Series
95624
"Yan, macam mana dengan progress misi kau?" tanya Marwan sewaktu aku pulang ke rumah keluargaku minggu lepas. Ketika itu kami sama-sama berada di taman mini milik mamaku.
Aku mengeluh dulu sebelum membalas pertanyaan Marwan itu.
"Aku tak rasa perkara ni mudah, Wan. Dah ramai orang kampung aku tanya, kalau-kalau diaorang ada kenal dengan Taqiuddin tapi semua jawab tak tahu dan tak ada nama tu dekat sana," keluhku.
"Maksud kau, Pak Ngah Uddin tak pindah sana?"
Aku menghembus nafas berat. Payah sungguh aku nak menjawab pertanyaan Marwan itu.
"Aku tak tahu, Wan. Maklumat yang kita dapat pun setakat tu saja. Aku tak nampak jalan lain dah."
Giliran Marwan pula menghembus keluh. Tentu dia juga rasa kecewa macam yang aku rasa. Atuk amanahkan aku untuk mencari keluarga Pak Ngah Uddin dan membawa menghadapnya sebelum semuanya terlambat. Kata atuk, ada 'hutang' yang perlu dia jelaskan kepada Pak Ngah Uddin. Apakah hutangnya? Aku tidak tahu. Tugasku cuma membawa Pak Ngah Uddin pulang ke pangkuan keluarga sahaja. Urusan kerja-kerjaku pula, aku serahkan kepada walid dan Marwan untuk menguruskannya sementara aku menyelesaikan misiku.
"Wan, keadaan atuk macam mana?" Itu yang aku risaukan sebenarnya kerana aku belum sempat menyengah atuk di hospital cuti kali ni. Bila bekerja di bawah orang, bukannya boleh cuti sesuka hati.
"Alhamdulillah, keadaan atuk makin baik, Yan. Kau jangan risau." Marwan menepuk bahuku. Aku mengangguk kecil. Lega dengan jawapan Marwan walaupun tidak sepenuhnya selagi tidak melihatnya sendiri.
Sepi mengisi ruang. Aku menyisip nescafe panas. Marwan pula termangu sendiri. Entah apa yang difikirkan olehnya.
"Hah, Yan!" Dia menyergah tiba-tiba sambil menepuk pahaku. Hampir aku nak tersedak nescafe panas. Aku mengerlingnya sambil mengesat saki baki nescafe di bibirku.
"Sorry-sorry, Yan." Dia tersengih tapi tak lama setelah itu, dia menyambung.
"Kau kata tadi maklumat yang kita dapat pasal Pak Ngah Uddin sampai kampung Cekur je kan?"
Aku angguk. Pasang telinga untuk mendengar hujahnya.
"Macam mana kalau berlaku pemalsuan identiti?"
Aku mengerut kening. Tak jelas maksud Marwan. Marwan mendekatkan tubuhnya ke padaku.
"Okey, kau dengar sini. Menurut PI yang kita upah tu, diaorang kata maklumat pasal Datuk Taqiuddin tu hanya setakat di Kampung Cekur sebelum semua maklumat tu 'kosong' kan?"
Aku angguk.
"So, aku rasa mungkin Datuk Taqiuddin tu dah palsukan identiti dia untuk selamatkan dia dan anak-anak daripada orang-orang Ahmet. Kau pun mesti ingat lagi kes tu kan?" bisik Marwan lagi, bimbang kalau ada telinga lain yang terdengar perbualan kami.
Aku ternganga. Ada betulnya juga apa yang Marwan katakan itu. Aku hampir terlupa kes hitam yang terjadi dalam keluarga kami!
* * *
Aku termenung di tepi tingkap, sengaja membiarkan angin malam menyentuh kulitku. Aku masih lagi memikirkan tentang kejadian di rumah Rindu siang tadi. Aku tarik nafas dalam, tanpa sedar dada rasa mengetat. Fikiranku berkecamuk dengan bermacam rasa. Aku memejam mata sejenak, cuba menghalau rasa galau ini demi meraih sedikit ketenangan.
Tak semena-mena muncul seraut wajah anak kecil. Perempuan. Matanya besar dan bulat. Yang paling dia suka mata itu sangat galak dan dalam, dihiasi pula dengan bulu mata yang panjang dan lentik semula jadi. Anak matanya berkilau bila terkena panahan cahaya. Anak matanya berwarna coklat cair. Keningnya lebat, terbentuk cantik. Cukup sempurna dengan hidung yang mancung dan pipi yang labuh berona kemerahan. Rambut coklat keperangannya cantik beralun, paras pinggang.
Comel! Dialah... yang selama ini aku rindu. Dulu aku fikir, aku mungkin tak akan berjumpa dengannya lagi. Tanpa aku tahu rupanya selama ini dia sudah dekat denganku.
Rindu. Aisha. Medina. Nama itu... kenapa selama ini aku tidak sedar yang nama itu bukan sahaja sama tetapi orangnya juga sama. Dia bukan hanya 'Rindu' tapi dia juga 'Dee'. Dee, sudah sekian lama terpisah dariku. Dee yang selama ini aku cari, rupanya dialah Rindu.
Kenangan ketika kami masih kecil mengasak fikiranku. Kenangan terakhir aku bersama Dee.
"Umi, tengok abang Yan ni... dia ambil mainan Dee," rengek Dee suatu ketika dulu kepada uminya. Ketika itu kami berkumpul di rumah atuk untuk meraikan majlis kesyukuran sempena kelahiran anak bongsu pak long, Ahmad Dayyan.
Aku yang berumur 15 tahun, tersenggih sambil menggaru kepala yang tidak gatal. Nampaknya helahku untuk mengusik gadis itu lebih lama tidak menjadi kali ini. Aku memang suka mengusik Dee berbanding kakak kembarnya, Feesa. Feesa pendiam dan tidak mesra orangnya.
"Abang! Bagi balik mainan Dee tu. Abang ni suka sangat ambil mainan Dee. Tu pak su beli untuk kita, bukan untuk abang!" marah Dee lagi bila rengeknya tidak dilayan oleh mak ngah yang berada di dapur. Mak Ngah Leyla sedang membantu nenek dan mama memasak bersama beberapa orang pembantu rumah.
"Ee... kedekutnya Dee. Abang nak tumpang main pun tak boleh." Aku mengusiknya dengan mencuit bahu pula. Dia berdecit serata melarikan bahunya dariku.
Aku tersengih. Dalam diam, aku rindu dengan telatahnya. Dee garang denganku tapi agak manja dengan sepupu yang lain. Itu yang membuatkan aku makin geram nak mengusiknya. Keluarga besar kami agak rapat cumanya semenjak aku dimasukkan ke sekolah berasrama penuh, agak jarang dapat bertemu dan berkumpul dengan sepupu-sepupuku yang lain. Hari ini boleh dikatakan hari yang bertuah untukku kerana semua ahli keluarga Tan Sri Yunus dapat berkumpul bersama.
Datukku iaitu Tan Sri Yunus dan nenda, Puan Sri Intan dikurniakan tiga orang cahaya mata. Mak Long Dahlia, Pak Ngah Uddin dan Mak Su Oja. Mak Long Dahlia berkahwin dengan Pak Long Yusran dan dikurniakan empat anak lelaki. Pak Ngah Uddin pula berkahwin dengan Mak Ngah Leyla dan mereka mempunyai empat orang cahaya mata. Dua lelaki dan dua perempuan. Dan anak bongsu datuk, iaitu mama. Mama atau lebih dikenali Mak Su Oja berkahwin dengan walid, Pak Su Eid dan hanya aku satu-satunya zuriat mereka.
"Abang Yan tu lelaki, mana boleh main mainan perempuan macam ni," sanggahnya lalu membawa patung anak itik putik itu jauh dariku. Takut sangat kalau aku ambil mainan kesukaannya padahal mainan itu aku yang hadiahkan sempena hari jadinya yang ke tujuh, tahun lalu. Cuma aku kirimkan melalui walid sebab aku masih di asrama ketika majlis sambutan hari jadinya.
"Yan, kenapa kamu ni suka sangat kacau Dee?" Walid tiba-tiba muncul bersama Pak Ngah Uddin di muka pintu utama. Ada beberapa susunan kotak putih bersegi di tangan masing-masing. Walid dan Pak Ngah Uddin baru balik dari membeli kek cawan sebagai pencuci mulut. Mbak Suri dan Mak Wan datang mengambil kotak-kotak itu daripada walid dan abi Dee.
Dee lekas-lekas berlari mendapatkan walid. Dia menyorok di belakang walid bukan di belakang abinya.
Aku tersengih malu. Malu dengan Pak Ngah Uddin kerana terkantoi mengusik anak daranya. Lelaki itu cuma tersenyum.
"Mana ada Yan kacau Dee, walid. Dee ni yang kedekut. Dia tak nak kongsi mainan dia dengan Yan." Aku menafikan biarpun sudah terang lagikan bersuluh. Walid menjegilkan matanya dengan jawapanku. Walid memeluk bahu Dee.
"Astagfirullah-al-azim budak ni. Yan, kamu tu lelaki. Mana ada orang lelaki sibuk nak main anak patung macam anak patung Dee ni," marah Walid. Bahu Dee walid peluk. Walid berpaling sejenak pada abang iparnya sebelum menyambung kata.
"Dah, kamu pergi tolong Mueez, Aril dengan Arif dekat luar sana. Diaorang sibuk duk menyusun kerusi bawah khemah, kamu pulak sibuk mengusik Dee. Dah, kamu pergi sana Yan," arah walid. Aku menunduk, akur. Tak pasal-pasal kena marah depan Dee. Bukan tak pernah kena marah depan dia sebelum ini, cuma semenjak jarang bersua muka ni, tiba-tiba rasa janggal. Habis rosak reputasiku di hadapan dia. Hilang kemachoanku!
Dee mengerlingku, dia menjelir lidah. Mengejekku. Sukalah tu aku kena marah dengan walid.
"Abi, tengok Dee tu. Dia jelir lidah dekat Yan!" Aku mengadu pada abi Dee. Biar dia kena marah sekali. Baru adil.
"Dee, jangan jelir lidah macam tu. Abi tak suka," tegur abi Dee pada anak daranya. Dee memuncung. Aku simpul senyum, padan muka!
"Yan, dah. Jangan nak usik Dee lagi. Pergi tolong sepupu kamu dekat luar."
Aku tersentak. Alamak, walid perasan! Abi Dee menggeleng, ada senyuman di bibirnya. Walid dan abi Dee berlalu ke dapur meninggalkan aku dengan Dee di situ. Aku masih belum bergerak ke laman seperti yang diarahkan walid.
"Dee!" Suara Feesa dari tingkat atas kedengaran. Aku dan Dee sama-sama berpaling.
"Mak long panggil Dee naik atas. Mak long nak tunjuk baju baru. Dia nak kita pakai baju tu malam ni." Feesa berteriak.
Aku sedia maklum Feesa dan Dee ditatang bagaikan minyak yang penuh oleh keluarga besar kami kerana hanya mereka berdua cucu perempuan atuk dan nenda. Jadi tidak hairanlah kalau si kembar itu menjadi kesayangan semua orang.
"Baju baru? Okey, kejap Dee naik!" Dee mengepit anak patung itik kuning dicelah ketiak. Dia berpaling ke arahku.
"Padan muka abang Yan kena marah dengan walid. Itulah... lain kali jangan kacau Dee lagi. Dee tak suka abang." Lagi sekali dia menjelir lidah sambil menaikkan ibu jarinya.
Aku membuka langkah, acah-acah hendak mengejarnya. Dee terjerit kecil, cepat-cepat dia memanjat anak tangga meninggalkan aku yang tengah tahan senyum. Tanpa sedar Pak Ngah Uddin dengan walid melihat telatahku.
Hilang saja kelibat Dee, baru aku menyertai sepupu-sepupuku yang lain. Seperti kata walid, mereka sedang bermandi penuh menyusun kerusi dan meja di bawah khemah. Ada Dzafril dan Dzharif, anak Pak Long Yusran dan Aryan Mueez, anak Pak Ngah Uddin iaitu abang kepada Dee dan Feesa.
"Kau pergi mana Yan?" tanya Mueez sambil mengesat peluh di dahinya. Mukanya tidak puas hati kerana aku menghilang.
"Ada dekat dalam tadi."
"Usik Dee lah tu..." usik Dzharif. Dia selalu lagakan aku dengan Dee sejak dari kecil. Aku cuma tersenyum.
***
Tanpa sedar, ada air mata mengalir di pipi. Bukan sekadar tangisan biasa tapi ini lebih kepada tangisan kesyukuran. Aku tunduk, bersujud lama di lantai. Kepada Dia, aku lafazkan rasa syukurku.
'Allah, akhirnya pencarianku membuahkan hasil,' bisikku.
Aku bangkit berdiri. Mundar-mandir dalam bilik tidurku sambil mencari cara untuk berterus-terang pada Rindu tentang semua ini tapi aku tahu jalannya bukan mudah. Aku yakin Abi Rindu tidak akan sesekali membuka mulut tentang ini. Apatah lagi dengan amarannya.
'Tapi kenapa? Kenapa pak ngah bagi aku amaran? Dia tak suka jumpa aku? Dia masih marahkan aku? Atuk? Walid?' Satu persatu persoalan mula mengasakku. Aku berhenti dari mundar-mandir. Sebelah tangan mencekak pinggang dan sebelah lagi menggosok belakang leher.
'Argh, lupakan dulu pasal amaran tu. Yang penting aku mesti dapatkan kepercayaan Rindu dulu. Aku tak boleh berlengah. Atuk dah tak banyak masa. Makin lambat aku selesaikan hal ni, makin merumitkan!' getusku.
Telefon di atas meja sisi katil, aku capai. Senarai panggilan dibuka dan aku mencari nama Rindu. Berkali-kali aku menghubunginya tapi taliannya sedang digunakan.
'Engaged?' bisikku, entah macam-macam sedang berlegar di benakku. Sekali lagi aku cuba dan Alhamdulillah, talian disambungkan. Cumanya, belum sempat aku memberinya salam, dia telah menghamburku.
"Ya, Wasif? Ada apa lagi? Dari tadi lagi awak asyik call-call saya. Boleh tak awak cuba faham, kalau sekali awak call saya dan saya tak angkat itu bermaksud saya tak nak diganggu. Awak faham tak? Tadi awak minta saya peluang kedua dan saya kata it's over and that's it. Kenapa susah sangat untuk awak faham? Awak nak kita get back balik, lepas apa yang awak dah buat dekat saya 5 tahun lepas? Awak ingat semudah tu? Dan pasal isu merisik tu, saya sekali lagi bagitahu awak keputusan saya. Saya tak terima dan saya tak suka awak buat keputusan tanpa tanya saya dulu. Awak faham, Uzzam Wasif?"
Aku terdiam. Terasa adrenalinku pantas bergerak selepas mendengar setiap hamburannya.
'Waasif? Merisik? Kejadian 5 tahun lepas? Apa semua ni?' Darah panasku menyerbu.
"Rindu?" lontarku perlahan, amarah yang sedang bergelegak ini aku cuba tahan. Rindu terdiam, mungkin dia juga terkejut.
"Ap..." Tak sempat aku bertanya, Rindu sudah matikan panggilanku. Aku cuba menghubungi lagi tapi Rindu sudah mematikan telefonnya.
"Arghhhh!" bentakku lantas membaling telefon ke tilam.
agak memakan masa nk update sbb nk fahami smula jalan cerita. al-maklumlah mak dah lama tggl Yan n Rindu ni ? maafkan mak, nak!
Share this novel
...nasib mak masih ingat kat anak 2 ketoi ni...hahaha..kami lagi rinduuu
tak pasal2 ian kena marah.. kesian ian hahaha
selalu la update mak.... ?