~You make me smile so effortlessly.~
Lihat dia disebelah, membuatkan aku rasa lega walaupun berlawanan dengan reaksi yang aku dapat darinya. Air mukanya yang masam bak belimbing buluh itu menunjukkan yang dia sebenarnya tengah protes dengan tindakan gila aku. Mukanya masam dan muram. Tiada lagi wajah yang tersipu malu seperti biasa yang diperlihatkan kepadaku. Lihat dia begini sungguh terasa menyakitkan hati aku.
Argh aku rasa untuk kali ni aku memang betul-betul dah gila! Kenapalah aku boleh jadi gila macam ni bila dengan gadis kampung ni?
'Hei come on lah Ian Ibrahim, kenapa kau boleh jadi lemah macam ni, hah? Siapa dia yang dah jadikan kau gila macam ni?' Suara di kepalaku berdengung, mengejek. Benggang dengan tuan badan sendiri mungkin.
Aku berdecit. Marah dengan suara yang sedang seronok mengejek dan memperlekehkan aku.
'Argh pedulikan! Yang penting dia dah ada disebelah aku. Suka ke tak suka, dia dah ada dengan aku. Titik. Fullstop!' bentakku.
Sebenarnya niatku datang ke pantry tadi cuma satu. Aku mahu menghantarnya pulang memandangkan hujan lebat dan aku tahu dia ada masalah untuk pulang memandangkan dia tiada kenderaan sendiri. Tapi bila saja aku tiba di pantry, aku terdengar dia sedang bercakap dengan Saera di telefon. Tak semena-mena keluar satu nama yang membuatkan darahku mendidih tanpa aku pinta. Adrenalinku mendidih sama seperti ketika aku nampak dia berdua-duaan dengan Rizqi pagi tadi. Tanpa sedar terasa bagaikan ada sesuatu telah menjolok tangkai hatiku. Panas dan sakit. Itukah namanya api cemburu?
'Aku cemburu? Cemburu dengan lelaki nama Burraq tu? Hish, nonsense! Tak kan aku cemburu.'
'Tapi kalau bukan ini rasanya cemburu, kenapa ini yang aku rasa? Siapa Rindu Aisha Medina kepada aku sampaikan aku boleh rasa semua ni? Siapa lelaki itu untuk aku rasa cemburu?'
Burraq. Lelaki itu namanya Burraq. Dia lelaki yang aku jumpa di kedai tempoh hari. Dan juga dia sepupu kepada Saera. Aku yakin lelaki itu juga sukakan Rindu Aisha Medina seperti mana Rizqi. Keduanya sukakan Aisha tapi adakah Aisha juga menyukai dan membalas perasaan itu?
Aku pandang ke sebelah, hanya wajah cemberutnya saja yang ditayangkan kepadaku. Bila melihat dia begitu membuatkan aku diterpa rasa serba salah. Ya, aku mengaku memang aku yang salah. Salah aku sebab jadikan dia mangsa atas tindakan gila aku.
Aku sengaja memandu dalam kelajuan sederhana supaya kami boleh berlama-lama dalam kereta. Dan aku perlu gunakan kesempatan ini untuk meminta maaf tentang apa yang berlaku pagi tadi. Aku tahu aku salah. Aku tahu aku salah menuduh dia yang bukan-bukan padahal aku sendiri yakin yang dia bukan seperti kebanyakkan gadis-gadis liar diluar sana.
'Ian Ibrahim, dia bukan Eisha Mardiana. Rindu Aisha Medina bukan Eisha Mardiana meskipun nama mereka hampir sama. Dia bukan Eisha, Ian. Dia, Rindu Aisha Medina.' Berulang-ulang suara itu berdengung memujukku, mengingatkan aku bahawa Rindu Aisha Medina bukan Eisha Mardiana, tunangan kesayanganku dulu. Dia bukan seperti tunang yang curang denganku. Dia bukan seperti perempuan yang bermain kayu tiga, empat dan lima di belakangku. Dia bukan. Dan tetap bukan.
Aku berpaling ke sisi.
"Marah saya lagi ke?" soalku sekadar menduga walaupun aku sendiri belum lagi buta untuk tahu apa jawapannya.
Dia membisu. Mukanya dipalingkan ke sebelah tingkap, tidak mahu bercakap dengan aku. Kelakuannya sama seperti ketika aku membawanya ke klinik dulu.
"Okay lah. Saya tahu awak marah saya sebab saya dah tuduh awak pagi tadi. Saya minta maaf. Saya tak sepatutnya cakap awak macam tu. Saya minta maaf, okay?" ujarku ikhlas, meraih kemaafan darinya.
Dia diam juga. Aku kemam bibir, tangan kanan yang memegang stereng, aku rehatkan siku di tepi tingkap. Sebelah lagi tangan sudah raup muka.
'Sudah... apa aku nak buat ni?' bisik hati kecilku.
'Pujuk lagi Ian. Pandai buat dia merajuk, kena pandailah kau pujuk dia.' Suara hatiku berbisik lagi.
"Rindu..." Aku seru dia lagi. 'Rindu', aku suka bila nama itu meniti di bibirku. Rasa seperti kecanduan merindui seseorang.
'Arghh tengok, aku dah jadi gila balik bila berkaitan dengan Rindu ni. Hishhh, parah dah aku ni!' gerutuku dalam hati. Seketika, aku berdeham.
"Rindu, saya cakap dengan awak ni..." Aku bersabar walaupun ada rasa geram juga bila dia tidak memberikan aku sebarang respon.
Dia senyap. Hanya bunyi dia menghela nafas panjang. Sesekali dengar dia berdesir kesejukan sambil mengosok telapak tangannya. Sejuk kerana hujan dan sejuk kerana aircond kereta ku walaupun cuma di paras minimum.
"Rindu.." Lagi sekali aku cuba.
'Kalau dia tak bagi respon kali ni, aku pusing kereta... bawa dia lari. Biar padan muka dia, siapa suruh nak merajuk lama-lama!' Idea gila tiba-tiba muncul.
Bunyi dia berdecit sedikit kuat sebelum memalingkan muka tegangnya kepadaku.
"Boleh tak encik jangan panggil saya, 'Rindu'?" bentaknya, memberitahuku yang dia cukup tak suka dengan nama panggilan itu.
Ternaik keningku.
'Dia marah? Tak suka? Kenapa dia tak suka? Arghh aku tak peduli. Yang penting aku suka nama tu. Nama klasik dan ada aura yang tersendiri. Apa yang penting hanya nama dia yang ada 'Rindu'.' Hatiku berbisik nakal.
"Kenapa tak boleh pula?" tanyaku hendakkan jawapan.
"Sebab encik satu-satunya orang yang panggil saya dengan nama tu. Dan saya tak suka encik." Dengusnya kasar lalu memeluk tubuh dan melontarkan pandangan ke hadapan. Sempat dia memberikan aku jelingan mautnya.
Mulanya aku terbungkam tapi entah kenapa jawapannya itu membuatkan hatiku berbunga-bunga. Bibirku gatal mahu bergerak menguntum sebuah senyuman lebar mendengarkan kata-katanya sebentar tadi. Katanya hanya aku satu-satunya orang yang memanggilnya dengan nama Rindu? Ahhh bukankah itu kedengaran sesuatu yang romantis? Rasa otot mukaku bergerak mahu menunjukkan memberikan respon yang baik tapi bila fikirkan di hujung ayatnya, tak jadi otot mukaku menarik. Relaks Ian... relaks...
"Jadi, sebab tu je awak tak suka saya?"
"Ya." Cepat dia membalas.
Auchh! Hatiku sedikit terluka. Tapi aku tak akan mengalah. Ini Ian lah.
"Kenapa awak tak suka saya?"
"Sebab encik dah tuduh saya macam-macam."
Aku bergarit senyum. Alahai... kenapalah budak Rindu ni comel?
"Eh, mana ada saya tuduh awak macam-macam. Saya cuma tuduh awak satu macam je. Satu je. Satu, tahu?"
Dia sekali lagi memalingkan mukanya kepadaku dengan tenungan tajamnya.
"Jadi sebab hanya 'satu macam' tu, encik ingat kelakar lah?"
Giliran aku pula tayang muka tak faham. Lain yang aku cakap, lain pula yang dia faham. Hailah perempuan... perempuan... so complicated to understand.
"Saya tak kata pun saya tengah buat kelakar. Dan saya tak rasa pun benda ni kelakar sebab awak tak senyum pun. Kalau benda ni kelakar mesti awak dah gelak kan?"
Dia juling mata ke atas. Gaya malas nak layan aku.
"Jangan nak pusing-pusing cerita lah encik. Encik dah tuduh saya lepas tu senang-senang je nak minta maaf. Ingat semudah tu?"
"Habis tu Cik Rindu nak saya buat apa?"
"Saya kata jangan panggil saya, Rindu!" Dia deras memotong, membentak. Suaranya naik sedikit.
"Eh suka hati sayalah. Saya suka dengan nama tu jadi suka hati sayalah nak panggil awak dengan nama tu pun. Lagipun tak salah kan? Nama awak pun ada Rindu. Rindu Aisha Medina." Aku mempertahankan alasan ku.
Dia mendengus lagi.
"Saya tak suka!" Dia membentak.
"Tapi saya suka!" Aku melawan.
"Saya tak suka, encik." Dia tidak mengalah lagi.
"Saya suka." Aku pun sama tak nak mengalah.
"Tak." Tegasnya.
"Suka."
"Tak. Suka." Sepatah-patah dia menyebut dengan suara celah giginya.
"Suka! Suka! Suka!" Aku membalas lagi tegas darinya.
"Arghhh!" Tiba-tiba dia menepik, sakit hati dengan aku dan apa yang pasti dia tengah kegeraman.
Aku kepal penumbuk, bersorak kemenangan dalam hati. Bukan selalu lelaki nak menang ni! Berbanggalah wahai kaum-kaum lelaki sekalian. Aku mewakili kalian!
"Fine, kalau encik panggil saya Rindu lagi, saya tak kan panggil encik, Encik Yan lagi." Dia kembali bersuara setelah berdiam diri beberapa ketika.
Giliran aku pula berkerut. Pelik pula aku rasa kalau ada orang nak panggil aku dengan nama lain ni. Orang dah biasa panggil aku dengan nama pertama. Ian atau Yan.
"Awak nak panggil saya, apa?" ajuku, tertanya-tanya.
Dia senyum nipis, seperti ada agenda yang tersembunyi. Makin lebar dia senyum, makin risau pula aku untuk tahu apa jawapannya.
"Encik Brahim."
Terus terjatuh rahangku. Dia sebut apa tadi?
"Awak cakap apa tadi?"
"Mulai hari ni saya akan panggil encik, Encik Brahim. Okay, Encik Brahim?"
Berlapis-lapis dahiku berkerut. Tak pernah dibuat orang, orang panggil aku dengan nama tu walaupun tak salah itu juga nama aku. Tapi, 'Encik Brahim'? Tak terasa macam atuk-atuk ke?
"Encik Brahim? Kenapa nak guna nama tu?"
"Tak salah kan? Itu nama encik juga kan? Encik Ian Ibrahim." Dia memulang semula paku buah keras kepadaku.
Sedang elok pula ketika perdebatan hangat itu sedang berlangsung, keretaku berhenti dipekarangan rumahnya. Kami dah sampai ke destinasi yang dituju. Hujan masih lebat membasahi bumi. Aku panjangkan tanganku ke tempat duduk belakang dan mengambil begnya. Aku memulangkan semula beg sandangnya. Dia menyambut dan membelek beg sandangnya penuh teliti. Sudah gaya macam ibu-ibu tengah tilik anak baru balik dari taman permainan pun ada.
"Telefon saya mana?" tanyanya bila perasan dalam begnya tiada gajet petak segi itu.
"Telefon? Oh sekejap." Lupa pula telefon dia yang aku rampas tadi. Aku ambil telefonnya dari celah pintu kereta ku. Sebelum memulangkan kepada tuannya, aku menekan-nekan nombor pada skrin
dan telefonku berbunyi.
"Itu nombor private saya. Kalau Cik Rindu rindu saya, text saya ya?"
Dia jeling aku tayang muka menyampah tahap infinity. Aku tergelak dengan reaksinya. Tak lama, mukanya berubah. Ada senyuman bergentayangan di bibirnya.
"Baik Encik Brahim, nanti saya text ya? Encik Brahim pun jangan rindu Rindu ya? Nanti tak lena tidur. Jangan salahkan Rindu pulak."
Aku tergelak. Suka pula aku dengar dia sebut 'Encik Brahim' tu. Payung dibelakang aku ambil dan hulurkan kepadanya tapi dia tidak segera mengambilnya.
"Nah ambik ni. Rindu tak boleh kena hujan. Kalau Rindu kena hujan, nanti Rindu demam. Kalau Rindu demam, nanti Rindu tak boleh datang kerja. Kalau Rindu tak datang kerja, nanti Brahim rindu Rindu." Aku menyakatnya. Suka pula aku sakat dia. Tiba-tiba rasa ngam pula nama Rindu dan Brahim tu. Haha.
Dia makin menjeling. Payung bertukar tangan.
"Terima kasih daun keladi. Terima kasih, nanti bagi tumpangkan lagi." Dia sudah bersedia untuk keluar.
"Kalau untuk Rindu, bukan setakat nyiru yang saya tadahkan. Tapi satu padang bola saya tadahkan," balasku pula.
Dia jeling lagi sekali sebelum membuka pintu kereta.
"Hati-hati." Aku menambah.
"InshaAllah. Terima kasih encik. Encik pun drive elok-elok. Semoga selamat sampai."
* * *
Keluar sahaja dari persimpangan jalan rumah Rindu Aisha Medina, telefonku berbunyi. Aku sumbat dulu earphone wireless ke lubang telinga sebelum menjawab panggilan itu.
"Hello, Wan"
"Yan! Kemain lama gila kau menyepi. Tak ada langsung khabar berita erk? Kau macam mana dekat sana, okay?" Suara Marwan menyentuh gegendang telingaku.
"Sorry la Wan. Aku busy sikit. Biasalah benda baru, jadi banyak benda lagi aku nak kena belajar."
"Iya lah kau tu. Ke... kau dah seronok duduk sana, sampai lupa kitorang dekat sini?" Suara itu kedengaran seperti berjauhan hati. Aku tergelak. Tiba-tiba terbayang wajah Rindu.
"Jangan nak mengarut la Wan. Aku still Ian Ibrahim la walaupun siapa aku dekat sini. Kau macam mana sihat?"
"Emm yelah. Aku dekat sini sihat-sihat je. Makin sihat sejak kau tak ada. Kerja aku dekat sini menghabiskan makanan je tahu. Haha.."
Aku tergelak lagi. Dah dapat bayangkan macam mana hidup Marwan semenjak aku tiada. Pasti dia yang jadi mangsa 'tester' mama.
"Eh tanya orang, kau tu pulak macam mana? Progress 'kerja' kau dah berapa percent?"
"Aku macam ni lah bro. Pergi kerja, balik kerja macam biasa. Macam kuli-kuli laaa... 'Kerja' aku tu... next time we talk about that. Banyak benda yang aku nak share dengan kau dan aku perlukan pertolongan kau."
"Aye-aye captain!" sahut Marwan dihujung sana.
Aku berdecit. Tak suka betul dia meng'captain'kan aku. Dia ingat aku ni spongebob squarepants ke apa?
"Jangan nak buat hal, Wan."
"Ye-ye..."
"Cakap dengan siapa, Wan?" Suara seorang wanita menegur Marwan. Dengar sahaja suara itu aku disini tersenyum. Sudah dapat meneka Marwan ada dimana sekarang ini.
"Dengan Yan, ma."
"Oh, meh sini telefon tu. Mama nak cakap sikit dengan Ian Ibrahim tu."
Aku kemam bibir. Sudah, masak aku kena kali ni!
"Hello Yan." Suara wanita yang mengandung dan melahirkanku, menyapa telinga.
"Hello, assalamualaikum ma."
"Waalaikummusalam anak bertuah mama..."
Aku disini sengih dengar mama menyebut 'anak bertuah mama'. Ini tak lain tak bukan pasti kejap lagi aku kena bebel.
"Emm.. mama sihat?"
"Alhamdulillah. Mama sihat walafiat walaupun hampir dua bulan anak bertuah mama ni tak menjenguk, tak bertanya khabar. Alhamdulillah, mama sihat." Mama memberikan aku jawapan sarkastiknya.
"Ala ma... janganlah macam ni... Mama pun tahu kan apa yang Yan buat."
"Iya mama tahu. Mama tak salahkan Yan pun. Lagipun Yan kan dah besar panjang. Dah pandai jaga diri. Siapalah mama untuk ambil peduli. Mama ni cuma seorang wanita tua yang cuba meraih perhatian dari anak-anaknya, kan Wan?"
"Hah? Er ya-ya ma." Marwan menjawab juga pertanyaan mama biarpun mama sebenarnya sedang memerli aku.
Aku picit pelipis kepala. Aduh, ini yang aku lemah bila mama dah masuk kelas dramanya. Mama dengan title 'ratu primadona' tak boleh dipisahkan langsung. Ada je drama dia nak karang.
Tapi... kalau dah namanya aku ni anak kepada ratu primadona, ingat aku ni tak ada warisi tempias bakat dari mama tu ke? Ini Ian lah. Kalau bukan disini tempatku, mesti aku dah menghiasi kulit muka depan majalah kegilaan remaja masa kini. Haha.. tapi maaf lah, bukan minatku nak kejar glamour.
"Ma.. kenapa pulak cakap macam tu.. siapa cakap mama Yan ni wanita tua? Bagitahu Yan, biar Yan cari orang tu dah belasan cukup-cukup. Ada hati men'tua'kan mama kesayangan Yan ni."
"Itulah Yan tak tahu. Seksa hati mama ni bila bodyguard mama yang seorang ni tak ada di sisi mama.. Kemana-mana mama pergi, mesti orang tanya mama, mana anak bertuah mama tu... mama serba salah nak jawab. Kata diorang sebab mama dah tua, jadi anak ikan mama dah cari mama ikan yang baru... hu hu hu.." Mama dihujung sana kononnya menangis tak berlagu. Bunyi ketawa Marwan pecah.
"Apa pulak yang anak ikan ni ma? Diorang tak tahu ke I ni sugar you, mama?" Aku menyambung. Nak sangat kan?
"Itulah I dah bagitahu diorang you sugar I.. tapi diorang cakap you terlalu manis untuk bergelar sugar sayang... You sesuai kalau dipanggil 'honey'."
Pecah lagi tawa Marwan dibelakang mama. Aduh, aku dengan mama ni macam ni lah. Kadang-kadang dua-dua boleh jadi gila kalau dah masuk babak drama yang penuh kegilaan.
"Apa bising-bising ni, yang? Sampai ke atas bunyi si Wan ni duk mengekek." Suara walid pula kedengaran mencelah.
"Saya tengah sembang dengan honey I ni, abang. You jangan jealous tau. Kalau you jealous you tidur bilik sebelah."
Aku tergelak. Mama... mama.. senang je dia bagi amaran dekat walid macam tu. Haha.
"Emm macam-macam lah awak dengan anak awak tu. Wan, kalau kau layan lah mama kau dengan si Yan tu jawapannya tak ke mana lah kita. Jom, ikut Walid pergi surau. Jangan lupa bagitahu honey awak tu pasal keluarga bakal besan kita tu."
Hujung ayat walid tu aku tak seberapa jelas tapi bunyinya macam serius.
"Okay abang. Nanti saya bagitahu Yan."
Senyap sekejap sebelum mama menyambung.
"Yan, mama nak bagitahu sesuatu ni..." Mama dah masuk dalam mood seriusnya.
"Apa ma?"
"Keluarga Eisha ada datang minggu lepas. Diorang nak sambung semula ikatan pertunangan Yan dengan Eisha."
Dum! Rasa bagaikan ada sesuatu menimpa kepalaku bila mama sampaikan berita tak terduga itu.
"Ap... apa ma? Ma bergurau ke apa ni?"
"Mama tak bergurau bila melibatkan benda serius macam ni, Yan.. tapi mama dan walid serahkan semua keputusan pada Yan. Yan berhak tentukan untuk masa depan Yan. Kami tak boleh memaksa kalau Yan tak nak dan kami hormatkan keputusan Yan."
Yan nak yerima ke x ni? Ke hati dah terpaut pada Rindu? Tq to all the readers. RMOH
Share this novel