Bab 14 : Ian

Romance Series 78737

Lepas waktu rehat tengahari baru aku masuk ke pejabat. Kalau diikutkan badan penat, sumpah aku rasa malas masuk kerja. Baik cuti terus satu hari tapi disebabkan esok ada Mesyuarat Tapak 03 di antara kontraktor dengan pihak klien dan beberapa lagi pihak yang terlibat, terpaksa aku batalkan niat yang satu itu.

Aku sebenarnya baru tiba dari Kuala Lumpur, menghadiri kursus berkaitan dengan alam sekitar selama tiga hari. Alang-alang sudah sampai KL, aku jenguk walid dan mama dan menziarahi atuk di Hospital Kuala Lumpur sekali. Alhamdulillah kesihatan atuk semakin membaik. Aku berdoa semoga atuk terus diberikan kekuatan untuk bertahan sehingga amanat yang diberikan kepada aku, mampu aku tunaikam sebelum dia menutup mata.

Masuk saja ke pejabat, Kemal dan Zulhelmi sedang berbual kosong. Keduanya nampak tercenggang dengan kemunculanku.

"Apa hal?" sergahku, tak selesa diri dijadikan bahan eksperiment.

"Rajin kau masuk office, Yan. Dah sekerat hari dah kut. Kenapa tak cuti terus hari ni?" Kemal bertanya.

"Niat tu memang ada, Mal. Tapi itulah esok miting. Aku takut esok tak sempat nak cek laporan aku. Miting pagi kan esok." Aku terus berlalu ke meja kerjaku dan keluarkan laptop dari beg galasku.

"Oo patutlah. Itulah suka sangat buat kerja last minit." Kemal membebel seumpama mengata kepada diri sendiri.

"Kerja last minit tu kau, Mal. Jangan tunding jari dekat orang lain. Satu tunjuk orang, empat lagi tunjuk kau. Haa... ingat tu," selorohku. Zulhelmi menhemburkan tawanya. Kemal menggeleng.

"Tiga hari aku cuti ni, ada apa-apa info terbaru tak?" tanyaku lagi sekadar mahu mengambil tahu padahal semua maklumat sudah sampai ke telingaku. Maklumlah sekarang ni segala-galanya di hujung jari.

"Info pasal kerja ke pasal peribadi?" Zulhelmi mula mengusik. Aku mengerlingnya dengan ekor mata. Tanganku mula mengusik tetikus, membuka folder yang berkaitan dengan kerja-kerjaku.

"Kita tengah kerja kan, Mie?"

Zulhelmi menhamburkan lagi tawanya.

"Eh, apa cerita yang kecoh dalam group hari tu? Sorry lah aku tak mencelah, busy-busy."

"Huh isu banjir." Suara Zulhelmi berubah.

Aku yang mendengarkan isu itu tiba-tiba rasa tidak senang hati. Banjir, alamak parah ni!

"Minggu ni heavy rain. Nak-nak lagi 3 hari lepas. Hampir 8 jam hujan non-stop. Air jadi bertakung dekat chainage 2500+ tu macam kolam. Air bertakung sebab flow anak sungai tu kita ubah dan pasang culvert. Culvert yang kita pasang tu tak mampu nak tambung jumlah air. Apa lagi, pecahlah kita punya dumping soil dekat situ. Habis kampung-kampung dekat situ kena banjir lumpur."

Aku tepuk dahi. Ini bukan isu main-main ni. Yang paling teruk kena hentam dah tentu pihak kontraktor. Masak nak menjawab dalam bilik mesyuarat esok.

"Habis tu sekarang macam mana dah?"

"PM dah minta workers pergi bersihkan kawasan tu. Lumpur tu kita dah minta backpusher tolak. Orang kampung marah betul dengan kita." Tambah Zulhelmi lagi.

"Itulah masalahnya, PM tu tak nak dengar nasihat ketua kampung. Kan hari tu Encik Wahid tu ada datang bincang dengan kita pasal chainage dekat situ ada anak sungai. Kalau bukan musim tengkujuh, memang nampak biasa je level air tu... nampak tenang and steady je. Tapi kalau dah masuk musim tengkujuh tu, hurmmm faham-faham la sendiri. Kita ni bukannya duduk kawasan landai. Ni kawasan berbukit kut. Kawasan tadahan air hujan, sekali heavy rain macam tiga hari lepas, naya."

Aku angguk setuju dengan pendapat Kemal. Semua itu perlu dikaji selidik dulu sebelum membuat apa-apa keputusan. Pendapat orang kampung sebagai penduduk yang sudah lama bermastautin di sini juga perlu diambil kira. Orang kata, mereka terlebih dahulu makan garam berbnding dari kami yang baru kenal Kampung Cekur baru 3 bulan.

"Biasalah Mal... Kadang-kadang projek-projek macam ni lebih kepada nak cut cost. Padahal kalau dekat situ letak bridge pun rasanya lebih selamat untuk orang kampung. Tapi itulah, mainan projek macam ni... selagi boleh save budget, selagi itulah cuba cut cost. Benda nak mudah." Aku mengeluarkan hujahku pula.

Bukannya aku tak tahu mainan orang atasan macam mana. Aku pun pernah duduk di atas malah aku 'masih' duduk di tampuk yang sama cuma sekarang aku terpaksa turun tahta sekejap.

"Masalahnya Yan, yang dapat susah nanti orang kampung tahu. Kalau berlaku kejadian macam ni lagi di masa depan, kau rasa diaorang akan berdiam diri ke? Silap-silap masuk dalam berita nama company dan projek ni." Zulhelmi pula meningkah.

Ini pun aku setuju. Sambil ralit memeriksa report bulanan kualiti air, udara dan bunyi yang aku lakukan pada bulan lepas, aku membalas.

"Ini yang disebut sebagai integriti, Mie. Kalaulah setiap orang ada sikap kejujuran, ketulusan, keikhlasan dan keutuhan kepada setiap peraturan yang digariskan, tak kan adanya wujud istilah kerja sambil lewa. Kerja asal siap, kerja asal boleh."

Kali ini Kemal dan Zulhelmi mengangguk, setuju dengan hujahanku.
Kabin kami senyap selepas itu. Aku meneruskan kerjaku. Kemal dan Zulhelmi juga menyiapkan laporan mereka yang tertunggak. Baguslah masing-masing sibuk. Esok, hari penting.

"Yan, sebelum aku lupa kau tak nak tahu ke pasal Aisha?"

Aku angkat muka dengan kening berkerut, baru sekejap tadi aku puji diorang ni sekarang dah berbunyi balik? Kemal menaikkan keningnya, mengusikku.

"Kenapa pula dengan dia, Mal? Nak bagitahu, bagitahu jelah." sahutku berbasa-basi. Lebih kepada malas nak melayan kerenah diorang sebenarnya. Semua tu nak mengenakan akulah tu. Skrin laptop kembali aku tenung.

"Aku ada dengar workers duk bergosip, Aisha tu dah nak bertunang."

Sebaris ayat yang dimuntahkan oleh Kemal membuatkan aku kejung. Tubuh terasa macam terkena renjatan elektrik. Buzz... buzz... Lambat-lambat bebola mata aku lirikkan kepada Kemal. Dia masih sama seperti tadi, tersengih nakal termasuk Zulhelmi.

"Emmm itulah kau. Melepaslah aku nak tengok kawan aku ni bersanding dengan Aisha tu. Kau lah ni Yan, lambat sangat try si Aisha tu. Kan dah melepas." Kemal membidas, tidak puas hati.

Keningku ternaik, dalam banyak-banyak Kemal membidas hanya satu yang aku peka iaitu, 'aku bersanding dengan Rindu'. Aku dengan Rindu? Serius ke aku dengan dia? Kalau aku serius, dia pula macam mana?

"Yan, kau dengar tak ni? Ke telinga dah jadi sound trouble bila dengar Aisha nak bertunang?" Kemal menepuk mejaku.

"Dia shocked la tu, Mal. Gadis idaman hati bakal disambar orang tak lama lagi." Zulhelmi pula menokok.

Ayat Zulhelmi berdengung. Entah, aku rasa tak senang. Tak selesa. Rindu bakal disambar orang? Aku berdeham kecil, kawal air muka agar tidk dapat dikesan oleh dua makhluk yang sedang merenungku tidak lepas.

"Betul ke? Bila Rindu... eh bukan... Bila Aisha nak bertunang tu?"

"Amboiii... tersasul nampak. Kau sebut apa tadi, Rindu ya? Belum apa-apa lagi dah be'rindu-rindu' ya?" Kemal masih dalam mood mengusik. Dia tak tahu yang jantung aku ni bagaikan tengah buat rusuhan dari dalam, berdebar lain macam.

"Kau ni, Mal. Seriuslah sikit. Tak support kawan la kau ni." Zulhelmi mencelah, sesekali dia mengerling aku yang tengah merah padma menahan rasa yang terbuku di hati. Aku tak suka perasaan macam ni!

"Ok-ok aku serius. Aku ada dengar, diorang cakap awal tahun depan. Tapi aku tak sure lah tu betul ke tak. Yan, kalau kau rasa nak caras, masih sempat lagi ni. Aku sebagai kawan kau, aku sokong kalau kau nak kidnap si Rindu Aisha Medina tu. Kau bawak dia lari, nanti aku tolong call tok kadi."

Zulhelmi mencelikkan mata. Bahu Kemal dia tepuk kuat.

"Weh, kau gila Mal? Kau ingat budak Aisha tu anak ayam ke, kau nak Yan bawak lari? Apa punya plan la kau ni."

Aku hanya diam. Sembunyikan perasaan resahku. Telefon di sisi aku gapai. Seminggu ni aku langsung tidak berhubung dengan Rindu. Aku dan dia sama-sama sibuk dengan tugasan hakiki. Tak sangka hanya beberapa hari tak bertemu mata, aku dikejutkan dengan berita begini.

"Eh, dah nak masuk asar la. Aku nak round site sekejap lepas tu singgah masjid. Kau, Mal?" Zulhelmi sudah tegak berdiri sambil mengemas meja dan beg galasnya.

"Aku ikut kau lah. Emm... Yan, kita jumpa esok ya?" Kemal turut bangkit lalu mengekori Zulhelmi yang sudah berlalu ke pintu Kabin.

* * *

Usai menunaikan solat fardu asar di surau yang disediakan, aku berlalu ke bumblebee kesayanganku. Sebelum masuk ke perut kereta, baru aku teringat yang laporan yang aku siapkan tadi masih belum diserahkan kepada Saafia untuk dikemaskini sebelum mesyuarat esok.

Baru saja tangan mahu mengetuk pintu Kabin 1, terdengar suara Saafia bertanyakan sesuatu kepada Haira.

"Kak Haira dah tegur ke Aisha pasal tu?"

Nama yang disebut Saafia itu sedikit sebanyak menarik minatku. Dari mahu mengetuk pintu, aku jatuhkan semula tangan ke sisi. Kepala aku dekatkan ke pintu, mencuri dengar perbualan mereka.

"Belum lagi Saa. Nak tegur juga Aisha tu tapi risaulah pula kalau dia terasa dengan kita."

Haira menjawab dengan nada serba salah.

"Itulah kak... Saa pun rasa serba salah nak tegur tapi kalau tak tegur, takut melarat pula."

"Puan Hana pun dah banyak kali chat akak tanya siapa kerani baru tu... dia takut Encik Haikal suka dekat Aisha tu kut. Adalah tu kut siapa spy Puan Hana dekat-dekat sini. Kalau tak, macam mana dia boleh tahu yang Aisha dan Saera kerap tumpang kereta Encik Haikal bila naik office atas."

Aku bergarit kening. Puan Hana? Isteri Haikal?

"Hari tu Kak Haira kata ada ternampak Qi dengan Aisha dekat pantry kan? Diorang buat apa?"

Dengar saja nama Qi atau Rizqi disebut meresahkan aku. Qi jumpa Rindu? Mereka buat apa? Aku kemam bibir, hish kenapalah banyak sangat cerita yang jadi sepanjang tiga hari aku tak masuk pejabat?

"Kak Haira tak tahu tapi nampak macam Qi tanya Aisha soalan tapi Aisha senyap, tak jawab. Qi... akak rasa dia sukakan Aisha."

Aku terbuntang. Nampaknya bukan aku seorang saja yang berandaian begitu. Qi memang sukakan Rindu!

"Eh, ye ke akak? Tapi akak pun tahu kan yang Qi tu dah ada tunang? Nak ke tunang dia datang sini dan serang Aisha tu? Kita bukannya tak kenal dengan Maria tu macam mana..."

Aku sekali lagi tergemap. Qi dah bertunang tapi masih sibuk nak tackle Rindu aku? Hish kau sengaja nak cari nahas, Qi!

"Itulah, akak tahu Qi dah bertunang. Ini yang makin akak tak senang hati, Saa. Aisha macam tak ada apa-apa. Tak nampak dia melayan sangat Encik Haikal dengan Qi tu. Masalahnya yang membawa mulut ni boleh reka cerita macam-macam. Cerita tak ada pun, boleh kata ada. Kesian juga dengan si Aisha tu."

Perlahan aku angguk, setuju dengan pandangan Haira mengenai Rindu. Itu juga yang aku nampak, Rindu tidak pernah melayan sesiapa tak terkecuali aku. Cuma aku sahaja yang suka mengusik gadis ayu itu.

"Kesian Aisha. Niat dia ikhlas datang sini nak kerja, tolong cari duit belanha nak tampung kehidupan dia tapi macam-macam pula orang syak dia."

Kedengaran Saafia melepaskan keluh. Aku kembali menaikkan tangan, bersedia untuk mengetuk pintu kabin 1.

"Assalamualaikum, Encik Yan."

Demi mendengarkan suara itu, aku berpaling. Rindu... dia berdiri tegak dibelakangku bersama Saera. Ada beberapa fail berkulit tebal dibawa bersama. Saera juga sama.

Wajah yang aku rindu itu, aku tilik seketika. Lingkaran bawah matanya nampak sembab. Wajahnya juga kelihatan pucat, tidak berseri seperti selalu.

"Kenapa encik tak masuk?" tanyanya menghentikan perbuatanku meniliknya. Sekejapan kami berpandangan. Aku mahu bertanya, kenapa dengannya tapi bila difikirkan semula rasanya tidak perlu. Aku ada caraku yang tersendiri

"Nak masuklah ni." Aku menolak pintu bilik kabin dan menapak masuk diikuti dengannya dan Saera.

"Akak, ini fail yang akak minta saya bawa turun," ujarnya sambil meletakkan fail hitam tebal di atas meja Haira. Aku pula berlalu ke meja Saafia dan serahkan laporanku kepadanya.

"Kenapa Encik Yan masuk office hari ni? Bukan ke encik cuti?" tanya Saafia kepadaku.

"Memang saya cuti lagu hari ni Saa tapi sebab ada kerj yang saya nak siapkan sebelum miting esok, saya terpaksa masuk juga. Alang-alang saya dah sampai tengahari tadi, saya datang la sekejap,"

"Rajin Encik Yan ni." Gurau Saafia lantas membelek-belek laporan yang aku serahkan tadi.

"Tak rajin sangat pun sebenarnya, Saa. Tapi kadang-kadang tu kena berlakon jadi rajin juga. Oklah Saa, saya balik dulu." balasku sambil membawa diri ke pintu.

"Kak Haira, Kak Saa, Aisha balik dulu."

Baru saja aku ingin menolak pintu, aku berpaling semula kepada Saafia dan bukk! Belakangku dilanggar sesuatu. Bila berpaling, Rindu tengah mengaduh sambil menggosok dahinya.

"Eh, awak ok tak ni?" Aku menggelabah. Boleh tahan kuat juga pelanggaran itu sampaikan belakang aku pun terasa sakit. Haira, Saafia dan Saera sebagai saksi kejadian itu juga tercenggang.

"Saya ok encik." Dia jawab ok, tapi aku tahu dia tipu. Tubuh tegaknya nampak goyah. Saera segera mendapatkannya.

"Rindu, awak ok tak ni?"

Dia angguk lagi. Kali ini wajahnya menekur lantai.

"Dia datang ofis dengan apa, Saera?"

"Motor, encik"

"Boleh awak tolong bawa balik motor dia? Dia, saya hantar balik. Awak bawa dia ke kereta saya," arahku kepada Saera. Sungguh tanpa sedar aku sebenarnya risaukan Rindu.

"Baik encik."

Alhamdulillah. Jarang-jarang sekali Rindu n Ian muncul. Muncul sbb sy rindu nak kembali tapi ada hal yang lebih penting utk sy tumpukan iaitu cerita AKU JUGA INGIN BAHAGIA 1 DAN 2. Kepada yg bertanya ke mana mereka berdua mghilang, mereka ada tp mereka sdg 'diedit'. TQ yg mana masih menanti karya2 saya. Terima kasih

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience