"Adik."
Tersentak Mia dari lamunan, lantas dia berpaling dari tingkap kereta seraya pandangannya tertaut pada renungan Malik.
"Ya, abang?" soalnya dengan kerutan pada dahi. Risau juga kalau Malik dapat menghidu kesakitan dalam redup iris mata.
"Jauh menung. Rindu suami ke tu?" Sengaja Malik mengusik. Bukan dia tidak nampak raut wajah Mia berubah. Seperti ada sesuatu yang dia simpan dari pengetahuannya. Mia tayang senyum tipis. Rindu Bahrin? Tak mungkinlah selepas apa yang terjadi semalam. Bagaimana nada Bahrin mengata pasal sakit Malik. Selamba betul dia kata Malik sudah tidak lama lagi hidup disini. Hatinya terasa dirobek lagi. Semakin perih lagi apabila dia teringat bahawa daranya sudah diambil oleh suaminya pada malam yang sama.
Sedih? Kenapa dia perlu rasa sedih sampai macam ni sekali? Sedangkan dara dia adalah hak Bahrin sebaik sahaja lafaz akad nikah kami sah. Mungkin kerana Mia berharap yang Bahrin akan memberikan dia ruang untuk mencipta kepercayaan dan cinta terlebih dahulu.
Berharap? Patutlah sakit, harapan itu menyakitkan bukan? Terlepas tawa sindiran buat dirinya sendiri. Ini yang kau nak Mia. Kau yang terima pinangan Bahrin. Pilihan kau.
"Tengok tu, termenung lagi adik kesayang abang ni." Tawa dihujung ayat itu hanya untuk sembunyikan kerisauan.
Mia geleng kepala. Telapak tangannya meraup wajah sebelum dia tayang senyum lebar. "Adik letih sikit, tu yang banyak termenung."
"Lah, kenapa tak cakap awal-awal adik letih? Kalau abang tahu, abang suruh adik rehat je kat rumah." gusar nadanya. Mata masih tertumpu pada jalan seraya tangan mengawal stereng kereta.
"Tak apalah abang. Adik pun dah lama tak jumpa ibu dengan Kasih. Rindu pula rasa nak tidur sama-sama macam dulu." Hati Mia tersentuh setiap kali ulas bibirnya menyebut dua nama itu. Insan yang sangat istimewa dalam hidupnya. Insan yang dahulunya seperti keluarga tetapi sekarang terasa jurang. Bukan kerana mereka menjauh tetapi Mia. Setelah ditolak oleh Khaleef, jarak antara mereka semakin ketara. Inikan pula setelah Khaleef ditangkap basah. Berkahwin dengan Dalisyah pada hari yang sama dia dan Bahrin berkahwin.
Malik juga turut merasakan beratnya redupan itu, cuma dia memilih untuk diam. Dia tahu Mia sangat rindukan ketika mana dia dan Khaleef rapat seperti dulu.
"Dah sampai," kata Malik sambil menarik handbrake dan memarking kereta dihalaman rumah.
"Sampai?" Mia mengerling sekeliling. Sampai juga dia disini. Rumah Khaleef. Tempat mereka selalu main bersama sejak kecil, tetapi sekarang tempat ini sudah menjadi tempat yang paling dia benci. Teringat bagaimana pandangan menjijikkan dari Khaleef kerana permintaannya untuk jadikan dia sebagai isteri.
Mia buka tali pinggang, kakinya melangkah keluar dari perut kereta ketanah. Jejaknya perlahan, malu pula rasa bila lama dah tak datang kesini. Mia seperti biasa, hanya berpakaian t-shirt lengan panjang dan seluar sukan, tudung sarung hitam dan bertopi. Makeup? Jarang Mia bersolek tebal. Dia hanya mengenakan bedak nipis dan lipbalm pada bibir.
"Eh, ibu! Kak Mia!!!" teriak Kasih. Penyapu yang dia pegang terus dijatuhkan keatas tanah. Laju kakinya berlari dan mendakap Mia.
Mia pula tertawa ketika membalas pelukan. Tawa itu lebih kepada rindu. "Kasihhhh, rindunya akak dengan Kasihhh..." mendayu nadanya.
"Kasih lagiii rindu dekat kak Mia!" Pelukan diperketatkan lagi. Tak mahu dia lepaskan.
Teriakan Kasih bukan sahaja menarik perhatian Puan Kamariah yang sedang membasuh beras dalam periuk besar di halaman rumah. Buat persiapan untuk merewang dengan bantuan orang kampung esok hari.
Tersentak Khaleef apabila mendengar nama Mia. Mia datang? Laju dia toleh. Jantung berdegup kencang seakan mahu meletup bila masa sahaja seraya melihat Mia di peluk erat oleh adiknya, Kasih. Nampak juga bagaimana Malik berbual mesra dengan Kasih.
"Zhaf, tadi awak kata nak besen warna mera-" soalan Dalisyah terhenti. Kakinya tak senang duduk ketika melihat Khaleef sudah berjalan kearah Mia dan Malik.
Tak boleh jadi. Dalisyah tak boleh biarkan Khaleef dapat peluang bermesra dengan Mia lagi. Jelas kedudukannya sebagai seorang isteri akan tergugat. Tidak tunggu lama, Dalisyah membontoti Khaleef dan segera memaut lengannya.
Tumpuan Mia teralih kearah pasangan suami isteri yang sedang mendekati. Khaleef. Rindu, tipu kalau dia kata dia tidak rindu sosok itu. Pandangannya teralih pula pada Dalisyah. Cantik orangnya, manis, lembut je berbaju kurung bunga kecil-kecil seperti itu. Sesuai dengan lelaki setampan Khaleef. Bukan macam dia, selekeh, ganas, kekampungan.
"Selamat pengantin baru, Khal!" Malik menyapa Khaleef. Begitu riuh apabila dua orang ini bertemu. Khaleef melepas tawa.
"Tak cakap pun nak datang tolong kami merewang? Kalau aku tahu bolehlah aku sediakan makanan sedap-sedap harini untuk korang," kata Khaleef.
"Ibu kau yang ajak, aku datang je."
"Ibu aku ajak? Kau tetamu VVIP ibu aku lah ni?" Masing-masing membalas tawa. Dalisyah pula tidak lepas genggamannya pada lengan si suami. Takut dirampas bila-bila masa sahaja oleh pesaing dihadapannya.
"Mia." Panggilan Khaleef buatkan Mia sedikit tersentak. Entah kenapa dia rasa gugup.
"Sorang je? Suami tak datang sekali?" soal Khaleef.
Hatinya tersiat. Suami? Ada nampak ke Bahrin dekat sini? Kenapa perlu sibuk pasal suami aku pula? Nak perli aku ya sebab datang tak bawa suami sekali! Mia mengetap rahang.
"Dia dekat KL, kerja." Mia balas acuh tak acuh.
Kerja? Lepas kahwin terus kerja? Bukan ke kalau lepas kahwin sepatutnya suami perlu luangkan beberapa hari bersama isteri. Berbulan madu dan bercuti. Khaleef kerut dahi, tiada niat untuk memerli atau busuk hati. Cuma dia rasa tak sedap. Macam ada sesuatu pula dengan cara layanan Bahrin terhadap Mia.
"Mia! Anak ibu!" Puan Kamariah terus peluk erat tubuh Mia.
"Ibu!!!" Terkatup rapat kelopak mata Mia menahan sebak. Tersedar bahawa kedatangannya masih disambut baik oleh keluarga Khaleef walaupun setelah apa yang terjadi diantara mereka. Dahi dan pipi Mia di cium oleh puan Kamariah beberapa kali. Layanannya terhadap Mia tak jauh seperti seorang ibu kandung.
"Sudah malam dah ni, jom masuk dalam. Tak baik senja-senja macam ni duduk luar. Malik, Mia, jom." Pelawa Puan Kamariah. Dia tarik tangan Mia masuk bersamanya.
"Along."
"Iya, ibu?"
"Siapkan tempat tidur untuk Malik."
Khaleef angguk kepala. "Baik ibu, along sediakan tempat tidur untuk Malik dengan Mia."
"Tak payah, sediakan tempat tidur untuk Malik je." potong Puan Kamariah.
"Eh? Mia tidur mana kalau along tak sediakan tempat tidur?" Berkerut dahi Khaleef.
"Mia tidur dengan ibu dan Kasih malam ni. Macam selalulah. Ibu ni rinduuu sangat dekat anak ibu sorang niii." Pipi Mia dicubit oleh Puan Kamariah.
Khaleef terdiam. Hubungan antara Mia, ibu dan Kasih sangat rapat. Itu yang buatkan Khaleef rasa sedikit kecewa dengan diri sendiri. Ibu rindu nak sangat berjumpa dengan Mia sebelum ni, sampai demam panas. Mia banyak kali tolak sebabkan pergaduhan mereka berdua.
"Betul! Kak Mia tidur dengan Kasih dan ibu tau! Tak boleh tidur tempat lain! Kita main pukul-pukul bantal! Siapa kalah kena tidur tepi sekali!" Teruja betul nada Kasih ketika berbicara dengan Mia.
Dalisyah terasa hati. Puan Kamariah dengan Kasih tak pernah lagi layan dia sebaik layanan mereka beri pada Mia. Walaupun dia sudah bergelar menantu dan kakak ipar. Kedatangannya seperti tidak diundang. Makin ramah dia nampak layanan mereka terhadap Mia, semakin sakit jiwanya.
Anak mata Khaleef melirik Mia semasa dia dibawa pergi dengan ibu dan Kasih. Tidak lepas dari pandangannya. Dia amati wajah manis itu. Lama.
“Aku masuk tidur dulu,” kata Khaleef sebaik sahaja Mia masuk kedalam bilik puan Kasih.
“Saya nak ikut.”
•••
Bunyi riuh dari luar bilik menyentak Mia dari lenanya. Kelopak mata dipaksa buka walaupun terasa berat. Sinaran matahari menyimbah ke wajahnya, tergantung tinggi diatas sana.
“Urm…pukul berapa dah ni…” soalnya dengan suara serak basah.
Tangan terkapai-kapai diatas tilam untuk meraih telefon pintarnya. Sekali dia hidupkan telefon dan lihat jam yang tertera pada skrin, bebola matanya hampir tersembul keluar. Dah nak cecah pukul sebelas! Laju dia ambil tudung dansarung pada kepala. Tuala pada dinding dia capai.
Keluar sahaja dari bilik, kaki Mia terpaku disitu. Orang kampung sudah memenuhi rumah puan Kamariah, riuh sungguh suasana disini. Kenapa Kasih dan ibu tak kejutkan aku? Malu, tapi terpaksa juga dia melangkah masuk kedapur. Laluan ketandas hanya disitu. Apa yang memalukan lagi, apabila dia melihat Dalisyah sedang beramah mesra dengan beberapa makcik-makcik sambil memotong buah-buahan. Muka dah berdandan, cantik berhias. Tudung bawal warna merah jambu dengan berbaju kurung seperti biasa. Puan Kamariah dan Kasih pula sedang menggoreng tempe dan tauhu.
Mia disitu dengan muka masam, tak bersiap, belum mandi lagi. Memang dia rasa tak layak jadi menantu puan Kamariah. Patutlah Tuhan tidak pernah menjodohkan dia bersama Khaleef. Silap hari bulan, Khaleef ceraikan dia sebab pemalas.
“Eh, Mia. Kamu pun ada dekat sini?” sapa makcik Zainab. Tangan masih ralit mengopek kulit kentang.
Naik tona merah pipi Mia apabila ada yang perasan kehadirannya. Tuala ditangan segera dia sorokkan dibelakang badan. “Haah, Mia datang semalam.” jawabnya dengan suara sedikit gemuruh.
“Oh, tidur sini? Lambatnya anak dara bangun!” potong makcik Razia diikuti sambutan ketawa makcik-makcik yang lain. Yang lagi memalukan Dalisyah turut menyertai tawa mereka.
“Tengok isteri Khaleef, si Dalisyah ni. Dah siap mandi, dari subuh dah sambut kami.” tambah lagi yang lain. Tersipu Dalisyah ketika mendengar pujian dari mereka.
“Mia penat tu makcik tu yang bangun lambat…kan dia baru kahwin tempoh hari. Biarlah dia rehat…” lembut nada Dalisyah. Bukan berniat untuk menutup malu Mia tetapi untuk terlihat seperti malaikat.
Makcik Zainab menepuk peha Dalisyah. “Alah, kamu pun pengantin baru juga. Elok je bangun awal.”
“Betul tu Zainab.” Tambah makcik Razia.
“Makcik diamlah.” Kasih menyampuk. Geram pulak dia dengan mulut mereka. Dia raih lengan Mia. “Kak Mia tak sihat, sebab tu Kasih dengan ibu biar dia tidur. Si Dalisyah tu sihat walafiat, memanglah larat bangun awal.” Tambahnya lagi dengan nada selamba. Sempat dia hadiahkan jelingan maut buat kakak iparnya.
“Amboi Kasih, mulut kamu dari kecik sampai kebesar memang kurang ajar betul.” Sampuk salah seorang dari mereka.
Kasih melibas tudunnya ketepi. “Kisah pulak aku.”
Semakin terkebil-kebil Mia disitu. Kalau diikutkan hati mahu saja dia lari keluar dari rumah ibu tapi fikirkan perasaan ibu dan Kasih sahaja dia bertahan disini.
“Dah kak Mia, pergilah mandi dulu. Basahkan kepala tu,” kata Kasih.
Mia angguk kepala. Mujur ada Kasih kalau tidak terpaksalah dia tadah telinga dengan umpatan mereka. Laju sahaja Mia berjalan ke lorong tandas. Buka-buka sahaja pintu, dia terserempak dengan Khaleef. Langkah terpelesot, terdorong badannya pada tubuh lelaki itu.
Satu lagi perkara yang memalukan berlaku. Konon nak cepat-cepat masuk tandas untuk sorokkan rasa malu tapi lain pula berlaku. Degupan jantungnya naik mendadak. Wajah mereka berdua dekat beberapa inci sahaja.
“Mia…” Hampir saja gerakan bibir Khaleef menyentuh bibir mulus milik Mia.
Segera dia tarik tubuhnya jauh-jauh dari Khaleef.
“Perut kau dah okay?” soal Khaleef sebelum berdeham. Mereka berdua masih disitu.
“O-okay,” balas Mia acuh tak acuh. Lebih kepada malu pun ada. Oh ya, disebabkan sakit perut pagi-pagi buta semalamlah buat dia bangun lambat pagi ni.
“Zhaf, Mia? Kenapa berdua dalam tandas ni?” Soalan dari Dalisyah menyentak tumpuan mereka berdua. Segera Khaleef keluar dari tandas. Tak mahu buat isterinya berfikir yang bukan-bukan.
“Mia terjatuh tadi. Aku tolong.” Khaleef mencipta alasan.
“Terima kasih tolong aku tadi Khal.” Mia terkebil-kebil membantu Khaleef menutup apa yang terjadi dalam tadi. Jantungnya masih laju berdegup kencang, teringat bagaimana dia hampir menerima kucupan dari bibir Khaleef. Mujur dia sempat tarik badan. Kalau tak, jatuh berzina sudah suami isteri orang ini. Dalisyah berikan jelingan tajam, sebelum dia menarik lengan Khaleef jauh dari tandas itu. Sakit pula hati dia mendengarkan alasan dari mereka berdua.
Share this novel
thanks tau..dah update .hrp laju2 update sbb dh lama menunggu ?
nak lagi author