Bab 9 : Rindu

Romance Series 78737

~Unexpected moment that became your best memories.~

Aku bersendirian lagi hari ni. Sudah hari ke 3 Saera Tasneem cuti sakit. Nampaknya asma Saera kali ni agak teruk sampaikan gadis itu terpaksa direhatkan dari bekerja. Mungkin impak dari debu yang berterbangan di site membuatkan gadis itu akhirnya tumbang.

Sepanjang ketiadaan Saera, aku ditugaskan untuk mengambil alih tugasnya sebagai tea lady merangkap sekali cleaner untuk kedua-dua pejabat atas dan bawah. Selama ketiadaan Saera juga pergi dan balikku Mak long yang tolong hantarkan. Tak sampai hati nak menyusahkan Mak Long sebenarnya tapi motorsikal Abi masih di bengkel. Kalau tak ada aral melintang minggu depan motor itu akan siap di baiki, jadi lepas ni aku akan jadi minah rempit. Nasib baik juga gaji dah masuk, ada lah sikit duit lebih untuk aku baiki motor Abi lepas tolak segala bil pembelanjaan.

Aku buka pintu pantry dan pintu kabin 1 dengan kunci yang diberikan oleh Kak Haira semalam. Katanya Kak Haira, hari ini dia dengan dan Kak Saa masuk ke pejabat sedikit lewat dari biasa. Ada hal di bank yang perlu diuruskan.

Aku masuk ke pejabat sambil membawa penyapu sampah dan penyapu bulu ayam. Meja kerja Kak Haira dan Kak Saa yang sedia bersih dan kemas itu aku cuma sapu-sapu manja kalau-kalau masih ada habuk degil melekat di meja kerja itu. Suis air-cond dibuka, begitu juga dengan plug mesin fotostat. Plastik sampah yang sudah penuh dengan isinya, aku tukar dengan plastik yang baru. Sedang leka melakukan kerja ada suara memberi salam di luar kabin.

"Assalamualaikum." Kali kedua salam dilontarkan bersama ketukan pintu.

Aku bergegas ke pintu dan membukanya. Rizqi, lelaki yang selalu datang ke pejabat untuk menghantar invois dari supplier barang, tersenyum lebar melihatku. Dia macam biasa dengan baju kerjanya yang comot-comot ada kesan lumpur.

"Waalaikummusalam Qi. Awal pagi ni?" tegurku pula.

"Kerja saya macam biasa la... Pagi-pagi datang hantar ni. Aisha seorang lagi ke hari ni?"

Dia menyoalku sambil menghulurkan kepingan kertas putih itu kepadaku. Aku segera mengambilnya lalu membawa kertas itu ke meja kerja. Dia melabuhkan duduknya di kerusi yang sedia ada di tepi pintu kabin yang dibiarkan ternganga.

"Ha'a seorang lagi. Saera mc lagi hari ni. Kalau keadaan dia dah makin baik, InsyaAllah esok dia masuk kerja." Aku menjawab, cop bertanda received aku tekapkan di penjuru atas invois itu. Sebatang pen biru pula diambil sebelum menurunkan tandatanganku dan masa menerima invois itu sebagai bukti untuk rujukan di masa akan datang.

"Kak Haira dengan Kak Saa tak datang lagi ke?"

"Tak datang lagi. Lewat sikit katanya."

"Oh... jadi Aisha seorang la pagi ni?" tanyanya, tidak percaya

Aku angguk saja sambil tangan menyimpan meja kerja. Menyusun barang-barang yang sedikit berterabur ke tempat asalnya.

"Ohh.. kalau boleh Aisha hati-hati ya... kalau nak ke mana, jangan pergi seorang diri. Duk sini-sini je sampai Kak Haira dan Kak Saa sampai. Sini semua workers lelaki. Macam-macam boleh jadi." Dia menitipkan aku sedikit pesanan ringkas.

Aku lekas berpaling kepadanya.

"Saya ni bukannya apa Aisha... Saya cuma bimbang saja. Aisha tahu-tahu sajalah, kawasan ni jauh dari mata orang kampung. Sunyi pula tu. Dekat depan sana pula ada rumah kongsi, ramai abang-abang Nepal dan abang-abang Indon duduk sana. Jadi Aisha faham-faham sendiri la maksud apa yang saya bagitahu."

Aku kemam bibir, memikirkan apa yang dikatakan oleh Rizqi itu ada benarnya. Aku bekerja dikalangan majoritinya kaum lelaki. Keselamatanku harus diutamakan dan di jaga lebih-lebih lagi keadaan sekarang. Hanya aku satu-satunya perempuan dikalangan seratus lebih pekerja lelaki. Uish gerun pulak aku!

Seketika itu bunyi enjin kereta memasuki pekarangan tapak pejabat projek jalan Kampung Cekur dan memakirkan keretanya di hadapan kabin 3. Aku mengintai disebalik langsir dan Rizqi turut mengintai ke arah yang sama cuma yang lainnya dia langsung menjengul kepalanya ke muka pintu.

"Siapa tu?" Aku menanya Rizqi, sambil gerakkan kepalaku merujuk kepada siapa yang baru sampai. Biasanya kalau bukan Encik Kemal, mesti Encik Ian. Tapi aku tak boleh nak meneka sebab aku tak nampak dengan jelas kereta milik siapakah yang baru sampai itu.

"Encik Yan." Rizqi menjawab sepatah.

Aku tergemap sekejap. Dada mula berdebar, teringatkan kisah semalam. Kisah yang terjadi sebelum kedatangan Encik Ian ke pejabat konsultan semalam.

___ imbas kembali___

"Aisha, boleh awak tulis satu nombor ni tak?" Encik Haikal tiba-tiba bersuara memecah kesunyian yang ada di ruangan pejabat IOW.

Aku yang sedang ralit mengisi buku site diary berpaling sedikit ke arah Encik Haikal yang sedang menatal skrin telefonnya.

"Nombor apa encik? Nombor reference RFI ke? Ke nombor reference test result?" tanyaku pula. Buku nota yang ada depan mata, aku tarik ke hadapan sedikit.

"Bukan... nombor telefon. Saya baca, awak tulis okay?"

"Oo... okay encik. Berapa nombornya?"

Encik Haikal membaca satu persatu nombor dan aku pula mencatitnya.

"Dah?" Dia bertanya sesudah itu tanpa menoleh ke arahku.

"Dah encik. Tapi ni nombor siapa ni? Nanti senang saya nak save dalam telefon office," tuturku sambil mengagau beg sandangku mengambil telefon bimbit milik pejabat konsultan untuk menyimpan nombor yang baru sahaja disebut oleh Encik Haikal.

Encik Haikal membetulkan duduknya. Dia senyum kepadaku terlebih dahulu sebelum menjawab pertanyaanku.

"Nombor tu bukan untuk simpanan office, Aisha."

"Habis tu?" tanyaku dengan lurus bendulnya. Sekali lagi nombor telefon yang cantik tersusun itu aku pandang.

"Itu nombor telefon untuk Aisha. Nombor telefon Encik Yan."

"Hah?" Terus membulat mulutku.

"Dah.. dah kenapa Encik Haikal bagi saya nombor Encik Yan?" sambungku.

"Untuk Aisha simpan la. Nanti cuba-cuba la contact dia. Kenal-kenal dulu. Kawan-kawan dulu. Lama-lama boleh la kahwin-kahwin."

Aku ternganga. Jadi itu tujuannya?

"Apa Encik Haikal merepek ni sampai ke topik kahwin-kahwin pula ni..." Aku menyangkal pendapatnya. Tak kan lah sampai ke situ? Aku masih belum terfikir untuk ke tahap itu. Masih banyak perkara yang perlu aku fikir sekarang ni.

"Ala... apa salahnya Aisha... kenal-kenal je dulu. Ke Aisha dah ada orang lain?"

Aku terus menerus pandang Encik Haikal.

'Dia ni dah kenapa sibuk sangat? Aku bukannya adik dia pun. Nak kata dah lama kenal, tak lah lama sangat kenalnya. Tapi dah kenapa dia nak jadi ketua agent pencari jodoh pulak ni? Ingat aku ni dah tergolong dalam golongan andartu ke?' gerutuku geram dalam hati, tapi di mulut lain pula yang terkeluar.

"Jangan la nak bergurau macam tu encik.. walaupun saya ni belum ada sesiapa lagi... saya sedar diri siapa saya ni encik. Saya tak layak pun nak bersanding di atas pelamin indah dengan Encik Yan tu."

"Mana Aisha tahu tak layak? Belum cuba belum tahu la Aisha... Cuba la Aisha kenal-kenal dulu dengan dia... Saya rasa Aisha dengan Yan tu sesuai sangat. Merpati dua sejoli. Bagai pinang dibelah dua kalau duduk sebelah menyebelah ni. Tak nak ke?"

Aku menggeleng laju.

"Encik jangan nak hasut saya macam-macam ya? Jangan kata nak samakn saya dengan dia macam merpati dua sejoli.. Nak samakan dengan burung pipit tu pun belum tentu lagi saya ni layak encik... apatah lagi kalau duduk sebelah menyebelah. Tak payah nak tunggu pinang dibelah dua la encik... dilenyek hancur, dikisar halus pun belum tentu boleh encik." Meluncur laju mulutku membalas.

Encik Haikal ketawa besar.
_____

"Assalamualaikum Encik Yan, pagi." Rizqi menegur Encik Ian diluar, membuatkan aku sedikit tersentak dari terus mengingatkan perbualan antara aku dengan Encik Haikal semalam.

"Waalaikummusalam Qi. Pagi. Mana yang lain?" kedengaran suara itu bertanya kepada Rizqi. Tuannya masih belum kelihatan sebabnya dia masih berada di luar kabin.

"Semua tak datang lagi, encik. Dekat office cuma ada Aisha je. Kak Haira dengan Kak Saa datang lewat sikit." Rizqi 'copy and paste' jawapan aku.

"Dia je ada?" Serentak dengan soal itu, dia menjengul kepalanya ke dalam kabin. Memandangku.

"Morning Encik Yan." Aku deras-deras menyapa Encik Ian. Berkenaan topik semalam, aku letak tepi. Anggap saja Encik Haikal sedang buat lawak tak jadi dengan aku. Lagipun aku sedar diri. Aku cuma gadis biasa-biasa.

"Morning." Dia membalas sebelum kembalikan tampang wajahnya kepada Rizqi.

"Awak buat apa dekat sini, Qi? Tak masuk site ke?" Dia terus menggasak Rizqi.

"Er.. Saya datang office hantar resit barang yang baru sampai semalam, Encik Yan." Rizqi garu belakang lehernya dengan soalan Encik Ian.

"Ooo... saya ingatkan awak datang sini nak temankan Cik Aisha ni kerja," ujarnya lalu menapak masuk ke kabin 1 dan meletakkan fail yang dibawa ke meja Kak Haira. Tangannya bergerak pantas membelek-belek kertas yang ada di dalam fail. Mukanya sedikit ketat dan serius. Hilang seri manisnya yang sentiasa ditunjukkan kepadaku.

Bunyi kertas yang dibelek kasar itu sedikit sebanyak menganggu deria pendengaranku. Aku kerling Encik Ian yang membelakangiku. Kemudian aku dan Riqzi saling berpandangan. Rizqi angkat keningnya, isyarat bertanya kepadaku. Dan aku menggeleng perlahan sambil menjongket bahu.

"Eh, tak lah encik. Saya pun baru je sampai. Memang saya nak masuk site tapi Fendy dah masuk site awal-awal pagi lagi. Jadi saya tunggu Encik Kemal datang la, tumpang dia kalau dia nak masuk site nanti." Rizqi tetap menjawab sangkaan Encik Ian. Rizqi ni boleh tahan berbudi bahasa orangnya.

"Encik Kemal mungkin masuk office sekejap lagi. Awak call lah dia dulu bagitahu awak nak tumpang dia. Kan nanti awak kena tinggal lagi, jenuhlah nak tunggu dekat office lagi."

Aku berkerut kening. Eh, dah kenapa ayat dia tu macam sindiran pun ada. Dia tengah menyindir Rizqi ke apa ni?

"Emm.. baik Encik Yan, nanti saya call Encik Kemal. Okay lah Aisha, Encik Yan, saya pergi breakfast dulu. Aisha, nanti bagitahu Kak Haira pasal resit tu ya." Rizqi perlahan-lahan bangkit dari kerusi lalu berlalu pergi.

Aku pula tiba-tiba rasa kekok ditinggalkan berdua dengan Encik Ian. Kesepian mengisi ruang yang ada.

"Emm.. Encik Yan nak photostat kertas ke?" tanyaku sekadar untuk memecah kesunyian alam.

"Kalau encik nak guna mesin potostat, saya boleh tolong encik."

Dia diam, tidak membalas. Aku mula mengelabah dengan kebisuannya. Dia bukan sesepi ini orangnya. Mulalah aku rasa serba tak kena. Sekejap tangan meramas antara satu sama lain, sekejap garu kepala disebalik tudung. Langsung lupa yang kabin 2 dan kabin 3 aku masih belum dibersihkan.

"Emm.. kalau tak ada apa-apa yang encik perlukan bantuan saya, saya keluar dulu."

Baru saja aku menapak beberapa tapak, terdengar dia menyeru sesuatu.

"Rindu."

"Hah?" Terhenti gerakku.

"Encik panggil saya ke?" Aku ragu-ragu bertanya sambil menoleh ke arahnya yang masih mengekalkan kedudukannya. Manalah tahu kalau-kalau telinga tersalah dengar. Dengar macam dia sebut 'rindu' tadi tapi rindu apa?

"Apa awak buat dengan Qi?" tanyanya tiba-tiba.

Aku termangu. Aku buat apa?

"Saya buat apa? Saya tak buat apa-apa pun encik. Kenapa encik?"

"Agak-agaknya kalau saya tak datang tadi, sampai bila Qi nak duduk sini?" Lagi dia menyoalku tapi matanya masih tertumpu kepada fail di tangannya.

Berkerut keningku.

"Apa maksud encik? Saya tak faham."

"Jangan nak buat-buat tak faham la Cik Rindu. Awak pun tahu apa akan jadi kalau lelaki dengan perempuan ditinggalkan berdua-duaan. Pasti ada yang ketiga."

Terngang sekejap aku dengan kiasannya Sesaat dua baru aku dapat tangkap apa maknanya. Tak semena-mena aku menggeleng kecil, sakit hati pula aku dengan andaiannya.

"Jadi encik nak cakap, saya dengan Qi ada buat benda tak elok? Itu maksud encik kan?"

Dengar dia mendengus sedikit kuat sebelum berpaling kepadaku. Kami bertentangan.

"Saya tak cakap macam tu tapi kalau ada orang lain yang tengok, orang boleh fikir yang bukan-bukan pasal awak dengan Qi."

"Tapi kami tak buat apa-apa pun." Deras aku menyangkal.

"Orang boleh fikir macam-macam pasal awak, Cik Rindu. Dan awak kena jaga nama dan maruah awak. Awak kena sedar yang awak kerja di tempat yang ada ramai lelaki. Macam-macam boleh jadi kalau awak tak pandai jaga diri," tekannya lagi.

Aku yang pada mulanya tergamam dengan bicaranya, rasa mendidih. Dia fikir aku tak tahu apa yang dia cuba sampaikan pada aku?

"Saya rasa encik dah salah faham ni. Saya dengan Qi tak buat apa-apa pun. Dia datang office cuma nak hantar resit barang. Bukannya kami nak berdating macam yang encik fikirkan tu. Lagipun sekejap sangat selang masa Qi datang dengan masa encik sampai. Kalau betullah kami nak buat apa-apa, tak sempat nak buat pun. Nak intro pun tak sempat. Kalau encik masih rasa sangsi dengan apa yang saya cakap ni, encik boleh cek cctv. Tapi tak apalah, kalau itu yang encik anggap saya, tahu lah saya... saya ni jenis perempuan yang macam mana di mata encik. Kalau dah tak ada apa-apa yang encik nak cakap, saya keluar dulu encik. Kita duduk berdua-duaan macam ni pun, kira tak elok juga." Tanpa menunggu lama, aku terus keluar dari kabin 1.

Hatiku dihurung rasa sebak dengan tanggapan Encik Ian terhadapku. Ternyata orang yang aku anggap sebagai seorang lelaki budiman itu juga memandangku serong hanya dengan sekali melihat tanpa ada bukti kukuh.

Dan aku, kenapa aku rasa sakit hati macam ni? Aku tak faham. Kenapa? Kenapa aku perlu rasa macam ni? Rasa seperti hatiku ditoreh. Rasa seperti hatiku disiat. Rasa seperti hatiku dilukai oleh orang yang aku sayang. Persoalannya, siapa dia kepada aku sampai aku rasa macam ni?

* * *

Petangnya tiba-tiba hujan turun dengan lebat. Aku mendongak ke atas, awan masih kelabu menandakan masih ada banyak lagi takungan air yang masih belum dicurahkan dan masih tiada tanda-tanda hujan mahu berhenti.

"Aisha, tak balik lagi?" Kak Saa menegurku ketika aku masuk semula ke kabin 1.

"Tak lagi Kak Saa. Hujan lebat. Saya pun tak tahu nak balik dengan apa ni..." Telefon di tangan aku pandang.

Sudah jam 5.30 petang. Sudah 30 minit lewat dari biasa. Aku mula dihurung rasa bersalah dengan Abi. Abi pasti sedang risau menantiku kepulanganku dalam keadaan hujan lebat begini. Inilah susahnya bila tiada kenaikan sendiri. Kalau ada motor, aku rela pecut redah hujan dari terus membiarkan Abi menanti dirumah. Nak menumpang Kak Haira dan Kak Saafia rasa macam menyusahkan pula. Lagipun mereka OT hari ni. Jam 7 petang baru waktu kerjanya habis.

Sedang elok memikirkan itu, telefonku berbunyi. Saera menghubungiku. Aku keluar dari kabin dan ke pantry, menjawab panggilan itu.

"Hello Saera."

"Hello, Aisha kau dah balik belum?"

"Belum lagi. Hujan lebat ni. Kenapa?"

"Haa elok sangat la tu kalau kau belum balik. Ni ada orang kempuanan nak hantar kau balik. Dari tadi lagi gelisah risaukan kau nak balik hujan-hujan macam ni."

Aku mengerut kening.

"Siapa pulak yang kempuanan nak hantar aku balik tu?"

"Ni lah sepupu aku yang duk berkirim salam dengan kau tu..."

"Abang Burraq?" tanyaku dengan sedikit kuat, menyaingi bunyi hujan yang menimpa bumbung. Tak sengaja juga, aku berpaling ke pintu pantry. Ada seseorang tengah berdiri tegak disitu yang mana telah mendengar perbualanku dengan Saera. Tanpa sengaja kami saling berpandangan.

"Ha'a abang Burraq. Dia nak jemput kau balik. Kau tunggu dekat office ya? Sekejap lagi dia datang."

"Err... Betul ke dia nak jemput aku balik?" Aku sebenarnya sudah tawar hati untuk berbaik-baik semula dengan Burraq sejak aku tahu dia sudah pulang ke Malaysia tapi langsung tidak datang berjumpa dengan aku. Dia membuatkan aku rasa seolah-olah aku ini cuma orang asing dalam hidupnya sedangkan hubungan kami dulu lebih dari teman sepermainan.

"Ya. Dia dah keluar tu. Okay lah Aisha. Aku letak dulu ya? Aku nak makan ubat sekejap. Nanti kita WhatsApp-WhatsApp ya?"

"Okay Saera. Aku tunggu." Aku matikan panggilan Saera. Tak selesa nak berbual lama bila ada mata helang sedang tenung aku.

"Encik nak apa ni?" Sudahnya aku bertanya juga kepada makhluk kacak yang sedang berdiri di ambang pintu pantry. Walaupun masih terasa hati dengan dia berkenaan isu pagi tadi tapi aku ketepikan. Pahatkan dalam hati yang dia tu bos dan aku cuma kuli.

"Saya nak hantar awak balik," ujarnya.

Aku cuma senyum nipis.

"Tak apa lah encik. Terima kasih sajalah. Saya balik dengan kawan saya nanti."

"Call balik Saera, bagitahu dia awak balik dengan saya."

"It's okay encik. Saya tak nak susahkan encik." Aku tetap dengan pendirianku lagipun mesti Burraq sudah dalam perjalanan, kan?

Dia kertap rahang. Beg sandang di bahuku direntap. Aku membulatkan mataku. Telefonku diambil dan dia hulurkan kepadaku.

"Call Saera sekarang."

Aku tidak mengendahkan arahannya sebaliknya cuba mengambil beg ku darinya. Makin aku tarik, makin kuat dia pegang tali beg sandangku. Aku berdecit. Risau sebenarnya, risau kalau hujung tali beg sandang yang sudah nyawa-nyawa ikan itu bakal terputus terus. Beg aku bukannya beg mahal dan bukannya beg baru. Beg itu aku beli sewaktu zaman belajarku. Beg sudah lama tapi masih cantik sebab aku cukup menjaganya.

"Apa encik ni!" marahku. Turun naik dadaku berombak geram dengan perilakunya yang macam budak-budak. Dia ingat beg aku ni, beg dia ke apa?

Dia juga mendengus dengan aku. Lalu tanpa keizinan dariku dia menekan-nekan skrin telefonku. Dia membuat satu panggilan telefon.

"Hello Saera. Bukan. Bukan Aisha ni. Ni saya, Encik Yan. Saya cuma nak mintak awak bagitahu sepupu awak tu, Aisha balik dengan saya."

Hanya itu dan dia menekan butang merah. Telefonku di tangannya dia letakkan di dalam poket seluar kerjanya.

"Saya hantar awak balik. Kalau awak nak balik beg dengan telefon awak ni, ikut balik dengan saya." Beritahunya sebelum memutar tubuh lalu berjalan ke kereta myvi kuningnya.

Aku kepal penumbuk, geram semacam saja aku dengan dia ni hari ni! Kenapa dengan dia ni hah?

Hahaa Yan jelessss! =p Tq to all the readers. RMOH.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience