Bab 4 : Ian

Romance Series 78737

~She is rare because she is real.~

Aku memandu myvi kuning kesayanganku atau Marwan suka memanggilnya dengan nama 'bumblebee' masuk ke persimpangan jalan yang menempatkan pejabat tapak projek pembinaan jalan Kampung Cekur. Sebut saja pasal Marwan, ada rasa bersalah menyinggah tapi aku cepat-cepat menepis dan menakis. Aku perlu kuatkan pendirianku untuk selesaikan misi kali ini. Tak boleh tidak. Dan tak boleh tertangguh lagi. Mungkin masa juga semakin suntuk.

Sebenarnya ini kali ke dua aku sampai ke kampung ini selepas selesai urusan sesi lapor diri dan lawatan tapak projek pada minggu lepas. Nasib baik ada Encik Wahid, ketua Penghulu kampung yang sudi menjadi 'tour guide' untuk aku mengenalpasti kawasan yang akan aku bekerja nanti. Baik sungguh layanan lelaki sebaya walid itu terhadapku sehinggakan sanggup menawarkan aku untuk 'tinggal' di rumahnya sementara aku belum dapat rumah untuk disewa. Tapi aku menolaknya dengan baik. Aku sebenarnya sudah ada tempat yang 'dikhaskan' oleh orang atasan sepanjang aku menjalankan misi aku kali ini.

Usai urusan melawat tapak projek dan berkenalan dengan rakan sekerjaku minggu lepas, aku terpaksa berkejaran balik semula ke Kuala Lumpur, selepas walid maklumkan keadaan datuk yang makin memburuk. Aku harap datuk diberikan kesempatan oleh Allah swt untuk 'bertahan' sehingga aku selesaikan semuanya. Itu doaku saat ini.

'Tolong bertahan tuk.'

"Morning, Yan." Sapaan dari Kemal, ketua Lab Technician kepadaku sebaik sahaja aku keluar dari perut bumblebeeku. Beg laptop dari tempat duduk penumpang belakang aku ambil dan galas.

"Morning, Mal. Nak pergi breakfast ke nak masuk site ni?" soalku bila melihat dia bergerak ke kereta pancuan empat rodanya selepas menegurku.

Dibelakangnya ada Talib dan Atan, pekerja Kemal yang berwarganegaraan Indonesia. Mereka berdua menunduk sedikit kepala, menegurku. Masing-masing sedang membawa pelbagai alatan untuk digunakan lalu diletakkan dibelakang kereta. Alif, seorang lagi anak buah Kemal turut muncul dan menegurku sebelum mengambil tempat di bahagian pemandu. Masing-masing sudah bersedia untuk memulakan kerja.

"Kena masuk site," jawab Kemal dengan nada sedikit tidak puas hati. Topi keselamatan berwarna putih diletakkan ke atas kepala lalu mengikat tali keselamatan didagunya.

"Uishhh awalnya nak masuk site." Aku berkerut. Mananya tak awal, biasanya jam 10 baru masing-masing bergerak ke tapak pembinaan selepas miting di dalam kabin atau melepak di kedai terlebih dahulu untuk bersarapan pagi tapi lain pula dengan pagi ni.

"Itulah pasal. Aku ingatnya nak pergi breakfast dulu dekat kedai sana, tengok-tengok Encik Faizol text aku bagitahu dekat chainage sana ada test nak kena buat sekarang sebelum miting, boss nak result terus."

Aku kerling jam ditangan. Sudah jam 9 pagi. Jam 11 pagi nanti akan ada miting bersama dengan klien dan kontraktor utama. Site Meetings volume 1. Semua terlibat dalam mesyuarat itu termasuk aku.

"Sempat ke? Lagi 2 jam nak miting ni."

"Sempat. Sekejap je test tu. Okay lah Yan, aku masuk site dulu." Kemal menepuk bahu aku sekali sebelum memanjat naik ke belakang bucket Toyota hiluxnya.

Aku ke kabin nombor 3. Kabin yang menempatkan pejabatku bersama dengan Zulhelmi seorang Safety and Health Officer (SHO) dan Kemal. Aku diterima masuk bekerja di syarikat pembinaan TTI Group iaitu salah satu syarikat pembinaan terkemuka di tanah air ini dengan bekerja sebagai Engineer Environmental Officer (EEO).

Beg laptop aku letak di atas meja dan keluarkan laptop. Ada sedikit laporan yang perlu aku semak sebelum aku melaporkannya didalam mesyuarat nanti. Sedang ralit memeriksa kerja, pintu pejabatku dibuka dari luar. Zulhelmi menjengul, dia mengangkat tangan dan aku membalasnya.

"Hai Yan. Awal mengadap kerja," tegurnya seraya membawa tubuhnya masuk ke pejabat kami.

"Ada hal nak cek jap." Aku menjawab tanpa menoleh. Tangan masih ligat mengetik tetikus. 'Copy and paste' apa yang patut sebelum aku print di kabin nombor 1 nanti.

"Kau ada dengar cerita baru tak?" tanya Zulhelmi tanpa menghiraukan aku yang tengah sibuk dengan kerjaku.

"Cerita apa pulak ni?" Aku layan juga pertanyaannya walaupun mataku tidak teralih dari skrin laptopku.

"Kerani baru masuk hari ni. Kerani konsultan. Fendy bagitahu aku tadi."

Aku berkerut kening.

'Itu je? Apa yang cerita barunya?' Aku bersoal dalam hati. Iyalah benda biasa kot. Kerani. Ada apanya dengan kerani? Tiba-tiba terbayang kerani-kerani yang dah 'biasa' aku jumpa sebelum ini. Golongan mak cik-mak cik yang biasanya yang sandang jawatan tu. So apa yang pelik dan terujanya?

"Nak tahu cerita tak ni?" Zulhelmi tanyaku semula bila aku tidak memberi respon dengan ceritanya. Dia sudah duduk di mejanya, bertentangan dengan mejaku.

"Emm... nanti-nanti lah Zul. Aku nak pergi office depan jap. Nak print gambar sikit," ujarku tidak seberapa berminat dengan ceritanya. Zulhelmi angkat bahu, mengalah.

Aku mencabut pendrive dari tempatnya lalu berdiri tegak. Teringat yang perut masih belum diisi. Eloklah kalau mengisi perut dulu sebelum masuk bilik mesyuarat.

"Kau dah makan pagi ni, Zul?" soalku pula. Zulhelmi yang sedang menyemak dokumennya berpaling ke arahku.

"Tak lagi. Tak sempat. Kau nak pergi makan ke?"

"Ingatnya macam tula. Nak pergi makan dulu sebelum miting start. Kan kalau dah start, susah nak celah keluar makan. Kalau kau nak join, jom lah."

"Okay sekejap, aku nak setting laporan aku jap. Nanti aku follow."

"Okay. Aku nak pergi print gambar ni sekejap. Aku tunggu kau dekat office depan," ujarku lalu keluar dari kabin 3.

Aku ke kabin nombor 1 dimana kabin itu menempatkan ruangan kerja untuk ketua admin dan ketua akaun. Disebabkan ruangan pejabat di sini segalanya agak terhad, jadi tidak semua kemudahan dapat disediakan dengan sempurna seperti pejabat di tempat lain. Urusan pendokumenan perlu dilakukan di kabin nombor 1.

Kabin nombor 2 pula menempatkan ruangan pejabat untuk Project Manager, Site Engineer dan Qaqc Engineer. Kabin untuk golongan boss-boss kalau ikutkan kata Kak Haira, ketua admin. Dan aku setuju dengan Kak Haira.

"Hai Encik Yan." Sapaan dari Saafiah aku terima sebaik sahaja aku masuk ke kabin nombor 1. Aku senyum dulu. Ini yang aku suka kerja dekat sini. Suasana yang damai dan pekerja yang ramah. Tambah dengan tak banyak kerenah.

Haira angkat muka menyapaku seperti biasa. Cuma dia agak sibuk dengan kerjanya. Seperti biasa kalau ada mesyuarat yang melibatkan pihak atasan, kami yang berada di tapak projek akan berganda sibuknya dari mereka di sana.

"Hai Saa... Saa boleh tolong saya tak?" Aku bergerak ke Saafiah yang sedang menyusun minit mesyuarat yang sudah siap dibukukan.

"Tolong apa tu Encik Yan?"

"Nak mintak Saa tolong print gambar dalam pendrive ni. Nanti balik dari makan, saya ambik. Boleh?"

"Boleh je Encik Yan. Nanti saya buatkan. Jangan keluar lama sangat ya, encik. Ingat jam 11 nanti , encik ada miting." Saafiah mengingatkanku. Aku senyum lebar sebelum angguk.

"Thanks Saa ingatkan. InsyaAllah tak lama. Saya keluar makan sekejap dengan Zul. Nanti kalau ada apa-apa, call saya ya."

"Baik encik. Encik, sebelum tu... ada dengar cerita tak?" Saafiah tersengih-sengih memandangku.

Lagi sekali aku berkerut. Cerita apa lagi ni? Banyak betul cerita diorang hari ni.. rungutku.

"Cerita apa tu Saa?" Aku berpura-pura untuk ambil tahu walaupun sebenarnya entah kenapa aku rasa tak berminat untuk ambik mengambil tahu.

"Kita dah dapat kerani baru untuk kerani konsultan. Hari ni dia baru start kerja. Nanti encik boleh la kenal-kenal dengan dia. Dia dengan Saera ada dekat atas. Settlekan bilik miting." Saafiah menyambung. Bibirnya masih tersengih memandangku.

'Lahh cerita pasal kerani tu lagi?' Mengendur bahuku. Terus hilang segala rasa kononnya teruja nak ambil tahu tentang 'cerita' yang di sampaikan oleh Saafiah.

"Ohh ye ke? Cun tak Saa?" tanyaku menjaga perasaan Saafiah yang tengah teruja bercerita.

"Cun ke tak? Rasanya Encik Yan kena tengok sendiri la.. nanti tak surprised." Haira mencelah. Dia dan Saafiah saling membalas senyuman. Aku menggeleng dengan tingkah keduanya yang bagi aku sungguh pelik.

Pin... pin...

"Okay lah Kak Haira, Saa, saya pergi dulu ya. Nanti kalau ada apa-apa, call saya." Aku menolak daun pintu pejabat dan mendapatkan Zulhelmi yang sedang menantiku dalam Tritonnya.

* * *

Sejuk aircond dalam bilik miting memang terasa sampai ke tulang belakang sampaikan tak tertahan aku dari nak terkucil. Tapi terpaksa aku menahan kerana ada banyak isu yang perlu aku kemukakan berkenaan dengan isu alam sekitar memandangkan projek pembinaan jalan masih diperingkat permulaan.

Untuk mengelakkan berlakunya pencemaran air dan udara berterusan di sepanjang proses pembinaan jalan, aku mengemukakan idea dan cara penyelesaian terbaik untuk pihak kontraktor lakukan untuk menangani isu yang dikritikan oleh pihak klien. Habis sahaja pembentanganku, aku meminta diri untuk keluar. Tandas, tempat pertama yang aku cari.

"Yan! Yan! Sini sekejap!" Namaku dilaung oleh Encik Amin, salah seorang dari pihak konsultan. Dia menguak tangannya memanggilku ke pejabatnya di kabin nombor 5.

Aku yang baru keluar dari tandas segera mendapatkannya bila terpandangkan mukanya yang sedikit cemas.

"Kenapa ni abang Min?" tanyaku bila, sampai di pejabatnya. Aku cuma berdiri diluar.

"Turn Yan dah siap present ke?" tanyanya semula.

Aku angguk. Sempat aku kerling sedikit ke dalam ruangan pejabatnya. Ada seorang gadis yang membelakangiku sedang mengerekot, sepertinya dalam kesakitan.

"Boleh tak kalau abang Min nak minta tolong Yan bawa kerani ni pergi klinik?"

Tergemap sekejap aku dengan permintaan dari Encik Amin.

'Kerani? Kerani baru tu la ni?' Perkataan kerani itu seolah-olah ada rasa 'something' dekat hati. Entah apa. Annoying mungkin, sebab hari ni cerita pasal dia saja yang meniti di bibir Zulhelmi dan Saafiah untuk sepagi ini.

"Kerani konsultan yang baru tu ke?" Tak sedar soalan tu keluar dari mulutku. Mata ku talakan kepada si dia yang masih terbongkok-bongkok menahan sakit. Sesekali dengar dia berdesir.

"Ha'a. Baru start hari ni. Boleh Yan bawak dia pergi klinik?"

"Hah? Ke.. kenapa dengan dia?"

'Bawak dia pergi klinik? Hish dah jadi satu kerja pulak! Kenapa aku yang kena bawak?' desisku protes dalam diam.

"Dia sakit perut. Muntah-muntah dari pagi."

"Kenapa datang juga hari ni?"

"Tadi dia elok ja. Tengah-tengah buat kerja, susun barang dalam bilik miting tiba-tiba muntah. Banyak kali pula tu..." cerita Encik Amin tiba-tiba.

"Kenapa tak balik je?" Aku bertanya lagi, tak puas hati. Dah tahu sakit, kenapa tak mitak balik rumah je? Rehat.

"Rasanya elok kalau kita bawak dia pergi jumpa doktor dulu. Dapatkan rawatan. Abang Min ada tanya dia, ada tak ahli keluarga dia yang boleh bawak dia pergi klinik.. dia cakap tak ada. Ayah dia tak sihat sangat."

Simpati pulak aku dengar. Sudahnya aku berkata dengan suara mengendurku,

"Jomlah saya hantar dia pergi klinik. Nanti saya ambilkan kereta saya."

"Saera...." Encik Amin memanggil Saera, tea lady.

Saera muncul dari satu kabin kecil dibelakang kabin nombor 5 iaitu dapur. Saera yang siap berapron itu mengelap tangannya yang basah.

"Apa encik Amin?"

"Saera boleh temankan kawan Saera tu ikut Encik Yan pergi klinik?" tanya Encik Amin kepada Saera.

Aku pandang Saera. Minggu lepas aku sempat diperkenalkan dengan gadis ini di kabin bawah oleh Haira.

"Tapi encik Amin.. saya ada banyak kerja dekat dapur..." luah Saera dengan serba salahnya.

Encik Amin pandang aku semula.

"Kalau macam tu Yan pergi berdua je dengan dia, boleh kan?"

Sekali lagi aku tergamam.

"Berdua? Kenapa? Tak ada orang lain ke boleh temankan dia?" ajuku masih tak puas hati. Hish seram pula aku nak berdua dengan 'kerani baru' tu. Walaupun aku ni pernah keluar berdua-duaan dengan perempuan lain sebelum ni tapi untuk kali ni aku rasa serba salah pula nak keluar berdua dengan gadis itu. Eh, tiba-tiba aku rasa, aku ni seorang lelaki yang budiman pula. Haha

Encik Amin dan Saera terkulat-kulat memandangku. Aku gosok belakang tengkuk.

"Emm... tak apalah. Nanti Saera bagitahu dia, saya tunggu dekat kereta." Aku ke kereta ku, menanti.

Tak lama kemudian, kedengaran pintu kereta disebelah penumpang dibuka. Saera membantu kawannya masuk ke kereta ku.

"Elok-elok ya. Nanti ada apa-apa, call aku." Sempat aku dengar Saera berpesan kepada temannya. Si temannya hanya angguk.

Pintu kereta ditutup dan si dia duduk mengiringkan tubuhnya ke sebelah tingkap. Memalingkan mukanya dariku. Aku mencebik.

'Eh sakit pulak hati aku tengok dia macam tu. Tak padan dengan sakit.' Aku mendengus kecil lalu memulakan pemanduanku.

Sesekali terdengar dia berdesir.

"Sakit sangat ke?" tanyaku. Kesian pula dengar dia berdesir macam tu. Nampak sangat sakitnya tu.

Dia angguk saja.

"Nak muntah?"

Dia menggeleng pula. Aku berdecit. Eh, geram! Kepantangan aku orang tak jawab soalan aku.

"Apa nama awak?" tanya aku lagi. Cuba ajak dia berbual dengan harapan dia dapat lupakan sekejap kesakitan yang dia alami.

"Ais...Aisha..." jawabnya perlahan.

"Aisha?" soalku semula. Macam pernah dengar nama tu tapi dekat mana ya? Ke sebab nama tu hampir-hampir sama dengan mantan teman wanitaku, Eisha?

Dia angguk lagi. Ishhh mahal sangat tu suaranya. Dah la tuannya sombong, langsung tak tunjuk muka dia dekat aku. Hish!

"Emm.. tak apalah.. awak rehat la dulu. Nanti sampai saya kejutkan awak." Sudahnya aku cadangkan itu memandangkan jarak antara klinik dengan pejabat tapak itu jauh hampir 30 km, jadinya ada baiknya kalau dia berehat dulu sementara nak sampai ke klinik kesihatan.

* * *

"Rindu Aisha Medina!"

Nama itu dilaungkan oleh kakitangan kesihatan yang bertugas di kaunter pendaftaran. Aku yang berdiri sambil bersandar di dinding belakang, tegakkan tubuh.

'Rindu Aisha Medina? Nama penuh Aisha ke?'

"Rindu Aisha Medina!" Sekali lagi nama itu dilaungkan. Aku gerakkan anak mataku ke arah Aisha yang sedang berusaha bangun dari tempat duduknya. Sah, itu nama penuhnya. Aku bingkas bergerak ke arahnya.

"Tak apa... awak duduk je. Biar saya yang pergi sana," ujarku. Aisha angguk dan kembali menekur lantai. Sejak dari tadi Aisha begitu, menunduk sambil memeluk perutnya. Lihat dia begitu, aku berlalu ke kaunter pendaftaran.

"Isteri encik?" tanya jururawat yang bertugas.

"Ha... h?" Tergeliat rasa lidahku. Isteri? Ahh sudah, salah faham ni. Aku baru saja nak buka mulut untuk betulkan tanggapan itu, jururawat di hadapanku menyambung kata.

"Ini angka giliran isteri encik. Nanti kami akan panggil isteri encik untuk cek tekanan darah dan suhu badan dia ya."

"Err.. ya.." Aku mengiakan saja. Kertas kecil yang dihulurkan aku ambil lalu ku bawa kepada Aisha.

Bangku disebelahnya aku isi. Kertas kecil aku hulurkan kepada Aisha. Kali ini Aisha angkat mukanya dan tepat matanya di talakan ke mataku. Bibirnya yang kelihatan pucat itu bergaris senyuman kecil.

"Terima kasih encik. Maaf saya dah susahkan encik." Suaranya lembut masuk ke telingaku.

Kini baru aku ingat dia siapa. Dia 'Aisha' yang aku 'terjumpa' di rumah Pak Wahid minggu lepas. Si gadis bertudung peach hari tu. Si cantik. Si ayu. Si... apa lagi ya? Ya dia. Dia orangnya, Aisha.

"Encik... encik..." Aisha menyeru ku. Aku terkebil-kebil. Seakan baru tersedar dari lamunan.

"Apa?" tanyaku, mengawal riakku.

"Maafkan saya dah susahkan encik. Saya pun tak tahu kenapa tiba-tiba saya boleh muntah-muntah macam ni. Sebelum ni tak pernah jadi."

Tiba-tiba dia mengadu perihal kesihatannya. Dia kembali menekur lantai, menyembunyikan sesuatu dari pandangan orang lain.

"Tak apa tak susah pun. Itu nombor awak. Pergilah sana." Aku menunding jariku kepada kaunter yang memanggil nombor gilirannya.

"Encik tunggu saya atau encik dah nak balik?" tanyanya kepadaku setelah dia berdiri. Aku mendongak. Mata jernihnya dapat aku lihat dari sini.

"Saya tunggu sampai urusan awak selesai. Pergilah."

Dia senyum kecil.

"Terima kasih encik."

Aku hanya angguk. Dia bergerak ke sana. Aku termangu sendiri.

'Kau dah kenapa, Ian Ibrahim? Kalah lagi dengan pertemuan pertama?'

Dah tersuka ke Ian? Hihi Tq to all the readers. RMOH.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience