Khaleef yang memandang langkah pantas Mia, terkedu. Figura Mia mula menghilang dari pandangannya. Dia toleh semula dinding dimana tempat Mia bersandar tadi. Hatinya gusar.
Sebelum ini, seteruk apa pun pergaduhannya bersama Mia. Mia tidak akan berlama membawa diri.
Selalunya, setiap kali Mia terasa hati. Mia memang memintanya untuk memberi ruang dan masa untuk pujuk hati sendiri. Mia tak suka Khaleef memujuknya ketika dia sedang marah. Mia bukan jenis yang suka dipujuk. Gadis itu memang tidak suka diganggu kerana setiap kemarahan Mia tidak perlu dipujuk.
Begitulah yang Khaleef lakukan selama bertahun-tahun bersahabat dengan Mia. Jika Mia marah. Beri masa. Lepastu, mereka akan berbaik sendiri. Mia lebih suka memujuk diri sendiri tanpa bantuan dari sesiapa termasuk diri Khaleef, walaupun dia kawan baik Mia.
Tapi kali ini, lain. Semakin lama Khaleef memberi Mia masa untuk tenangkan diri. Semakin itulah Mia menjauh.
Semakin Khaleef dapat rasakan tembok yang telah Mia cipta di antara mereka.
Khaleef lepaskan keluhan. Perlahan-lahan dia bersandar pada tempat yang baru Mia bersandar tadi. Walaupun Mia sudah pergi, dia masih dapat rasakan kehadiran Mia di sisinya. Mata dipejam rapat. Gusar lagi.
"Berapa lama lagi masa yang kau nak aku bagi pada kau Mia? Tiga minggu ni pun dah buat aku rasa tak keruan. Aku rindu nak dengar gelak kau, Mia. Aku rindu nak lepak sama-sama dengan kau. Tolonglah faham aku," monolog Khaleef sendiri. Dia hentuk belakang kepala pada dinding beberapa kali. Tapi tidak kuat. Cukup sekadar buat hatinya sedikit tenang. Tapi tidak. Tak tahu macam mana nak buat hati sendiri tenang bila nampak Mia semakin menjauh.
Sekarang sudah menjangkau berminggu-minggu. Tidak terpujuk lagikah hati Mia? Kalaupun kata-kata dia terlalu kasar ketika menolak lamaran Mia, kenapa Mia perlu terasa sampai begini sekali? Memang dia selalu berkasar dengan Mia. Bahkan Mia juga sudah terbiasa berkasar dengannya. Sama-sama kasar. Khaleef tak dapat nak faham apa yang membuatkan Mia berkelakuan sehingga begini sekali.
Keluhan dilepaskan lagi. Dia benar-benar rindukan senyuman Mia. Tawa dan gurau kasar darinya. Dia rindukan mulut murai Mia yang kuat berceloteh itu.
"Khaleef? Buat apa berdiri dekat sini?" Tegur Rykal yang baru sahaja keluar dari tandas. Pelik pula bila tengok Khaleef termenung sambil bersandar dekat dinding tepi tangga. Entah apa yang tengah dia fikirkan. Nak kata Khaleef tengah fikirkan masalah negara, dia bukan perdana menteri.
Khaleef hanya mampu tersenyum hambar kepada Rykal yang datang menyapa.
"Saja je berdiri dekat sini," jawab Khaleef bersilang deheman. Dia betulkan tali leher.
"Muka kusut je, dah macam baru lepas putus cinta gayanya..." sakat Rykal dengan senyuman melebar.
Khaleef kerut dahi.
"Baru kena reject dengan Mia eh? Eleh..." sakat Rykal.
"Hah?" Khaleef baru je nak toleh kearah Rykal. Laju saja Rykal beredar membawa fail-fail penting yang dia pegang pergi. Dia tahu kalau dia duduk menepek dekat situ, pastinya satu penumbuk padu dia akan dapat dari Khaleef. Baik dia beredar. Suka dia sakat Khaleef kalau pasal Mia ni.
Putus cinta apanya? Khaleef melepaskan keluhan lagi tapi yang ini lebih kuat. Ini lebih sakit dari putus cinta iaitu dia hampir putus persahabatan dengan Mia. Hampir? Atau sudah putus? Khaleef juga tidak pasti dengan status persahabatan mereka sekarang.
Dia berharap, Mia akan berlembut hati untuk berbaik dengannya semula seperti sedia kala. Sejak hari dia menolak lamaran Mia, hubungan persahabatan mereka semakin renggang. Paling teruk, dia mula rasa kehilangan Mia disisinya. Adakah salah dia? Bukankah soal perasaan tidak boleh dipaksa? Cinta? Tidak pernah wujud rasa cinta dalam hatinya terhadap Mia. Tidak akan.
Jadikan dia isteri? Entah. Dia tidak yakin tentang itu. Tak pernah terlintas dalam fikiran dia untuk memperisterikan kawan baiknya sendiri. Gadis yang selalu berkasar dengannya. Bertepuk tampar. Bergaduh mulut. Lepak sekali. Tiba-tiba jadi isteri? Laju Khaleef geleng kepala.
Kalau dah jadi suami isteri. Mestilah kena kongsi katil sekali. Kongsi katil dengan kawan baik sendiri? Mimpi ngeri!
Tapi...
Khaleef kemam bibir. Bila terkenang bila Mia bakal berkongsi selimut dengan Bahrin, buat hatinya semakin tidak keruan. Mahu apa hatinya?! Khaleef ketuk dahi sendiri. Sedar. Sedar Khaleef. Mia hanya kawan baik kau sendiri. Kenapa perlu sibuk urusan dengan siapa Mia bakal berkongsi selimut?! Kau bukan suka Mia pun.
Jadi...
Kenapa hatinya tiba-tiba sakit. Rasa macam nak pecah? Rasa macam nak meletup bila terkenangkan soal itu? Ya Allah, apa mahu hati ini? Kenapa hati ini rasa tidak keruan? Cinta? Tak mungkin. Tak. Tak akan dan tak akan pernah.
Khaleef keluh kuat. Dia duduk pada anak tangga. Longgar kan tali leher. Gila. Kenapa dia rasa macam nak gila? Dia serabut. Dia buntu. Kenapa dengan dia?
Berdegup kencang jantungnya bila terbayang Mia bakal berkongsi selimut dengan lelaki lain. Peluh mengalir dari dahi hampir saja membanjiri satu muka. Gila. Adakah gila ini kerana...
Khaleef geleng kepala lagi. Tampar pipi sendiri.
Tenang Khaleef...
Tenang...
Tak! Dia betul-betul tak boleh tenang!
Setelah meraup wajah, Khaleef bangun dan kembali melangkah perlahan. Hatinya bergelora. Mahu saja dia balik dan hempas tubuh atas katil untuk tenangkan fikiran. Tapi dia masih sedar banyak lagi tugasan yang perlu dia siapkan. Bukan sikit, bahkan berlambak-lambak fail yang bos taruh atas meja kerjanya. Kalau dia asyik leka memikirkan tentang persahabatannya dengan Mia, sampai ke sudah tugasnya tidak siap. Tak pasal-pasal kena letak jawatan pula nanti.
Tapi dia tetap gagal.
Setiap langkah yang dia ambil pasti hatinya teringatkan wajah Mia.
"Mia..."
"Ha! Angau!" terjah Najwa dari arah belakang.
Hampir saja jantung Khaleef mahu gugur. Merah padam bila dia nampak Najwa senyum nakal padanya. Sudah dia tahu. Mesti Najwa mahu kenakan dia soal Mia. Si Najwa, Rykal dan Lisya tu memang tiada kerja lain. Mengenakan orang aje hobinya.
Khaleef berdecit.
"Apa kau merepek ni? Sumbat kerepek nanti baru tahu." Langkah dipercepatkan. Malas mahu dengar usikan dari Najwa.
Tapi Najwa lebih licik. Dia mempercepatkan langkah juga biar seiring dengan langkah Khaleef.
"Eleh...angaukan Mia lah tu. Bagus lah, yang seorang angau macam orang baru lepas putus cinta. Yang seorang lagi muka pucat macam nak mati." tambah Najwa lagi dengan tawa halus. Suka dia tengok muka Khaleef yang semakin tidak keruan.
"Ha?" Langkah Khaleef terhenti.
Najwa juga menghentikan langkah.
"Apa?" terjungkit kening Najwa bila tengok muka cuak Khaleef.
"Muka Mia pucat lagi?" soal Khaleef. Dia raup wajah. Risau. Mia kata tadi dia tidak sakit. Kenapa Najwa kata muka Mia masih pucat lagi? Mia tipu aku ke? Tapi kenapa dia perlu tipu aku?
Najwa angguk kepala.
"Haah, aku dengan Lisya terserempak dengan Mia dekat dalam tandas tadi. Pucat muka dia." jawab Najwa sambil kunyah kuaci dalam mulut.
"Pucat kan? Aku dah kata dah. Mesti dia sakit punya." Khaleef berdecit. Tak percaya bila ditipu oleh Mia. Tak layakkah dia tahu tentang kesihatan Mia? Sejak bila dia tidak layak? Selama ini, kalau Mia sakit dialah orang pertama yang Mia bagitahu dan mengadu.
Najwa kerut dahi.
"Jap sekarang ni, Mia tak ada bagitahu kau yang dia sakit ke? Tak akan lah kau tak tahu kalau dia tengah sakit. Selalunya kaulah orang pertama yang tahu." soal Najwa penuh tanda tanya.
Khaleef jeda. Tak tahu nak jawab macam mana. Semestinya Mia tidak beritahu apa-apa pada dia. Mia tengah marah.
"Kau dengan Mia gaduh?" soal Najwa lagi.
Khaleef berdehem. Dia tak rasa Najwa perlu tahu tentang itu. Tiada faedahnya jika Najwa tahu. Bukannya masalah boleh selesai kalau pergaduhannya bersama Mia dihebohkan. Tapi yang lagi membuatkan kerisauannya membiak adalah kerana mengetahui bahawa Mia sedang sakit.
"Kau tahu Mia dekat mana? Dia betul-betul sakitkan Wa?!" soal Khaleef. Nampak wajahnya sangat risau. Najwa pula hampir terlepas tawa ketika melihat kerisauan Khaleef. So sweet. Nampak macam pasangan kekasih yang tengah bergaduh.
"Tak apalah, biar aku pergi cari tahu sendiri." Laju Khaleef bergegas pergi. Kalau mahu tunggu Najwa beri jawapan, sampai tahun depan dia tidak akan dapat jawapan. Tidak sabar dia mahu mengunggu jawapan dari mulut Najwa seperti siput itu.
Setelah berada dihadapan meja kerja Mia, dia menarik nafas dalam-dalam. Dia berharap bahawa Mia tidak berkeras dengannya kalini. Tanpa salam, Khaleef melangkah lebih dekat. Baru saja mahu buka mulut tiba-tiba niatnya terpadam. Dia nampak Mia sedang letak kepala atas meja. Diam. Khaleef juga nampak, tangan Mia sedang terletak atas bahagian perutnya sendiri. Tapi Mia lebih nampak menepek. Tidak bergerak walau sedikit pun.
Sedang sakitkah Mia? Gastrik lagi? Atau dia pengsan? Khaleef sedang mara ke hadapan sedikit dengan lebih berhati-hati agar tidak membuat Mia rasa terganggu. Dadanya kini terasa berdebar semacam. Perasaan bimbang mula menguasai diri. Mia memang selalu sakit. Kerana itu Khaleef mula risau jika apa-apa terjadi pada Mia.
Dia menapak lebih dekat. Namun, setelah melihat jari jemari Mia mula bergerak dan mengurut perutnya sendiri membuatkan Khaleef melepaskan nafas lega.
Mia kerut dahi. Bagaikan tahu dirinya diperhati dari arah belakang. Pantas Mia angkat kepala dan toleh kebelakang. Terpana. Wajahnya kembali memucat ketika berhadapan dengan Khaleef.
"Kau sakit? Kau sakitkan Mia?"
Laju Mia menggeleng kepala. Dia berharap lelaki itu segera mengangkat kaki dan pergi. Pergilah. Lagi cepat Khaleef pergi lagi dia tenang. Malunya sehingga kini masih belum hilang. Kenapa Khaleef masih belum faham kerana apa dia mahu mengelak?
Tolonglah. Dia sangat malu kerana penolakan Khaleef tempoh hari. Kenapa lembap sangat otak Khaleef ni berfungsi? Dia tak mahu diganggu oleh sesiapa sekarang.
"Jangan tipu aku. Muka kau pucat lagi. Tu, kenapa perut? Sakit? Gastrik? Kau tak makan tengahari lagi kan?" berdas-das soalan yang Khaleef tuju.
Mia mengeluh. Macam mana dia tahu aku gastrik? Ya, memang aku gastrik sebab tak makan tengahari dan sarapan pagi juga aku tinggal. Aku tiada selera. Nak buat macam mana. Maksud aku, Khaleef perhati gerak geri aku sejak tadi atau macam mana?
"Kalau aku sakit pun, bukan masalah kau. Sudah sudah lah buang masa kau untuk ambil tahu perihal aku," jawab Mia dingin. Dia kerut kembali bila terasa gastrik serang perutnya kembali.
Khaleef sudah dapat agak. Dia tak mahu panjang kan pergaduhan mulut. Dia keluarkan bekal makanan dari beg kerjanya. Kemudian, dia letak atas meja kerja Mia.
"Makan sekarang," arah Khaleef dengan tegas.
Mia pandang Khaleef dengan riak tak puas hati. Dah kenapa pula dengan dia ni? Paksa-paksa pula. Dia tak mahu. Tak mahulah. Adalah sebab dia tak makan. Mia tolak bekal itu ke tepi.
"Aku tak ada selera," jawab Mia datar.
Khaleef tolak bekal makanan tadi depan Mia semula.
"Makan. Ini bukan pilihan tapi arahan," arah Khaleef lagi. Benci. Dia tak suka Mia tolak pelawaannya. Bukankah ini untuk kebaikan Mia? Dia gastrik sekarang. Bukankah sepatutnya dia perlu isi perut dengan makanan. Jadi kenapa Mia terus menolak?
Mia mendongak.
"Jadi kau rasa, lepas kau tolak lamaran aku. Kau boleh paksa aku sesuka hati kau, macam tu?" soal Mia. Hatinya makin sakit bila tengok muka Khaleef. Kalau ikut kan hati mahu sahaja dia tutup wajah tu dengan baldi supaya pandangan mata mereka tidak bersua.
Khaleef tarik nafas dalam-dalam.
"Aku risaukan kau. Ini tiada kena mengena pun soal lamaran. Apa aku tak layak ke aku risaukan kau? Sejak bila kawan baik kau ni tak boleh risaukan kau ni, Mia Maisarah?" soalnya perlahan. Cuba sebaik mungkin tidak menggores hati gadis itu lagi.
Mia jeling tajam.
"Aku dah cakap, kau bukan kawan baik aku lagi. Tak faham bahasa ke?! Aduh!" Tiba-tiba perutnya diserang gastrik lagi tapi kalini dia memang tidak dapat menahan dari lepaskan erangan sakit. Dia tekan perutnya yang terasa memulas. Bukan kerana apa tapi angin.
"Mia? Kau masuk angin tu." Khaleef segera mengambil minyak angin dalam beg kerjanya. Kemudian, dia dengan gelabah mendekat kearah Mia yang sudah mengerang kesakitan. Dia nampak Mia menangis. Lagilah hatinya tak keruan. Dia harus buat apa untuk mengurangkan kesakitan Mia? Dia tak sanggup melihat Mia kesakitan. Dia boleh jadi gila kalau begini. Kerisauan dia pada Mia tiada batas.
"M-Mia, tenang okey? A-aku urutkan. Jangan menangis macam ni. Mana sakit? Perut? Biar aku urutkan." Khaleef berlutut. Hampir sahaja menyelak baju kurung Mia.
"Khaleef!!!" Mia tepis tangan Khaleef. Air matanya mengalir deras. Kalau tadi mengalir kerana sakit perut. Kali ini air matanya mengalir kerana kecewa dengan Khaleef. Disebabkan lamarannya, adakah itu bermakna Khaleef boleh menyentuh dan menyelak bajunya sesuka hati?!
Ini bukan Khaleef yang Mia kenal. Selama bertahun-tahun mereka bersahabat. Khaleef seorang yang menjaga batas. Kalau bertepuk tampar pun beralas. Sama ada tampar pada baju ataupun guna barang. Tapi kalini. Sumpah. Khaleef sudah melebih. Entah syaitan mana yang merasuki Khaleef sebentar tadi.
"So-sorry Mia...aku...aku...aku risaukan kau sangat-sangat. Sampai aku tak boleh nak berfikir dengan waras. Aku...aku rasa macam dah naik gila Mia. Apa perlu aku buat untuk bantu redakan kesakitan kau Mia? Aku sanggup. Urutkan? Biar aku tengok kan kau Mia! Aku tahu perut kau tengah sakit. Biar aku urutkan kau! Biar aku bawa kesakitan kau pergi!" Khaleef kemam bibirnya lagi. Ah! Entah apa yang otak Khaleef fikirkan ini! Dia tidak tahu kenapa otaknya tidak dapat berfungsi dengan baik bila berhadapan dengan Mia sekarang.
"Aku bukan wanita murahanlah Khal!!! Aku bukan pelacur!!! Badan aku ni tak murah yang kau boleh pegang dan tengok sesuka hati!!!" tempik Mia. Hatinya sakit. Dia benci Khaleef. Benci sangat-sangat! Mulai hari ini dia akan membenci lelaki yang bernama Khaleef Al-Zhafran yang berada di hadapannya sekarang.
Marilah bersama-sama kita menempelak Khaleef didalam ruangan komen beramai-ramai. Hahahaha. Macam biasa, author mmg rajin double update. Readers bila lagi? Hahaha. Jangan marah...
Share this novel