"Saera, tak payah la... Aku boleh balik dengan motor aku. Aku ok la..." Tangan Saera yang sedang memapahku ke kereta Encik Ian, aku tolak.
Saera mendengus lalu menarikkan semula tanganku dan diletakkan di atas bahunya.
"Kau dah dengar sendiri apa yang Encik Yan cakap tadi Aisha. Tolong jangan degil ya? Ni badan kau dah makin panas ni. Kalau kau masih berdegil nak balik dengan motor, aku rasa esok kau mesti mc. Langit pun dah gelap semacam ni, tak lama lagi hujan turun. Elok sangatlah kalau Encik Yan nak hantar kau balik." Saera membebel.
Aku kunci mulut, tak larat nak berbalah dengan Saera dengan kepala makin berdenyut, sesekejap aku picit pelipis kepala.
"Tengok, dah sakit kepala tapi masih ada hati nak ride sendiri," Sempat Saera memerli sambil menjelingku dengan ekor matanya.
"Nanti balik mandi dengan air suam. Lepas tu makan ubat dan tidur awal. Jangan nak berjaga sangat. Kerja-kerja rumah tu minta skip la untuk malam ni. Esok-esok dah sihat, boleh sambung balik." Lepas perli dia titipkan aku nasihat. Aku hanya pasang telinga. Apa yang dibebelkan oleh Saera ada betulnya lagipun dia tahu apa yang aku tanggung selama ini.
Pintu kereta Encik Ian, Saera buka. Ketika dia menolak tubuhku, aku sekali lagi menahan.
"Saera, aku boleh balik sendiri. Kau tolong bagitahu Encik Yan, aku ok je ni. Kepala aku pening sikit je, macamlah kau tak biasa tengok aku macam ni," rayuku dengan harapan Saera akan terima. Sejujurnya aku malu dengan Encik Ian. Malu kerana aku yakin Encik Ian sudah tahu tentang gosip yang melandaku sejak kebelakangan ini. Dan aku takut kalau-kalau dia juga salah seorang yang mempercayai gosip itu tanpa menyiasat terlebih dahulu.
"Ehem!"
Aku dan Saera sama-sama berpaling. Encik Ian sedang melangkah ke arah kami berdua sambil menggalas beg laptopnya. Aku tertelan liur. Tiba-tiba rasa gerun dengan dia lebih-lebih lagi bila air mukanya serius.
"Nak balik sendiri?" Keningnya ternaik sedikit, matanya dipakukan kepadaku.
Aku kebam bibir. Aku kerling pada Saera dan gadis itu cuma mencebik bibir.
"Saya dengar tadi ada orang kata dia nak balik sendiri walaupun dia sendiri tahu yang dia tak sihat. Betul ke Saera?" Dia melontarkan soalan pada Saera tapi dijelingkan ke arahku. Saera turut menjelingku sebelum membalas soalan Encik Ian.
"Emm... itulah encik. Saya dah nasihat orang tu tapi orang tu boleh tahan degil juga. Nampak je lembut, senyap. Tapi sekali degil dia datang, emm.. susah juga nak handle. Auch, sakitlah Aisha!"
Aku menjegil. Kurang asam punya kawan! Suka hati dia mengutuk aku depan Encik Ian. Saera cemberut tidak puas hati. Sempat dia menjelingku sambil mengosok lengan akibat terkena sepit ketam aku. Padan muka!
"Rindu, awak masuk. Saya hantar awak balik."
Muka Saera yang tadinya cemberut tiba-tiba berubah. Keningnya ternaik, mulutnya ternganga. Tentu dia teruja bila mendengar Encik Ian memanggilku 'Rindu'. Sejak dari kejadian Encik Ian memanggilku 'Rindu', Saera cukup kempunan untuk mendengar sendiri kalimat itu keluar dari mulut Encik Ian dan nampaknya hari ini matlamatnya sudah tercapai. Haruslah dia teruja semacam bila ada modal baru untuk mengusikku nanti.
"Saera, awak boleh bawak motor Rindu balik kan?"
Saera yang tadinya ralit mengusikku, kembali menumpukan kepada Encik Ian.
"Emm... bo... boleh encik. Nanti saya bawak balik motor Rindu encik ni balik. Eh, maaf! Maksud saya, motor Aisha."
Aku sekali lagi terjegil. Eh, Saera ni memang nak kena! Encik Ian sembunyi senyum. Malas mahu melayan keduanya, aku terus masuk ke tempat duduk di sebelah pemandu. Dan-dan itu juga kedengaran Saera dan Encik Ian melepaskan tawa mereka.
* * *
"Awak ok tak ni?" Encik Ian berbunyi sebaik sahaja keretanya bergerak meninggalkan pejabat tapak projek jalan Kampung Cekur.
"Alhamdulilah ok," jawabku ringkas, merujuk kepada kepalaku yang tadi berdenyut hebat kini sudah berkurang.
"Alhamdulillah. Tadi kenapa degil sangat nak balik dengar motor? Tengok tu." Dia tunding jari ke langit.
Aku turut talakan ke dada langit. Awan yang tadinya berwarna kelabu pekat mula memuntahkan cecair jernihnya. Dari rintik-rintik halus kini bertukar lebat. Aku menghela nafas. Hati bersyukur kerana dia memaksaku. Kalau tak kerana dia, tentu aku dah basah kuyup.
"Rindu, saya tanya ni... kenapa nak balik dengan motor tadi?"
Aku mengalihkan ke sisi. Tampang wajahnya aku pandang lama. Entah sejak bila, aku jadi rindu untuk dengar dia memanggilku 'Rindu'. Hatiku yang panas sejak akhir-akhir ini menjadi sejuk tatkala dia menyeruku dengan nama itu. Kenapa dengan aku ni?
"Rindu?" serunya lagi sambil melirikkan matanya kepadaku.
Bibirku bergarit senyuman kecil.
"Saya tak nak susahkan encik." Hanya itu yang keluar dari ulas bibirku walaupun itu bukanlah alasan yang paling kukuh.
"Tak nak susahkan saya atau awak tak nak ada other rumors?" tekanya.
Seperti sangkaanku, dia sudah tahu. Aku mengalihkan mataku darinya.
"Encik percaya?" aku menduganya. Aku mahu tahu sama ada dia sama ataupun berbeza dengan yang lain.
Dia tidak segera menjawab, hanya tenang mengawal pemanduannya. Wajahnya juga bersahaja, seolah-olah langsung tidak terkesan dengan soalanku.
"Ada sebab untuk saya percaya?"
Keningku langsung bertaut dengan jawapannya. Semudah itu? Kalau dulu bukan main lagi dia menyindir aku bila lihat aku dengan Rizqi berdua di kabin 1, tapi sekarang dengan cerita yang sudah tersebar merata dia tidak percaya?
"Pokok tak akan bergoyang sendiri kalau tak ada angin. Tapi boleh jadi pokok tu bergoyang sebab ada kera liar bergayut atas pokok tu." Dia menambah
Keningku makin berkerut. Apa kena mengena dengan kera liar pulak ni? Denyutan di kepala yang tadinya sudah hilang, kini muncul semula.
"Tiga hari saya tak ada dekat sini, tak sangka macam-macam cerita yang akan saya dengar pasal awak. Nak kata saya percaya, rasanya... lebih kepada tak. Tapi saya nak dengar penafian rumors tu, boleh ke?"
Entah bagaimana caranya daripada dahiku berkerut seribu tadi tiba-tiba boleh hilang macam tu saja dengan permintaannya yang aku rasa agak berbudiman itu. Hatiku sekali lagi terasa lapang dengan caranya.
"Kenapa encik nak dengar penafian saya? Kenapa tak percaya terus macam yang lain?"
"Awak nak saya percaya?"
"Saya tak paksa."
Dia senyum dulu sebelum bertanya kepadaku.
"Awak pernah dengar, sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tiada gunanya?"
Mulutku sedikit terbuka mendengarkan Encik Ian mengeluarkan satu peribahasa lama. Dulu berpantun, sekarang berperibahasa. Agak-agaknya Encik Ian Ibrahim dulu pernah masuk kelas aliran sastera kut itu yang berpuitis semacam saja.
"Rindu, saya pernah tuduh awak dengan Qi dulu dan saya tak nak ulang lagi silap yang sama. So, awak anggaplah dengan cara macam ni saya boleh bayar hutang saya pada awak."
Keningku bertaut kembali. Hutang? Hutang apa maksud dia?
"Hutang apa ni encik? Saya rasa kita tak pernah berurus niaga. Jadi kita memang tak ada hutang, kan?" nafiku setelah mengimbas kembali apa yang terjalin di antara kami semenjak kami kenal.
"Bukan hutang duit tapi hutang kepercayaan."
Aku blur. Tak faham apa maknanya.
"Saya pernah tuduh awak dan saya tak nak tuduh awak untuk kali ke dua. So, saya lebih prefer untuk dengar dulu penafian awak berkaitan dengan rumours yang saya dah dengar hari ni."
"Encik jangan risau. Encik tak ada hutang apa-apa dengan saya. Kita dah pun selesaikan hari tu dan rasanya kita memang dah 0-0." Tekanku. Semuanya sudah jelas tempoh hari. Kalau tak, tak akan wujudnya nama Rindu dan Brahim!
Dia berdecit tak puas hati.
"Masalahnya... itu pihak awak, Rindu. Bagi awak, semua ni mungkin dah selesai. Tapi bagi pihak saya, hutang tetap akan jadi hutang. Dan saya seorang manusia yang tak suka berhutang. Selagi hutang saya tak terlunas, selagi itulah saya rasa tak tenang."
Aku makin tak faham. Dari penafian sampai ke hutang. Apa semua ni, Encik Ian?
"Habis, encik nak bayar macam mana hutang tu?"
"Berterus terang dengan saya."
Aku melopong. Cis, rupanya itu tujuannya! Dia mengenakan aku. Cakap sana, cakap sini tapi itu tujuannya. Dia ni memang sah lelaki spesis mulut candy crush! Bergula! cemuhku dalam hati.
Aku picit pelipis kepala yang makin berdenyut. Kenapalah Saera boleh setuju dengan cadangan Encik Ian? Kenapalah aku perlu berbahas dengan Encik Ian yang suka memutarbelitkan perkara yang simple?
"Awak nak saya bayar sekarang atau kemudian, Rindu?" asaknya sinis, mencabarku.
"Kalau saya tak perlu bayar?"
"Saya tetap akan bayar dan awak perlu terima bayaran hutang saya."
Aku lepas keluh. Sedang elok kereta sudah berhenti di hadapan rumah abi. Kelihatan abi sedang berehat di kerusi malas yang ada di atas pangkin, depan rumahku. Aku dan Encik Ian sama-sama memandang abi. Tanpa ternanti, aku membuka pintu. Sebelum itu aku berpaling ke arahnya.
"Encik, saya keluar dulu. Terima kasih sudi hantarkan saya lagi walaupun rasanya dah tak perlu. Antara kita sebenarnya dah tak ada hutang."
"Saya tetap akan bayar," tegasnya dengan mata masih tertumpu ke abi.
Aku angguk, sedia maklum yang dia boleh tahan degil orangnya. Bibirku bergarit sedikit.
"Encik tak perlu rumitkan keadaan. Kita tak ada apa-apa istimewa yang perlu saya menafiankan rumours tu. Terpulang pada encik nak percaya ataupun tak. Encik tak perlu bayar dan saya tak perlu terima apa-apa bayaran. Kes kita dah settle."
Habis sahaja penjelasanku, dia berpaling.
"Saya tetap akan bayar, Rindu. Kalau bukan hari ni mungkin hari lain. Saya nak awak tahu rumors tu saya tak percaya. Cukuplah awak tahu yang tu."
Lagi, hatiku lega. Aku angguk lalu keluar dari perut keretanya.
"Rindu..." Tak jadi menutup pintu, aku menunduk sedikit.
"Ya, encik?"
"Saya nak jumpa ayah awak," ujarnya lalu menolak pintu bahagiannya.
* * *
Pagi hujung minggu lepas, Mak Long Esah ada datang ke rumah. Ketika itu aku sedang mencuci pakaian yang sudah seminggu berlonggok tidak dicuci. Bukan malas tapi aku tidak sempat mencucinya pada hari bekerja. Sedang aku menyental pakaian, bunyi suara Mak Long Esah memberi salam di luar pintu dapur.
"Mak long..." Aku menyapanya di muka pintu dapur sambil mengesat kesan buih sabun di baju tshirt lusuhku.
Mak long tersenyum tapi riak wajah tua itu tampak gusar.
"Aisha cuci baju?" tegur mak long lalu menapak masuk dan duduk di kerusi meja makan.
Aku angguk. Sepatutnya hujung minggu macam ni aku bekerja di warung mak long tapi disebabkan ada kerja rumah yang perlu aku bereskan, aku minta cuti. Mujurlah mak long memahami kesulitan yang sedang aku hadap.
"Kenapa mak long datang rumah Aishah? Ada apa-apa ke mak long? Warung mak long, mak long tutup ke?" soalku lantas mengambil tempat duduk bertentangan dengannya. Aku jadi tertanya-tanya dengan kemunculannya yang bagi aku bukan biasa-biasa lebih-lebih lagi pada hujung minggu macam ni.
Tanganku yang sejuk kesan lama bermain air, mak long capai dan genggam erat. Mataku tertumpu ke situ. Makin tertanya-tanya aku jadinya. Kenapa dengan mak long ni?
"Abi Aisha ada?"
"Ada. Baru je tidur lepas makan ubat. Mak long nak jumpa abi ke?" Aku tetap menjawab walaupun soalanku tidak dijawab oleh mak long.
Mak Long Esah menggeleng. Dahiku makin ketara berkerut dengan gelengan itu. Tidak semena-mena aku berdebar.
"Mak long, kenapa ni? Ada apa-apa yang mak long nak bagitahu Aisha ke?"
Mak long merenung mataku dengan tatapan redup. Pipiku dia sentuh dan aku membalas tatapannya.
"Aisha... Aisha tahukan yang mak long sayang Aisha sama macam mak long sayangkan anak-anak mak long. Mak long tak pernah anggap Aisha dengan Mateen orang luar semenjak dari mak long bela Aisha. Mak long tak sanggup nak sembunyikan dari Aisha lagi. Mak long tak nak Aisha rasa mak long ketepikan perasaan Aisha dan paksa Aisha terima yang bukan kehendak Aisha."
Bila mak long sebut sahaja begitu, jantungku makin laju berdegup. Aku tak tahu apa yang terjadi tapi yang pasti aku tidak senang dengan luahan hati mak long itu.
"Ap... apa yang mak long cakapkan ni? Kenapa ni mak long?" Tangannya di pipiku, aku tarik ke bawah lalu menggenggamnya lebih kuat dari genggamannya tadi.
"Aisha... Aisha ingat lagi tak dengan anak Pak Wahid yang sekelas dengan Aisha masa sekolah dulu tu?"
Aku tergemap. Mataku terkejip-kejip. Sekejap, anak Pak Wahid? Siapa? Aku blur.
"Aisha dengar tak mak long tanya ni?"
Aku termangu lagi. Anak Pak Wahid, maksudnya... Ashif? Khairul Washif bin Wahid?
"Mak long tanya Aisha tadi pasal Washif, anak bongsu Pak Wahid?"
Mak long angguk saja.
"Kenapa dengan dia?"
"Dia ada masuk merisik Aisha dua hari lepas."
Aku melopong. Washif masuk merisik aku? Gurauan apakah ini Ashif?
"Mak long tahu Aisha tak akan terima Ashif sebab Aisha dah ada Burraq, kan?
Lagi sekali aku melopong.
Sekian lama tertangguh n mcri masa nak sambung. Hari ni lega dpt tekan butang publish. Tq to all the readers. :) Maaf kalau ada sebarang typo ya. Typo mengekoriku rapat!
Share this novel