JAI || BAB 20

Drama Series 100844

Mia hampir terkedu. Nafasnya masih berserabut, bukan hanya kerana detik yang baru terjadi, tetapi kerana degupan jantungnya yang masih belum kembali tenang.

Dia tidak tahu sama ada perasaan ini adalah rindu, atau sekadar luka yang belum sembuh.

Khaleef juga begitu. Dia hanya berdiri di situ, seolah-olah ingin mengatakan sesuatu, tetapi ditahan di hujung lidah.

Sial.

Kenapa mereka harus terus diuji dengan pertemuan-pertemuan begini?

Mia cepat-cepat berundur. Dia enggan berada lebih lama dalam ruang kecil ini dengan lelaki yang bukan lagi miliknya.

Namun, Khaleef seperti enggan bergerak.

Dia menelan liur, menunduk sedikit, seakan mencari kekuatan.

“Perut kau dah okay?” suaranya kedengaran lebih serak daripada biasa.

Mia mengerutkan dahi, berpura-pura tidak memahami mengapa lelaki itu bertanya demikian.

Kenapa kau masih ambil peduli, Khaleef?

“Okay.” Jawapannya pendek dan hambar. Dia tak mahu memberi Khaleef sebarang ruang lagi untuk mendekati.

Namun, matanya sendiri masih lekat pada wajah lelaki itu—lelaki yang pernah menjadi tempat dia berteduh, lelaki yang kini milik orang lain.

Sebelum suasana semakin merumitkan perasaannya, suara seseorang menyentak mereka berdua.

“Zhaf, Mia? Kenapa berdua dalam tandas ni?”

Dalisyah.

Nada suaranya tidak keras, tetapi cukup untuk memberi amaran yang tajam.

Mia melihat perubahan wajah Khaleef dalam sekelip mata. Dari seseorang yang hampir lembut tadi, kini tegang dan defensif.

Tanpa sepatah kata, dia keluar dari ruang itu, mencipta jarak secepat mungkin.

“Mia terjatuh tadi. Aku tolong.”

Alasan.

Mia perasan bagaimana mata Dalisyah menyorot curiga ke arah mereka berdua.

Jangan risau, Dalisyah. Aku pun tak mahu ada kaitan dengan dia lagi.

Namun, bibirnya tetap mengukir senyuman hambar.

Dia tahu, Khaleef sedang berusaha untuk menjernihkan keadaan. Tetapi Dalisyah—isterinya—jelas tidak berpuas hati.

Mata wanita itu menikam tajam sebelum dia menarik lengan Khaleef, membawanya pergi jauh dari situ.

Dan Mia?

Dia hanya berdiri di situ, melihat lelaki yang pernah menjadi seluruh dunianya dibawa pergi oleh wanita lain.

Perlahan, dia melepaskan nafas berat.

Ya Tuhan… Sampai bila aku harus diuji begini?

Telapak tangan mencengkam dadanya yang mulai terasa sempit.

"Perut kau dah okay?" Soalan Khaleef menyerbu fikirannya, mengulang tayang peristiwa buruk yang terjadi malam semalam.

Flashback---

Rumah sudah sunyi. Yang kedengaran hanyalah bunyi angin yang menyapu dedaunan di luar. Kasih dan umi lena di sisi, tetapi Mia terjaga. Perutnya mencucuk-cucuk, memulas tanpa belas.

Mia menggeliat sedikit atas tilam. Suara kecilnya tertahan di kerongkong, cuba tahan satu lagi gelombang memulas yang menikam perut. Dia duduk, pegang perut dengan kedua-dua tangan sambil mata merenung gelap bilik. Bunyi cengkerik berselang-seli dengan detik jam di dinding. Tubuhnya berpeluh. Bantal basah sedikit.

Dia menggenggam hujung kain, berdiri perlahan-lahan. Kaki melangkah keluar bilik dalam gelap, tanpa hidupkan lampu. Sudah tiga kali ulang-alik ke tandas dekat dapur — dan perutnya masih belum reda.

Langkah dia makin perlahan bila makin dekat ke dapur. Rumah ni dah senyap sunyi. Semua orang dah tidur. Dan sebab dia yakin tiada siapa, tudung pun dia tak pakai. Rambutnya dibiarkan terurai, kusut sedikit sebab dah tidur-tidur ayam tadi.

Masuk dapur, dia terus capai tombol tandas. Sempat pegang dinding bila satu lagi rasa melilit naik. Wajahnya berkerut.

Bunyi pintu tandas dibuka dan ditutup lagi. Kali keempat. Mungkin kali kelima.

Kali ini bila keluar, dia perlahan-lahan buka lampu dapur. Silau. Tapi dia biar saja, kepala masih pening, perut masih kembung. Peti ais dibuka — dia capai air kosong dalam botol besar dan tuang ke dalam gelas.

Dahaga.

Dia teguk perlahan. Badannya disandar pada peti ais. Sekejap. Nafasnya tarik dan hembus — tenangkan degupan jantung sendiri.

Tapi saat dia berpusing ke arah meja makan, kakinya terhenti.

Wajahnya berubah. Dada berdegup kencang.

Ada seseorang.

Seorang lelaki duduk di kerusi paling hujung, menghadapnya. Mata mereka bertaut dalam diam.

Khaleef.

Mia hampir jatuh gelas dari tangan. Mujur sempat cekap. Tapi air melimpah, mengalir sedikit ke jari.

“Khaleef?” suaranya perlahan, tapi tercampur antara terkejut dan marah.

Khaleef tidak balas. Dia hanya duduk — tubuhnya nampak longlai, bahu sedikit jatuh. Tangan diletak atas meja, bukan bersilang, tapi seolah-olah sedang menahan berat badan sendiri daripada rebah.

Ada garis halus peluh di pelipisnya.

Tapi wajah dia tetap tenang.

Tak ada senyum.

Tak ada apa.

Mia pegang kepalanya. Rambut dia berterabur ke depan, cepat-cepat diselak ke belakang. Rasa malu, rasa marah, rasa keliru — semua bercampur dalam dadanya.

“Apa kau buat kat sini?” suaranya naik sedikit, lebih tegas.

Khaleef masih diam. Dia hanya tunduk sedikit, seperti baru sedar kewujudan Mia dalam ruang itu.

“Kau memang suka kan intip orang?” Mia mara setapak. “Suka tengok perempuan dalam keadaan macam ni? Kau tak berubah langsung, Khaleef!”

Wajah lelaki itu sedikit berubah, tapi dia tetap tak jawab.

Mia semakin naik angin. “Kenapa diam? Sengaja? Sengaja tunggu aku datang dapur, kan? Nak tengok aku dalam keadaan tak bertudung?”

Khaleef cuba bangun. Perlahan. Tangannya tolak meja, tapi sedikit menggigil. Dia cuba bangun dengan perlahan, tapi langkahnya berat. Bahunya terangkat sedikit, mungkin tahan sakit. Tapi dia berlagak seperti tiada apa.

Mia halang.

“Aku tak habis cakap lagi!” Nafas dia dah tercungap. “Aku betul-betul ingat, lepas kau kahwin, lepas kau dapat Dalisyah tu… kau berubah. Tapi tak. Kau masih lelaki yang sama. Miang. Kotor. Gatal. Suka ambil kesempatan.”

Khaleef hanya tunduk sedikit. Tapi kali ini matanya terangkat semula — menatap Mia tanpa sebutir pun kata.

Dia tak minta maaf. Tapi dia juga tak membela diri.

Mia geram. “Kenapa kau diam?! Sebab betul lah tu, kan?!”

Dia tampar Khaleef. Laju. Pipi lelaki itu teralih sedikit. Bunyi tamparan bergema sekejap dalam ruang yang sunyi.

Khaleef tak angkat tangan. Tak undur. Tak balas.

Mia tengok wajah tu. Ada merah. Tapi tak ada reaksi. Wajah itu diam. Tapi mata itu... masih tenang. Terlalu tenang.

Dia berpusing dan pergi. Langkah laju, penuh dengan rasa kecewa yang tak pernah surut.

Pintu dapur berbunyi perlahan bila ditutup.

Sunyi.

Khaleef kembali duduk. Perlahan, seperti badannya sudah kehilangan tenaga.

Tangannya menggigil.

Dia capai gelas air, teguk sedikit. Nafasnya pendek-pendek. Dari poket hoodie lusuhnya, dia keluarkan satu botol kecil. Hanya satu pil ditarik keluar, lalu ditelan.

Dia pejam mata sekejap.

Tubuhnya masih lemah. Dia datang ke dapur bukan sebab Mia. Tapi sebab dia sendiri hampir pitam dalam bilik. Dia perlukan air, dan dia perlukan ubat.

Dia tak sangka akan jumpa Mia. Tak sangka akan tengok dia dalam keadaan begitu.

Dan bila dia nampak, dia tetap tak lari. Bukan sebab dia nak tengok. Tapi sebab dia... tak ada tenaga pun untuk bangun.

Tapi biarlah Mia fikir apa dia nak fikir.

Biarlah dia terus dibenci.

Khaleef hanya pegang dada dia perlahan. Nafasnya masih tak stabil.

Dan dalam diam... satu titik air jatuh dari pelipis ke pipi.

Bukan air mata.

Hanya peluh.

Atau mungkin...

-End Flashback-

Mia melangkah ke dalam bilik tidur ibu Khaleef, tangan menggenggam erat tuala. Dia lap muka sekuat mungkin, berharap rasa geli dan jijiknya hilang bersama usapan itu.

Dia benci perasaan yang berputar-putar dalam dada—perasaan yang lebih kuat daripada marah.

Benci pada Khaleef.

Benci pada lelaki yang walaupun sudah tiada hak untuknya, masih punya kuasa mengusik segala ruang dalam hatinya.

Dia tidak tahu apa yang berlaku pada Khaleef sejak pertemuan terakhir mereka. Mia hanya tahu satu perkara: Khaleef tetap sama seperti dulu — penipu dan miang.

Dia menelan rasa itu, cuba menolak jauh-jauh bayang lelaki itu yang masih melekat dalam fikirannya.

“Tolong, jauhkan aku dari kau,” bisiknya dalam hati, namun suara itu terlalu lemah untuk menandingi bisikan perasaan yang lain.

•••

Suara air masih kedengaran di celah dinding tandas ketika Dalisyah bersandar pada dinding luar. Tangannya silang di dada, wajahnya kosong tapi matanya tak lepas dari pintu yang masih terbuka sedikit.

Beberapa saat kemudian, Khaleef muncul dari balik daun pintu—tuala kecil tersangkut di bahunya, rambut masih lembap, wajah masih redup. Dia perasan renungan Dalisyah, tapi dia tak berkata apa-apa.

“Apa yang Zhaf dengan Mia buat dalam tandas?” soal Dalisyah tiba-tiba. Suaranya tenang. “Jujur je. Isya takkan marah.”

Khaleef berhenti. Dia pandang Dalisyah untuk sejenak—mata yang tak menuduh, tapi menuntut penjelasan.

“Aku tolong Mia,” jawabnya perlahan. “Dia jatuh.”

Itu saja. Tanpa penjelasan panjang, tanpa upaya untuk membela diri. Kemudian dia mula melangkah keluar dari lorong tandas, tidak menoleh ke belakang.

Dalisyah ikut.

“Zhaf…” Dia cuba kejar. “Isya tak habis cakap lagi.”

Langkah mereka melewati dapur yang riuh dengan suara makcik-makcik merewang. Aroma kari ayam dan bawang tumis menyerap ke dinding kayu rumah. Dalisyah sempat mengukir senyum kecil kepada salah seorang makcik yang tersenyum padanya, tapi senyuman itu cepat pudar semula. Dia kembali fokus mengejar langkah Khaleef yang makin jauh ke ruang rumah dalam.

“Cakap apa, Isya?” Khaleef bersuara tanpa menoleh. “Aku dah kata tak ada apa yang jadi.”

Pintu bilik ditolak perlahan. Khaleef masuk. Tapi dia tak sempat nak tutup, sebab Dalisyah sudah menyusul. Langkahnya cepat, dan tangan dia pantas tarik daun pintu—menolak dan menutup perlahan di belakangnya. Kunci tak diputar. Tapi sunyi menguasai.

Dia berdiri di depan pintu. Tak berganjak.

Dalisyah berdiri di depan pintu, dada naik turun menahan debar dan sakit yang tak bernama. Tangannya mengepal di sisi, tapi wajahnya tak mampu menyorokkan riak terluka yang cuba dia simpan sejak tadi.

Khaleef sedang berdiri di tepi katil. Tuala yang tergantung di bahu sudah separuh dilurut turun. Tubuhnya masih berbalut peluh yang belum kering sepenuhnya. Tapi bila Dalisyah tak bersuara, dia berpaling sedikit.

Apa yang dia nampak adalah mata yang berair dan wajah yang penuh persoalan.

“Zhaf…” suara Dalisyah akhirnya pecah. Perlahan. Tapi cukup untuk menghentikan langkah lelaki itu.

“Zhaf ada perasaan dekat Mia, ya?”

Khaleef menoleh sepenuhnya kali ini. Dahi berkerut. Tuala di bahu dilurut dan dilempar ke tepi meja sebelum dia bersuara, nada suaranya seperti menahan sabar.

“Mia tu kawan aku je. Apa kau merepek ni, Isya?”

Tapi Dalisyah tak puas. Dia melangkah perlahan ke arah Khaleef, berdiri hanya beberapa langkah dari tubuh lelaki itu. Wajahnya serius, bergetar menahan emosi.

“Takkan tak ada perasaan langsung? Isya nampak macam mana Zhaf tadi dalam tandas tu… Zhaf raih Mia, kan? Siap peluk dia lagi. Zhaf... apa yang Isya takde dekat Mia? Tak cukup ke Isya ni… dekat mata Zhaf?”

Khaleef mendengus kecil. Dia menggeleng sambil memalingkan wajah, seolah tak mahu layan kata-kata itu.

“Mia tu dah ada suami, Isya. Aku takkan buat benda tak elok dekat isteri orang.”

Mata Dalisyah kini basah, tapi dia tetap tegak. “Banyak je suami yang bercinta dengan isteri orang, Zhaf. Dunia sekarang tak ada beza dah."

Dalisyah tarik nafas dalam. Cuba tahan tangisan, "Zhaf nampak dia jatuh, Zhaf terus peluk dia. Isya jatuh berapa kali Zhaf tak pernah peduli pun...”

“Cukup, Isya.” Nada Khaleef berubah tajam. Dia berpaling, mendekati rak baju. Tangannya terhenti sejenak.

“Kita kahwin sebab kita kena tangkap basah. Dengan cara yang paling memalukan, paling hina. Bukan sebab cinta.” Suaranya tegas. Berat. Penuh luka yang belum sembuh.

Jantung Dalisyah seolah terhempas ke lantai.

“Jadi jangan banyak persoalkan selagi aku bersimpati untuk jaga hati kau. Hargai usaha aku. Dan jaga mulut kau, Isya.”

Dalisyah diam. Tapi matanya tak mampu menahan air. Genangannya pecah dan luruh perlahan ke pipi. Nafasnya tersekat.

Khaleef dah tak sanggup tengok. Dia capai baju T-shirt kelabu, sarung tanpa pandang belakang. Langkahnya laju ke pintu.

Pintu dihempas.Bunyi dentuman buat dada Dalisyah bergetar. Dia terduduk di sisi katil. Air matanya terus jatuh tanpa bunyi. Tapi dalam diam, hatinya menjerit, terluka oleh kata yang akhirnya terkeluar dari mulut lelaki yang dia cuba percaya. Lelaki yang dia harap... akan pandang dia lebih dari sekadar simpati.

Share this novel

insan biasa
2025-06-03 09:24:13 

Bila nak ada sambungan lagi ya?


NovelPlus Premium

The best ads free experience