Bab 6 : Ian

Romance Series 78737

~Her aura is made of poetry, roses and galaxies.~

Pagi-pagi lagi aku dah menghadap laptop, menyiapkan laporan bulanan berkenaan bacaan kualiti air, udara dan bunyi semenjak pembinaan jalan dijalankan di kampung Cekur yang bermula dari 4 bulan yang lepas. Tanggungjawab aku sebagai seorang EEO adalah untuk memastikan ekosistem tidak terjejas biarpun ada pembaharuan dan pembinaan sedang dilakukan.

Selain dari menyiapkan laporan itu, aku juga sedang berusaha mencari penyelesaian untuk setiap non-conformance reporting (NCR) yang dikeluarkan oleh pihak klien iaitu Jabatan Kerja Raya Daerah dalam mesyuarat tempoh hari berkenaan dengan masalah berkaitan alam sekitar.

Pintu pejabat dibuka dari luar. Aku angkat muka, wajah penat Kemal dan Alif menjengah masuk sambil menanggalkan topi keselamatan masing-masing. Kemal mengambil drawing yang ada di atas mejanya lalu dibuka kasar. Dia menunjukkan sesuatu di lembaran itu kepada Alif.

"Sini check point A yang kita pergi tadi. Dan sini check point B. Nanti kau bagitahu Atan dengan Talib, kita kena siapkan soil test bagi chainage 10+000 tu hari ni. Lepas dah siap, mitak dia tulis laporan terus. Nanti lepas lunch kita masuk site di check point B pulak, banyak sample tanah yang kita perlu ambil untuk test FDT. Ingat tu. Aku tak nak nanti Tuan Faizol bising kata orang aku tak buat kerja. Faham?" Kemal menjatuhkan arahan kepada anak buahnya. Serius saja suara dan mukanya. Aku yang dibelakangnya pun jadi gerun nak menegur.

"Faham Encik Kemal. Nanti kami cuba siapkan secepat mungkin," akur Alif sesudah menerima arahan itu.

"Nanti kau tolong pantau kerja diorang. Dapat saja result, buat laporan terus. Jangan lupa buat plot graf sekali. Dah settle semua, bagi aku." Sambung Kemal.

"Baik Encik Kemal. Saya keluar dulu." Alif meminta diri keluar dari kabin nombor 3 untuk ke makmal technician di bilik sebelah.

Kemal memghempas punggungnya ke kerusi sambil mendengus. Tangannya naik picit pelipis kepala dengan mata tajam merenung drawing di hadapannya.

"Kenapa ni Mal? Garang semacam je pagi-pagi ni..." Aku menegur. Kemal jarang nampak moody. Selalunya dia suka melawak dengan sesiapa saja. Sebab itu jugalah aku rasa senang kerja dekat sini.

"Mana aku ni tak bengangnya, Yan.. Tuan Faizol tu bising dekat aku katanya anak buah aku tak reti buat kerja.. Kalau buat test pun, result dapat lambat. Dia tak tahu ke minggu lepas hujan lebat? Dah tahu kalau hujan, jalan site jadi macam mana... mana boleh aku nak masuk site ambil sample. Itu pun dia tak boleh nak faham ke? Memang lah semua result FDT yang sepatutnya aku submit minggu lepas tu banyak pending, sebabnya aku tak boleh masuk site. Tak boleh nak ambil sample. Tapi dia tak nak faham. Duk push-push aku kata nak urgent result... Macam mana aku nak buat urgent result kalau test pun tak buat? Nak aku bagi result tipu?" Kemal menghemburkan rasa tidak puas hatinya.

"Emm.. betul jugak tu.. Dah tu apa jawapan kau dekat Tuan Faizol?"

"Aku bagitahu la dia.. minggu lepas hujan lebat, keadaan tanah lumpur dan lembik macam tu, tak sesuai untuk aku nak ambik sample. Nanti result tak dapat nak baca. Tapi dia tetap dengan keputusan dia. Kata dia, aku boleh je ambil sample lepas habis hujan. Hish kepala hotak dia.. Dia ingat aku ni tak tahu nak buat kerja ke apa? Sempat lagi dia cakap, orang-orang aku ni.. tak tahu nak buat kerja... buat kerja culas. Eh bengang la aku! Dia ingat mentang-mentang dia pm, semua dia betul ke?" Kemal mendengus lagi. Laptop dihadapannya dihidupkan.

"Susah juga tu..." komenku habis sahaja sesi luahan ketidakpuashatian kepada project manager kami, Tuan Faizol.

"Itulah pasal. Bengang aku. Ni nak tak nak aku kena kerah tenaga anak buah aku minggu ni. Nak kena siapkan kerja yang tertangguh minggu lepas sebelum buat yang baru. Jadi banyak kerjalah sikit."

Aku angguk, itulah akibatnya bila kerja tertangguh. Aku pun tengah banyak kerja yang tertangguh sekarang ni gara-gara aku mengambil cuti balik ke Kuala Lumpur minggu lepas.

"Jadi tak keluar minum la pagi ni?" soalku. Kebiasaannya kerja seperti kami sudah terbiasa keluar minum pada jam 10 pagi usai memantau kerja di tapak projek.

Kemal menggeleng. Matanya tidak lekang dari skrin laptopnya. Tangannya mengetik tetikus.

"Tak kot. Aku banyak kerja nak kena tengok ni."

"Okaylah kalau macam tu. Aku nak pergi pantry jap. Rasa nak minum air manis la pulak. Kau ada nak kirim air tak?" tawarku lantas berdiri.

"Emm... tak kot. Kenyang lagi. Sebelum masuk site tadi aku sempat makan dekat satu warung di hujung kampung sana. Sedap jugak makanan dekat situ."

"Ada awek ke dekat warung tu? Kau tu.. asal ada awek je, automatik semuanya jadi sedap," ujarku sambil tersengih mengusiknya. Keningku diangkat berkali-kali. Sekadar bergurau dengan Kemal untuk mengembalikan mood 'gila'nya.

Kemal turut tersengih. Dia memandangku dengan muka nakalnya.

"Kau ni... kalau bab awek, laju je kan? Ni, aku nak tanya... apa cerita kau dengan kerani konsultan hari ahad hari tu? Bukan main lagi ya? Korang pergi dating dekat mana?"

Mati terus senyuman nakal di bibirku dengan soalan Kemal itu.

"Dating apa kebendanya... aku cuma bawak dia pergi klinik je lah." Sangkalku, bimbang juga kalau hal itu dijadikan bahan gosip murahan selepas ini.

"Lepas tu? Tak kan tu je kot... Kau tak bawak dia pergi dating ke? Bawak jalan-jalan tepi pantai ke... Ke kau tak berminat dekat dia?" Giliran Kemal pula mengusikku dengan muka nakalnya. Keningnya bergerak-gerak.

"Hish mengarutkah kau ni, Mal. Dah la.. aku nak pergi pantry ni. Kalau tak ada nak kirim, tak apa... Aku keluar dulu." Cepat-cepat aku membawa diri sebelum makin banyak Kemal mengenakan aku.

Aku berlalu keluar dari kabin ku untuk ke pantry yang terletak di bahagian yang paling depan. Dapur kecil yang dibina seperti rumah kayu kecil itu lengkap dengan segala kelengkapan di dalamnya. Ruang itu dibahagikan kepada dua bahagian iaitu bahagian dapur dan surau. Untuk ke pantry, aku perlu melalui kabin nombor 2 dan kabin nombor 1. Kedudukan antara kabin-kabin ini diletakkan secara memanjang.

Sekejapan aku mendongak sedikit, memandang kabin-kabin yang tersusun di atas bukit sana. Disana terletaknya kabin untuk pihak konsultan dari Road Web Solutions Sdn Bhd (RWSSB). Diatas sana ada 3 kabin kesemuanya. 1 kabin disediakan untuk pejabat Chief Residential Engineer (CRE) dan Assistant Residential Engineer (ARE). 1 lagi untuk pejabat Inspection of Work (IOW) dan keraninya. Manakala satu lagi kabin dijadikan bilik mesyuarat. Disebabkan keadaan bentuk muka bumi yang berbukit begini, ada satu anak tangga kecil disediakan disitu untuk memudahkan perhubungan antara pihak konsultan (RWSSB) dan pihak kontraktor (TTI Group).

Fikirkan saja tentang kerani konsultan itu, tanpa sedar bibirku tersenyum nipis. Terbayang kejadian 3 hari lepas.

'Hishh tak datang kerja lagi ke dia hari ni? Banyak betul dia dapat MC. Nak kerja ke tak nak?'

"Assalamualaikum Encik Yan."

Satu suara menegur ku dari belakang. Suara yang cukup lembut menyentuh cuping telingaku. Aku berhenti melangkah dan menoleh.

'Rindu Aisha Medina.' Sebutku dalam hati. Berbunga tiba-tiba.

Dia tersenyum manis di tepi pintu kabin nombor 2, bilik boss-boss.

"Waalaikummusalam.." Aku menjawab salamnya.

"Buat apa ni?" tanyaku, sedikit pelik kenapa dia boleh ada dekat sini? Bukan ke dia sepatutnya bekerja dengan pihak konsultan yang ada di atas sana? Kenapa dia ada dekat sini pula?

"Saya tolong Saera mengemas. Nanti dah sudah kemas, kami naik atas. Dia pula temankan saya." Beritahunya sambil mengerling temannya yang sedang menyapu.

"Oo... mana yang lain?" tanyaku lagi bila menyedari di dalam kabin nombor 2 itu tidak ada sesiapa melainkan hanya mereka berdua.

"Yang lain baru je gerak masuk site. Ni Encik Yan nak pergi mana? Nak masuk office depan ke?" tanyanya ramah. Tak terfikir pula aku yang dia sebenarnya ramah macam ni. Dalam kereta hari tu, senyap saja.

"Eh tak lah. Saya nak pergi pantry. Nak buat air."

Dia kelihatan sedikit termangu, sedang memikirkan sesuatu sebelum menawarkan sesuatu kepadaku.

"Emm.. encik nak saya buatkan?"

Tawarannya membuatkan aku tergemap sekejap. Mataku tetap ke arahnya. Dalam hati aku bersorak, wah pucuk dicita ulam mendatang nampaknya ni. Tiba-tiba hati rasa berbunga-bunga, mungkin bukan setakat bunga tapi dapat pakej sekali dengan taman bunga sekali yang siap ada air terjun sekali dengan kicauan burung! Arghh kau memang dah gila, Yan! Tapi segera aku bijak mengawal air muka. Sengaja aku keraskan otot mukaku supaya tidak keluar satu pun garis-garis senyum dibibirku.

"Boleh ke?" tanyaku semula. Sekadar menduganya. Kalau dia terima, dia 'Rindu' aku. Kalau dia menolak, bukan rezeki aku lah tu!

"Boleh. Tak susah pun. Nanti saya buatkan. Encik nak saya hantarkan ke office encik atau encik nak minum saja di pantry?"

Tawarannya... bijak. Sekejap aku fikir. Nak hantar ke office? Macam best juga. Tapi... kalau dia hantar ke office, teruk aku kena bahan dengan Kemal nanti. Emm.. tak boleh... tak boleh... nampak gayanya kena minum di pantry sajalah.

"Saya minum di pantry jelah," putusku.

"Okay encik. Sekejap ya encik. Saera, aku masuk pantry sekejap, ya?"

"Okay." Saera menyahut, masih ralit mengemas.

"Kita ke pantry, encik." Katanya lalu keluar dari kabin 2 dan ke pantry yang terletak di sebelah kabin 1. Aku mengekorinya dari belakang.

Pintu dapur dibuka. Dia melangkah masuk. Aku juga.

"Encik... dah breakfast?" soalnya sambil tangannya mencapai mug dan sudu dari rak.

Aku melabuhkan duduk di kerusi meja makan berbentuk empat segi yang memuatkan 4 biji kerusi.

"Emm... sebenarnya belum. Tak sempat. Itu yang saya ingatnya nak buatkan air je," jawabku. Mata tidak lepas dari melihat dia melakukan kerjanya. Suka pula aku lihat dia yang lincah buat kerja macam tu.

'Arghh Yan.. setakat buat air, budak darjah 1 pun pandai lah!' Hatiku memberontak. Nampaknya hatiku sedang merusuh sesama sendiri.

"Encik nak makan? Kalau encik nak makan, saya ada bawakan nasi goreng." Dia meletakkan air nescafe yang sipa dibancuh di hadapanku. Dia berdiri tegak, menanti jawapanku.

"Awak bawa bekal?"

Dia tidak lekas menjawab sebaliknya dia bermain dengan jari-jarinya. Sama kelakuan peliknya yang aku lihat ketika di dalam kereta tempoh hari.

"Sebenarnya... saya bawakan nasi goreng tu memang untuk encik. Tapi encik jangan salah faham pula... Saya bawakan nasi tu untuk encik sebagai tanda terima kasih kepada encik sebab encik dah tolong saya hari tu. Tapi... kalau encik tak nak tak apa, saya tak paksa encik..." ujarnya dengan wajah yang sudah menukar rona. Merah padma. Nampak sangat yang dia sebenarnya sedang menahan malu.

Aku mengulum senyum.

'Kenapa dia comel sangat ni?'

"Sedap ke tak?" Itu yang terpancul dari bibirku. Teringin juga aku merasa air tangannya.

"Hah? Apa? Apa yang sedap tu encik?" Dia bertanya dengan mata bulatnya dihalakan kepadaku. Terkejut dan dalam masa yang sama dia tengah 'blur' dengan soalanku.

'Comel.' bisikku. Aku rasa, aku dah gila!

"Nasi goreng yang awak buat tu... sedap ke tak?"

"Oh, saya tak tahu kena ke tidak nasi goreng saya tu dengan selera encik..." jawabnya dengan semakin resah. Jari-jari yang sedang bermain itu meraih pula hujung tudung lalu di pusing-pusing. Aku menyimpan memori ini dalam kepala, itu gesturenya bila dia sedang keresahan.

Aku diam sambil perhatikan lagi gerak gerinya. Seketika, aku menyicip air nescafe yang dibancuhnya.

'Emm... sedap.. Pahit-pahit tapi rasa manis itu ada.'

"Tiba-tiba rasa lapar. Boleh saya try nasi goreng awak tu?"

"Bo.. boleh... boleh encik. Kejap saya hidangkan untuk encik," Mukanya berubah ceria dan dengan pantas dia mengambil pinggan kosong, sudu dan garpu lalu diletakkan dihadapanku. Dia mendapatkan beg sandangnya pula. Satu bekas plastik putih diambil dan dikeluarkan bekal nasi goreng dihadapanku.

"Emm.. encik makan la. Nanti dah siap, encik letak je dekat sini. Nanti saya basuh. Rasanya saya dah kena naik atas ni. Nanti boss dekat atas dah keluar dari site, cari saya tak ada... susah pula."

"Okay, hati-hati panjat bukit tu."

"InshaAllah. Terima kasih encik."

Aku lihat bekas makanan itu, ada satu kertas putih kecil tertampal disitu.

'Putera datang dari kota,
Datang mencari si puteri desa,
orang berbudi kita berbahasa,
Orang memberi kita merasa.'

Ikhlas dari Rindu Aisha Medina.

Aku tersenyum. Ada rasa sesuatu singgah di hatiku tapi apa? Soalan itu, tiada jawapan. Aku menyuap nasi goreng itu ke mulut.

'Sedap.' Komenku pertama. Dari suapan pertama, aku menyuap lagi dan sedar-sedar saja hampir separuh sudah aku makan isinya.

'Aku dah suka dia? Entah la... aku tak tahu apa yang aku rasa dengan gadis tu... Dia misteri. Tapi, tak kan lah semudah ini aku kecundang?'

Pantun bermula. Haha Tq to all the readers. RMOH.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience