Bab 5 : Rindu

Romance Series 78737

~I keep my personal life private so don't think you know me. You only know what I allow you to know.~

"Encik tunggu saya atau encik dah nak balik?" tanyaku kepadanya setelah aku berdiri. Dia sedikit mendongak memandangku. Raut wajahnya yang sedikit serius itu buatkan aku risau kalau dia tinggalkan aku dekat sini.

'Dibuatnya dia tinggalkan aku dekat sini, aku nak balik dengan apa? Sini bukannya senang nak dapat teksi... kalau dapat teksi pun, tambangnya bukan murah.. satu tambang tu boleh buat belanja nasi lemak mak long... Aduhhh macam mana ni Aishaaaa...' omelku.

"Saya tunggu sampai urusan awak selesai. Pergilah."

Tiba-tiba itu yang dia keluar dari mulutnya macam tetahu saja aku sedang berperang dengan perasaan sendiri. Dengar dia kata macam tu, aku kelegaan. Perlahan-lahan aku tarik ulas bibirku membentuk satu senyuman kecil. Pertolongan darinya sangat aku hargai. Aku hargai!
"Terima kasih encik." Aku menuturnya lalu bergerak kepada jururawat yang sedang menanti untuk mengambil bacaan tekanan darah dan suhu badanku.

"Puan tunggu sekejap dulu ya. Nanti angka giliran puan dipanggil, puan boleh masuk jumpa doktor ya?" Jururawat itu memberitahu usai mengambil bacaan tekanan darah dan suhu badanku. Dia menulis sesuatu di atas kad sebelum diserahkan kad kecil itu kepadaku.

"Hah, pu... puan?" Tercenggang aku sekejap dengar gelaran 'puan' meniti dibibirnya. Bukan ke gelaran itu untuk perempuan yang sudah berkahwin? Ke aku yang silap dengar?

Jururawat yang bertugas itu hanya senyum-senyum kepadaku, lucu mungkin dengan muka tercenggangku. Teman disebelahnya juga ikut senyum.

"Puan ni mesti baru kahwin kan? Biasanya kalau orang baru kahwin mesti malu di panggil puan. Tapi tak apa, kami faham." Kata salah seorang jururawat yang bertugas di kaunter saringan itu. Selepas itu dia menekan satu alat disitu dan sekejap saja nombor angka giliran lain berbunyi. Giliran untuk pesakit lain mendapatkan saringan sebelum berjumpa doktor.

Aku beralih ke tempat dudukku semula. Disebelah lelaki yang aku kenali dia dengan nama Encik Yan. Lihat dia, tiba-tiba segan aku datang lebih-lebih lagi bila teringatkan kata-kata jururawat tadi.

'Suami? Eh, macam mana pulak boleh jadi Encik Yan ni diorang cakap, suami aku? Ada nampak aku dengan Encik Yan ni macam couple of the year ke? Hish... rasanya tak ada pula aku dengan dia berlakon cerita suamiku si romantik ke apa kan... Hish.. pepandai-pandai je diorang ni mereka cerita..' Aku bermonolog dalam hati. Perut yang tiba-tiba memulas, aku tekan-tekan dengan jari. Tak sedar mulutku berdesir.

"Awak okay tak ni? Sakit lagi ke?" Dia tiba-tiba bertanya, perihal kesihatanku.

Segera aku angkat muka toleh ke arahnya. Kami saling berpandangan sekejap. Ada garisan kerisauan menghiasi dahinya. Matanya yang sedikit tajam itu tunak memandangku.

'Hensemnya...' hatiku berdenyut gedik.

'Aisha... apa ni... control Aishaaa..' marah hatiku yang satu lagi dengan kegedikanku yang tiba-tiba muncul.

"Sakit lagi ke?" tanyanya, mematahkan tenunganku terhadapnya.

"Ehem.." Segera aku alihkan mataku darinya lalu berdeham kecil. Aku menunduk, mukaku terasa pijar, aduh malunya aku.

'Apa kau ni Aisha... kau nak malukan diri kau sendiri ke apa ni?' marah hatiku dengan kebodohan diri sendiri.

Sekali lagi nombor angka giliran berbunyi. Dia melihat ke skrin.

"Itu nombor awak. Pergilah. Saya tunggu sampai awak siap."

Aku hanya angguk kali ini dan berlalu ke bilik rawatan tanpa menoleh lagi. Selebihnya aku sebenarnya malu sebab sudah tertangkap merenungnya tadi.
* * *

Ubat sudah aku ambil dari pharmacist selepas dia menerangkan cara-cara pengambilan ubat. Ubat yang bermacam jenis itu aku sumbat ke dalam beg sandangku lalu aku segera keluar dari ruangan unit farmasi. Aku tercari-cari kelibat Encik Yan yang tidak kelihatan dari pandanganku sejak dari aku keluar dari bilik pemeriksaan doktor tadi. Aku risau. Macam-macam andaian sudah timbul dibenakku. Aku takut. Jam dipenjuru skrin menunjukkan angka empat petang. Kemana dia pergi?

'Dia dah tinggalkan aku ke? Bukan ke tadi dia dah janji nak tunggu aku sampai aku siap? Mana dia?' Aku pusing kiri, sekejap-sekejap aku pusing kanan. Kosong. Bayangnya tiada.

Aku berlari ke kawasan parkir. Kereta kuningnya juga tiada. Arghh sudah! Macam mana ni... aku kena balik dengan teksi ke ni? Tapi... petang-petang macam ni lagi lah susah nak dapatkan teksi. Macam mana sekarang ni? Tiba-tiba aku rasa sebak. Rasa sakit menyerbu dada. Rasa nak nangis. Bibirku tercebik-cebik.

'Kenapa aku percaya dekat dia padahal ini kali pertama kami berjumpa dan kenal? Abi selalu pesan dekat aku jangan percaya dekat orang luar tapi kenapa aku... kenapa aku mudah percayakan dia? Dia sama saja dengan lelaki-lelaki yang aku kenal sebelum ni. Aku... aku tak patut percayakan dia... tak patut... tak patut aku datang klinik dengan dia walaupun Encik Amin yang memaksa aku datang ke sini dengan dia.. Aku tak patut...' Aku membebel dalam hati. Mata dah berair.

"Rindu Aisha Medina?"

Namaku diseru seseorang dan aku segera menoleh ke sisi tanpa sempat aku mengesat air mata yang sudah menitik mencemari pipiku. Dan tanpa ternanti-nanti lagi aku menangis di situ juga. Menangis sebab aku lega dia tak tinggalkan aku. Aku menangis sebab dia tunaikan janjinya. Aku menangis sebab.... aku rasa aku lega dia ada dengan aku dekat sini. Dari tangisan kecil, akhirnya aku teresak-esak sampaikan bergegar bahuku. Aku perkup mukaku dengan kedua telapak tangan.

"Err... awak... ke.. kenapa nangis ni?" soalnya dengan cuaknya melihat aku yang tiba-tiba nangis beria begini.

"Rindu Aisha Medina... kenapa awak menangis ni? Awak tahu tak ada orang tengah pandang kita?" Dia cuba memujukku. Sekejap-sekejap dia toleh ke kiri dan kanan kami, melihat kalau-kalau ada orang lain sedang menikmati drama sebabak kami.

Aku angkat mukaku sedikit dan alihkan tangan dari mukaku. Betul katanya ada dua tiga orang manusia sedang tertoleh-toleh kepada kami.

"En.. encik Yan tu..." Aku mengesat air mata di pipi. Dengan suaraku yang meleret macam tu tiba-tiba aku rasa akulah perempuan cenggeng yang baru saja ditinggalkan kekasih di tepi jalan. Hish Aisha, kau dah kenapa ni?!

"Eh kenapa saya pulak. Awak tu yang lari tak sempat saya nak panggil. Saya ingatkan awak nak pergi mana tiba-tiba lari macam nak kejar anak main tepi jalan.."

Aku gigit bibir dengar balasannya. Wajahku pijar kali ke dua memikirkan jawapannya.

'Dia tengok aku berlari tadi? Dia tengok aku panik tadi? Dia... dia tengok semua tu? Huawaaaa... malunya aku.... Abi.... tolong anak abi ni.... anak abi maluuu...'

Dia mengulum senyum. Dia menggeleng kecil.

"Tadi saya pergi surau dekat hujung sana. Saya baru siap solat qasar zohor. Awak dah solat zohor belum ni?"

Aku angguk. Ya, aku solat zohor dulu tadi memandangkan miting tadi ditunda kepada jam 12 tengahari kerana menanti wakil TTI Group yang tiba lewat dari Kuala Lumpur. Ketika orang atasan sibuk bermesyuarat, aku mengambil kesempatan untuk menunaikan solat zohor terlebih dahulu sebelum aku sakit perut kerana cirit-birit.

"Okay good. Dah settle semua kan?"

"Alhamdulillah dah."

"Okay jom saya hantarkan awak balik." Dia bergerak ke arah bertentangan sambil tersenyum penuh makna. Rayban dipakai sambil dia berjalan ke keretanya.

Aku ternganga sekejap. Okay, baru aku faham. Rupanya dia memakirkan keretanya bukan di kawasan parkir yang aku berlari-lari anak tadi tapi di tempat lain. Aduh Aisha...

Suasana dan kereta sepi. Radio juga tidak berbunyi memandangkan kawasan pendalaman seperti kampung ku ini susah nak dapatkan frequency terbaik. Jadinya dari dengar buzzzz yang menyakitkan telinga tu baik tutup terus radio kan?

"Awak dah okay ke? Ke sakit lagi?" tanyanya. Mungkin dia juga rasa sunyi dengan kebisuan yang ada diantara kami.

"Alhamdulillah dah okay," Jawab ku masih segan dengan sikap cenggengku tadi.

"Alhamdulillah. Nanti jangan lupa makan ubat."

"InshaAllah. Terima kasih encik ingatkan saya."

"Emm..."

Hanya itu dan sepi mengisi lagi.

"Encik Yan.. saya minta maaf sebab susahkan encik hantarkan saya balik." Tiba-tiba rasa kesian pula bila dia terpaksa hantar aku balik. Jauh pulak tu. Apa yang aku tahu dari Saera, kebanyakan boss-boss kami menyewa di kawasan bandar. Ini bermakna 40km dari bandar ke kampung ku dan dia kena ulang alik sebab hantar aku?

"Tak ada apalah. Tak susahkan pun. Lagipun tak kan lah saya nak tinggalkan awak sorang-sorang dekat situ. Dah jadi tanggungjawab saya hantar awak balik dengan selamat."

Aku tunduk, bermain-main dengan jariku.

"Terima kasih encik."

"Sama-sama. Semoga awak cepat sihat. Nanti boleh kerja macam biasa."

"Terima kasih atas doanya, encik."

"Em... ni rumah awak dekat mana?" tanyanya sebaik sahaja kami melepasi signboard kampung Cekur.

"Depan sikit lagi encik. Dekat kawasan kebun getah sana. Ada dua rumah kecil. Encik boleh turunkan saya dekat simpang situ, nanti saya jalan kaki masuk ke sana." Beritahuku. Bertambah segan nak minta dia hantarkan aku sampai ke depan rumah. Sudah banyak yang dia tolong aku hari ini. Tak sanggup lagi aku nak susahkan dia.

"Tak apa saya hantar awak sampai depan rumah. Lagipun alang-alang saya hantar ni tak manis kalau hantar separuh jalan je."

"Erkk.. tapi... tapi jalan dekat rumah saya tu berselut sikit encik.. nanti kotor kereta encik.."

"Tak apa. Kalau kotor nanti saya hantar kereta saya masuk car wash..

"Tapi encik.."

"Atau awak risau kalau ada sesiapa nampak saya hantar awak? Takut terkantoi?"

Terlopong sekejap aku. Apa maksud dia?

"Eh bukan... bukan macam tu encik. Saya cuma tak nak kotorkan kereta encik. Saya tak nak..."

Dia berdecit sebelum memintas.

"Cik Rindu, boleh tak kalau awak duduk diam-diam? Bagi saya drive dengan tenang. Sekali lagi awak bising, saya pusing balik, hantar awak dekat klinik tu balik."

Ter'zip' terus mulut aku dengan ugutannya. Eh, bukan. Bukan sebab ugutannya tapi sebab hal lain. Hati ini berdenyut lain macam bila dengar dia memanggilku dengan nama,

'Cik Rindu.'

Kereta yang tadinya laju mula berubah kepada kelajuan yang agak minimum. Kami sudah melalui simpang jalan kecil yang menghubungkan jalan untuk ke rumahku dan rumah Pak Ngah, abang kepada Abi.

"Awak tinggal sini dengan siapa?" tanyanya tiba-tiba.

"Emm.. saya tinggal dengan abi dan adik saya."

"Bertiga?"

"Iya."

"Mak awak?"

Soalan spontannya membuatkan riak wajahku berubah. Aku paling tak suka orang tanya berkenaan umi dan dua lagi saudara kandungku. Aku benci. Bukan benci mereka yang bertanya tapi benci kepada keadaan kami yang memaksa kami jadi macam ni.

"Emm... mak saya tak tinggal sini." Aku memilih untuk menjawab juga walaupun aku berhak memilih untuk diamkan saja. Tak semua orang tahu keadaan keluargaku yang serba serbi tidak sempurna ini.

Dia berpaling sedikit kepadaku. Mungkin dia sedar wajahku berubah.

"Maaf."

Kereta akhirnya berhenti. Aku membuka tali pinggang keledar. Pintu kereta aku buka. Sebelum turun aku berpaling ke arahnya.

"Terima kasih banyak-banyak encik bawakan saya ke klinik dan hantarkan saya balik dengan selamat."

"Sama-sama. Nanti jangan lupa makan ubat."

"Baik. Terima kasih ingatkan saya. Nanti encik bawa kereta elok-elok ya."

Dia angguk.

* * *
Tiga hari aku dapat cuti rehat disebabkan masalah kesihatanku dan esok aku akan kembali bekerja. Sepanjang 3 hari itu jugalah aku rasa bersalah dengan rakan sekerjaku. Iya lah aku baru je masuk kerja satu hari, tiba-tiba dah dapat MC tiga hari. Macam mem besar pulak kan?

'Hishhh macam mana kalau boss pecat aku nanti?' soalku disebalik bantal peluk. Risau juga fikirkan itu.

'Tak apalah Aisha... kalau kau kena pecat anggap saja rezeki kau dah tiada dekat situ.' Aku memujuk diri sendiri sebelum terlelap.

'Rindu... Rinduku.' Suara itu kedengaran disebalik kabus putih tebal.

Aku berpusing-pusing. Mencari dari mana datangnya suara itu. Kabus yang tebal agak sukar untukku mencari gerangan itu.

'Rindu, emgkaulah belahan jiwaku.' Katanya lagi dan kali ini dia muncul di hadapanku. Dia seperti biasa, berbaju putih bersama sekuntum bunga mawar merah mekar berseri di tangan kanannya.

Aku tersenyum, bahagia bila yang dicari sudah aku jumpa. Hanya susuk tubuhnya yang jelas di mataku. Wajahnya masih samar-samar. Tapi aku tahu dia orangnya. Dia lelaki kabusku. Kakiku menapak ke arahnya yang sedang menantiku. Tangannya menghulurkan bunga mawar merah. Aku senyum lagi, bersedia untuk menyambut hulurkan itu. Dia menantiku lalu berkata,

'Rindu, akhirnya kita berjumpa lagi. Kau, Rinduku.'

Aku tersentak dengan katanya. Belum sempat tanganku menyentuh tangkai bunga mawar, aku tersedar.

Berpeluh-peluh aku jadinya. Jantung berdegup laju. Tanganku menyentuh dada kiriku.

"Kenapa? Kenapa mimpikan benda yang sama lagi? Siapa dia sebenarnya?" tanyaku bertalu-talu. Serentak itu aku teringatkan Encik Yan

'Cik Rindu.'

Dia memanggilku dengan nama Rindu. Hanya dia satu-satunya yang memanggilku dengan nama pertamaku.

'Adakah dia orangnya? Tapi.. kenapa dalam mampi tu dia kata 'akhirnya kita berjumpa lagi'?

* * *

Selesai mengerjakan solat fardhu subuh, aku ke dapur. Cari bahan yang boleh aku siapkan sebelum aku ke tempat kerja. Nasi lebihan semalam dan 2 ekor ikan goreng masih berbaki di bawah tudung saji. Aku mengetuk dagu dengan hujung jariku, tengah mencari idea.

"Okaylah. Nasi goreng ikan untuk pagi ni. Abi suka nasi goreng ikan.'

Aku memulakan kerjaku mengupas bawang putih dan merah untuk menumis. Ikan goreng itu aku leraikan isinya satu persatu lalu aku gaul bersama nasi dingin.

"Aisha..." Abi memanggilku dari kamarnya seperti biasa. Abi sudah siap membaca Al-quran.

"Ya, Abi?" sahutku sambil tangan sibuk mengaulkan isi ikan dengan nasi dingin sebelum digorengkan nanti.

"Aisha pergi kerja hari ni?" Abi menyoalku, kepalanya terjengul di sebalik pintu biliknya.

"Iya abi. Alhamdulillah Aisha dah sihat. Mc Aisha pun dah habis. Jadi, hari ni Aisha dah start kerja. Abi doakan Aisha ya?"

Abi senyum senang. Dia menapak satu persatu ke arahku dengan bantuan pauntan di dinding.

"Alhamdulillah kalau Aisha dah sihat. Lega abi. Aisha masak apa ni?" tegur Abi sesudah melabuhkan duduknya di kerusi meja makan.

"Aisha nak buat nasi goreng ikan. Abi suka kan?"

Abi angguk. Sayur sawi dihadapannya dia capai lalu di potong kecil-kecil. Abi tak suka daun sawi di potong besar-besar jadi dia selalu ingatkan aku kalau boleh cincang saja sayur ni bagi kecil. Senang nak telan, senang nak hadam. Kata Abi. Aku ikutkan saja.

"Nanti Aisha buatkan lebih ya?"

Aku angkat muka. Tanganku yang sudah bersedia untuk menggoreng nasi terhenti.

"Lebih? Kenapa Abi?"

"Aisha bagi sebekas nasi goreng ni nanti dekat encik Yan tu." Bagitahu Abi. Aku tercenggang, terkebil-kebil aku pandang Abi.

"Ke.. kenapa nak bagi encik Yan pula, abi?" soalku dah mula datang gugup. Teringat pula moment kami tempoh hari dan mimpi semalam, lagi buat aku haru.

"Orang berbudi kita kena berbahasa, sayang. Abi tak nak anak abi jadi orang tak kenang budi. Dia dah tolong Aisha, jadi kita kena balas budi dia."

"Oh.. ta... tapi kalau Aisha masak tak sedap macam mana? Malu Aisha nanti abi..."

"Aisha masak tak pernah tak sedap tau... kalau dia cakap tak sedap, suruh dia datang sini jumpa abi... biar abi pelekung kepala dia."

Aku dan Abi tergelak. Dalam kepala aku tengah terbayangkan macam mana agaknya rupa encik Yan tu bila kena pelekung dengan Abi? Haha..

Aku menggeleng. Tangan ligat menggoreng nasi.

"Aisha pergi kerja dengan apa hari ni?" soal Abi sesudah aku menghidangkan nasi goreng panas-panas di hadapannya bersama air milo panas.

"Saera dah janji nak datang jemput Aisha. Buat masa sekarang ni, Aisha tumpang dia dulu lah," balas ku sambil-sambil membersih dapur kecil kami.

Abi mengeluh. Tak jadi dia menyuap nasi ke mulut.

"Tak susahkan dia ke, Aisha?"

"Dia yang offer abi. Tak apalah nanti Aisha tolong bayarkan harga minyak motor dia. Nanti Aisha nak minta tolong Zam baikikan motorsikal abi tu. Cukup gaji bulan ni boleh Aisha bayarkan upah dia. Bila motor tu dah siap baiki, senang la Aisha nak ulang alik pergi kerja. Kan abi?" celoteh ku tanpa memandang Abi.

Aku segera toleh ke belakang bila perasan tiada respon dari Abi. Abi segera mengesat pelupuk matanya. Aku segera mengelap tangan basah ku lalu mendapatkan Abi di meja makan.

"Abi kenapa ni? Nasi goreng Aisha pedas ke?" tanyaku, terkedu lihat mata Abi tiba-tiba berair. Abi tak boleh makan pedas sangat dan tadi aku cuma masukkan dua biji cili padi saja. Pedas sangat ke?

Abi pegang tanganku.

"Maafkan abi, Aisha... Aisha lalui kesusahan macam ni disebabkan keadaan abi. Maafkan abi..." Abi menangis lagi. Sudah setahun berlalu tapi sampai ke hari ini Abi masih salahkan dirinya atas apa yang berlaku kepada kami.

"Abi... Aisha tak pernah salahkan abi. Ini bukan salah abi. Ini yang DIA dah susunkan untuk kita Abi."

'Dan segala (sesuatu) yang kecil mahupun yang besar (semuanya) tertulis.'

Surah Al-Qamar :53.

Kisah Rindu yang berbeza dgn Ian. Tq to all the readers. RMOH.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience