Bab 11 : Rindu

Romance Series 78737

~I don't want to get attached to anyone anymore, it just destroys me in the end.~

Hilang saja kelibat myvi kuning dari pandanganku, aku menutup payung dan sandarkan payung pemberian Encik Ian di tepi pintu. Sebelum melangkah masuk, aku terpandangkan motorsikal Abi sedang elok parkir di tempatnya. Dahiku langsung berkerut.

'Eh, bukan ke Pak Mat kata minggu depan baru motor abi siap dibaiki, macam mana boleh ada dekat sini? Dah siap baiki ke?' fikirku dengan bermacam persoalan tentang motorsikal Abi.

Sedang ralit memikirkan tentang motorsikal Abi, tiba-tiba kedengaran bunyi Abi terbatuk di dalam rumah. Aku memusingkan kepalaku ke arah itu lalu menapak masuk. Tentang motor nanti aku tanyakan kepada Abi.

"Assalamualaikum abi.." sapaku kepada Abi yang sedang duduk elok di ruang tamu. Sebelah tangannya menggosok-gosok dadanya yang perit selepas batuk.

Abi tidak mengendahkan sapaanku, nampaknya dia masih lagi hanyut membelek album kesayangannya iaitu album keluargaku. Aku mengeluh perlahan.

"Abi? Assalamualaikum."

Abi tersentak lekas dia berpaling dan dengar kadar segera dia mengatup album itu. Kemudiannya album yang sudah lusuh kulitnya itu disorokkan di bawah bantal bersegi empat di sebelahnya. Abi sedang menyorok album itu dari pandanganku tanpa dia tahu yang aku sudah pun melihatnya. Abi tahu aku tidak suka dengan apa yang dia buat dan dia sangat menghormati perasaanku sebab itu dia sedang berusaha sorokkan benda alergik itu dariku.

Cuma aku... sebagai salah seorang mangsa dari perpisahan mereka itu, membuatkan aku tumbuh dan membesar menjadi seorang yang sangat keras hati untuk menerima keputusan Abi dan umi itu. Sungguh qada dan qadar yang satu ini sukar untuk aku terima dengan hati yang lapang. Bukan aku hendak melawan takdir cuma aku rasa tidak adil kenapa 'aku' yang dijadikan mangsa? Kenapa tidak yang lain?

"Waalaikummusalam Aisha.. Aisha dah balik. Hujan lebat dekat luar, Abi ingatkan Aisha balik lewat... tunggu hujan reda dulu." Abi senyum kekok depan ku. Itu tandanya Abi sedang menyembunyikan sesuatu dari ku.

"Aisha memang nak tunggu tapi ada orang offer nak hantarkan Aisha balik, Aisha ikut sajalah," jawabku lalu melabuhkan duduk di kerusi dihadapan Abi. Bucu album yang terkeluar sedikit dari bantal disebelah Abi, aku jeling dengan ekor mata.

"Oh, patutlah Abi dengar ada kereta masuk tadi. Abi ingat Pak ngah tadi. Siapa pulak yang hantar Aisha hari ni?"

"Encik Yan." Aku menjawab sepatah.

Sebut saja Encik Ian, teringat aku dengan tingkah pelik lelaki itu hari ni. Pelik semacam. Macam cemburu pun ada. Tapi kalau betul dia cemburu, cemburu dengan siapa? Dan, kenapa cemburu? Hish pelik sungguh Encik Brahim ni!

'Encik Brahim! Padan muka aku panggil dia 'Encik Brahim'. Nak sangat panggil aku Rindu, siapa suruh. Ingat aku ni apa nak rindu-rindu?' Aku membebel dalam hati.

"Bos yang bawa Aisha pergi klinik hari tu, kan?"

Aku pandang Abi. Langsung hilang kenangan pergaduhan antara aku dengan Encik Ian dalam kereta tadi.

"Iya Abi, dialah. Abi, sebelum Aisha lupa... dekat luar tu, Aisha tengok ada motor Abi. Motor Abi dah siap baiki ke?"

Abi senyum nipis.

"Alhamdulillah.. dah siap. Lepas ni Aisha dah boleh pergi dan balik kerja dengan motor. Dah tak payah susahkan Saera dengan Mak Long ambil dan hantar Aisha lagi."

"Tapi.. bukan ke Pak Mat kata minggu depan baru siap? Aisha tak bayar pun lagi upah baiki tu.." ujarku dengan muka keruh.

"Yang tu Aisha tak payah risau. Burraq dah tolong bayarkan. Dia juga yang minta Pak Mat baiki cepat-cepat motor abi tu. Tengahari tadi dia datang hantarkan motor tu dengan kawan dia."

Terjatuh rahangku. Telinga aku tak salah dengar kan?

"Burraq? Abang Burraq maksud abi?"

"Iya lah Burraq itulah. Kenapa, Aisha ada kenal Burraq lain ke selain Burraq sepupu Saera?" tanya Abi kepelikkan dengan pertanyaanku.

"Tak ada abi.. Aisha tak ada kenal Burraq lain selain abang Burraq tu... cuma Aisha tak faham, kenapa dia bayarkan kos upah baiki motor tu? Bukan sikit tu abi..."

Abi cuma tersenyum nipis. Lihat Abi mengulum senyum macam tu, aku dapat merasakan ada maksud yang tersirat dan tersurat disebalik senyuman itu. Ini yang membuatkan aku risau ni. Jangan kata Burraq dan Abi ada rancang sesuatu dibelakang aku, sudah!

"Nanti Aisha bayarkan balik. Berapa harga semuanya abi?"

"Eh Burraq cakap tak payah. Dia ikhlas bayarkan. Lagipun dia dengan kita kan dah lama kenal."

Lagi keningku bertaut. Emmm... ada sesuatu nampaknya ni.

"Abi dengan Burraq ada plan something ke dibelakang Aisha?"

"Eh, mana ada." Deras Abi menungkas dan aku tetap tak percaya. Abi yang aku kenal bukan begini orangnya. Hatiku kuat mengatakan ada sesuatu yang Abi dan Burraq rencanakan. Tak apa, nanti aku cari tahu sendiri.

"Emm tak apalah kalau tak ada. Aisha harap betul-betul tak ada lah. Tapi... kalau Aisha tahu ada, tak tahulah apa yang Aisha akan buat nanti," ugutku halus. Bukannya nak gertak Abi cuma aku mahu ingatkan Abi yang aku tak suka dia buat sesuatu yang aku tak suka.

Abi diam. Aku juga diam tapi tak lama sebab mataku terpandangkan semula album di bawah bantal. Aku kertap bibir. Rasa marah tiba-tiba saja meruap.

"Abi... abi buat apa ni?" tanyaku sedikit keras.

"Abi buat apa?" Abi tercenggang, tidak faham dengan soalanku yang tiba-tiba

Mataku masih lagi melekat kepada bucu album yang terkeluar sedikit dari tempat persembunyiannya. Abi juga turut sama memandang ke arah itu lalu tangannya menolak lagi album itu masuk ke bawah bantal.

"Abi... abi cuma tengok-tengok saja Aisha.."

Aku melepas keluh lagi. Sungguh penat aku nak membahaskan isu ini. Aku tak suka. Cukup tak suka! Orang dah buang. Orang dah tinggal. Kenapa kita masih terhegeh-hegeh nak ingatkan mereka lagi? Rasa amarah makin merebak. Ibaratnya sebatang mancis yang baru sahaja bernyala sedang menyebarkan apinya ke batang mancis yang lain.

"Abi rindu umi? Rindu Feesa? Rindu Mueez?"

Abi terdiam. Dia menunduk sedikit.

"Cukuplah abi... cukuplah. Dah 14 tahun abi. 14 tahun! Abi tak penat ke rindu dekat orang yang dah tinggalkan kita?"

Bibir Abi tersenyum nipis. Kepalanya digeleng perlahan. Dan dengan lembut dia berkata,

"Aisha... umi tak pernah tinggalkan kita. Umi tetap ada dekat sini. Aisha jangan lupa tu." Abi lembut memujukku sambil tepuk dada kirinya.

Aku berdecit lagi. Ini yang aku tak suka! Abi masih nak tegakkan benang yang basah sedangkan terang lagi bersuluh yang umi pergi bersama Mueez dan Nafeesa meninggalkan aku, Abi dengan Marteen dengan begitu saja. Mereka pergi tanpa khabar berita dan tanpa sebarang pesan. Begitukah maksud Abi yang umi tak pernah tinggalkan aku?

Fikirkan itu tiba-tiba ada rasa sayu menjengah. Tanpa sedar hidungku terasa pedih-pedih. Kelenjar air mata mula bekerja, bersedia merembeskan cecair jernih. Tanganku perlahan naik menepuk dada kiriku.

"Kalau umi tetap ada dekat sini macam yang abi kata... kenapa Aisha rasa sakit?" soalku dengan nada yang sudah berubah rentak.

"Kalau betul macam yang abi katakan yang umi tak pernah tinggalkan kita, kenapa dekat sini rasa sakit sangat setiap kali fikirkan pasal umi, abi?"

Abi mengunci bibirnya. Dia menatapku sayu.

"Betul ke umi tak pernah lupakan kita, abi? Kalau betul, kenapa sampai sekarang umi tak pernah tanya khabar kita. Hidup lagi kah kita. Sakitkah kita. Sihatkah kita. Ada umi tanya, abi?" Aku menggeleng sendiri selepas aku tujukan pertanyaan itu kepada Abi.

"Tak ada, Abi. Tak ada. Itu yang Abi cuba bagitahu Aisha yang umi tak pernah lupakan kita? Kalau umi tak pernah fikirkan perasaan Aisha, it's okay tapi sekurang-kurangnya umi fikirkan apa perasaan Marteen. Umi tinggalkan dia masa dia umur 3 tahun. Marteen tengah perlukan kasih sayang umi tapi umi sanggup buat Marteen macam tu," luahku, air mata sudah membasahi pipiku.

Ya, aku rasa sakit sangat setiap kali teringatkan apa yang sudah Umi lakukan kepada kami bertiga. Sejak Umi tinggalkan kami tanpa khabar berita dan pesan, keluargaku jadi kacau bilau. Masih segar diingatanku, Abi pernah berbulan-bulan tak balik ke rumah semata-mata mencari Umi sampaikan aku dengan Marteen terabai. Abi mencari Umi di merata tempat dan seluruh pelosok semenanjung sehingga ke Sabah dan Sarawak tapi tetap juga tidak berjaya temui mereka bertiga. Nasib baik ada Mak long Esah yang tolong tengok-tengokkan aku dengan Marteen sepanjang ketiadaan Abi.

Sejak dari itu, kehidupan kami berubah mendadak. Peniagaan yang Abi dan umi bangunkan bersama, lingkup. Dari hidup bertahtakan permata, kami jadi papa kedana. Abi tertekan dengan kehilangan isterinya tercinta dan juga hilang punca rezeki kami selama ini. Tak dinafikan aku juga kena tempias sama, tertekan dengan pandangan dan umpatan orang sekeliling yang sibuk mengata tentang umi dan abi.

Aku cuma budak perempuan berumur 8 tahun. Apalah sangat yang aku faham tentang apa yang berlaku. Apa yang aku tahu, aku perlu jaga Marteen yang baru berusia 3 tahun itu dengan baik. Sejak ketiadaan Umi, akulah ibu. Aku jugalah kakak kepada Marteen. Aku banyak ponteng sekolah kerana sibuk menguruskan Marteen yang masih kecil itu dan kesudahannya aku di buang sekolah.

Satu persatu terjadi dan akhirnya Abi memutuskan untuk menjual segala harta yang berbaki di bandar dan bersetuju mengikut Mak Long berpindah ke kampung ini dengan memulakan kehidupan baru dengan identiti yang baru. Disini tak semua orang tahu tentang siapa kami. Keluarga kami hanya diperkenalkan sebagai 'adik' kepada Mak Long Esah.

"Rasa dekat sini sangat sakit abi. Sakit sampai Aisha rasa Aisha dah tak mampu nak bertahan. Aisha juga ada rasa kecewa setiap kali fikirkan tentang umi, Mueez dan Feesa. Tapi Aisha tak boleh luahkan rasa kecewa Aisha dekat sesiapa sebab Aisha tahu Aisha masih ada abi dan Marteen yang perlukan Aisha untuk jadi kuat. Kalau abi kata umi tak pernah tinggalkan kita, itu salah. Hakikatnya umi dah lama tak wujud dalam hidup kita. Hidup kita hanya ada abi, Aisha dan Marteen. Hanya bertiga." Aku kesat air mata yang tak segan silu membasahi pipiku sejak dari tadi. Hujan diluar juga masih lebat mencurah, bagaikan turut menangisi nasib seorang gadis yang jiwanya tercalar dengan perbuatan ibu kandungnya sendiri.

"Aisha..."

"Abi jangan cuba pujuk Aisha. Aisha tak benci umi dan Aisha tak marahkan Abi untuk terus kenangkan umi cuma Aisha harap Abi hormati perasaan Aisha dengan Marteen. Aisha tak tahu sampai bila Aisha boleh tahan perasaan ni lagi. Aisha masuk bilik dulu." Segera aku angkat kaki ke bilik tidurku. Aku perlukan ketenangan.

*            *             *

Malamnya seperti yang aku agak, bertalu-talu mesej dari Saera masuk ke telefonku. Semuanya berkisarkan tentang kejadian siang tadi. Bukan kejadian antara aku dengan Abi tapi kejadian berkenaan aku dengan Encik Ian. Haruslah kawan aku tu pelik, macam mana boleh Encik Ian menghubungi dia dengan menggunakan telefon aku. Kalau benda ni terjadi dekat Saera pun, aku mesti lah pelik. Hish tak pasal-pasal dah jadi satu kerja aku nak explain dekat Saera.

Tak sempat nak membalas mesej Saera, gadis itu awal-awal lagi sudah menghubungiku. Aku tekapkan telefon ke  cuping telinga.

"Aisha, baik kau bagitahu aku. Apa dah jadi sebenarnya ni? Macam mana boleh Encik Yan tu call aku guna telefon kau? Apa dah jadi sepanjang aku mc? Baik bagitahu aku sekarang sebab aku dah mula fikir macam-macam ni!" Terus Saera asak aku dengan persoalan-persoalan yang berlegar-legar di kepalanya. Kalut semacam dia.

"Waalaikummusalam Saera," sindirku pula. Nak sangat terjah aku kan? Ingat ni rancangan Melodi ke apa.

"Ha yelah-yelah aku lupa. Assalamualaikum Rindu Aisha Medina. Aku ni, Saera Tasneem. Kau apa khabar?" Hah ambik! Saera dah balas sindiran aku dengan sempurna sekali. Aku tergelak. Dengan Saera aku jadi lupa sekejap tentang mood sedih aku siang tadi. Itu pentingnya Saera pada aku.

"Eh gelak pulak dia. Cepatlah story aku dah tak sabar dah ni," gesa dia lagi. Nampak sangatlah sikap tak sabarnya tu.

"Esok jelah Saera. Aku dah ngatuk ni," dalihku pula sampai kerling jam dinding. Baru jam 10 malam. Memang tak lah Saera tu nak percaya yang aku ni dah mengantuk.

"Kau jangan nak kelentong aku lah Aisha. Kau ingat aku tak tahu kau tu jenis spesis burung hantu? Selagi tak jam 12 tengah malam... 1 pagi.. tak adanya kau tu kenal erti tidur." Lagi Saera bagi aku jawapan sarkastiknya.

"Pandai lah kau ni. Weh Saera.. aku nak tanya kau ni... sebelum aku masuk kerja dekat situ kau dah kenal ke dengan Encik Yan tu?"

"Sebelum kau masuk kerja dekat situ la maksud kau?"

"Iya."

"Emm... tak kenal pun. Ada sekali je kot jumpa dia. Masa mula-mula dia masuk kerja lepas tu dia hilang sampailah hari kau sakit tu dia muncul balik. Kenapa ni? Dia ada buat benda pelik-pelik ke dekat kau sepanjang aku tak ada ni?" Suara Saera berubah serius. Mesti dia risau kalau aku diapa-apakan.

"Tak ada apa-apa pun... Cuma aku pelik."

"Pelik? Pelik kenapa ni? Cepat bagitahu aku Aisha.. Kaki aku ni dah gatal-gatal dah ni."

Terlongo sekejap aku.

"Kaki kau dah gatal? kenapa? Kau ada terpijak ulat bulu ke?" soalku lurus bendul.

Saera tergelak.

"Hish bukan lah."

"Dah tu?"

"Gatal nak pergi jumpa kau dan korek semua rahsia kau dengan Encik Yan tu. Makin tak sabor dah aku ni. Cepat lah ceritaaa."

Aku gelak lagi. Saera ni macam-macam. Maka tanpa berlengah lagi, aku memulakan ceritaku. Cerita berkisarkan apa yang jadi di kabin 1 sehinggalah kepada pergaduhan kami di dalam keretanya. Hasilnya apa yang aku dapat? Si Saera ni berdekah ketawa bagaikan tak ingat dunia. Tepuk dahi aku dapat kawan macam Saera ni. Ingatkan dia nak sokong aku, tengok-tengok digelaknya aku.

"Aisha, aku rasa Encik Yan tu suka dekat kau lah." Komen Saera yang pertama selepas habis sisa ketawanya.

"Hish kau ni... apa pulak cakap macam tu.. mana adanya suka. Dia sajalah tu nak bagi aku perasan." Aku deras menyangkal komen Saera.

Entah kenapa aku rasa perasaan untuk ke arah itu sukar untuk aku pupuk. Tambahan lagi lepas aku teringat semula berkenaan apa yang jadi dengan hubungan Abi dan umi. Abi dan umi boleh dikatakan 'golden couple' di mata ku suatu ketika dulu tapi akhirnya apa yang berlaku kepada cinta mereka? Bukankah itu bermaksud, 'cinta' tidak bermakna apa-apa?

"Aisha? Kau dengar tak ni?"

Tersentak aku dengan tiba-tiba soalannya. Saera ada cakap apa-apa ke?

"Hah? Apa Saera?"

"Hish kau ni, sempat pulak mengelamun ya.. aku cakap, kalau encik Yan tu tak suka kau, tak kan lah dia tiba-tiba jadi jealous macam tu.. siap panggil kau Rindu lagi. Hah tu dah jadi bukti kukuh la tu. Hahah tapi serius lawak weh. Macam mana kau boleh terfikir nak panggil dia Encik Brahim?"

"Biarlah. Siapa suruh panggil aku Rindu. Kau pun tahu, belum pernah ada lagi orang panggil aku dengan nama 'Rindu' ni. Dia seorang je. Tak ke pelik tu? Jadi dah alang-alang dia panggil aku Rindu tak salah kalau aku panggil dia nama Brahim. Aku rasa hanya aku je yang panggil dia dengan nama tu..."

Saera gelak lagi dengan jawapan aku. Tanpa sedar, aku juga ketawa kecil.

"Tapi serius weh Aisha... Brahim tu nama atuk-atuk kot."

"Biarlah. Biar dia rasa dia tu tua. Biar padan dengan umur. Ini tak, umur dah tua tapi perangai macam budak-budak tak cukup lolipop." Aku berkeras. Geram juga dengan Encik Ian yang berperangai macam budak-budak masa di kabin 1 siang tadi. Tak pasal-pasal dia tuduh aku dengan Rizqi buat benda yang tak elok.

"Ngam sangat lah kau dengan dia. Kau Rindu, dia Brahim. 'Rindu.. rindu... Ya, abang Brahim." Saera menyakatku.

"Saera!" tepikku, geram!

"Hahaha... Tiber aku rasa macam tengah tengok filem P. Ramlee. Haha.. Serius Aisha aku rasa dia suka dekat kau." Berdekah lagi dia ketawa.

Aku berdecit. Tak suka dengar dia cakap macam tu.

"Tak adalah Saera. Aku rasa dia sesaja nak kenakan aku. Kan bos-bos kita suka lagakan aku dengan dia jadi... mungkin dia mengambil kesempatan lah tu. Alah macam tangguk udang di air yang keruh tu."

"Eleh.. aku tak caya. Pandai lah kau punya nak tangguk udang.. Kau tengok lah esok, mesti dia kacau kau punya. Okay-okay, apa kata kalau macam ni... esok, kalau sekali lagi dia panggil kau Rindu, confirm dia suka kau. Cayalah cakap aku Aisha."

"Eh kau ni Saera.. kau punya level confidence kau tu tak nak kalah eh?"

"Aku berani cakap macam tu sebab aku rasa kau dengan dia serasi wei. Cuba esok kau berdiri sebelah dia, aku rasa dah macam pengantin pinang dibelah dua weh!"

Usul Saera buat aku tepuk dahi. Dah kenapa kawan aku ni? Tapi tiba-tiba pipiku terasa panas. Ha, kau dah kenapa pipi wei?

"Kau jangan nak mengarut macam-macam la Saera. Kalau dia tahu kau cakap macam ni, entah apa yang dia fikir nanti. Jangan nak bagi aku perasan lebih-lebih boleh? Jangan kan pinang tu nak terbelah dia, belah sepuluh pun aku tak layak nak berdiri sebelah dia, okay?"

"Kau malu eh?"

Aku juling mata ke atas. Pipi yang panas aku sentuh.

"Tak kuasa aku nak malu. Dah la, aku nak tidur dah ni. Esok kau dah boleh kerja macam biasa kan?"

"Eleh cepat je tukar topik. Malu lah tu. Nak cover lah tu. Iya-iya esok aku dah boleh kerja macam biasa. Tak sabar pulak aku nak tengok drama esok."

Aku tercenggang. Drama apa tu? Tanpa berfikir panjang, aku bertanya.

"Drama? Drama apa?"

"Drama Encik Brahim vs Cik Rindu."

"Saera!"

Cepat-cepat Saera matikan panggilan telefon tanpa sempat aku nak memakinya lagi.

"Apalah kau ni Saera.. macam-macam. Siap kau esok. Aku gayang kau cukup-cukup." Aku sambung membebel lalu meletakkan telefonku di tepi bantal lalu aku berbaring merehatkan badan yang terasa cukup penat. Penat dengan emosi.

Bip.

Aku ambil semula telefonku dan buka aplikasi WhatsApp. Satu nombor yang tak dikenali menghantar teks kepadaku.

___
Daun kesum daun ketum,
Assalamualaikum.
___ Unknown.

Aku membacanya dengan dahi berkerut. Dua tiga kali aku ulang baca. Mula-mulanya aku ingatkan ada orang tersalah hantar mesej. Ya lah macam tengah promote sayur pun ada. Tapi bila kali ke-tiga baca, baru aku perasan orang yang hantar mesej itu berpantun rupanya. Tapi siapa pulak malam-malam macam ni nak ajak aku berpantun ni? Aku membiarkan. Hanya 'seen' sahaja.

Bip.

Sekali lagi notification berbunyi. Dari nombor yang sama lagi. Aku membacanya.

___
Daun sup daun pegaga,
Alahai... sombongnya Cik Rindu kita.
___ Unknown.

Lagi aku berkerut. Agaknya orang ni memang sengaja nak menjual sayur dengan aku. Mulanya aku tak berminat mahu layan tapi bila tengok nama 'Cik Rindu' disitu, aku rasa aku dah dapat agak siapa orangnya. Aku senyum dulu sebelum tangan bergerak-gerak menyentuh aksara.

___
Daun kangkung daun salam,
Waalaikummusalam dan selamat malam.

Tinggi-tinggi si pokok kepala,
Encik Brahim nak apa?
___ Aisha.

Dua pantun serentak aku bagi.

___
Tinggi pokok kelapa,
Tinggi lagi si pokok sena,
Tak ada nak apa,
Cuma nak kacau orang disana.
___ Unknown.

Eh dia bagi pantun empat kerat dah pulak. Agaknya Encik Ian ni memang juara pantun peringkat negeri agaknya. Tak habis-habis nak pantun. Apa aku nak balas ni? Otak beku sekejap cari idea nak membalas. Aku bukannya pandai sangat nak berpantun tapi untuk aku nak mengalah, maaf lah ya... Aku pun ada maruah lah!

___
Sirap bandung cincau,
Buat orang terliur,
Orang disana tak payah kacau,
Orang disini dah nak tidur.
___ Aisha.

_Sirap bandung cincau? Macam best je. Esok buatkan ya? Saya tunggu di pantry._ Unknown.

Ternganga aku. Amboi dia punya permintaan. Ingat aku wife dia ke apa? Tak ada masa aku nak layan.

_Buat lah sendiri._ Aisha.

_Saya tunggu dekat pantry. Nak awak buatkan jugak._ Unknown.

_Suka hati je dia oder. Awak ingat senang nak dapat bahan tu?_ Aisha.

_Esok saya beli bahan, awak buat. Saya tunggu di pantry. Night. Jangan lupa mimpikan saya._ Unknown.

Lagi aku tercenggang. Dia ni dah kenapa nak paksa aku? Mimpikan dia? Oh tidakkk!

_Motif saya kena mimpikan awak?_ Aisha.

_Sebab saya handsome. Jadi tak salah kalau awak mimpikan saya, kan?_ Unknown.

Aku juling mata ke atas. Ya Allah, dah kenapa dengan Encik Ian ni? Weird!

Haha sesi berpantun belum habis! Tq to all the readers. RMOH.

Share this novel

Sm.mh (Tulip Haura)
2023-04-17 18:17:20 

ala.. typo la tuuuu

Mohd Rozuan
2023-04-17 11:54:26 

haha dia punye pantun... `pokok kepala ke pokok kelapa'


NovelPlus Premium

The best ads free experience