Bab 17 : Rindu

Romance Series 95624

Hati aku tak tenang. Entahlah. Semenjak pertemuan Encik Ian dengan abi siang tadi, aku rasa ada sesuatu yang tak kena. Apa yang membuatkan abi berubah dingin dengan Encik Ian sedangkan abi menyambut baik kedatangan Encik Ian. Aku mengertap bibir dengan dahi berkerut seribu. Tangan kubawa rehat di dahi sambil memutarkan kembali kejadian siang tadi.

"Jemput minum encik, abi," pelawaku sambil meletakkan dua biji cawan berisi kopi O di meja kopi. Aku pandang Encik Ian dan abi sekilas.

Encik Ian melemparkan senyuman manisnya manakala abi pula tidak beriak. Anak mata abi hanya melekat pada Encik Ian. Encik Ian mengangguk, dia menyisip kopi O perlahan.

"Emm... sedap. Sedapnya luar biasa dari biasa." Encik Ian memuji. Dia menayangkan lagi senyuman bergulanya.

Aku tergamam. 

'Eh, dia puji aku depan abi?' Pipiku meyerbu merah. Lambat-lambat aku mengerling abi yang masih diam, tidak bersuara. Macam yang aku agak, abi masih merenung tajam lelaki itu. Dan aku tahu abi tidak selesa dengan pujian Encik Ian itu. 

"Err... biasa-biasa je encik. Kopi O, sesiapa pun boleh buat." Aku membalas tenang biarpun aku mula rasa tidak tenang. Kenapa terasa ada angin sejuk sedang bertebaran di sekelilingku?

"Sesiapa pun boleh buat tapi tak kan sama dengan air tangan awak. Saya suka dan kalau boleh setiap hari dan masa dalam hidup saya, saya nak awak yang sediakan untuk saya." 

Aku mengerut kening. Apa yang dia merepek ni? Kenapa macam ada maksud lain? Aku cari wajah abi lagi. Kali ini wajah itu ada perubahan. Abi mengertap rahangnya. Aku tergemap.

"Hah? Apa maksud encik?"

Encik Ian hanya meleretkan senyumannya. Dia tidak membalas sebaliknya terus menyisip kopi itu sehingga habis dan kembalikan cawan kosong ke piring. Encik Ian mengerling jam tangannya.

"Saya rasa saya patut minta diri dulu. Terima kasih pak cik kerana sudi berkenalan dengan saya dan terima kasih Aisha untuk airnya." Perlahan dia bangun dari kerusi dan bersalam dengan abi. 

Abi menggenggam erat tangan Encik Ian dan mereka saling bertatapan seketika sebelum abi melepaskan tangan itu. Hatiku makin tidak selesa. Berdebar lain macam.

"Saya minta diri dulu." 

Lihat Encik Ian bergerak ke pintu, aku turut bangun dan mengekorinya ke kereta. Hujan sudah berhenti namun masih ada tersisa air jatuh dari hujung atap. Encik Ian membuka pintu keretanya sebelum berpaling padaku. Dia merenungku agak lama sehinggakan aku terpaksa menekur untuk patahkan renungan itu. Zina mata!

"Rindu," serunya perlahan.

Aku mengangkat semula wajahku.

"Terima kasih," ujarnya sepatah. 

"Untuk?" ajuku yang tidak faham dengan ucapan itu.

 "Sebab masih bertahan."

Aku terkebil, tak faham. Tak sempat aku bertanya, dia sudah masuk ke dalam keretanya. 

"Saya balik dulu. Nanti kirim salam dekat abi awak."

Aku angguk.

"Encik Yan, terima kasih hantarkan saya. Maaf dah susahkan encik."

Dia senyum dulu.

"Tak susahkan kalau melibatkan awak. Lebih-lebih lagi dengan apa yang berlaku hari ni. Terima kasih dan saya happy sangat-sangat."

Aku hanya mengangguk.

Tak lama kemudian, kereta Encik Ian bergerak perlahan meninggalkan perkarangan rumahku. Aku memerhati sehingga kelibat kereta itu hilang di sebalik selekoh sana.

Aku masuk ke dalam rumah. Abi masih duduk di tempat yang sama dengan kopi O langsung tidak diusik.

"Abi..."

Abi mengangkat wajahnya. Tajam sorotannya.

"Siapa dia?" Soal abi dengan sedikit keras

Aku mengerut dahi. Encik Ian maksud abi? Bukankah aku pernah cerita tentang kewujudan lelaki itu pada abi atau abi terlupa?

"Encik Yan, maksud abi?" Aku bertanya juga, takut aku salah faham dengan soalan abi.

Abi angguk. Sorotannya kian tajam menikamku. Aku kemam bibir sebelum menjawab.

"Dia boss Aisha. Engineer Environmental. Aisha pernah cerita sebelum ni kan?"

Abi mendengus. Rahangnya sekali lagi dikertap. Abi menggenggam kemas armrest kerusi.

"Maksud abi, siapa dia dalam hati Aisha? Aisha suka dia?"

Aku tergemap. Abi menanti jawapanku dengan panahan kerasnya. Aku takut lihat abi begini kerana selama ini abi seorang ayah yang tenang. 

"Errr... Aisha..."

"Abi tak suka dia dan Aisha jangan jumpa dia lagi. Kalau boleh, berhenti kerja dekat situ." Usai berkata keras begitu, abi bingkas bangun dan berlalu ke biliknya.

Kali ini aku terngadah. Kenapa dengan abi?

"Abi, kenapa?" Aku mengekori abi.

"Aisha tak perlu tahu dan abi berhak buat keputusan atas Aisha." Abi mengatup pintu biliknya, meninggalkan aku yang termangu sendiri di luar.

*                *             *

"Kenapa dengan abi?" Aku masih mengulang soalan itu. Sungguh aku tidak faham dengan abi yang tiba-tiba berubah dingin.

Apa yang berlaku masa aku di dapur? Ya, aku ingat. Segalanya berubah selepas aku ke dapur. Apa yang abi dan Encik Ian bualkan? Hish sakit pulak kepala aku fikirkan pasal ni. 

Bip! Aku tersentak dengar bunyi notifikasi telefon. Telefon di sebelah bantal, aku capai. Ada satu pesanan diterima oleh satu nombor yang tak dikenali.

_Assalamualaikum Aisha._ Unkwon.

Aku tidak membalas. Satu perangai aku, aku tidak akan membalas mesej daripada mana-mana nombor yang tidak dikenali. Takut scammer. Tak lama selepas itu, telefonku berdering pula. Nombor yang sama sedang menghubungiku dan aku abaikan. 

Aku ingat bila aku abaikan, pemilik nombor itu akan berputus asa tetapi sangkaanku meleset. Berkali-kali telefonku berdering dan akhirnya aku memilih untuk menjawab panggilannya.

"Hello, Aisha?"  Seseorang di hujung sana menyapaku.

Dengar saja suara itu, aku mengerut dahi. Siapa ni?

"Ini betul Aisha kan? Rindu Aisha Medina?" 

"Iya saya, Aisha. Boleh saya tahu, ini siapa ya?"

Dengar si pemanggil menghembus nafas lega.

"Alhamdulillah lega saya. Aisha ni saya, Wasif. Awak ingat saya lagi tak?"

Mataku meluas. 

"Wasif?" Aku berharap sangat telingaku yang tersilap dengar. Tak semena-mena dadaku berdebar. Teringatkan isu merisik yang dikabarkan oleh mak long minggu lepas. 

"Ya, ni saya. Uzzam Wasif. Awak sihat Aisha?"

Mataku terpejam. Aku berdecit. Ya Allah, kenapa dengan semua ni? Siang tadi Encik Ian dan sekarang Wasif pula?

"Saya sihat, alhamdulillah. Boleh saya tahu kenapa awak call saya, Wasif?" suaraku bertukar sedikit keras sebagai tanda aku tidak senang dengannya. Aku harap dia faham yang aku tidak selesa.

"Emm... sebenarnya saya ada hal nak bincang dengan awak."

"Malam-malam macam ni Wasif?" tanyaku dengan sarkastik.

"Tak, bukan sekarang. Tapi... boleh kita jumpa?"

"Jumpa untuk apa Wasif? Apa yang perlu dibincangkan tu? Saya rasa antara kita tak pernah ada hal yang perlu dibincangkan," tekanku tanpa menghiraukan perasaannya. Telefon aku genggam kejap menahan gigilan yang tiba-tiba muncul. Aku cuba menahan amarahku dari meletus walaupun parut yang sudah beransur sembuh terasa kembali ditoreh. 

Kedengaran Wasif mengeluh perlahan.

"Aisha..." serunya dan kembali diam untuk beberapa ketika.

"Saya minta maaf." Sambungnya. 

Dan tanpa aku sedar, ada titisan jernih menitis. Akhirnya, ungkapan yang aku tunggu selama ini muncul jua. Dada yang sejak tadi mengetat terasa kosong. Betapa bermakna sepotong kata maaf itu pada aku.

"Saya tahu saya banyak salah dengan awak. Saya betul-betul minta maaf Aisha. Dan sebagai bayaran atas kesalahan saya, saya harap sangat awak boleh bagi saya satu lagi peluang untuk saya baiki semuanya. Saya nak jumpa dan berbincang dengan awak. Boleh Aisha?"

Aku terdiam. Air mata aku kesat. Bibirku meleret hambar.

"Wasif... semuanya dah terlambat." Aku tamatkan panggilannya. 

Aku jatuhkan telefon aku ke sisi lalu lengan dibawa menutup mata. Nafas aku atur perlahan. Sungguh aku penat hari ni. Penat dengan gosip yang menular di sekitar rakan sekerjaku. Penat juga dengan perubahan sikap abi terhadap Encik Ian. Dan belum pun semuanya reda, timbul Wasif.

Sedang aku menenangkan diri, sekali lagi telefonku berbunyi. Dengan malas aku mengagau telefon di sebelah. Nama Wasif lagi. Aku dah agak, dia akan terus menghubungi aku. Itulah Wasif yang aku kenali dari 5 tahun lepas. Aku melepas keluh dan mencampakkan telefon ke tengah katil.

Aku bangun dari perbaringan dan mengikat rambut panjangku dengan malas untuk ke dapur. Aku perlukan air sejuk untuk sejukkan hati sendiri.

Keluar saja, aku lihat pintu bilik abi sedikit terbuka dengan cahaya lampu masih terang menyala. Itu tandanya abi masih belum tidur. Aku melencong ke bilik abi. Kelihatan abi sedang termenung di jendela kayu biliknya. Aku menolak sedikit pintu dan mengetuknya perlahan sebagai isyarat kehadiranku.

"Abi tak tidur lagi?" tegurku. 

Abi berpaling, dia menggeleng. Matanya redup menatapku. Abi tampak sedikit tenang, tidak setegang siang tadi.

"Abi ada masalah?" 

Abi mengeluh, dia mentup jendela kayu dan menapak ke katil. Aku masih menanti jawapan abi. Aku tahu ada sesuatu sedang mengganggu fikirannya saat ini. 

"Abi teringatkan umi."

Dan ya, abi akan terus jadikan 'teringatkan umi' sebagai alasan untuk menutup dari terus diasak olehku. Aku melepaskan tangan dari tombol pintu dan melangkah ke arah abi yang sedang duduk di birai katil bujangnya.

"Aisha tahu abi ada fikirkan sesuatu dan mungkin juga ada kaitan dengan Encik Yan. Aisha tak tahu apa dah jadi antara abi dengan Encik Yan tadi, tapi Aisha harap keputusan abi untuk Aisha berhenti kerja dekat situ, abi boleh consider lagi."

Abi hanya pasang telinga memberi ruang untukku menyambung.

"Niat Aisha kerja dekat situ bukan untuk suka-suka abi. Aisha ikhlas kerja dekat situ sebab Aisha fikir dengan kerja dekat situlah Aisha dekat dengan abi dan Aisha boleh jaga abi. Aisha terima nasihat abi dulu. Abi nak Aisha cukupkan tabungan Aisha sebelum Aisha dapat kerja tetap nanti." Aku jeda sekejap. Tangan abi aku ambil dan genggamnya. 

"Kalau suatu hari nanti, Aisha dah dapat kerja tetap tapi keadaan abi masih tak berubah... Aisha rasa, Aisha akan pilih abi. Aisha tak sanggup tinggal abi sorang-sorang dekat sini. Aisha cuma ada abi dan Mateen. Susah senang Aisha selama ni, hanya kita bertiga. Aisha harap abi boleh faham apa yang Aisha maksudkan ni."

Jari abi dalam genggamanku terasa bergerak sedikit. Abi merenungku sejenak sebelum menekur pada tautan kami. 

 "Abi dah keterlaluan kan?"

Aku menggeleng, menafikan. Bagi aku abi tidak keterlaluan. Mungkin dengan cara itu abi melindungiku daripada sesuatu yang aku tidak tahu. Aku tahu abi ada merahsiakan sesuatu daripada aku dan aku menghormati keputusan abi.

"Abi dah makan ubat?" Aku mengalih topik. Tangan abi aku usap perlahan, terasa kedutan kulit abi. 

"Dah tadi lepas makan. Malam ni abi makan sendiri. Nurse abi tak bertugas malam ni."

Aku simpul senyum.

"Macam mana nurse abi nak jalankan tugas kalau dah pintu bilik abi tertutup rapat. Itulah, lain kali jangan merajuk sesorang. Kan dah kena makan ubat sendiri," usik ku. Abi tersenyum.

"Yelah abi salah. Lain kali abi tak buat lagi." Abi mengalah dengan usikkanku.

"Haa macam tu lah. Ubat jangan culas makan ya... kalau culas, nurse tak nak kawan dah dengan pak cik tau." Aku menambah, sengaja mengusiknya agar dia melupakan perasaan galaunya. 

"Baiklah misi cantik. Pak cik faham," sahut abi.

Aku tergelak. Perlahan aku bangun dari birai katil dan bantu abi berbaring dengan selesa.

"Abi tidurlah, dah lewat ni. Esok Mateen balik, abi mesti tak sabarkan nak tunggu anak bongsu abi balik, kan?" Aku betulkan selimut yang menyelimuti tubuh abi.

"Mateen cuti?" Muka abi berubah ceria.

Aku angguk. 

"Mateen cuti penggal akhir tapi tak lama sangat sebab dia ada kelas tambahan. SPM dah nak dekat." Beritahuku berkenaan Aisy Mateen.

"Tak apalah. Dia dapat balik sekejap pun abi dah seronok. Dah lama dia tak balik."

Aku senyum nipis. Kesian abi. Aku tahu abi sangat merinduikan anak-anaknya. Usai menutup lampu bilik abi, aku menutup pintu biliknya dan meneruskan niatku ke dapur yang tertangguh tadi. Sekali lagi telefonku berbunyi. Aku ke bilikku dan memeriksa telefonku. 

'Wasif lagi? Apa lagi yang dia nak?' Aku berdecit. Mulai rimas dengan sikap Wasif yang tak reti bersabar.

'Tak boleh ke dia faham aku? Kalau aku tak pick up the phone tu tandanya aku tak suka!' Aku mengomel sendiri. Baru aku nak tekan butang off/on, telefonku sekali lagi berbunyi. Kali ini aku tekad, aku akan hembur Wasif cukup-cukup. Tak ada lagi kompromi!

"Ya, Wasif? Ada apa lagi? Dari tadi lagi awak asyik call-call saya. Boleh tak awak cuba faham, kalau sekali awak call saya dan saya tak angkat itu bermaksud saya tak nak diganggu. Awak faham tak? Tadi awak minta saya peluang kedua dan saya kata it's over and that's it. Kenapa susah sangat untuk awak faham? Awak nak kita get back balik, lepas apa yang awak dah buat dekat saya 5 tahun lepas? Awak ingat semudah tu? Dan pasal isu merisik tu, saya sekali lagi bagitahu awak keputusan saya. Saya tak terima dan saya tak suka awak buat keputusan tanpa tanya saya dulu. Awak faham, Uzzam Wasif?" hamburku terus.

"Rindu?"

Semerta itu mataku meluas. Aku tergamam.

Finally, Rindu muncul! Tq yg mana masih menanti sy update cerita2 sy. Terima kasih semua.

Share this novel

Asiah
2026-06-13 13:32:25 

tq author....

Aryanie
2026-06-10 18:36:58 

rinduuuuu munculllll..

Nzarina
2026-06-10 18:01:31 

tq sis


NovelPlus Premium

The best ads free experience