JAI || BAB 14

Drama Series 96555

Khaleef memandang sekeliling. Masih menunggu kehadiran sosok tubuh gadis yang sudah membuat temu janji dengannya. Sejujurnya, hatinya semakin tidak tenang apabila mengenangkan majlis pernikahan Mia dan Bahrin yang bakal berlangsung esok hari. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja berbaring diatas katil dan meraung sepuas hati tetapi dia sudah cukup dengan semua itu.

Daripada memakan hati. Mengikut emosi. Baik dia mencuba untuk melupakan kesakitannya. Set makan malam yang sudah terhidang itu dia tatap lama. Kosong. Sepasang mata sembab itu masih lagi terbayangkan wajah manis pemilik hati. Mia Maisarah. Nama yang tak pernah pudar didalam ingatan.

"Zhaf?"

Pandangan Khaleef tertumpu pada wajah gadis bertudung biru cair yang baru sahaja tiba di hadapannya. Jelas pandangan matanya masih kabur kerana terlalu banyak melabur air mata. Tetapi. Wajah gadis di hadapannya ini sah. Dia seakan tidak percaya. Setelah bertahun terpisah. Akhirnya, Tuhan pertemukan mereka semula.

"Isya?" terhembur juga pertanyaan dari bibir kering Khaleef.

Dalisyah tersenyum.

"Iya, Zhaf. Ini Isya. Lama kita tak bersua, kan?" soal Dalisyah sambil menghenyak punggung perlahan-lahan berhadapan dengan Khaleef. Macam tak sangka pula mereka diberi kesempatan untuk bertemu semula.

Khaleef angguk kepala sedikit janggal. Manakan tidak, bila sudah menjadi bekas. Semestinya, janggal untuk berbual bersama semula. Lebih-lebih cerita cinta mereka tidak berjalan dengan sempurna suatu ketika dahulu. Lagi pula, bila Dalisyah masih menggelarkannya dengan nama manjanya. Zhaf. Hanya Dalisyah yang memanggilnya begitu.

Sejujurnya, dia tiada mood untuk berbual dengan mana-mana wanita. Tetapi, lepas sahaja Dalisyah membuat panggilan tadi. Katanya mahu berjumpa dengannya untuk berbincang perkara yang mustahak. Dia ikutkan sahaja. Jika dia duduk terperuk didalam bilik sahaja pasti fikirannya akan terbayangkan Mia dua puluh empat jam. Baik dia keluar untuk tenangkan diri.

"Dah...dah makan?" soal Khaleef dengan sedikit gugup. Bukan apa. Tak selesa bila dalam hati sudah ada yang bertahta. Bila masa lalunya tiba-tiba muncul dihadapan mata, terasa pelik pula.

"Belum lagi. Zhaf dah makan?" soal Dalisyah pula sambil meneliti wajah Khaleef yang terlihat tidak terurus. Dia tidak mahu bertanya lebih. Tetapi jelas keadaan bekas kekasih di hadapannya kini, tidak nampak baik-baik sahaja.

"Belum juga..." balas dua patah sahaja. Lepastu, Khaleef buang pandangan kearah lain. Tak tahu kenapa susah hati. Seperti akan berlaku perkara yang tidak elok selepas ini. Tetapi sedaya upaya dia tenangkan diri sahaja.

"Kalau macam tu, Isya...tolong orderkan. Zhaf nak makan apa?" soalnya. Berdiri untuk berangkat ke kaunter.

Khaleef geleng kepala. Tiada selera pula mahu makan. Lebih-lebih lagi lepas baca kad jemputan dari Mia pagi tadi.

"Tak apa, kau order kau punya je." Khaleef masih buang pandangan kearah lain. Tak tahu kenapa hatinya masih lemah untuk memandang kearah bekas kekasihnya. Mereka putus pun kerana keputusan Dalisyah yang mahu sambung belajar keluar negara. Lepastu, bila dia sudah sampai di Korea katanya sudah jumpa kekasih baharu. Tapi dia tak tahulah apa jadi hubungan Dalisyah dengan mamat Korea tu sekarang.

Buat sakit hati sahaja mahu ambil tahu. Kalau ikutkan kesetiaannya. Mungkin mereka sudah berkahwin sekarang tetapi kerana Dalisyah yang sudah berubah arah. Nampaknya, tiada jodoh diantara mereka.

"Zhaf, tak mahu makan? Kalau macam tu, Zhaf nak minum apa? Isya belanja," pelawa Dalisyah dengan senyuman manisnya. Nampak macam tak bersalah pula. Tapi Khaleef berfikir positif sahaja. Iyalah, perkara sudah lama. Tak mahulah berlarutan dalam kemarahan. Dia sudah maafkan lagipun.

"Bolehlah, Teh ais." jawab Khaleef mendatar. Tiba-tiba teringat pula pada Mia. Teh ais yang Mia hulurkan padanya dengan wajah penuh kerisauan ketika dia berpura tersedak di hospital hari itu. Terukir senyuman hampa. Geleng kepala untuk padam segala kenangan.

"Masih dengan minuman kegemaran awak. Zhaf memang tak banyak berubah," tertawa kecil Dalisyah sewaktu mengatakan itu. Kemudian, dia melangkah kearah kaunter dan membuat pesanan.

Khaleef hanya perhati dengan anak matanya. Tak lama selepas itu, Dalisyah datang dengan membawa dua cawan teh ais dalam genggaman. Duduk.

"Nah..." dia meletakkan minuman itu dihadapan Khaleef.

"Jadi, kau nak bincang tentang apa?" soal Khaleef sebaik sahaja meraih gelas. Straw di kocak beberapa kali sambil matanya memandang kearah gadis itu.

"Em..." Sepertinya, gadis itu cuba melewat-lewatkan perbincangan.

"Minumlah dulu...lepastu...kita berbincang. Isya nak cakap sesuatu...tapi rasa macam tekak ni kering pula..." tambah Dalisyah sambil menghirup Teh ais kedalam kerongkongan. Sejuk. Terasa lega anak tekak. Lagi-lagi cuaca tengah panas macam ni.

"Oh, okay." Tak banyak bantah. Khaleef juga ikut menghirup air. Suasana janggal menerpa. Rasa tak senang duduk punggung masing-masing.

"Isya..." Tak lama beberapa minit kemudian, Dalisyah membuka bicara.

"Isya sebenarnya, nak minta maaf sebab permainkan perasaan Zhaf dulu." kata Dalisyah berselang beberapa hirupan air.

Khaleef cuma angguk kepala.

"Tak apalah, benda pun dah lepas. Kita kosong-kosong ajelah. Tak ada guna kalau berdendam kan?" Khaleef jawab dengan tenang. Memang betul. Bila memaafkan. Hati lebih tenang berbanding menyimpan dendam.

Dalisyah macam tak percaya. Semudah itu Khaleef memaafkan perbuatannya? Khaleef. Khaleef masih dengan perangai lamanya. Langsung tidak berubah. Khaleef memang sejenis yang pemaaf dan tidak mudah melatah. Sejak dulu, Khaleef tak pernah berlama marah selepas mereka bergaduh.

"Zhaf...Zhaf tak marah Isya cari yang lain?" soal Dalisyah seakan tidak percaya.

Khaleef ketawa kecil. Jujur. Sakit sebenarnya. Tapi buat apa pendam? Biarlah masa lalunya berbahagia. Lagipun, dihatinya sudah berpenghuni. Mia Maisarah. Tetap gadis itu sahaja yang berjaya memenangi hatinya.

"Buat apa aku nak marah? Kau ada hak kau. Lagipun, aku tiada disana untuk temankan kau belajar. Aku faham rasa macam mana bersendirian di negara orang." Langsung tidak pendam apa-apa. Dia betul jujur. Dia sudah tidak marahkan Dalisyah. Dia sudah lama pulih dengan waktu.

"Kalau macam tu...baguslah...lagipun...Isya dengan kekasih Isya...dah putus. Mungkin, balasan buat Isya sebab tak setia dengan Zhaf. Setimpal Tuhan bagi, dia curang juga..." panjang lebar Dalisyah menerangkan.

Itu sahajakah urusan penting yang Dalisyah mahu berbincang? Bagi Khaleef. Tidak penting pun. Kerana perkara sudah bertahun lamanya. Sepatutnya, tidak perlu diperbangkit lagi. Kalaupun, Dalisyah sudah putus dengan kekasih barunya. Dia tak mahu tahu pun. Tiada faedah. Tapi Khaleef cuma simpan dalam hati. Dengarkan sahaja luahan hati gadis itu. Mungkin, dia juga mahu perjelaskan apa yang terjadi.

"Putus?" soal Khaleef sepatah.

Dalisyah angguk kepala. Teh ais itu dihirup lagi.

"Iya. Baru-baru je, Zhaf." Senyuman hambar dia tayang. Simpati jugalah Khaleef melihatnya. Walaupun Dalisyah sudah menjadi bekasnya. Tetapi, dia masih punya empati. Dia juga mahu Dalisyah berbahagia. Bila nampak gadis ini sedih. Hatinya pun ikut sebak.

Berkerut dahinya bila tiba-tiba sakit kepala menyerang. Pandangan kabur. Tak tahu kenapa tiba-tiba. Mungkin kerana dia banyak memikirkan tentang Mia. Ibu jari dan jari telunjuknya memicit dipertengahan kening. Cuba hilangkan rasa sakit. Tapi gagal.

"Zhaf? Zhaf? Okay tak ni?" Segera Dalisyah bangkit dari tempat duduk. Dia mendekati Khaleef yang seakan mahu tumbang.

Suara Dalisyah terdengar sayup-sayup sahaja. Entah kenapa dengan kepalanya ketika ini. Semuanya nampak kabur. Dia rebah.

•••

Keesokan harinya, hari ini. Adalah hari dimana Mia dan Bahrin akan di satukan.

"Angkatlah call..." Mia pasrah, sudah kali lima puluh panggilan yang telah dia buat tetap tiada sebarang respon. Khaleef memang sengaja tidak mahu menjawab panggilannya atau apa? Urgh. Hatinya sakit.

Kau mungkir janji! Satu dari panggilan aku langsung kau tak ambil endah!

Daun pintu perlahan-lahan dikuak. "Mia, semua orang dah tunggu dekat bawah. Pengantin lelaki juga dah sampai. Jom turun," ucap Malik kepada Mia yang sedang termenung memandang tingkap sambil menggenggam telefonnya dengan erat. Cantik sangat. Mia kini memperagakan baju pengantin songket. Cukup minimalist dan elegan. Di samping kemewahan yang terserlah, gabungan kain songket dan lace menaikkan seri Mia. Sangat cukup mempesona. Rona warna kelabu yang pelbagai dengan kontra lace rona beige dihiasi sulaman timbul dan berkonsepkan tropical menjalar pada gaun memberi satu sentuhan yang elegan dan lain daripada yang lain.

Macam tidak percaya pula adik kesayangannya bakal menjadi isteri kepada kawan baiknya sendiri. Tetapi, jelas kesedihan yang tertayang di wajah Mia sekarang.

"Adik..." Tangan Malik memaut kedua belah bahu Mia dari arah belakang.

Perlahan Mia menoleh ke belakang. Dia tatap wajah Malik. Kecewa. Cuba sedaya upaya dia tahan air mata dari terjatuh. Mana taknya, Bahrin sudah membayar Mak Andam untuk solek wajahnya dengan Alatna solek berjenama mahal. Kalau dia menangis, habis membazir saja nanti.

"Kenapa Mia? Dah pakai cantik-cantik macam ni, muka masam pula." Malik mengemaskan mahkota yang sudah terletak elok diatas kepalanya. Cantik. Mia kelihatan sangat jelita tika ini. Gaun pengantin yang dipilh oleh Bahrin memang sepadan dengan dirinya. Pipi lembut Mia dia belai perlahan.

"Khal tak datang lagi ke abang?" soal Mia sambil menggenggam kedua tangan Malik. Khaleef sudah berjanji untuk menjadi orang yang pertama datang kemajlisnya tempoh hari. Dia sudah berjanji untuk menemaninya supaya dia tidak berasa gugup.

"Adik tunggu Khal?" soal Malik sedikit terkejut. Sejujurnya, Malik tidak terfikir bahawa Mia masih menunggu kehadiran Khaleef.

Pandangan Mia terjatuh ke lantai. Tak tahu mahu jawab apa. Dia terjeda.

"Sekejap lagi dia datang lah tu, kita mulakan majlis dulu. Nanti apa pula orang kata, ya?" pinta Malik membuatkan Mia serba salah. Jikalau Khaleef tidak datang, sudah pasti dia tidak dapat berbuat apa-apa. Tak akan dia nak batalkan majlis pula? Tetamu semua sudah memenuhi ruang.

"Baik abang..." Penipu! Khaleef, kau memang penipu! Dia menguatkan diri untuk mencipta langkah. Berat untuk dia meredah semua ini seorang diri. Dia memerlukan Khaleef disisi namun apakan daya, janji yang dicipta telah terurai kerana diingkari olehnya. Dia tetap menanti dan menanti.

Mia berjalan menuruni setiap anak tangga dengan penuh kekecewaan. Melihat setiap mata yang memandang buat dirinya semakin gugup. Khaleef, mana kau?

Cantiknya... ramai yang mengeluarkan kata-kata itu dari mulut mereka. Mia hanya menundukkan kepala.

Bahrin pula sudah tersengih dihadapan Tok Kadi setelah melihat Mia datang mendekatinya.

"Baik, kita mulakan ya?" Semua menganggukkan kepala tanda setuju dengan pertanyaan yang diberikan oleh Tok Kadi.

"Tengku Bahrin Mohammad Bin Tengku Adam Mohammad."

"Ya saya."

"Aku nikahkan dikau dengan Mia Maisarah binti Muhammad Malik dengan mas kahwinnya RM 5,000 ringgit tunai."

"Aku terima nikahnya Mia Maisarah Binti Muhammad Malik dengan mas kahwinnya RM 5,000 ringgit tunai."

"Sah?" soal Tok Kadi pada saksi pertama.

"Sah!" Dia menganggukkan kepala.

"Sah?" soal Tok Kadi pada saksi kedua pula, "Sah!" Dia juga menganggukkan kepala.

"Alhamdulillah..." Mereka mengangkat tangan dan membaca doa. Setelah itu, Bahrin dan Mia solat sunat berjemaah. Kemudian, disusuli sesi menyarungkan cincin dan membatalkan air wudhuk pasangan. Saat Mia menyalam Bahrin tangannya tersangatlah gugup sehingga membuatkan Bahrin tidak selesa.

"Sayang, okay tak ni?" soal Bahrin dengan berbisik kepada Mia. Mia hanya menggelengkan kepala.

"Aku gementar sikit..." Mia cuba menyembunyikan perasaan takutnya dari Bahrin. Dia masih tidak bersedia menjadi isteri Bahrin dan sekarang dia sangat memerlukan kekuatan dari Khaleef. Tapi, dia memungkiri janji.

"Faham. Tak apa, tarik nafas dalam-dalam. Insyaallah, rasa gementar tu akan hilang..." pesan Bahrin dengan kelembutan. Tidak sedikit pun dia terasa hati dengan wajah cemberut yang ditayangkan oleh isterinya.

Saat dahinya dicium, dia berdoa agar Tuhan melembutkan hatinya untuk menerima Bahrin.

"Bismillahirrahmanirrahim..." ucap Bahrin perlahan semasa menghadiahkan sebuah kucupan pada dahi isterinya.

Telapak tangannya mendarat perlahan diatas kepala Mia. "Allahumma Inni As'aluka Khairiha...Wa Khairi...Ma...Jabaltaha...'Alaihi..." terkumat-kamit bibir Bahrin membaca doa.
Ertinya, Ya Allah, sesungguhnya aku mohon kepadaMu kebaikan dirinya dan kebaikan yang Engkau tentukan atas dirinya. Dan Aku berlindung kepadaMu dari kejelekannya dan kejelekan yang Engkau tetapkan atas dirinya.

Sememangnya, Mia memang tidak rela disentuh oleh Bahrin walaupun mereka sudah sah bergelar suami isteri. Tetapi, selepas bacaan doa itu. Tidak tahu kenapa. Kemarahannya yang membuak-buak seolah terpadam buat seketika. Tidak sangka hatinya boleh setenang ini.

Puan Maria dan Encik Adam saling tersenyum antara satu sama lain. Akhirnya, anak teruna mereka sudah sah menjadi suami orang.

"Sayang, salam mama saya..." pinta Bahrin sambil membawa Mia kearah kedua orang tuanya. Mia hanya menurut sahaja. Dia duduk dihadapan Puan Maria. Hulur tangan.

"Assalamualaikum, menantu mama. Cantiknya dia..." sapa Puan Maria sambil menyambut huluran tangan dari Mia dengan senyuman manis. Sama macam senyuman Bahrin.

"Waalaikumsalam, makcik..." jawab Mia sambil mengucup tangan ibu mertuanya perlahan. Bahrin tertawa kecil. Dia menyiku Mia dengan lembut.

"Mama...panggil mama saya...mama..." bisik Bahrin pada telinga Mia.

Mia garu kepala yang tak gatal.

"Sorry...a-aku tak biasa lagi..." bisik Mia pada telinga Bahrin pula.

Puan Maria dan Encik Adam pula dah tersengih bila nampak menantu dan anaknya saling berbisik. Comel sangat.

Mia pandang kearah Puan Maria semula.

"Waalaikumsalam, mama..." dia senyum janggal lagi. Ada beberapa juru gambar menangkap gambar kearah mereka ketika ini. Nampak bahagia. Padahal dalam hatinya tak senang duduk.

Setelah sah bergelar suami isteri, mereka di arahkan untuk menyertai sesi suap menyuap.

Khaleef, kau mungkir janjikah? Matanya masih melilau kearah tetamu yang memenuhi ruang kemah. Ramai yang datang. Tapi, kelibat keluarga Khaleef langsung tidak terlihat.

"Sayang, cari siapa?" soal Bahrin dengan senyuman manisnya. Tangan kekar itu merangkul pinggang Mia dari arah belakang. Mungkin kerana dia perasan Mia yang sudah kehilangan fokus terhadapnya.

"Tak ada siapa...saja aku pandang tetamu..." nafi Mia. Segera dia beri tumpuan pada Bahrin semula. Batang hidung Malik pun dia tak jumpa. Entah kemana mereka pergi.

"Oh...sayang...buka mulut. Sayang tahukan sekarang sesi suap menyuap? Boleh kembali fokus pada hari istimewa kita?" Sudu berisi nasi dan sedikit kuah, Bahrin menyuakan kebibir Mia. Baru sahaja Mia ingin membuka mulut. Bunyi riuhan orang kampung yang berada didalam kemah membuatkan niat Mia terhenti. Sekali juru gambar hilang fokus.

"Dengar cerita ada orang kampung kita kena tangkap basah tadi!" Telinga Mia tertangkap perbualan makcik dimeja hadapannya. Terus rasa tak sedap hati.

"Ni ha, heboh ketua kampung nikahkan mereka di masjid kampung kita!" tambah makcik lain pula.

"Kau kenal kan, anak bujang si Kamariah! Anak dia sulong dia tu yang kena tangkap basah! Nampak aje mukanya baik. Suci! Tapi perangai...mampu istighfar je lah! Bukannya kita nak memburukkan! Semoga anak-anak kita tak ikut perangai anak si Kamariah tu! Bikin malu orang kampung saja!" Terus bangkit Mia dari tempat duduknya. Habis terjatuh kebelakang kerusi yang baru dia duduki tadi. Mana tidaknya, jantung Mia hampir sahaja mahu gugur setelah mendengarkan khabar angin dari mulut para tetamu.

"Sebab itu ke dia tak hadir...?" Hatinya seakan dihiris sembilu. Tiada lain. Dia pasti dengan tanggapannya. Segera Mia mengangkat veilnya yang meleret ketanah. Tanpa berfikir panjang dia berlari anak keluar dari kemah. Tetamu yang cuba menghalang jalan segera dia menepis. Tidak mahu dia ambil peduli terhadap pandangan orang lain. Dia hanya mahu tahu kebenaran. Biar tetamu memandangnya pelik sekali pun. Lagipun, masjid di kampung ini tidak jauh dari perumahannya.

"Sayang!" Tak tertahan Bahrin dengan tindakan Mia.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience