Bab 12 : Ian

Romance Series 78737

~I want you to know something but i dont know how to tell it. So.i'll let the first three words
of this explain it.~

'Rindu Aisha Medina.' Aku seru namanya dalam hati.

Entahlah apa yang ada disebalik seruan nama itu, efeknya bibirku dengan sendirinya melengkung lebar. Teringatkan pergaduhan kecil kami tadi, aku menggeleng kecil.

'Tak ke aku ni macam budak-budak bila gaduh dengan dia? Yan... Yan... kau kenapa Yan?' keluhku sendiri dengan perangai tiga sukuku.

Aku tersenyum lagi sambil ulang baca balasan gadis itu.

_Tak kuasa lah saya nak ingatkan En. Brahim. Daripada saya ingatkan encik tu, baik saya ingatkan orang lain._ ~Rindu.

Keningku ternaik. Laju jariku membalas mahu mengusiknya lagi. Aku rasa untuk ruangan hobi dalam 'biodata' ku untuk tahun 2014 ni ialah : mengusik si Rindu Aisha Medina.

_Ingatkan orang lain? Siapa agaknya orang bertuah tu? Rasanya orang tu... sayalah kan?_ ~Ian

Aku tergelak besar bila dia membalas dengan emoji kuning 'rollling eyes' lebih kurang 10 emoji itu, nampak sangat dia malas melayan aku.

Bip. Sekali lagi dia mengirimkan pesanan.

Ada telur,
ada ayam,
Tidur-tidur ler,
Udoh malam. _ Rindu.

Ternaik sekali lagi hujung keningku. Pantun? Ringkas sangat tu. Haha

_Pantun ke tu? Haha. Okay Rindu, jangan lupa mimpikan En. Brahim ya? Good night._ Ian.

Hanya satu bluetick, tandanya dia sudah pun off aplikasi WhatsApp.

'Haii... apalah yang dah Rindu tu buat dengan aku sampai aku jadi macam ni ya?' rungutku sendiri dengan bibirku masih tidak lekang dengan senyuman. Cuma sedetik dua, aku teringatkan sesuatu lantas aku menggeleng laju.

'Hish tak boleh jadi ni! Kau tak boleh jadi lemah macam ni Yan! Kau tak serik-serik lagi ke dengan 'perempuan'? Kau dah lupa apa yang Diana dah buat dekat kau, huh?' hatiku menjentik sesuatu membuatkan badanku terus tegak.

Teringatkan sebaris nama Eisha Mardiana atau nama manjanya Diana, membuatkan aku mendidih tiba-tiba. Terhapus terus bayangan gadis yang bernama Rindu Aisha Medina diruangan mataku.

'Dah kenapa pulak aku nak ingatkan si jentik-jentik tu?' rungutku tak puas hati.

Bip. Satu lagi text masuk. Aku kerling telefon ditanganku.

Diana? Macam tahu-tahu saja tiba-tiba dia muncul. Huh!

_Yan, I'm sorry... please forgive me, Yan. I tahu i salah and i dah menyesal. Please, give me an another chance Yan._ ~Diana.

Aku mencemik membaca kiriman itu sambil membayangkan macam mana memek muka si Diana ketika menuturkan ayat itu. Pasti penuh dengan menggeletis dan kepalsuan.

Tak lama ketika, satu panggilan dari Diana menghiasi skrin telefonku. Aku hanya membiarkan deringan itu mati sendiri, malas mahu layan si anak nyamuk ni.

Malasnya naik bingit telingaku dengan deringan yang sama berulang kali menyanyi sampai nak cair tahi telinga. Sudahnya aku putuskan untuk menjawab panggilannya itu. Aku tahu seorang Diana tidak akan mengalah dengan mudah, selagi aku tidak menjawab panggilannya, selagi itulah dia akan menghubungiku.

"Yes?" sepatah dariku.

"Yan, sampai hati you mengelak dari i." suara si anak nyamuk mendengung di telingaku.

Aku berdecit, menyampah tapi apa perlu aku buat? Letak atau dengar apa lagi sandiwaranya? Dalam berkira-kira untuk membalas, terdengar dia mengomel yang membuatkan darahku serta merta mendidih.

"I tahu i ada buat salah dengan you but i'm truly sorry okay. I mintak you bagi i satu lagi peluang untuk kita sambung semua pertun...," Belum habis Diana melakonkan babaknya aku deras memotong.

"Menyesal? Sorry la Diana, aku bukannya bodoh nak percaya permainan kau tu!" tekanku.

"Yan, i..."

"Sekali Diana. Sekali. Cukuplah sekali aku bagi kau peluang untuk betulkan balik perangai tak semengah kau tu tapi ada kau guna peluang tu? Tak. Kau tak pernah guna peluang tu pun. Kau dah sia-siakan peluang yang ada, Diana. Jadi kenapa baru sekarang kau muncul dengan muka tak malu kau tu mintak aku satu lagi peluang? Kau ingat aku akan bagi lagi? Heh Diana, kau dengar sini. Aku Ian, Ian Ibrahim bin Dato' Eidress. Sekali aku ludah, aku tak akan jilat balik ludah aku! Kau kena ingat tu!" tembakku tanpa sempat Diana mencelah.

"Yan... kalau bukan sebab you busy dengan kerja you memanjang, i tak akan buat perangai macam tu... tapi sekarang i dah tak kisah dengan semua tu... I...i minta maaf, i betul-betul menyesal Yan... Please, bagi i satu lagi peluang untuk balik pada you, Yan..." Diana merintih, mengulang balik olahan skripnya ketika dia ter'kantoi' menduakan aku dalam diam dulu.
'Huh, kau memang bodoh Yan! Bodoh sebab mudah terpesona dan terpedaya dengan kecantikkan dan keayuan wajah seorang gadis yang ternampak begitu polos seperti Eisha Mardiana!' cemuhku dalam hati mengutuk diri sendiri.

"Jadi kau masih nak salahkan aku?" Ternaik hujung bibirku, tercabar dengan rungutan Diana. Nampaknya Diana betul-betul ingat aku masih Ian Ibrahim yang lama. Dia belum kenal lagi siap aku yang baru, ya?

"Yan, i bukan nak salahkan you... i cuma nak ingatkan you yang dalam kes kita ni, bukan i seorang saja yang salah. You pun patut terima yang you pun salah..." Diana disana masih cuba bermusyawarah denganku. Makin banyak dia membuka mulut, makin berasap telingaku. Rasa macam ada sekumpulan anak nyamuk sedang bernyanyi riang ditelingaku tapi aku cuba sabarkan hati.

"Diana..." Aku menyeru namanya dengan perlahan, mengunakan suara celah gigiku. Masa untuk aku meledakkan laharku pula.

"Ya, Yan..." Diana menyahut lembut.

Aku menarik nafas panjang lalu aku bertutur dengan suara mendatar tapi ada tegasnya.

"Kalau kau lupa, sini aku nak ingatkan kau balik. 5 tahun Diana. 5 tahun hubungan kita. Kau rasa dalam tempoh yang begitu lama tu, siapa yang curang dengan siapa? Macam yang kita tahu, dalam hubungan kita kau yang buat hal bukan aku. Kau yang terkantoi dengan Tan Sri Eidrees tidur dengan jantan tak guna tu, bukan aku! Dan kau jugak yang terkantoi dengan Puan Sri Intan Seroja lepas check-in hotel, bukan aku! So, salah aku?"

"Yan, I..."

"Listen, aku dah putuskan pertunangan kita. So, jangan gunakan macam-macam alasan untuk nak sambung balik pertunangan tak guna tu! Mana kau letak muka tak malu kau tu lepas apa kau dah buat pada aku? Senang hidup kau ya? Lepas semuanya reda, kau cari aku balik dan mintak dengan aku satu lagi peluang? Kau ingat aku apa hah, perempuan?!” hemburku tak menahan lagi lalu matikan panggilan tanpa sempat Diana membalas apa-apa.

Memang aku marah, memang aku sakit hati. Tipulah kalau sudah tiada sekumit rasa sayang. Tipulah kalau aku kata sudah tiada rasa cinta untuknya lagi tapi aku bukannya lelaki yang cukup baik untuk terima dia begitu sahaja selepas apa yang sudah dia lakukan. Apa pun alasannya, aku tidak akan bagi peluang dan ruang untuknya menyambung semula tali perhubungan kami yang sudah terputus. Titik!
Kalau sekali dia cuba main kotor dengan aku, aku juga akan main kotor dengan dia. Ugut dengan bisness, ini bukan zaman tok kaduk lah! Aku tak akan mengalah dengan semudah tu.
Aku mendengus kasar lantas meletakkan telefon pintarku di ruang katil yang kosong di sebelahku. Malas memikirkan tentang gadis tak tahu malu itu, aku cuba menumpukan perhatianku dengan memikirkan apa yang perlu aku jalankan untuk menyelesaikan misiku. Cepat selesaikan misi, cepat aku boleh balik ke Kuala Lumpur semula. Selagi tak selesai, jangan harap Tan Sri Yunus akan tenang. Laptop yang sedia terpasang diambil dan dibawa ke riba. Jari jemariku mengetik sesuatu dan skrin yang tadinya memaparkan beberapa fail kini sudah bertukar dengan satu carta aliran organisasi.

Tan Sri Yunus and Puan Sri Intan Sahara Legacy. Aku membacanya dan di bawah nama itu ada tiga anak panah ke bawah yang membawa maksud tiga orang generasi ke dua selepas Tan Sri Yunus iaitu Puan Sri Intan Dahlia, Datuk Taqiuddin dan Datin Intan Seroja

'Datuk Taqiuddin.'

Inilah misiku. Misi mencari dimanakah gerangan Datuk Taqiuddin atau pak Ngah yang sudah menghilangkan diri lebih dari sedekad. Tiada maklumat yang terperinci yang aku dapat selain dari aku tahu dia berada kampung Cekur. Hanya setakat itu maklumat yang diperolehi sebelum data mengenainya 'hilang'.

"Mana pun pak ngah menghilang, Yan tetap akan cari pak ngah sampai jumpa dan pulangkan semula hak Yan yang pak ngah dah ambil," tekadku.

* * *

Keesokkannya, dari kejauhan lagi aku nampak Rindu Aisha Medina berlari-lari anak masuk ke ruangan pantri. Ada bungkusan plastik putih di tangannya dan aku yakin itu pasti bekal makanannya. Gadis itu selalu sangat bawa makanan dari rumah. Kadang-kadang aku jadi tertanya-tanya adakah dia mempunyai masalah kesihatan kalau dia menjamah makanan luar ataupun dia ada masalah lain? Contohnya macam... masalah kewangan, mungkin. Iyalah kalau fikir secara logiknya pun, makanan dekat luar boleh tahan juga harganya.

Tengah ralit memikirkan soal Rindu, tiba-tiba telefonku di dalam poket seluar menjerit. Aku seluk poket lalu keluarkan telefon. Aku tarik ke bawah sedikit aviator classic Rayban dari batang hidung ku. Skrin telefon aku kerling. Nama mama menghiasi dada skrin telefonku.

"Assalamualaikum mama.. Morning."

"Waalaikummusalam Yan. Morning. Dah sampai site ke?" tanya mama sekadar permulaan.

Aku disini berkerut dahi. Intro yang bukan biasa-biasa ni. Mesti ada yang mama ingin sampaikan ni. Terasa air menitis di kepalaku, aku mendongak. Awan yang dari paginya kelabu kini sudah mencurahkan tangungganya.

"Sekejap ma..." celahku tanpa menjawab soalan mama. Hujan yang tadinya renyai-renyai sudah bertukar lebat. Aku segera beredar dari tempatku berdiri lalu menapak masuk ke kabin 3, pejabatku.

"Emm Yan dah sampai ma. Baru je. Sini hujan. Kenapa? Ada apa-apa yang mama nak bincangkan dengan Yan ke?" tanyaku sambil mengibas-gibas lengan bajuku yang basah. Kaki dibawa ke meja kerja. Zulhelmi dan Kemal masih belum kelihatan, pasti mereka terus ke tapak pembinaan.

"Hai, tak kan kena ada apa-apa dulu baru boleh call anak mama seorang ni." Mama menyindirku. Aku tergelak halus, mama dah nak mula kelas dramanya.

"Atau mama kena set appointment dulu sebelum nak calling-calling Yan?" Mama menyindirku lagi.

Aku tersengih walaupun mama tidak nampak.

"Bukan macam tulah mama. Mana lah tahu kalau mama ada something nak discuss dengan Yan ke... Yan ni bukannya tak tahu perangai mama Yan ni macam mana. Dia kalau tak ada hal penting nak bincang, tak juga telefon anak dia yang seorang ni..." Aku memulang paku buah keras kepada mama dalam nada gurau-gurau manja gitu.

"Hish mana ada macam mama macam tu Yan. Yan silap orang ni..." dalih mama. Aku mencemik, ceh kura-kura dalam perahu betul mama ni.

"Ye ke mama? Emm... betul lah tu agaknya, Yan ni silap orang. So, what's bring you calling me, Puan Sri Intan Seroja?"

Aku masuk kepada mood serius. Aku tahu pasti ada sesuatu yang berkaitan dengan kisah aku 'membasuh' Diana semalam. Kalau tak, tak adanya mama nak melanggar perjanjian kami berkaitan dengan 'hak provasi aku' sebelum aku ke sini.
"Okay, I saja call you. I cuma nak tanya pasal perbincangan i dengan you sebelum ni. About your engagement, what do you think?"

Aku berdecit, aku dah agak!

"You masih berkenan ke dengan budak tu, Puan Sri?"

"Well, i tak kisah apa jawapan you samada you nak terima balik atau tak sebab i dengan suami i tak ada hak untuk nak memaksa you buat keputusan lebih-lebih lagi untuk masa depan you. I cuma risau kalau parents Diana yang masuk campur dalam urusan peribadi you alls. Thats why i discuss dengan suami i untuk bagitahu you, seeloknya you cari pengganti Diana as soon as possible"

Aku ternganga. Cari pengganti Diana? Cari macam mana?

"What you mean Puan Sri?" Tergagap-gagap aku menyoal mama. Mana mungkin sebegitu senangnya mama dan walid membuat keputusan. Inikah yang dikatakan hidup di zaman milenium?

"Carikan mama calon menantu baru."

Terlopong sekali lagi aku. Telinga tersalah dengar?

"Ma... ma nak apa?"

"Perlu ke i ulang lagi Ian Ibrahim bin Tan Sri Eidrees?"

Sepet mataku. Suara mama kedengaran serius, itu buktinya mama tidak bergurau!

"Are you kidding me, puan sri?" tanyaku ragu-ragu dengan permintaan mama yng sangat tiba-tiba.

"Its up to you untuk rasa i bergurau atau pun tak. Jangan sampai tiba-tiba suami i bawa berita yang parent Diana mula discuss about your relationship, baru you tahu yang i tak bergurau dengan you. I cuma bagi you green light untuk you lari dari semua tu. So Ian, please bagi i dengan suami i calon menantu baru. Secepat. Mungkin. Okay?" Mama menekan satu persatu dihujung ayatnya.

Aku makin tergamam.

'Apa kena dengan mama aku ni? Cari calon menantu? Cari dekat mana? Pasar? Dalam mall?' Ketukan di luar pintu kabin menyedarkanku dari mengelamun pendek. Aku talakan mataku ke arah pintu pejabat yang dikuak seseorang dari luar dan aku menanti siapa yang akan muncul di sebalik pintu itu.

"Assalamualaikum En. Brahim." Rindu muncul bersama senyuman manisnya. Dia menutup payungnya dan melangkah masuk ke kabin 3.Di tangannya membawa kertas yang aku tahu itu pasti keputusan ujian makmal yang sudah ditandatangani oleh pihak konsultan.

Aku tersentak dengan kemunculannya yang tiba-tiba. Gadis itu aku lihat tanpa berkelip. Tangannya ligat menyusun beberapa helaian kertas putih di atas meja Kemal, Lab Technian.

”Yan! You dengar tak apa mama cakap ni?" Mama dihujung talian memanggilku, mengalihkan tumpuanku dari terus merenung Rindu.

"Ya-ya dengar," sahutku perlahan.

"Baguslah kalau Yan dengar. Jadi Yan tahu la apa maksud mama kan?"

"Emm... Yan tahu. Mama jangan risau." Aku membalas pendek dan ketika itu aku perasankan Rindu sedang berdiri tegak memandangku tapi masih di meja Kemal. Aku menjongket kening.

"Emm... saya cuma nak encik pesan dekat En. Kemal yang result fdt masih ada yang tak complete untuk saya masuk dalam fail. Saya dah letak note dekat sini, nanti encik bagitahu dia ya?" Rindu menitipkan pesanan buat Kemal sambil menampalkan kertas kecil di bahagian papan notis, atas meja Kemal.

Aku angkat ibu jari. Dia meminta diri dan sebelum dia berlalu tiba-tiba lampu amaran di kepalaku menyala. Cepat-cepat aku bangun dan mengatur langkah ke arah Rindu sambil tangan masih menekap telefon di telinga. Tangan Rindu yang ingin menolak bilah pintu cepat aku tahan. Rindu deras memalingkan wajahnya ke arahku, tertanya-tanya. Aku membalas pandangannya sambil berkata kepada mama,

"Mama, I actually have one. And I bet you won't refuse it."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience