~Sometimes you will be in situations, you never wanted to be in. Remind yourself, it's just a test. Allah will help you out.~
"Aisha!"
Langkahku terhenti dengan sendiri, terkejut tatkala terdengar namaku dilaungkan oleh seseorang. Aku berpaling ke belakang mencari gerangan yang menjerit namaku.
'Oh, mak cik Huda rupanya.' Aku kelegaan. Tapi tak lama setelah itu dahiku kembali berkerut, aku lihat mak cik Huda bersama seorang lelaki. Segak cara pemakaiannya. Si dia sedang menjawab panggilan telefon. Sedikit ke belakang kedudukannya dari mak cik Huda membuatkan aku tidak nampak dengan jelas tampang wajahnya. Jadi, tumpuanku hanya kepada mak cik Huda.
"Aisha sini sekejap." Laung mak cik Huda lagi sambil menguak tangannya menggamit aku ke arahnya.
Aku angguk kecil lalu mengatur langkahku ke arahnya. Lelaki di belakang mak cik Huda itu masih dengan telefonnya.
"Ya mak cik Huda... kenapa panggil Aisha?" tanyaku setibanya aku dihadapan mak cik Huda dan menghalang pandanganku dari lelaki itu.
"Aisha nak pergi warung mak long Aisha ke?"
Aku angguk sambil menjawab,
"Iya mak cik. Ada nak kirim apa-apa ke ni?"
"Tak ada nak kirim makanan apa-apa pun.. cuma mak cik nak kirimkan pesanan."
"Hah? Pesanan apa tu mak cik?" Aku menyoalnya deras, ternaik sedikit suaraku. Efek dari terkejutnya aku dengan 'kiriman' mak cik Huda ni. Lihat aku tayang muka terkejut begitu, Mak cik Huda tersengih.
"Jangan buat muka terkejut macam tu Aisha..." tegurnya sambil menyentuh bahuku. Aku pula termalu sendiri. Nampak sangat ke muka terkejut aku tadi?
"Tak ada apa pun... cuma mak cik nak Aisha kirimkan pesanan untuk suami mak cik, Pak Wahid kamu tu. Tadi dia ada janji nak jumpa dengan orang dekat sana. Kalau Aisha ke sana, jumpa Pak cik Wahid kamu tu... minta dia balik cepat. Ada tetamu tengah menunggu dia dekat rumah. Orang dari bandar." Mak cik Huda menitipkan pesanannya.
Aku membulatkan mulutku sambil mengangguk berulang kali. Faham-faham.
'Oh, tetamu Pak cik Wahid rupanya ni,' getusku sambil kerling orang dibelakang Mak cik Huda.
"Baiklah Mak cik, nanti Aisha sampaikan. Kalau macam tu Aisha pergi dulu ya mak cik, risau kalau mak long cari Aisha." Aku membuka langkah dan mula mengatur tapak menuju ke warung mak long tanpa menoleh ke belakang lagi.
Aku perlu segera sampai ke warung mak long kerana aku sudah terlewat dari biasa gara-gara menguruskan abi terlebih dahulu. Aku tahu mak long tentu faham dengan keadaanku tapi aku tidak mahu mengambil kesempatan di atas kebaikan yang diberikan oleh kakak Abi.
Warung mak long mula beroperasi seawal jam 7 pagi untuk jualan sarapan pagi dan biasanya jualan pagi akan habis jam 10 pagi. Warung mak long akan ditutup seketika dan mula beroperasi semula di sebelah petang untuk masakan panas sehingga jam 11 malam.
Aku pula akan memulakan kerjaku seawal jam 6.30 pagi dan berehat seketika setelah habis jualan pagi. Jam 5 petang aku akan ke warung semula untuk sesi petang dan akan tamat pada jam 9 malam, sedikit awal dari pekerja yang lain. Tugasku di situ cuma membantu apa yang patut. Urusan masak memasak bukan kerjaku, ada pekerja lain yang diupah oleh mak long.
Tapi kalau warung tidak ramai orang, mak long akan benarkan aku pulang lebih awal dari biasa, dia risaukan keselamatanku memandangkan waktu malam keadaanya jauh beza kelamnya daripada waktu siang.
Walaupun kadang kala aku penat dengan rutinku setiap hari begini, aku tetap suka dengan apa yang aku kerjakan. Aku bekerja bukan suka-suka tapi kerana aku tahu aku sangat memerlukan duit untuk menampung pembelanjaan kami tiga beranak dan aku cukup bernasib baik bila mak long sudi menggajikan aku. Untuk aku keluar bekerja di bandar sementara dapat panggilan kerja bukannya aku tidak mahu tapi aku lebih memikirkan kesihatan Abi yang kian merosot dari hari ke hari. Aku risau. Cukup risau.
* * *
Aku sudah sampaikan pesanan dari Mak cik Huda buat suaminya, Pak cik Wahid. Tergesa-gesa orang tua itu membonceng motorsikalnya balik ke rumah. Tersenyum sendiri aku lihat kelakuan Pak cik Wahid. Hilangnya dia dari pandangan mataku, aku mula mendapatkan apron yang tergantung di tempat yang disediakan. Waktu kerjaku bermula.
"Aisha, macam mana dengan abi Aisha?" tanya Mak long tanpa melihat ku. Dia sedang memeriksa sesuatu di meja kaunter.
Aku menapak ke arahnya sambil menjengul sedikit kepalaku mengintai kerjanya sambil tanganku ligat mengikat tali apron dibelakang badanku.
"Aisya tinggal abi tadi, abi dah mandi. Dah makan ubat. Batuk abi dah kurang sikit dari semalam mak long. Cepat berkesan ubat batuk yang mak long beli tu. Brand baru kan mak long?" tanyaku bila teringatkan jenama ubat batuk yang diberikan oleh mak long semalam.
Mak long memang kakak yang baik dan cakna dengan kesihatan abi. Kalau bukan sebab Abi berkeras tak nak pindah dari rumah buruk kami tu, kami tiga beranak dah tentu-tentunya akan tinggal bersama dengan mak long. Dah bertahun Mak Long memujuk cuma Abi yang berkeras tidak mahu. Kata Abi, rumah kami itulah satu-satunya kenangan yang terindah yang dia ada bersama Umi. Walaupun Umi dan Abi telah lama berpisah, Abi tetap setia menyintai Umi dan setia menanti Umi pulang ke pangkuannya. Kata Abi lagi, biarlah cinta itu dia bawa sampai mati. Mati.
"Emm.. brand baru. Mak long kebetulan pergi bandar beli barang-barang kedai, jadi dah alang-alang pergi, mak long beli kan ubat tu untuk abi Aisha. Kata budak yang kerja di farmasi tu, brand ni bagus. Cepat legakan batuk-batuk. Nanti jangan lupa bagi abi makan sampai batuk dia reda," balas Mak Long tanpa memandangku lagi.
"Baik mak long. Nanti Aisha ingatkan abi. Mak long, nanti bagitahu Aisha berapa harga ubat tu ya? Nanti cukup bulan, mak long potong gaji Aisha ya?"
"Emm.. tengok la dulu." Jawapan yang selalu Mak Long ucapkan setiap kali aku minta dia potongkan gaji aku kalau dia ada belikan apa-apa untuk kami sekeluarga. Aku sebenarnya segan dengan kebaikan yang dah Mak Long sekeluarga hulurkan kepada kami. Tak terbalas.
Aku berlalu ke meja yang ditinggalkan oleh pak Wahid dan teman-temannya tadi. Pinggan kotor aku kutip satu persatu begitu juga dengan gelas-gelas yang digunakan. Belum habis kerja ku,
"Aisha..." Mak long memanggilku sekali lagi.
"Ya mak long?" soalku lalu berpaling ke belakang. Kali ini mak long talakan matanya tepat kepadaku.
"Hujung minggu ni Aisha pergi interview, jadi kerani dekat pejabat tapak projek jalan tu ya?"
Terus aku kemam bibir, berfikir sejenak.
'Perlu ke aku kerja dekat sana? Aku manalah tahu kerja jadi kerani tu macam mana,' gumamku.
"Saera kawan sekolah Aisha dulu pun kerja dekat situ. Baru lagi kerjanya. Jadi kerani juga. Kalau Aisha rasa tak tahu menahu pasal kerja tu, Aisha boleh whatsapp-whatsapp dia dulu. Tanya kerjanya macam mana." Mak long menyambung lagi seolah-olah dia memahami gelodak yang sedang bermain-main dalam jiwaku.
Entah bila mak long mendekat, aku tidak sedar. Sedar-sedar saja tangan sudah melekat atas bahuku.
"Mak long ni bukannya apa Aisha.. Kalau Aisha kerja dekat sana dapatlah lebih sikit dari Aisha kerja dekat sini. Mak Long tahu Aisha tengah kumpul duit nak bayar yuran sekolah Matten sebelum Mateen Spm dah tak lama lagi. Nak beli ubat-ubat abi lagi. Apa salahnya kalau Aisha cuba kerja dekat sana. Dapat duit lebih, boleh Aisha tambah simpanan Aisha," ujar Mak Long.
"Kalau dengan kerja dekat sini Aisha harapkan untuk cukupkan simpanan Aisha tu, mak long rasa lambat lagi lah duit tu nak cukup dengan gaji kecil yang Aisha dapat dari mak long ni. Bagi mak long, cuma dengan Aisha kerja dekat sana saja mak long rasa, Aisha boleh dapat lebih dari yang mak long mampu bagi. Tapi kalau Aisha rasa tak nak kerja jadi kerani tu, Aisha kena kerja dekat bandar sana. Jadi, Aisha fikir-fikirkan lah ya." Sambung Mak long sebelum berlalu ke dapur.
* * *
Seperti yang disarankan oleh Mak Long, malam itu aku hubungi Saera untuk bertanyakan tentang kerja di pejabat tapak jalan kampung cekur ke kampung pegaga pahit. Saera ada maklumkan sudah ada orang yang datang interview siang tadi tapi ditolak kerana isu etika pemakaian yang tidak mematuhi syarat. Terkedu juga aku bila Saera bercerita macam tu. Buat aku makin risau nak pergi temuduga kerja tu minggu depan. Hish galau betul hati aku.
Aku solat istikarah berulang kali, meminta pertunjuk dari DIA untuk setiap keputusan yang perlu aku putuskan. Jawapannya, DIA mendatangkan aku mimpi yang sama lagi. Mimpi seorang lelaki berpakaian serba putih sedang memegang sekuntum bunga mawar merah yang sangat mekar dan berbau harum. Bunga segar itu dihulurkan kepadaku sambil dia tersenyum manis. Cuma bibirnya sahaja yang aku nampak. Lainnya dilitupi dengan kabus halus. Aku menggelarkannya 'lelaki kabus'.
"Untuk my Rindu." Hanya itu yang dia katakan sebelum aku tersedar dari mimpiku.
Mungkin kaitannya mimpi itu tiada kena mengena dengan keputusan ku dalam menentukan 'kerja' ku tapi aku yakin ada yang maksud yang baik-baik disebalik mimpi itu.
Seminggu berlalu. Aku akhirnya terpacak juga dekat sini walaupun hatiku keberatan. Aku berdiri tegak dihadapan singboard bersegi empat tepat berwarna hitam dengan tulisannya putih. Tulisan itu sekali lagi aku baca biar jelas dan melekat dalam kepala.
'Pejabat Tapak Jalan Kampung Cekur ke Kampung Pegaga Pahit.' Aku ulang membacanya dalam hati.
Aku gigit bibir bawah. Berdebar pulak rasanya. Fail merah yang berisi sijil-sijilku, aku peluk ke dada dengan erat. Aku masih menanti kelibat Saera, kawan sekampungku yang sudah bekerja dekat sini hampir sebulan yang lalu.
Aku tarik nafas dalam. Pejabat tapak projek jalan itu aku pandang. Berbentuk kabin sahaja pejabatnya. Ada 3 kabin dan kesemuanya berwarna putih. Ada tertera angka 1 2 dan 3 disetiap kabin-kabin itu, mungkin untuk membezakan setiap kabin kut,fikirku. Lagi sekali aku pandang kabin yang cuma ada satu pintu dan dua tingkap kecil itu membuatkan aku tiba-tiba rasa seram. Ada apa disebalik kabin tu?
'Hish Aisha, kau jangan fikir yang bukan-bukan. Selawat banyak-banyak.' Aku pejam mata dan selawat ke atas Baginda SAW banyak-banyak untuk meraih ketenangan.
_Aku dah sampai ni Saera._ ~Aisha.
Aku menghantar pesanan ringkas itu untuk Saera dan tak lama selepas itu pesanan ringkas aku dibalas.
_Okay. Sekejap, aku keluar._ ~Saera.
Pintu kabin yang bernombor 1 dibuka dari dalam. Saera menjenguk kepalanya disebalik pintu, sebalik sahaja terpandang aku dia tersenyum lebar. Aku kelegaan.
"Aisha, jom masuk." Dia melaung, mempelaku.
Aku angguk lalu melangkah masuk ke dalam kabin nombor 1. Agak kekok rasanya bila 3 pasang mata sedang tertumpu kepadaku. Dua perempuan dan seorang lelaki. Tak berkelip semuanya melihatku seolah-olah tidak pernah nampak manusia lain saja.
Aku menyiku Saera yang tegak berdiri disebelahku. Saera segera toleh kepadaku.
"Kenapa diorang tengok aku?" bisikku. Saera ketawa.
"Kau tu pakai lawa sangat dah kenapa."
"Hah?" Aku tunduk lihat pakaianku. Baju kurung pesak kuning dan tudung berwarna putih susu. Apa yang lawa sangatnya?
"Tak ada apalah. Meh aku kenalkan kau dengan orang-orang dekat sini." Saera tarik lenganku lalu bawa aku di hadapan seorang perempuan yang sedikit berusia dari kami semua.
"Ini Kak Haira. Ketua admin dekat sini. Kak Haira, ni kawan Saera yang Saera cakap tu. Namanya Aisha." Aku bersalam dengan Kak Haira.
Kak Haira membalas senyumku dengan lebar, menyambut kedatanganku. Aku menghulurkan fail peribadiku kepada Kak Haira. Dia membelek-belek.
Saera membawa aku ke meja nombor 2 pula. Meja dibelakang meja Kak Hairu.
"Ini Kak Saa. Dia kerani akaun dekat sini." Aku bersalam dengan Kak Saa.
"Ini... Aisha isi borang maklumat peribadi Aisha." Kak Haira menghulurkan sekeping kertas putih kepadaku dan aku mengambilnya lalu mengisinya. Fail peribadiku ditangan Kak Haira pula diberikan kepada Kak Saa. Giliran wanita itu pula membelek-belek helaian itu. Tak lama selepas itu, Kak Saa memberitahu sesuatu.
"Selamat datang Aisha." Kak Saa menyatakan itu dengan senyum lebarnya.
"Err... bukan ke saya datang ni nak temuduga ke?" tanyaku, sedikit tercenggang dengan ayat Kak Saa sebentar tadi.
"Rasanya tak payah-payah temuduga Aisha lah, Kak Haira kan? Kita terima terus Aisha kerja dekat sini. Kan Kak Haira?" Kak Saa bertanya kepada rakan sekerjanya.
Aku dengan Saera terkebil-kebil. Kertas yang sudah aku isi, aku serahkan semula kepada Kak Haira. Kak Haira membacanya sepintas lalu.
"Emmm saya pun rasa elok juga tu. Lagipun pihak konsultan memang tengah cari orang untuk jawatan kerani tu sebelum miting besar esok. Apa kata kalau Saera bawak dulu Aisha jumpa pihak konsultan dekat office atas. Kalau Haji setuju dengan calon kerani yang kita offer ni, nanti akak submit terus maklumat Aisha kepada pihak atasan. Nanti kertas ni Aisha bagi pada Haji ya? Nanti serahkan semula kepada Kak Haira."
"Okay akak. Jom Aisha kita pergi jumpa pihak konsultan dulu." Saera sekali lagi menarik tanganku untuk ke pejabat konsultan yang terletak di kabin yang lain.
'Konsultan? Apa pula benda tu? Aduhh berdebarnya aku,' gerutuku, dada sambung berdebar.
"Aisha.. cantik namanya. Sama cantik macam orangnya." Tiba-tiba ada suara seorang lelaki mencelah sebelum aku sempat keluar dari kabin 1. Aku tertoleh ke arah suara itu.
"Hah kau, Kemal. Jangan nak kacau anak dara orang." Kak Haira menegah.
"Eh mesti lah kena kacau Kak Haira. Bunga baru ni. Rugi kalau tak kacau." Encik Kemal menaik-naikkan keningnya, mengusik.
"Lupa aku nak kenalkan. Itu Encik Kemal. Ketua Lab." Saera menambah. Aku hanya angguk. Encik Kemal melambai tangannya ke arahku.
"Jom lah kita. Nanti kalau lambat-lambat, diorang keluar lunch."
Saera membawa aku ke kabin yang lain pula. Rupanya di sini ada 6 kabin kesemuanya. Cuma lagi 3 terlindung dek kerana struktur tanah yang berbukit, kabin nombor 1, 2 dan 3 terletak di bawah bukit dan kabin bernombor 4, 5 dan 6 terletak di atas bukit. Untuk ke sana kami perlu mendaki jalan berbatu yang disediakan. Jalan yang agak berisiko untuk kenderaan biasa kecuali kenderaan pacuan empat roda.
"Assalamualaikum.." Saera mengetuk pintu salah satu kabin yang tertera nombor 4 dan tertulis juga disitu nama syarikatnya.
"Waalaikummusalam, masuk." Suara didalam menjawab salam Saera.
Saera membuka pintu dan melangkah masuk. Aku cuma menanti diluar sambil-sambil meliarkan anak mataku memerhati keadaan sekeliling yang agak lengang.
"Haji, hari ni ada seorang calon untuk jawatan kerani tu datang nak temuduga." Suara Saera kedengaran jelas ditelingaku walaupun dia sudah masuk ke dalam.
"Calon baru? Kalau calon yang sama dengan yang minggu lepas, saya tak nak."
"Bukan Haji. Kali ni calon lain."
"Okay lah kalau macam tu, minta dia masuk jumpa saya."
Dengar saja ayat itu, dada mula berkompang makin rancak. Aduhh ini yang aku lemah bab-bab temuduga ni. Tak suka!
"Baik Haji."
Saera mendapatkan aku semula diluar kabin. Dia menguak tangannya, menjemput aku masuk. Walaupun aku disapa debar menggila, tetap jua aku melangkah masuk ke dalam kabin untuk sesi temuduga ku.
"Assalamualaikum..." Aku terlebih dahulu memberi salam.
Lelaki sebaya abi yang sedang duduk di tempatnya itu mengangkat muka. Ada senyuman nipis bergayut di bibirnya.
"Waalaikummusalam. Silakan duduk."
Kisah Rindu pula. Tq to all the readers RMOH.
Share this novel