Bab 1 : Rindu.

Romance Series 78737

~Keep going.. Everything will come to you at the perfect time.~

Oktober 2014.

"Aisha, nanti Aisha tolong kemas meja makan nombor 5 tu ya?"

Mak Long yang sedang membungkus nasi lemak menoleh sedikit ke arahku yang tengah membungkus air milo panas untuk pelanggan yang sedang menanti di meja makan dihujung sana.

"Baik Mak Long nanti Aisha kemaskan," sahutku lantas memasukkan beberapa bungkusan air yang sama ke dalam satu plastik yang bersederhana saiznya lalu dibawakan kepada pelanggan yang sedang menanti. Sempat aku selitkan sebungkus karipap sardin ke dalam plastik itu.

"Ini airnya Pak Ajis. Lima bungkus air milo, Rm 7.50."

"Tak ada diskaun ke hari ni Aisha?" tanya Pak Ajis sambil menyeluk poket baju kerjanya dan mengeluarkan sekeping not merah untukku.

"Tak ada Pak Ajis. Hari ni Aisha tak nak bagi diskaun dekat Pak Ajis sebab Pak Ajis datang lewat hari ni. Kalau Pak Ajis datang awal, Aisha boleh bagi diskaun ten percent," balasku sambil menyambut huluran itu dan berlalu ke meja kaunter untuk mengambil duit bakinya.

"Ni balancenya, Pak Ajis. Nanti kerja elok-elok ya. Kalau jatuh, bangun sendiri tau. Aisha tak dapet nak tolong," selorohku lalu meletakkan baki duit itu di telapak tangannya.

Pak Ajis senyum lebar. Baki disimpan kembali ke poket baju kerjanya. Aku segera bergerak ke meja nombor 5. Pinggan yang tinggalkan oleh pelanggan, aku kutip dan menyusunnya secara bertindan bagi memudahkan kerjaku untuk membawa ke tempat cucian.

"Kata tak ada diskaun, ni apa?" soal Pak Ajis sambil membuka plastik makanannya, memeriksa kalau-kalau ada bungkusannya tertinggal. Dia kini sudah berdiri di hadapan ku, berdekatan dengan motor buruknya menandakan yang dia sudah bersedia untuk bergerak dari warung Mak Long, ibu saudara ku iaitu kakak kepada Abi ku.

Aku tersengih.

"Itu Aisha belanja. Pak Ajis tolong doakan Aisha cepat-cepat dapat kerja ya?" pintaku seperti biasa.

Aku sebenarnya budak lepasan diploma perubatan dari kolej kesihatan di selatan tanah air. Sementara menunggu graduasi dan mendapatkan panggilan kerja, aku bekerja di warung mak long bagi menampung pembelanjaan keluargaku memandangkan kesihatan abi semakin tidak mengizinkan untuk terus bekerja.

"Emm.. yelah, Pak Ajis doakan. Tapi kalau Aisha dapat kerja dekat bandar nanti, siapa nak tolong Mak Long Esah buat air lagi?" Pak Ajis menyoalku pula. Berkerut dahi orang tua itu. Pak Ajis, salah seorang pelanggan tetap di warung mak long. Setiap pagi sebelum ke ladang sawitnya, dia mesti singgah di sini untuk bersarapan.

"Ala... nanti Aisha bukalah sesi temuduga, cari pembuat air terbaik dekat kampung ni untuk gantikan tempat Aisha." Aku berseloroh lagi dengan tangan pantas membuat kerja mengelap meja.

"Apa susah-susahnya Aisha, Aisha tak payah la kerja dekat bandar tu. Kerja je dekat sini terus, bukannya tak ada hasil, kan?"

"Alah bang Ajis, Esah ni dah puas memujuk si Aisha ni... Minta dia terus kerja dengan saya, eh nak jugak cari kerja dekat bandar tu..." Mak Long tiba-tiba menyampuk.

Aku toleh kepada mak long yang tangkas membungkus nasi lemak. Pelanggan yang tadinya berbaris panjang menunggu giliran kini sudah mulai surut. Sudah masuk angka ke 9 pagi. Biasanya angka sebegini, pelanggan sudah lenggan. Masing-masing sudah berkejaran ke tempat kerja. Ada ke sekolah dan ada juga ke ladang.

Antara menu yang paling laris dekat sini semestinya nasi lemak sambal paru dan sambal kerang air tangan mak long. Perghh mantop! Meleleh air liur.

"Bukan Aisha tak nak la mak long.. Aisha kan ada kelulusan. Aisha mesti lah nak guna ilmu yang Aisha belajar tu, untuk bantu orang. Nanti kalau Aisha ada cuti, Aisha balik lah sini tolong mak long dekat warung ni," balasku kepada mak long. Mak long menjeling dengan jawapanku. Jawapan yang sudah biasa meniti di bibirku. Jelingan mak long, aku hanya balas dengan sengihan.

"Emm... yelah tu kalau balik nak menolong mak long. Entah-entah bila Aisha kerja dekat luar sana tu, tersangkut dengan doktor-doktor kaya, hensem, terus tak jadi nak balik kampung jenguk mak long dah." Mak long mencebik. Merajuk pulak dia.

Aku tergelak kecil dengan telatah mak long. Kaki bergerak ke arahnya dan tubuhnya aku rangkul dari sisi. Pipinya yang tembam aku kucup geram.

"Jangan lah cakap macam tu. Tak kan lah Aisha ni nak lupa dengan orang yang selalu ada dengan Aisha sejak dari Aisha kecil. Orang yang asuh dan didik Aisha dari kecil sampai Aisha besar macam ni."

Aku memang rapat dengan mak long. Sejak dari kecik, aku tinggal dengan mak long selepas abi dan umi berpisah. Aku mempunyai empat saudara kandung dan aku yang ke-tiga. Abang dan kakak tinggal dengan umi manakala aku dan adik lelakiku tinggal dengan abi. Hubungan kekeluargaan kami tidak sempurna seperti keluarga orang lain. Kami berpecah belah. Kami tidak sempurna. Kami lompang. Dan aku, sudah biasa dengan perkara yang dipanggil, 'kena tinggal'.

"Merajuk lah mak long dengan Aisha."

Aku ketawa lagi.

"Mak Long ni kan, merajuk pun comel. Patut lah Pak long sayang dekat mak long ni." .

"Susah-susah sangat kau kahwin kan saja Aisha ni Esah. Habis cerita. Senang. Tak payah lagi dia nak kerja dekat bandar tu." Pak Wahid yang dari tadi hanya melihat drama antara aku dengan Mak long, menyampuk. Matanya dihalakan tepat kepadaku. Akhbar harian terkini masih setia ditangannya seperti selalu.

Mak long menjeling Pak Wahid sekilas. Agak berubah sedikit wajah mak long.

"Aku ni bukan tak nak kahwinkan Aisha ni Wahid. Cuma, bukan bidang kuasa aku nak kahwinkan dia. Dia masih ada abi dia... ada umi dia... aku ni cuma tolong jagakan dia saja." Mendatar saja Mak Long membalas.

Aku lepaskan tubuh Mak Long. Kepala disebalik tudung, aku garu. Dah kenapa tiba-tiba masuk topik kahwin pula ni. Enjin motor Pak Ajis kedengaran dan lelaki tua itu berlalu pergi tanpa sempat aku berbual panjang dengannya seperti selalu.

"Belum ada jodoh lagi lah Pak Wahid." Aku membalas sebelum berlalu ke meja yang baru sahaja ditinggalkan oleh pelanggan.

"Senang-senang Aisha kahwin je dengan anak bongsu Pak Wahid, nak?" Pak Wahid tiba-tiba menawarkan sesuatu yang diluar jangkaanku.

Terhenti pergerakan tanganku yang tangkas mengemas meja.

"Eh?" terbeliak mataku.

'Anak bongsu Pak Wahid? Si Washif tu? Emm... tak apalah Pak Wahid... Aisha tak berminat.' Aku menjawab dalam hati.

Washif, lelaki yang berjaya kenakan aku dua tahun lepas. Lelaki pertama yang tegar mempermainkan perasaan suciku. Argh benci sungguh bila ingatkan tentang kenaifan seorang Rindu Aisha Medina!

"Bukan ke si Ashif tu dah nak bertunang, Wahid?" Tiba-tiba Mak Long menyoal Pak Wahid, aku toleh semula kepada Mak Long.

'Ashif dah nak bertunang? Haaa elok sangatlah kalau dia dah nak bertunang. Harap-harap lepas ni, janganlah lelaki tu muncul depan aku lagi.' Hatiku berbisik sedikit jahat. Aku geram dengan Washif. Suka sangat datang melepak dekat warung mak long kalau lelaki itu balik bercuti dari pengajiannya. Kalau dia datang melepak saja, aku boleh terima. Ini tidak, dia sibuk mengacau aku bekerja.

Isu pertunangan Washif? Entah dari mana Mak Long dapat sumber itu pun, aku tak tahu. Kalau betul, aku mendoakan hubungan itu berkekalan hingga ke akhir hayat.

"Bertunang apa nya... Tak jadi. Budak tu orang luar, aku tak suka. Isteri aku pun tak suka. Aku suka kalau menantu aku tu... perempuan macam Aisha ni haa. Dah lama aku berhajat nak jodohkan Aisha dengan si Ashif tu kalau Aisha tak ada masalah. Lagipun Aisha dah lama kenal dengan Ashif kan? Sejak dari zaman sekolah lagi kan?"

Mataku membulat. Aishh topik ni dah jadi makin parah nampaknya ni! Sedetik dua, sepi menyelit ruang. Aku dan Mak Long saling berpandangan. Tangan mak long yang tadinya ligat membungkus nasi lemak juga turut terhenti. Sebentar kemudian, kedengaran mak long ketawa yang sengaja dibuat-buat.

"Apa kau ni Wahid cakap macam tu... Cara kau bercakap tu macam kau tengah merisik anak saudara aku pulak. Wahid... Wahid... kau ni nak bergurau tak kena tempat betul..." Mak Long selit ketawa canggungnya disebalik ayat yang baru sahaja keluar dari mulutnya.

Pak Wahid cuma senyum dan sambung membaca surat khabarnya. Aku pula tarik nafas lega bila Pak Wahid tidak lagi berminat untuk menyambungnya. Sah, memang dia bergurau je tu Aisha.

*          *           *

Aku menatap skrin telefon. Baca sekali lagi kiriman pesanan ringkas dari Husna, kawan baikku.

_Kau nak kerja tak ni? Klinik aku tengah cari orang ni. Ada kekosongan tapi bukan lab la. diorng nak nurse. Tapi kalau kau berminat,aku boleh try kawtim dengan Dr.. Ke kau nak stay kerja dekat warung mak long kau tu sampai bila-bila? Lau langsung tak nak try kerja dekat tempat lain?_  ~Husna.

Aku picit pelipis kepala. Isu kerja lagi. Ini bukan kali pertama Husna mengajak aku ke Kuala Lumpur untuk bekerja. Kerja sementara, sebelum aku dapat panggilan kerja tetapku dalam bidang perubatan, makmal perubatan..

Aku kemam bibir. Apa yang aku perlu balas ya? Aku bukan tak mahu keluar dari kampung , cuma aku terfikirkan keadaan abi yang tak seberapa sihat. Tambahan pula adikku, Aish Mateen tinggal di asrama. Dia sedang sibuk dengan persediaan peperiksaan Spm. Keadaan inilah yang merunsingkan aku.

_Na, bukannya aku tak nak tapi abi aku tak sihat sekarang ni. Mateen pulak duk asrama. Kalau aku pergi sana, siapa nak tengok-tengokkan abi aku?_  ~Aisha.

_Abi kau sakit teruk lagi ke?_  ~Husna

_Iya. Makin teruk. Itu yang aku risau nak tinggalkan abi sorang-sorang. Abi dah tak boleh kerja sekarang ni. Selagi ada warung mak long, aku kerja je dekat situ. Lagipun mak long bagi aku upah, dapatlah aku tolong beli barang dapur._ ~Aisha.

Tiba-tiba mataku basah mengenangkan nasib keluarga kami. Abi sudah setahun tidak dapat bekerja di ladang seperti biasa. Abi menderita sakit jantung. Umi pula sudah bertahun sepi dari kami bertiga. Begitu juga dengan Aish Mueez dan Rindu Asiah Nafeesa. Mereka langsung hilang dari radar. Kenapa... kenapa kami harus diuji begini?

"Aisha..." Abi menyeru namaku dari biliknya sedikit sebanyak menyentakkanku dari terus mengenangkan nasib ku. Laju tangan menyapu sisa air mata di pipi lalu menapak keluar dari bilik tidur ku.

"Ya, abi? Abi nak air?" tanyaku lantas duduk di birai katil usang milik Abi. Wajah Abi yang semakin cengkung itu aku tilik.

Abi senyum nipis, tangannya di angkat lalu diletakkan diatas kekura tanganku.

"Aisha, abi cuma nak cakap. Tadi Pak Ngah ada datang sini melawat abi. Dia ada bagitahu abi, ada satu projek jalan di kampung kita tengah cari orang untuk jawatan kerani. Aisha nak cuba?"

Isu kerja lagi. Sudah tiga kali isu ini dibangkitkan untuk hari ini sa.ha.ja.!

"Abi... kan Aisha dah kerja, tolong mak long di warung. Tu kerja Aisha sekaranga." Alu membalas lembut, tak mahu kecewakan hati Abi.

"Abi tahu. Mak Long pun ada call abi tadi... dia pun tahu pasal projek jalan tu dan dia pun tak kesah kalau Aisha nak kerja dekat sana. Jadi, apa kata kalau Aisha cuba kerja dekat sana..."

"Tapi abi..."

Abi deras memotong ujahanku.

"Shyy... dengar sini Aisha anak abi. Aisha anak perempuan abi yang paling abi sayang. Abi rasa bersalah dengan Aisha. Aisha belajar tinggi-tinggi nak capai cita-cita Aisha tapi sebab kesihatan abi, Aisha terpaksa lupakan cita-cita Aisha. Maafkan abi puteriku..."

Tersentak aku dengan luahan Abi.

"Abi... abi tak salah..."

Abi memintas lagi.

"Aisha.. sekarang abi dah tak boleh kerja macam dulu. Hidup kita pun dah tak sempurna macam dulu. Hanya Aisha tempat abi dan Mateen bergantung harap. Aisha kerjalah dekat sana. Dapat gaji lebih sikit dari kerja dekat warung mak long. Sekurang-kurangnya dapat juga Aisha simpan duit sikit sebelum Aisha dapat panggilan kerja tetap dekat bandar nanti."

Aku menunduk. Tangan kami yang bertaut itu aku pandang lama.

Bab 1. Kehidupan Aisha yang serba kekurangan. Walaupun cerita ini direpublish, saya publish satu persatu. Cek kot2 ada typo. Tq to all the readers. RMOH.

Share this novel

Mary Janggu
2023-03-05 12:05:26 

Hashim
2023-03-04 21:22:08 

awal2 dah sedih


NovelPlus Premium

The best ads free experience