~Love at the first sight started when we met each other eye to eye, but never ended because we found each other at heart to heart.~
"Yan... Kau serius ke nak join company tu?" tanya Marwan yang sememangnya tidak puas hati dengan keputusanku.
Aku menghela berat. Bosan dan jemu. Rasanya ini soalan yang kedua puluh lima kali dia bertanyakan kepadaku. Aku tidak segera menoleh kepadanya. Tumpuanku masih tertumpu pada skrin komputer riba. Semak hasil kerjaku buat kali terakhir sebelum menyerahkan tugasan ini kepada bakal penggantiku nanti.
"Yan... aku ni tengah cakap dengan kau tahu..." Marwan mendengus tidak puas hati dengan sikap bolayanku.
Sebenarnya aku sudah letih dan muak dengan soalan serupa itu. Bukan hanya dari dia saja soalan itu yang aku dapat, tapi dari orang lain juga termasuklah keluargaku sendiri. Mereka langsung tidak percaya dengan keputusan yang sudah aku buat. Bagi mereka, keputusan yang aku pilih langsung tidak masuk dek akal.
Aku angkat muka lalu kerling Marwan dengan mata tajamku.
"Berapa kali aku kena jawab soalan kau tu Wan?" Aku bertanya malas. Tak ada mood mahu layan ketidakpuashatian Marwan berkenaan keputusanku untuk keluar dari sini.
Marwan berpeluk tubuh sebelum bertenggek di atas meja kerjaku. Dia senyum, menyinis.
"Kalau kau jawab untuk yang ke seratus kali pun aku tak percaya, Yan. Kau sedar tak apa yang kau dah buat ni? Kau dekat sini, semuanya kau dah ada tiba-tiba kau nak pindah ke sana? Ada apa dekat sana hah?" Lagi dia menyemburkan ketidakpuashatiannya.
"Kau sebenarnya sanggup tinggalkan semua yang kau ada ni demi seorang perempuan kan? Kau dah kenapa ni, Yan? Kau dah gila ke apa hah?" Sambung Marwan lagi. Turun naik dadanya menahan rasa yang terbuku di dada.
Aku berdecit. Telapak tangan aku tolak birai meja lalu kerusi ku bergerak ke belakang. Aku panggung wajah seriusku kepada Marwan. Biar dia sedar dia sudah terlajak bicara.
"Jadi, cuba kau bagitahu aku.. apa yang aku ada 'semuanya' dekat sini?" Aku menyoalnya semula.
Marwan terdiam. Diamnya Marwan membuatkan aku rasa dia sudah cukup tahu yang dia sebenarnya sudah terlepas cakap. Aku bangkit dari kerusiku. Badanku dicondongkan sedikit kepada Marwan dengan telapak tangan menompang meja.
"Wan, kau satu-satunya kawan baik aku yang tahu kenapa aku buat semua ni. Kau tahu kenapa aku nak join company sana, Wan. Jadi kau jangan sesekali tuduh aku, aku buat benda gila sedangkan kau lebih tahu apa yang aku cari dekat sana Wan."
Marwan terbungkam.
"Yan.. bukan tu maksud aku Yan..."
Aku tegakkan tubuh lalu seluk kedua poket seluar kerjaku.
"Aku mesti pergi Wan. Bukan sebab perempuan tu tapi sebab aku rasa dah tiba masanya untuk aku langsaikan hutang aku dengan arwah datuk aku. Aku belum cukup gila kalau aku pergi ke sana sebab perempuan tu. Dia siapa nak jadi penyebab untuk aku pergi dari sini?" Aku bertanya Marwan dengan sedikit angkuh dihujungnya.
Ya, aku rasa tercabar dengan setiap tanggapan orang disekelilingku yang menganggap aku ke sana untuk mengubati rasa kecewaku dengan keputusan yang dibuat oleh gadis kesayanganku. Kesayangan, huh? Tiba-tiba tekak aku terasa mual. Ada rasa geli-geleman dengan penyataan aku sendiri.
'Eisha Mardiana.' Aku menyeru nama itu dalam hatiku. Genggaman aku kepal erat mungkin sehingga menimbul urat biru di sekitar penumbukku seolah-olah aku sedang menggenggam sekeping nama itu di dalam kepalanku.
'Eisha Mardiana.' Itu nama gadis kesayanganku. Opss... bukan. Bukan lagi kesayanganku tapi nama itu sudah menjadi salah satu nama yang menghuni barisan senarai nama yang aku benci. Kenapa dia termasuk dalam senarai itu? Sebabnya cuma satu. Gadis itu curang dengan aku! Huh, berani sungguh dia curang dengan lelaki seperti aku padahal hubungan kami sudah hampir 5 tahun bersama.
"Yan.. I'm sorry.. Aku terikut-ikut dengan emosi aku. Seriously I'm really sorry bro..."
Suara Marwan mengejutkan aku dari terus larut dengan teringatkan kekasih lama.
"Tak ada apa aku nak terasa dengan kau, Wan. Cuma aku nak kau tahu, walaupun aku tak ada dekat sini. Aku tetap perhatikan semua yang aku ada dekat sini. Aku pergi sana maybe tak lama. Settle tugas aku, aku balik semula ke sini."
"Jadi kau memang tak akan tarik balik keputusan kau?" Untuk kesekian kalinya Marwan mencuba, kali ini suaranya berubah. Mengendur dan mengalah dengan keputusanku.
Aku melepaskan keluh. Aku tahu Marwan pasti rasa kesepian selepas aku pergi dari sini. Aku dengan Marwan sudah bertahun bersama, sejak dari zaman sekolah kami. Jadi setiap rahsia aku, Marwan tahu dan begitu juga dengan rahsia lelaki itu tersemat kemas dalam poket aku. Kami tidak pernah berpisah sampaikan berkerja pun kami masih direzekikan di tempat yang sama.
Cuma kali ini aku terpaksa pergi. Aku pergi dari sini bukan untuk selama-lamanya. Aku cuma pergi demi menyelesaikan sebuah misi iaitu 'amanat'. Amanat dari datukku untuk mencari keberadaan bapa saudara kandungku yang sudah lama terpisah dari kami semua. Demi amanat itulah, aku sanggup meninggalkan apa yang aku ada dekat sini. Misiku cuma satu, aku perlu bawa semula bapa saudara kandungku ke sisi datukku. Dan aku perlu pulangkan semula apa yang aku ada kepada yang lebih berhak.
"Yan..."
Aku pandang Marwan sejenak, Marwan masih menanti jawapanku. Aku menggeleng perlahan lalu Marwan tersenyum nipis. Mukanya keruh. Mukanya muram. Dia kalah dengan tekad ku.
'Maafkan aku, Wan.'
* * *
Jam 5 petang aku sudah sampai ke kampung yang begitu asing buatku. Nama kampung yang sangat jauh dari bandar itu diberi nama Kampung Cekur. Mula-mula aku menyebut nama itu sungguh tergeliat lidah aku. Tergeliat bukan sebab aku tak pandai mengeja tapi tergeliat sebab aku rasa nama cekur itu pelik. Cekur? Bukan ke tu nama daun yang dibuat ulam tu?
Aku memandu perlahan kereta myvi kuningku ke arah sebuah rumah kampung modern yang berwarna biru muda. Rumah ketua penghulu kampung, itulah maklumat yang aku dapat dari penduduk disekitar sini tadi. Dari dalam kereta, aku meninjau sekitar halaman rumah yang begitu bersih dari sebarang dedaunan kering dan kemas susun atur deretan pokok bunga kertas yang sudah di trim dan berbentuk bonsai tersusun di sekeliling halaman rumah. Cantik. Pujiku dalam hati. Dengan lafaz bismillah, aku membuka pintu kereta dan melangkah ke pekarangan rumah biru muda itu.
"Assalamualaikum.." Aku melaung dan menanti di penjuru rumah. Adat berkunjung ke rumah orang jangan sesekali dilupakan. Masuk kawasan orang jangan buat pandai-pandai nanti kena tibai.
"Assalamualaikum.." Sekali lagi aku mencuba dan kali ini ada bunyi pintu dibuka dari dalam rumah. Segera aku berpaling dan sedikit mendongak kerana rumahnya yang sedikit tinggi dari tempat aku berdiri. Ada seorang wanita sebaya mamaku sedang berdiri di tepi dedaun pintu. Mukanya berkerut.
"Ya? Encik cari siapa ya?" tanyanya sambil betulkan tuala yang dijadikan tudung ekspres di kepalanya.
Aku lemparan senyumanku terlebih dahulu.
"Ini rumah tok ketua? Rumah Encik Wahid?" tanyaku dengan berbudi bahasa.
"Iya, ini rumahnya. Anak ni siapa? Kenapa cari suami mak cik ya?" soal wanita itu pula dengan terpinga-pinga. Wajahnya tidak lekang dari berkerut. Matanya pula tidak langsung beralih dari meneliti muka kacakku. Kali ini dia menguak dedaun pintu dengan lebih luas dan dia menuruni anak-anak tangga satu persatu dengan begitu tertib.
"Duduk lah dulu nak." Jemputnya sambil menunding jarinya ke kerusi rotan yang disediakan di ruangan itu. Aku angguk lalu melabuhkan duduk ku bertentangan dengannya.
"Saya, Ian Ibrahim. Wakil dari TTI, company yang menguruskan projek jalan dekat kampung ni." Aku memperkenalkan diri secara ringkas.
Terus berubah air mukanya tatkala mendengarkan itu. Sepertinya dia tersedar sesuatu. Tangannya naik tepuk dahi.
"Allah.. mak cik lupa... tadi orang dekat bandar sana ada call suami mak cik bagitahu hari ni ada wakil dari TTI nak datang jumpa dengan tok ketua. Maafkan mak cik, nak. Mak cik tak tahu anak ni orangnya."
Aku senyum dulu.
"Tak apa mak cik. Salah saya. Saya sampai lewat. Sepatutnya tengahari tadi saya dah sampai sini tapi itulah tak sangka pulak saya boleh sampai lewat." Aku tersengih.
Ya, itulah yang jadi. Aku sudah berjanji dengan pihak TTI untuk sampai ke kampung cekur dalam waktu tengahari tapi apa boleh buat. Maps dah bawak aku ke jalan yang salah. Jenuh pulak aku kena berhenti tanya orang arah jalan yang betul. Tak boleh percaya betul maps tu! Dengusku, sakit hati dengan maps masih berbaki.
Wanita yang aku masih belum tahu namanya itu tersenyum. Mungkin dia faham apa yang cuba aku sampaikan.
"Tak apa. Anak tak salah pun. Kampung ni memang jauh dari bandar tu. Kadang-kadang orang luar pun boleh tersesat cari nama kampung ni."
Makin tersengih aku jadinya. Hish Yan, jatuh saham kau!
"Emm.. mak cik boleh panggil saya, Yan."
"Ohh Yan. Senang namanya nak sebut. Yan boleh panggil mak cik ni, mak cik Huda."
"Baik mak cik Huda. Emm... boleh saya tahu, Encik Wahid ada dekat rumah?"
Sekali lagi Mak Cik Huda menepuk dahinya.
"Allah... mak cik lupa lagi. Apalah mak cik ni... Maafkan mak cik Huda, Yan. Suami mak cik tak ada dekat rumah sekarang ni. Dia pergi warung makan dekat sinpang sana tu, ada janji dengan orang nak jumpa dekat situ. Nanti mak cik call dia bagitahu Yan datang ya? Sambil-sambil tu mak cik naik atas sekejap, bancuh air." Mak Cik Huda sudah berura-ura bangun dari duduknya.
"Eh... Jangan susah-susahkan diri, mak cik. Nanti saya pergi ke warung sana, jumpa Encik Wahid terus."
"Eh, tak ada susahnya. Yan duduk dulu. Nanti mak cik datang bawakan air. Sekejap ya."
"Err... baiklah Mak cik." Aku mengalah akhirnya dengan permintaan Mak Cik Huda. Mak Cik Huda tersenyum dan meninggalkan aku seorang diri di situ.
Sementara menunggu Mak Cik Huda muncul kembali, aku melilaukan lagi anak mataku ke halaman rumah mak cik Huda yang bersih dan kemas ini. Tiba-tiba terbayang wajah mama dan nenda sedang berborak-borak sambil bergurau senda di kebun bunga milik mama. Mama memang hantu bunga. Sampaikan nenek pun berjangkit sama, penyakit gilakan bunga. Aku menggeleng kecil mengingatkan telatah mama dengan nenda.
'Emm.. kalaulah mama tengok pokok-pokok bonsai ni, tentu mama suka,' getusku dalam hati sambil mata tidak lari dari terus melekat dari pokok bunga kertas yang dibonsaikan.
Tak menahan, telefon pintarku dikeluarkan dari poket seluar. Imej kamera aku tekan dan beberapa kali butang bulat yang ada ditengah-tengah itu aku tekan. Aku sedang curi ambil gambar secara candid. Nanti aku minta izin dengan Mak Cik Huda kemudian, fikirku.
Sekejap-sekejap aku zoom, sekejap-sekejap aku tukar kepada portrait. Bila lihat hasil yang diperolehi tidak seperti yang diharapkan, aku tukar setting semula. Dari duduk bersandar, aku menegakkan badan mencari 'angle' dan view yang cantik untuk dipersembahkan kepada mama nanti.
Aku zoom dengan lebih dekat biar nampak imej itu jelas dengan kuasa telefon canggih ku. Tiba-tiba ada satu imej berwarna peach masuk ke skrin telefonku. Sedikit menghalang fokusku kepada kameraku. Aku alihkan mataku untuk melihat imej yang berwarna peach itu.
Terlihat seseorang yang memakai tudung berwarna peach sedang berjalan kaki di tepi jalan sedang membelakangiku, mungkin si dia tadinya sedang melintasi rumah Encik Wahid tanpa aku sedar.
'Hish macam rugilah pulak! Kalau tak mesti dah boleh ushar anak dara orang...' Hati nakalku berbisik. Mata masih melekat kepada si dia yang makin menjauh dari sini.
"Yan..."
Terkejut aku. Terus aku berpaling bimbang takut terkantoi. Mak Cik Huda muncul sambil meletakkan dulang yang di atasnya terletak elok teko jernih berisi air kopi dan 3 cawan kosong siap berlapik dengan piring kecil. Di tepinya pula ada sepiring karipap pusing.
"Jemputlah minum dulu Yan nanti sekejap lagi Pak Wahid balik lah tu. Mak Cik dah call dia tadi tapi telefonnya berbunyi dekat rumah. Tertinggal telefonlah tu..." Mak Cik Huda menjemputku minum setelah dia menuang air kopi ke cawan dan ditolak sedikit ke arahku.
"Terima kasih mak cik.. Emm... kalau macam tu, biar saya saja pergilah pergi ke warung tu mak cik. Mak cik bagitahu je dekat mana warung tu, nanti saya pergi sana."
"Eh tak payah susah-susah Yan.. nanti mak cik tengok-tengokkan budak-budak sini kalau ada yang tiba-tiba lalu..." Mak cik Huda bangun, melihat-lihat ke arah jalan kalau-kalau ada jiran yang sedang melintasi rumahnya.
Dalam masa yang sama telefonku berbunyi. Nama walid tertera di skrin telefon. Aku meminta izin dari mak cik Huda untuk menjawab panggilan itu. Mak cik Huda mengangguk. Aku bergerak ke belakang sedikit lalu menekap telefon ke telinga.
"Hello, assalamualaikum Walid."
"Hah itu dia. Aisha!" Mak cik Huda menjerit. Dia melaung memanggil nama seseorang sambil melambaikan tangannya ke satu arah.
Ekor mataku turut sama menoleh ke arah itu dan mataku menangkap belakang tubuh pemilik tudung peach itu terhenti dari melangkah. Dia bergerak perlahan-lahan, berpaling ke belakang dan masa pula bagaikan lambat bergerak. Sedetik bergerak bagaikan lama untuk berlalu. Dengan gerak perlahan, aku berdebar menanti. Kenapa berdebar? Kenapa dengan jantung aku? Aku sakit? Tidak sihat? Kenapa?
Aku terbungkam tatkala seluruh wajahnya terserlah sepenuhnya di depan mataku. Yang sebenarnya dia sedang memandang ke arah kami berdua tapi kenapa aku rasa dia sedang melihat aku seorang saja?
"Aisha sini sekejap!" Mak cik Huda melaung lagi.
Aku masih terbungkam. Rasa terpasung lidahku. Hujung telinga hanya dengar saja apa yang dibebelkan oleh walid tapi aku tidak tahu apa isi butirannya kerana fokusku tidak ada di situ. Fokusku kepada insan yang dipanggil 'Aisha' oleh Mak cik Huda.
Dia bergerak ke arah kami. Langkahnya diatur penuh sopan dan lemah lembut. Ayu. Manis. Sopan. Lawa. Sebut saja senarai apa yang perlu aku katakan, semua ada.
'Arghhh kau dah kenapa ni Yan? Kau dah gila?' tempelak hatiku sendiri. Geram pulak dengan perangai aku yang satu ini.
Dia sedang berbual dengan Mak cik Huda. Entah apa yang dibualkan, aku tak dengar. Sayup-sayup saja suara Mak cik Huda menyentuh cupingku. Antara dengar atau tidak saja. Antara aku dalam keadaan sedar ataupun tidak, aku tak pasti. Yang aku tahu cuma satu. Aku... sudah terpaku dengannya!
Kisah Ian Ibrahim pula. Untuk cerita kali ini saya guba style pembawaan lain sikit dari biasa. Sekejap 'aku' sbg Rindu, sekejap 'aku' sbg Ian. Harap2 tak keliru ya? =) Tq to all the readers. RMOH.
Share this novel