.
Handal pencuri zaman sekarang. Tumpang mandi termasuk dalam senarai mencuri.
Sebaik pintu terkuak, muncul seorang lelaki bertuala separas pinggang. Wajahnya tidak jelas dek tertutup dengan rambut yang masih basah.
Mata auto terpejam rapat. Kaki mara dua langkah sebelum periuk mendarat tepat di atas kepala seseorang. Tahu-tahu saja, telinga menangkap suara orang mengerang kesakitan.
Rasakan!
bukan bersawang, dah berkulat ek cerita ni..tq mana yg sabar menunggu cerita ni..love korang!
Share this novel
sambung lagi pleaseeee
kami memang terlajak sabooor...tqvm author
suspen sgttttt ni...wpun dah bersawang?