JAI || BAB 02

Drama Series 96555

Setelah sampai di rumah, ingatkan dia dapatlah tenangkan fikiran setelah berperang mulut dan hati dengan Khaleef sebentar tadi. Ternyata tidak. Wajah Mia bertukar cemberut setelah melihat kehadiran Bahrin di dalam rumahnya. Mia nampak Bahrin sedang berborak rancak dengan abang Malik disofa ruang tamu. Mia menjeling tajam. Menyampah pun ada. Sakit hati? Lagi lah. Nak tunjuk baiklah tu depan abang. Ceh!

Kalau sebelum ini, dia tak pernah ambil kisah pun jika Malik membawa Bahrin melepak dirumah mereka sampai ke malam. Tapi selepas sahaja Malik mahu satukan dia dengan Bahrin. Terus sahaja dia rasa mahu tutup pintu rumah dan melarang Bahrin dari masuk ke sini.

Sedih dan sakit hati bercampur menjadi satu. Sedih dengan kehendak abang Malik yang melampaui batas itu. Malik tidak pernah berkeras dengannya. Tetapi selepas sahaja Bahrin menyatakan hasratnya kepada Malik, perangai Malik terus berubah. Abang Malik seperti tidak memahami dirinya lagi.

Kalaupun Malik mahu satukan dia dengan Bahrin kerana sakitnya yang semakin memburuk, Mia tetap rasa alasan itu tidak munasabah. Dia boleh sahaja hidup sendiri. Berdiri atas kaki sendiri. Lagipun dia sudah punya kerjaya. Ada duit sendiri. Dia tidak perlukan lelaki ataupun suami.

Ini semua sebab abang Malik. Jika dia tidak memaksanya mencari calon sesegera mungkin, dia tidak akan bertelagah dengan Khaleef sebegini rupa.

Mahu tidak mahu, terpaksa lah dia bertembung dengan Bahrin dan abang Malik diruang tamu.

"Baru balik?" soal Malik.

Dah agak. Langkah Mia terhenti, tetapi tidak pula dia membuang pandangan kearah Bahrin walaupun dia sudah mengetahui bahawa Malik ada di sisi Bahrin.

Sejak akhir-akhir ini, hubungan Mia dengan Malik semakin renggang. Ada sahaja senda gurau dan permulaan perbualan yang ingin Bahrin bangkitkan pada Mia, tapi Mia tetap tidak mahu membalas. Malas hendak melayan! Tapi semakin Mia cuba mengelak, semakin itulah Malik cuba satukan perbualan antara mereka berdua.

Kalaupun dia tersenyum atau tertawa hanya sekadar berpura. Sekadar hanya ingin menjaga hati abang kesayangannya yang sudah bersusah payah menjaganya seorang diri.

Ya, memang dia sangat berterima kasih dan menyayangi Malik setulus hati. Walaupun setelah ibu dan ayah bercerai dan membuang kami berdua dirumah anak yatim. Malik bersusah payah berhenti belajar semata-mata untuk menyara hidup kami berdua dengan duitnya sendiri. Sekarang, Mia rasa terhutang budi. Sebab itu juga lah, dia tidak sampai hati mahu melukakan hati Malik dengan penolakannya terhadap Bahrin.

Dia boleh bersumpah, kasih sayang Malik terhadapnya tidak pernah terasa kurang. Langsung dan tidak pernah kurang. Tetapi baru-baru ini, sejak Malik mula sibuk menjodohkannya bersama Bahrin. Mia mula merasakan kebahagiaan itu semakin memudar.

Mia mengeluh. Dia mahu Malik faham bahawa dia sudah besar dan ada kerjaya sendiri. Dia boleh berdikari. Tak perlu pasangan disamping dia. Tapi dia tahu, Malik tetap berkeras dengan permintaannya.

"Ya. Baru balik," jawab aku acuh tak acuh.

"Kenapa abang call adik tak angkat? Adik pergi mana sejak subuh tadi?" soal Malik dengan nada tegas tapi masih kedengaran prihatin. Di matanya sarat dengan kasih buat adik kesayangannya itu.

"Jumpa Khaleef." Tiga patah sahaja jawapan dari mulut Mia. Mendengarkan nama Khaleef, laju sahaja Bahrin memandang Mia. Kenapa perlu jumpa Khaleef? Cemburu menguasai diri.

Malik angguk kepala. Jumpa kawan baik dia rupanya. Tak perlulah dia risau.

"Oh, ingatkan kemana tadi. Em, Khal macam mana? Dia sihat? Lama jugak abang tak tanya khabar tentang dia." soal Malik lagi. Sejujurnya dia rindu mahu berbual panjang dengan Mia. Di juga merasakan ketegangan diantara mereka berdua.

"Sihat je." Masih sepatah dua kata juga jawapan yang dimuntahkan dari bibir Mia. Dalam hatinya sangat berharap supaya Malik berhenti bertanya. Dia tidak mahu kerana sebal dan kecewa dengan Khaleef. Dia takut terlepas kata pada Malik. Dia tidak mahu hati Malik terluka.

"Adik dah makan pagi?"

Mia menggeleng lesu. Dia rasa seperti hendak menangis di hadapan Malik di waktu ini. Tetapi dia tahan supaya tidak gugur.

"Adik tak lapar dan tak ada selera nak makan." Dia masih menunggu kalau-kalau Malik mahu menambah kata, namun hanya sepi yang datang menyapa. Masing-masing bagai hilang kata. Tidak ada idea untuk meneruskan jalan cerita. Kemesraan yang ada bagai diragut sekelip mata.

"Adik naik bilik dulu..." Dia kembali meneruskan langkah.

"Adik."

Langkah Mia mati tiba-tiba. Namun dia tetap tidak berpaling dek kerana air matanya yang sudah mencurah.

"Abang sayang adik, sangat-sangat sayangkan adik sepenuh jiwa dan raga abang. Abang tak tipu..."

Air mata Mia semakin lebat gugur di pipi dek kerana mendengar kalimah itu. Sedihnya tidak dapat di gambarkan dengan perkataan atau perbuatan. Dia tahu Malik menyayangi dia melebihi segalanya. Tapi dia tak boleh terima bila Malik cuba nak jodohkan dia dengan Bahrin. Mia langsung tiada perasaan pada dia. Sikit pun tiada.

"Adik, adik tahu tu. Abang jangan lupa makan ubat." Mia terus naik anak tangga meninggalkan ruang tamu. Tiba di hadapan daun pintu bilik, langkah Mia terhenti lagi. Matanya memandang kearah sekeliling bilik yang serba biru dan kelihatan kemas. Ya, air matanya masih mengalir dengan deras seakan tiada tanda untuk berhenti.

Bila ingat semula tika Khaleef tidak mahu berkompromi dengannya membuatkan hatinya makin sakit. Dia cuma meminta perkara yang mudah sahaja. Jadikan dia sebagai isteri. Tak lebih pun. Lepastu nak cerai, cerailah! Susah benar nak penuhi permintaannya. Bukan suruh kahwin sampai dapat anak betul-betul pun. Hanya isteri pada nama di atas sekeping kertas. Dia rela ditinggalkan selepas itu.

Keterlaluan sangat kah permintaan dia terhadap Khaleef? Tetapi diantara Khaleef yang baik budi pekerti nak dibezakan dengan Bahrin yang pandangannya selalu meleret dari atas sehingga kebawah tubuh dia dengan pandangan yang menggatal, dia lebih rela memilih Khaleef. Sekurang-kurangnya selepas kahwin, dia tahu Khaleef tidak akan sewenang-wenangnya bertindak kejam terhadap dirinya. Dia kenal hati budi Khaleef macam mana.

Bahrin? Belum ada apa-apa ikatan pun sudah pandang lain macam. Apatah kalau sudah kahwin nanti. Seriau! Tak tahulah apa yang akan jadi pada dia nanti. Silap-silap hati bulan, terus bunting pelamin.

Atau adakah bagi Khaleef bila kita sudah bergelar sahabat, gelaran lain tidak mungkin akan berlaku dalam dirinya. Huh, kalau aku ada cara lain, aku tak akan pilih jalan yang inilah!

Dia terus menapak dengan langkah yang longlai. Kemudian merebahkan tubuhnya pada permukaan katil yang sungguh empuk itu. Matanya dipejam rapat serapat-rapatnya. Dalam diam berharap lenanya akan tiba, membawa dia kepada mimpi yang indah. Walau sebentar lagi matahari akan memunculkan diri. Dia hanya mahu lelap supaya dapat menghilangkan rasa sedih dan kecewa yang terpahat didalam hati.

Sungguh, ketika ini dia mahu melupakan permintaan dari Malik dan muka Bahrin yang acah-acah suci di hadapan Malik itu! Dan selain itu, dia mahu melupakan segala bait-bait Khaleef yang telah berjaya mengguris hati nuraninya.

Entah di mana hilangnya keperihatinan Khaleef terhadapnya? Dia pun malas hendak ambil tahu. Kenyataannya, Khaleef yang menolaknya mentah-mentah!

Malu? Jangan ditanya, betapa tebalnya wajah Mia ketika mengajak Khakeef untuk berkahwin. Hampir sahaja dia mahu melarikan diri kerana tidak mampu mengeluarkan patah demi patah perkataan yang dapat menjatuhkan air mukanya sendiri.

Tapi dipaksa juga hati dan bibirnya. Sudahnya, malu dia menjadi berlipat kali ganda apabila Khaleef tidak sudi menolongnya. Lebih teruk bila lelaki itu memandangnya hina seperti wanita yang tidak punya maruah dan gila! Bahasanya cukup kasar. Mia langsung tidak boleh menerima.

Selepas ini dia tidak tahu harus bagaimana untuk berdepan dengan Khaleef seperti sedia kala. Mengenangkan dia dan Khaleef di hadapan rumahnya pagi tadi pun sudah membuatkan dirinya menjadi tidak menentu. Marah. Kecewa. Dia rasa mahu meraung dengan kuat sekarang.

Sehari dua mungkin dia boleh mengelak lagi dan mencari pelbagai alasan untuk tidak bertemu dengan Khaleef. Kalau sudah sampai sebulan? Lima bulan? Bolehkah dia berlagak seperti tidak ada apa-apa yang pernah berlaku? Bolehkah dia terus mengelak dari Khaleef? Argh! Tidak mungkin!

Berhenti kerja! Ya, mungkin dengan jalan berhenti kerja. Dia tak perlu berhadapan dengan Khaleef lagi. Asalkan dia tak perlu bertatapan mata dengannya lagi. Tak gitu? Tapi takkanlah gara-gara malu lamarannya di tolak oleh Khaleef, dia perlu menggadaikan kerjaya? Air liurnya ditelan.

Tapi bila tepuk dada tanya selera, memang malunya menggunung tinggi! Bukan setakat gunung Kinabalu. Tapi ini level Gunung Everest! Seratus tahun lagi pun, dia tidak pasti sama ada dapat menghilangkan rasa malu ini atau tidak.

"Adik..."

Mata yang terpejam terus di buka dengan cepat. Namun, tidak ada suara yang mampu keluar dari kerongkongnya.

Kenapa saat mencari pasangan hidup dia langsung tidak diberi kebebasan? Selama ini, Malik tak pernah campur tangan dalam urusan peribadinya. Asalkan tidak melanggar syariat agama.

"Adik, abang nak keluar sekejap. Makanan ada atas meja, jangan lupa makan tau? Nanti perut tu masuk angin. Abang tak suka adik kena serang gastrik lagi."

Tidak semena-mena air matanya jatuh lagi. Terharu dengan sikap ambil berat Malik terhadap dirinya. Ya, walaupun Malik hanya seorang abang. Tapi dia dapat rasakan bahawa Maliklah ayah dan Maliklah ibunya. Cara Malik mengambil berat. Malik memang tidak pernah culas menjalankan tanggungjawab sebagai seorang abang.

Malik selalu ingin yang terbaik untuknya. Tapi, adakah Bahrin itu betul-betul baik untuk dirinya? Kalau Bahrin tidak baik, kenapa Malik sanggup menjadikan Bahrin sebagai suami Mia? Tapi pandangannya. Urgh! Sangat menggatal! Mia tak boleh nak terima!

•••

Khaleef masih lagi terpaku di tempat yang sama. Dihadapan rumahnya, bersebelahan dengan pondok usang yang menjadi tempat dia dan Mia bermain sejak kecil.

Fikirannya bercelaru.

"Along, kenapa tercegat dekat sini. Umi panggil masuk, sarapan sekali." kata Kasih yang sedang mengangkat jemuran di tepi rumah.

Khaleef tersedar dari lamunan. Dia raup muka seketika. Fikirannya tidak henti memikirkan tentang peristiwa tadi.

"Cakap dengan umi, makan dulu. Along nak ambil angin sekejap. Pusing satu kampung." jawab Khaleef. Perlahan-lahan dia berjalan menuju ke arah motornya yang tersidai elok di bawah rumah. Biasalah, rumah orang kampung memang tinggi-tinggi.

"Eik, ambil angin? Along kenapa? Ada masalah eh?" soal Kasih lagi. Tangannya tidak berhenti mengangkat jemuran dan memasukkannya ke dalam bakul. Bukan dia tidak kenal perangai Khaleef. Kalau abangnya yang seorang ini tidak dalam mood yang baik, pasti dia akan keluar jalan-jalan satu kampung untuk tenangkan fikiran.

"Tak ada apalah angah."

Kasih berdecit.

"Ceh, gaduh dengan Kak Mia lah tu. Ha, jangan gaduh lama-lama. Kasih nak kak Mia jadi kakak ipar angah tau. Angah tak terima orang lain. Kalau along gaduh lama-lama takut impian angah nak dapat anak buah secomel kak Mia punah aje..." usik Kasih sambil terkekeh-kekeh. Suka benar mengenakan Along nya.

Khaleef mengeluh perlahan. Sudahlah dia tengah rasa serba salah lepas bergaduh dengan Mia, tambah pula adiknya memberi amaran bahawa dia mahu Mia menjadi kakak iparnya.

"Merepek apa angah ni?" soal Khaleef dengan muka acuh tak acuh.

"Apa? Mana ada merepek. Kak Mia tu, dah lah baik, cantik, kelurga kita pun dah kenal hati budi kak Mia tu tau. Umi tu pun dah berkenan dengan perangai kak Mia." membebel Kasih sambil menyandarkan bakul pada pinggang. Kemudian, dia terlenggang-lenggok berjalan kearah pintu rumah.

"Along anggap dia kawan jelah. Tak lebih. Lagipun, along mana ada hati dengan Mia tu pun..."

Langkah Kasih terhenti.

"Ingat kawan tak sesuai jadi isteri ke? Kalau kawan buat jadi isteri lagi best tau. Along je tak pernah nampak. Buta gamaknya." tambah Kasih lagi sambil terlenggang-lenggok masuk ke dalam rumah.

"Angah! Cakapkan dekat umi, ya?! Along sarapan dekat warung Pak Haji tepi sawah! Along pergi dulu," tambahnya lagi sambil menghidupkan enjin motor. Pulas. Bergegas dia pergi jauh dari halaman rumah.

Akan diupload next chapter sekiranya readers serbu ruang komen dan kata mahu teruskan pembacaan

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience